Rompakan Rob, Robert & Roberto merupakan episod ketujuh dalam musim ketiga siri BoBoiBoy. Ia disiarkan di TV3 pada 8 Disember 2014.
Ringkasan[]
BoBoiBoy dan kawan-kawannya membuat rancangan untuk menangkap ketiga-tiga perompak yang bersembunyi di dalam Bank Pulau Rintis.
Plot[]
BoBoiBoy berlari-lari untuk pergi ke rumah Makcik Kantin untuk menjawab seruan minta tolongnya yang mengalami kebakaran reban ayamnya. Setibanya BoBoiBoy di situ, dia mendapati bahawa reban itu sudah pun rentung. Kemudiannya, Makcik Kantin meminta tolong daripada BoBoiBoy supaya menolongnya membina semula reban ayamnya.
Sementara itu, suatu mesyuarat rahsia tiga orang penjenayah sedang berlangsung di sebuah bengkel kereta yang terbiar dalam rancangan untuk merompak pada keesokan harinya. Si ketua yang bantut dan berbaju serba merah menyoal semula konco-konconya tentang rancangan mereka. Pada pukul 7:56 pagi, mereka akan berada di stesen minyak dan kemudian mereka akan bergerak selama 41 saat ke lokasi kejadian, iaitu di hadapan bank. Dan mereka akan menunggu waktu pertukaran pengawal keselamatan. Yang dempak serba biru pula perlu memerhatikan pengurus bank yang dijangkakan dia akan keluar dari kedai roti tepat pada pukul 8:03 minit pagi.
Tambah si dempak, kemudiannya mereka bertiga boleh terus menyerbu bank, rompak duit, larikan diri dan selepas itu mereka boleh pergi berbelanja. Maka si ketua menyergah si dempak kerana duit rompakan tidak boleh mereka gunakan selama enam bulan kerana dibimbangi mereka akan dijejaki polis. Kemudian, si ketua memberikan nama samaran kepada konco-konconya: si dempak sebagai Rob, si kurus sebagai Robert dan si ketua sebagai Roberto Santana (padahal itu nama sebenarnya).
Keesokan paginya, pada hari Ahad di Markas Kotak, Probe mengejutkan Adu Du pada awal pagi kerana pada hari itu kapal angkasa lama mereka akan sampai. Kemudian, mereka berdua pergi ke warung Tok Aba untuk menyampaikan berita baik itu. Tanpa disangka-sangka, semua kakitangan warung termasuk empunya kedai sendiri memakai topi BoBoiBoy dan warungnya juga penuh dengan pelanggan-pelanggan, jadi Probe menanyakan kepada Tok Aba apakah rahsianya; jawabnya ini adalah disebabkan oleh peningkatan populariti BoBoiBoy sebagai wira penyelamat. Adu Du pun bertanya di manakah BoBoiBoy berada; jawab Ochobot, dia sibuk menolong orang di bandar.
Pada masa yang sama, Rob, Robert dan Roberto tiba di hadapan bangunan Bank Pulau Rintis untuk melakukan sepertimana yang dirancang pada malam semalam. Robert menutup mukanya dengan senaskah surat khabar sambil memerhatikan gerak-geri pengurus bank. Rob menyorok di tepi jalan masuk bank untuk mengawasi keadaan di dalam bank sementara Roberto menyorok di belakang jip. Setelah keadaan elok, Robert cepat-cepat mengikat meter parkir kereta untuk ditarik cabut dengan jip seperti dalam pelan rompakan asal mereka.
Akan tetapi Rob terlihat kehadiran dua orang polis beruniform lalu memberitahu kepada ketuanya. Mereka bertiga ketiadaan "Pelan B", jadi Roberto mengarahkan supaya mereka pergi ke "Pelan C" – iaitu "cabut"! Maka mereka bertiga lintang-pukang berlari untuk pergi bersembunyi di dalam bank. Alang-alang sudah masuk bank, terpaksalah mereka merompak bank itu – dan merayu kepada semua orang di dalam bank supaya melindungi mereka daripada polis-polis yang berada di luar.
Berita rompakan bank ini menjadi tular melalui berita TV33 yang disampaikan oleh Ravi J. Jambul yang sendiri turut dijadikan tebusan dalam bank itu. Berita itu turut dipertontonkan semua orang yang berada di warung Tok Aba di mana Yaya, Ying, Gopal dan Fang berada. Maka Gopal terus menghubungi BoBoiBoy dan memberitahu tentang kes rompakan itu melalui jam tangannya. Maka terpaksa BoBoiBoy meninggalkan kerja membina reban ayam Makcik Kantin yang sekerat jalan untuk urusan yang penting itu.
Rob, Robert dan Roberto menemani para tebusan di bilik kebal untuk melindungi diri mereka daripada polis, ketika itu BoBoiBoy dan kawan-kawannya datang untuk menyelamatkan tebusan. Sekali terdengar ketukan pintu dan suara wira cilik itu memanggil supaya pintu dibuka, perompak bertiga itu terasa gertak, tetapi Rob dengan senang hatinya pergi membuka pintu untuk meminta autograf BoBoiBoy. Lantas Roberto terus mengherdik tindakan Rob kerana takut mereka bertiga akan dibelasah oleh BoBoiBoy lalu mengetatkan semula pembuka pintu. Ekoran daripada itu, Fang mahu memecahkan pintu dengan menggunakan kuasanya, tetapi dihalang oleh Yaya yang meminta supaya mengambil kira tentang keselamatan tebusan.
Probe pula menceritakan tentang seorang yang mampu menyelesaikan masalah itu tanpa menggunakan kekerasan. Dengan perkenalan yang melimpah-ruah, dia mempersilakan tidak lain tidak bukan ialah majikannya sendiri, iaitu Adu Du! Setelah puas dicurahi sanjungan, Adu Du meminta pemutar skru daripada Probe lalu cuba mengumpil buka pintu bilik kebal dari atas. Sungguh mengilankan BoBoiBoy dan kawan-kawannya.
Roberto segera menyuruh Rob dan Robert untuk menutup semula pintu, tetapi Adu Du meminta supaya mereka berhenti dan mendengar dahulu luahan kata hatinya sebagai bekas penjahat yang memahami pancaroba hidup perompak bertiga, lantas meminta mereka supaya insaf dan bertaubat dari kejahatan. Rob dan Robert terharu mendengar rayuan makhluk hijau itu, tetapi Roberto pula tidak termakan lalu menutup terus pintu bilik kebal sehinggakan menyepit lengan Adu Du sambil mengingatkan bahawa jenayah mereka bertiga tidak sama dengan jenayah Adu Du yang dahulunya ingin menakluki Bumi.
BoBoiBoy berasa terkejut dan cemas melihat kesakitan yang Adu Du alami dan menyuruh Gopal supaya menukarkan pintu bilik kebal kepada jeli. Maka Gopal taat, tetapi disuruh berhenti melakukan demikian oleh Roberto yang mengugut akan meratih tangan Adu Du. Maka Gopal terpaksa berhenti sekerat jalan dan Adu Du masih lagi menahan kesakitan.
Maka BoBoiBoy dan kawan-kawan sekali lagi terpaksa memerah otak demi menyelamatkan Adu Du dan tebusan di dalam bilik kebal. Fang sekali lagi bercadang supaya menyerbu dengan kuasa, tetapi Yaya melarangnya dan BoBoiBoy mengingatkan bahawa kuasa bukan digunakan untuk kekerasan. Ying setuju supaya mereka harus fikirkan untuk selamatkan tebusan daripada bilik kebal. Pada masa yang sama, Adu Du meminta Probe membawakannya air sirap limau ais tanpa limau. Maka dari situlah datangnya buah akal daripada minda BoBoiBoy.
Mula-mula, pendingin hawa di dalam bilik kebal dimatikan. 25 minit kemudian, semua orang yang berada di dalam bilik kebal merasakan kepanasan disertasi dengan kehausan. Perompak bertiga melihat di luar melalui lubang jeli pintu dan mendapati semua orang di luar menikmati minuman yang sejuk dan sedap. Maka mereka bertiga pun tergoda untuk menagih air, tetapi Roberto menegah dan menduga bahawa ini adalah helah mereka semua untuk menukar air dengan tebusan, dan memperdayakan mereka dengan meletakkan alat pendengar pada gelas air untuk mengetahui rancangan mereka.
Walau bagaimanapun, Rob tergoda akan ais blended coklat strawberi yang dipegang oleh Gopal lalu menawarkan seberkas wang kertas sebagai pertukaran. Maka Gopal tanpa teragak-agak merestui urusniaga ini lalu khusyuk berkhayal menjadi jutawan dengan menjual air dengan harga sebanyak ini, tetapi dia segera ditempelak oleh Ying kerana jelas-jelas itu adalah duit rompakan.
Maka Rob, Robert dan Roberto berebut-rebut untuk minum ais blended coklat strawberi yang sejuk itu, sehinggalah BoBoiBoy tampil di lubang jeli untuk menawarkan pelbagai minuman lain kepada mereka dan para tebusan secara percuma. Maka semua ahli di dalam bilik kebal minum sepuasnya sehingga perut mereka kekenyangan. Oleh itu, kita tiba di kemuncak rancangan menyelamat.
Ekoran minum terlalu banyak, Rob menanya kepada pengurus bank di manakah bilik air di dalam bilik kebal itu. Katanya, bilik air tiada di dalam bilik kebal. Setelah puas berhempas-pulas menahan air kumuhan sambil digoda oleh desisan semua orang di sekeliling, Gopal menarik penggera kebakaran dan perompak bertiga tanpa teragak-agak membuka semula pintu bilik kebal dan keluar, lantas mereka dipimpin oleh anggota polis untuk masuk ke dalam lori polis – akhirnya Rob, Robert dan Roberto dapat dicekup!
BoBoiBoy dan kawan-kawan dilimpahi pujian yang diberikan oleh pengurus bank, sementara Ravi J. Jambul melakukan temubual tebusan dengan dirinya sendiri yang turut berterima kasih kepada wira-wira kecil itu. Akan tetapi, secara tiba-tiba semua orang dikejutkan oleh bayangan yang gelap di hadapan kawasan bank. Rupa-rupanya, kapal angkasa Adu Du sudah kembali! Tetapi, kapal angkasa itu dikepung oleh lima buah kapal angkasa lain yang asing.
Watak[]
- BoBoiBoy
- Yaya
- Ying
- Gopal
- Fang
- Ochobot (sampingan)
- Tok Aba (sampingan)
- Makcik Kantin (sampingan)
- Ravi J. Jambul
- Adu Du
- Probe
- Rob (Kemunculan sulung)
- Robert (Kemunculan sulung)
- Roberto Santana (Kemunculan sulung)
Trivia[]
- Episod ini menunjukkan kali pertama di mana Tok Aba, Yaya, Ying dan Gopal memakai topi BoBoiBoy sewaktu bekerja di Tok Aba dan BoBoiBoy Kokotiam.
- Ketiga-tiga perompak menggunakan perkataan Bahasa Inggeris dalam episod ini iaitu "Ready?" dan "Born ready, boss!" setelah tiba di luar Bank Pulau Rintis.
- Gambar BoBoiBoy yang disimpan oleh Rob adalah dari Musim 2, Episod 4.
- Ketika babak Adu Du dan Probe datang ke warung Tok Aba di mana semua pekerja memakai topi BoBoiBoy, terdapat sekerat babak yang mana topi Ying hilang tetapi ada pada babak yang selebihnya.
- Cikgu Timi merupakan salah seorang tebusan yang bersembunyi di dalam bilik kebal.
- Dalam BoBoiBoy: The Movie, ia didedahkan bahawa rompakan di atas berlaku kira-kira jam 2.30 petang.
Galeri[]
- Kategori utama: Gambar Rompakan Rob, Robert & Roberto
Video[]
|