Episod Khas: Jagalah Bumi (Bahagian 1) merupakan episod kedua puluh satu dalam musim ketiga siri BoBoiBoy yang disiarkan di TV3 pada 18 Disember 2015. Ini merupakan episod pertama yang mempunyai trilogi Jagalah Bumi.
Plot[]
Keihatan sebuah asteroid sedang menuju ke Bumi. Gopal sedang melihat gambar asteroid itu dengan rasa takut lalu dia berlari-lari di sekeliling kelas. BoBoiBoy dan Fang merasa aneh terhadap perangai Gopal yang agak pelik. Yaya menceritakan bahawa Gopal berasa takut kerana keputusan ujian matematik akan diberikan oleh Cikgu Papa Zola sebentar lagi. BoBoiBoy dan Fang pula yang terkejut lalu mereka berlari ketakutan di sekeliling kelasnya.
Sudah beberapa kali Gopal gagal dalam ujian, lalu dia mula membayangkan kegarangan ayahnya, Pakcik Kumar yang pernah berkata "Kalau kamu gagal lagi, sat sat sat (bunyi sebatan rotan)!" dan menjawab jawapan ayahnya di dalam kelas. Tiba-tiba, Cikgu Papa Zola menyampuk kata-kata Gopal, lantas semua pelajar mengucapkan selamat pagi kepada cikgu mereka lalu cikgu terus memberitahu bahawa kertas ujian matematik sudah berada di tangannya. Jelas sekali Yaya dan Ying bersedia tetapi Gopal tidak.
Cikgu Papa Zola merasa pelik dengan tindakan Gopal yang amat tidak yakin dengan keputusan ujiannya. Lalu, Cikgu Papa pun meletakkan kertas ujian Gopal di atas mejanya dan mengucapkan tahniah kepadanya seraya berkata tentang kelulusannya dalam ujian tersebut. Perkara ini membuatkan Gopal terkejut dan seakan-akan tidak percaya akan keputusan ujiannya. Fang nampaknya tidak puas hati dan berkata bahawa lulusnya Gopal dalam ujian kali ini hanyalah nasib. Lantas Cikgu Papa Zola membalas hujah Fang dengan menunjukkan markah ujiannya yang lebih rendah daripada Gopal. Fang mula terkejut dan disambut dengan BoBoiBoy yang memerli "padan muka" kepadanya. Cikgu Papa sekali lagi membalas perlian BoBoiBoy dengan menunjukkan markah ujiannya yang lebih rendah daripada Fang.
Fang pun membalas kembali sindiran BoBoiBoy dengan nada yang sinis. Gopal mempersoalkan kepada Cikgu Papa Zola bagaimanakah dia boleh lulus. Cikgu Papa Zola mengatakan bahawa itulah misteri-misteri dunia yang tidak akan dapat terjawab. Lalu Cikgu Papa Zola mengumumkan pelajar yang mendapat markah ujian yang tertinggi. Yaya dan Ying mengatakan antara satu sama lain bahawa masing-masing mendapat markah yang tertinggi. Jadi, tanpa membuang masa Cikgu Papa Zola menyebut nama Yaya dan Ying! Mereka adalah pelajar yang mendapat markah yang tertinggi dan markah yang sama. Lalu Yaya dan Ying mencabar antara satu sama lain untuk ujian akan datang. Pada masa yang sama, mereka berdua mengucapkan tahniah antara satu sama lain.
Kemudian, Cikgu Papa Zola memberitahu kepada anak-anak muridnya bahawa pelajar matematik yang paling terbaik tetaplah Abdul Du Du. Imbas kembali di mana ketika Adu Du menyelesaikan semua soalan matematik di papan tulis, dinding, dan bumbung kelas serta muka Cikgu Papa Zola. Kembali ke waktu sebenar, BoBoiBoy terus memberitahu kepada Cikgu Papa Zola yang Adu Du telah pun menjadi jahat semula. Lalu, Cikgu Papa Zola mengatakan sama ada Adu Du baik atau jahat, tetapi dia tetap lebih pandai matematik daripada BoBoiBoy. Kemudian, Cikgu Papa Zola memberikan kertas ujian untuk pelajar-pelajar lain dan memberitahu kepada mereka bahawa semua pelajar kelas 5 Jujur lulus dalam ujian matematik.
Seluruh kelas mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Papa Zola atas keputusan ujian mereka. Cikgu Papa Zola memberitahu kepada anak-anak muridnya yang walaupun mereka pandai dan lulus ujian matematik, tetapi akhlak kebersihan mereka gagal. Antara kekotoran dalam kelas mereka adalah lantai di alam kelas sudah berdebu-debu, tong sampah sudah penuh dengan sampah-sarap, tingkap sudah berhabuk-habuk, papan putih pula sudah hitam legam, dan koridor kelas sudah seperti tempat pembuangan sampah. Lantas Yaya berjanji bahawa mereka akan membersihkannya pada hari itu juga dan meminta masa selama tiga puluh minit. BoBoiBoy pula berkata sebentar lagi cikgu mereka itu datang periksa, pasti sudah bersih kesemuanya. Namun, Cikgu Papa Zola berkata bahawa dia tidak akan periksa langsung, tetapi cikgu penilai kebersihan akan datang ke kelas mereka dan memeriksanya sendiri. Gopal dan Fang berasa hairan dan Ying pula bertanya siapa guru itu. Lalu Cikgu Papa memberitahu bahawa guru kebersihan itu ialah Mama Zila.
BoBoiBoy menyoal gurunya itu sejak bilakah Mama Zila menjadi guru di sekolahnya itu. Papa Zola suka cita menjawab bahawa dia menjadi seorang guru pada semalam hari, dia berasa bosan apabila duduk di rumah kerana semuanya telah dikemas dan disusun rapi. Cikgu Papa Zola menambah, eloklah jika Cikgu Mama Zila membantu murid-murid memastikan sekolah itu teratur dan penuh dengan kebersihan. Lantas Gopal memberitahu bahawa jika dia melihat keadaan kelas 5 Jujur yang kotor, pasti dia akan mengamuk.
Yaya terus memberitahu kepada pelajar yang lain bahawa Cikgu Mama Zila sudah dekat dengan kelas mereka. Papa Zola pula mengambil kesempatan tersebut untuk melarikan diri. Lalu BoBoiBoy mengarahkan kepada pelajar yang lain untuk membersihkan kelas mereka dan seluruh kelas bersetuju. BoBoiBoy menggunakan Kuasa Tiga untuk mempercepatkan kerja mereka mengemas kelas mereka. BoBoiBoy Gempa menyuruh Ying supaya menggunakan kuasanya untuk membersihkan kelas dengan lebih cepat, lalu Ying menggunakan kuasa Kelajuan Maksima.
Beberapa minit kemudian, Mama Zila perasan sesuatu telah berlaku dalam kelas 5 Jujur apabila melihat asap yang keluar dari kelas 5 Jujur. Lantas dia lari masuk ke dalam kelas tersebut dan berasa terkejut kerana bilik darjah itu sangat bersih, kemas, dan teratur sekali. Para pelajar menghormati guru baru mereka itu dengan mengucapkan selamat pagi. Mama Zila teruja dan merekod Borang Penilaian Kebersihan & Keceriaan Kelas 2015 untuk kelas 5 Jujur dan semuanya gred A.
Kemudian dia menjelaskan bahawa mereka kena menjalankan satu kempen yang istimewa sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan. Di padang sekolah, Gopal menyoal buat apa mereka kena sambut padai hari itu, tetapi apa yang dikatakan Gopal membuatkan Cikgu Mama berasa marah. Tetapi Yaya mengatakan yang dia akan menerangkan kepada mereka. Lantas Amar Deep dan Stanley lari tetapi sempat dihalang oleh Yaya dan Ying. Ying memperlahankan masa diikuti dengan Yaya yang menggunakan kuasa gravitinya lalu menurunkan mereka ke atas tanah. Lalu mereka meminta Yaya dan Ying menerangkan tentang Hari Kitar Semula.
Ying menjelaskan tujuan Hari Kitar Semula Kebangsaan diadakan, iaitu untuk memberikan kesedaran kepada semua orang tentang pentingnya aktiviti 3R. Tambah Yaya, orang ramai juga diingatkan untuk mengasingkan sisa pejal dari punca yang bertujuan untuk memudahkan proses kitar semula... Amar Deep kemudian menanya apa maksud "3R". BoBoiBoy, Fang, dan Gopal memberitahu maksud 3R; "rehat", "rawat" dan "rilek brader"... Tetapi malangnya maksud yang mereka berikan adalah salah dan ianya membuatkan Yaya berasa geram terhadap mereka dan menerapungkan mereka di udara dengan menggunakan kuasanya. Lalu Cikgu Mama meminta Yaya dan Ying menerangkan maksud "3R" yang sebenar.
Yaya menerangkannya terlebih dahulu, program kitar semula "3R" terdiri daripada 3 perkara. Yang pertama adalah "Reduce" (Kurangkan), iaitu kurangkan penggunaan barang baru seperti beg plastik, kertas, dan lain-lain. Yang kedua adalah "Reuse" (Guna semula), iaitu guna semula barang lama. Contohnya, gunakan semula botol kaca yang lama untuk menyimpan alat tulis. Dan yang terakhir adalah "Recycle" (Kitar semula), iaitu kitar semula dengan mengasingkan sisa pejal di punca. Gopal mengatakan bahawa mereka sudah faham dan meminta supaya mereka diturunkan. Tetapi Yaya tidak membenarkannya, dan Ying membuka pertanyaan jika sesiapa ingin bertanyakan apa-apa soalan. BoBoiBoy bertanya bagaimanakah cara-cara untuk mengasingkan sisa pejal di punca. Yaya dan Ying memuji BoBoiBoy kerana bertanyakan soalan yang bagus.
Pada mulanya, asingkan sisa pejal di punca dengan mengasingkan sisa kitar semula daripada sampah harian manusia. Kemudian, masukkan sisa baki yang lain ke dalam tong hijau dan sisa pejal bahan kitar semula perlu diasingkan mengikut kumpulan yang telah ditetapkan. Sisa-sisa kitar semula terdiri daripada tiga jenis; kertas, plastik, dan lain-lain. Pengasingan bahan kitar semula perlu mengikut kategori yang betul. Sisa kitar semula perlu diletakkan di tepi tong sampah pada hari kutipan.
Cikgu Mama Zila mengiyakan penerangan Yaya dan Ying. Apabila kitar semula dilakukan, sampah harian yang dihasilkan dan yang dibuang ke tempat pelupusan pun akan berkurangan. Setelah selesai memberikan penerangan yang jelas, BoBoiBoy, Gopal, dan Fang dibebaskan dari belon graviti. Yaya mengajak rakan-rakannya yang lain bergotong royong dan mengasingkan sisa pejal sampah di sekolah mereka disertai dengan pengedaran risalah kempen kepada penduduk setempat. Pelajar-pelajar yang lain bersemangat untuk melakukannya manakala BoBoiBoy, Gopal, dan Fang hanya mengikut sahaja.
Di Markas Kotak, kelihatan Probe sedang menonton rancangan tentang misi seorang wira yang bernama Awasman! cuba menyelamatkan tasik daripada dicemari sampah. Begitu terujanya Porbe menonton rancangan itu kerana jalan ceritanya. Tiba-tiba, Adu Du mematikan televisyen dan bertanya apa yang sedang dilakukannya. Probe memberitahu kepada tuannya yang dia sedang menonton cerita Awasman tadi. Probe menganggap cerita itu adalah satu cerita yang terbaik. Probe juga membayangkan jika dia boleh menjadi superhero dan menentang kejahatan seperti Awasman.
Namun, Adu Du membaling cawan kepada Probe dan mengingatkan yang mereka ialah alien jahat dan bukan seperti BoBoiBoy yang baik. Adu Du mengarahkan Probe untuk menelefon si penipu Bago Go sambil memberikan Kad Kredit Plutonium kepada Probe dan memberikan kebebasan kepadanya untuk membeli apa-apa senjata. Dengan perasaan yang teruja, Probe menerima arahan tuannya dan terus menuju ke arah Komputer lalu menelefon Bago Go. Sementara Probe sedang membuat panggilan, di radar menunjukkan ada sebuah objek sedang mendekati atmosfera Bumi.
Sebuah teleskop keluar dari objek tersebut dan ia mengesan tempat keberadaan BoBoiBoy. Setelah menemui keberadaan BoBoiBoy, objek tersebut terus memecut laju menuju ke Bumi. Ketika di sekolah, nampaknya Gopal kepenatan membersihkan kawasan sekolah dan BoBoiBoy juga gembira apabila melihat kawasan sekolahnya telahpun bersih. Fang mengajak rakan-rakannya pulang tetapi tiba-tiba Ying muncul menghalang mereka pulang kerana mereka harus menyebarkan risalah kempen terlebih dahulu. Tambah Yaya, mereka harus memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan asingkan sisa pejal dan 3R.
Tetapi, Gopal mengatakan yang bandar Pulau Rintis tiada masalah sampah, sebaliknya dibidas oleh Ying kerana sudah terang-terang bandar mereka itu berlimpah-limpah dengan sampah. Yaya berkata, itulah sebabnya mereka kena mengajar orang ramai tentang aktiviti 3R. Tambah Ying, tidak berguna jika mereka sahaja yang faham, tetapi orang yang lain tidak faham. BoBoiBoy bersetuju dengan cadangan Yaya dan memberitahu sesuatu kepada yang lain sambil menolehkan kepalanya ke arah belakang. Tetapi, belum sempat BoBoiBoy menghabiskan ayatnya, dia terkejut apabila melihat sebuah objek menuju ke arahnya.
Di dalam Markas Kotak, kelihatan Probe sedang melihat di radar. Adu Du berjalan ke arah Probe sambil membawa barang yang dibeli oleh Probe pada pagi tadi. Tiba-tiba, Probe memanggil nama tuannya untuk menyuruh dia melihat radar. Di luar kawasan sekolah BoBoiBoy, segelintir penduduk Pulau Rintis juga terkejut apabila mereka terlihat sebuah objek sedang menurun ke Bumi. BoBoiBoy menyuruh semua orang mengelak, lalu semua orang melarikan diri. Kemudian, terjadinya satu letupan besar dan mengenai BoBoiBoy dan kawan-kawan. BoBoiBoy bertanyakan kepada kawan-kawannya adakah mereka semua selamat. Yaya segera menyuruh BoBoiBoy untuk pergi ke arah objek itu mendarat. Tiba-tiba, tanah bergegar sehinggakan objek misteri itu terbuka dan munculnya seekor raksasa. Fang menyangkakan itu adalah kerja Adu Du.
Tetapi, raksasa itu tidak mengganas sebaliknya mengucapkan selamat petang kepada BoBoiBoy dan yang lain lalu meminta izin untuk memperkenalkan dirinya. Yaya memuji kesopanan raksasa itu. Jadi, raksasa itu memberitahu namanya iaitu Presai Si Raksasa Perisai. Dia menyangka bahawa nama BoBoiBoy ialah "BroBroiBoy", tetapi Gopal memberitahu nama sebenar kawan baiknya. BoBoiBoy tertanya-tanya bagaimana dia mengetahui namanya. Fang menyangka bahawa dia dihantar oleh Adu Du. Probe yang menyaksikan bersama tuannya mengeluh kerana Fang berburuk sangka terhadap tuannya. Lantas Raksasa Perisai mengatakan bahawa Adu Du amatlah tidak layak menjadi tuannya kerana tidak sama taraf. Adu Du berasa geram kerana raksasa itu berlagak. Raksasa Perisai juga memberitahu bahawa tuannya ialah orang lain. BoBoiBoy menanya siapakah tuan dia, tetapi dia tidak mahu memberitahunya.
Lantas Ying bertanya apakah tujuan dia datang ke Bumi lalu Raksasa Perisai mengatakan bahawa tujuannya datang ke Bumi adalah untuk membelasah BoBoiBoy dan kawan-kawannya. BoBoiBoy berasa marah kerana musuh baru itu berani mencari gaduh dengannya dan mengatakan yang Raksasa Perisai hanyalah keseorangan untuk berlawan dengan mereka yang ramai. Lantas, Raksasa Perisai menunjukkan demonstrasi dengan mengulangi perkataan "Bro". Kemudian, objek misteri itu tertutup semula dan bertukar menjadi robot yang ganas! BoBoiBoy dan kawan-kawan berasa terkejut kerana robot itu terlalu besar. Raksasa Perisai mengawal robot itu lalu ia menyerang BoBoiBoy dan kawan-kawan, mereka tercampak ke belakang lalu terbaring di atas jalan raya. Raksasa Perisai melompat ke udara untuk memulakan serangannya.
Watak[]
- BoBoiBoy
- Yaya
- Ying
- Gopal
- Fang
- Papa Zola
- Pakcik Kumar
- Pakcik Mat
- Makcik Kantin
- Amar Deep
- Iwan
- Stanley
- Mama Zila
- Adu Du
- Probe
- Raksasa Perisai (Kemunculan sulung)
Trivia[]
- Pada 14 dan 15 Disember 2015, episod ini dijanjikan akan dikeluarkan lebih awal di YouTube dari tarikh jadual, dengan mengesyorkan para peminat untuk melanggan saluran Monsta di YouTube sehingga ke 250,000 pelanggan.[1][2]
- Walau bagaimanapun pada 16 Disember 2015, laman Facebook mengumumkan bahawa mereka akan mengeluarkan episod ini sebaik sahaja saluran Monsta mencecah 240,000 langganan (sasaran langganan kurang 10 ribu).[3]
- Episod ini akhirnya dikeluarkan pada 17 Disember 2015 iaitu sehari lebih awal dari tarikh yang ditetapkan dalam jadual.
- Episod ini dibuat untuk menyambut Hari Kitar Semula Kebangsaan.
- Malangnya, episod ini pertama kali disiarkan pada 9 Disember iaitu sembilan hari berikutnya daripada waktu cuti sebenar.
- Ini merupakan episod kedua yang membincangkan tentang kitar semula, yang pertama ialah Musim 2, Episod 7.
Galeri[]
- Kategori utama: Gambar Episod Khas: Jagalah Bumi (Bahagian 1)
Video[]
Rujukan[]
|