Adu Du Kembali Jahat merupakan episod ketiga belas dalam musim ketiga siri BoBoiBoy. Ia disiarkan di TV3 pada 17 Disember 2014.
Ringkasan[]
Dalam episod ini menandakan Adu Du kembali ke pangkalan kejahatan dan juga kemunculan pertama Robot Pango.
Plot[]
Kelihatan BoBoiBoy sedang mengelamun di dapur, tetapi secara tiba-tiba dia dikejutkan oleh Tok Aba. Apabila dikatakan "Itulah, mengelamun lagi", BoBoiBoy mengingatkan Tok Aba akan ketika Adu Du mengugut untuk kembali ke kancah kejahatan setelah ibunya dicederakan oleh BoBoiBoy. Untuk itu Tok Aba memesan cucunya supaya cuba menginsafkannya semula. Kemudian BoBoiBoy bersalam dengan Tok Aba lalu pergi ke sekolah.
Sementara itu, Adu Du ditemani oleh Probe, menangis di damping ibunya yang "sudah tidak lama" terlantar di atas katil di Markas Kotak, siap dengan kelengkapan ala hospital. Untuk mengelakkan salah faham, Ibu Bu bangun semula dan menjelaskan bahawa dia tidak lama kerana harus kembali menjaga empayar perniagaannya. Maka Adu Du pulih semangat dan berikrar untuk membalas dendam ke atas BoBoiBoy atas perbuatannya kepada ibunya.
Ibu Bu memuji keazaman anaknya sambil pergi mengambil bagasi. Tetapi Probe mengeluh kerana rumah tangga Adu Du sedang dalam kedaifan. Oleh itu Ibu Bu hendak memberikan dua hadiah kepada anaknya. Probe turut teruja terdengar akan hadiah, tetapi terkena balingan cawan buruk oleh Adu Du yang marah. Bagi Probe, itu sudah menandakan bahawa tuannya sah sudah kembali jahat.
Hadiah pertama, Ibu Bu menghulurkan Jaja Bear kepada anaknya, iaitu "teddy bear kejahatan". Adu Du menangis sambil menerima hadiah itu, lalu menuas tangan kanan anak patung itu untuk membuat ia bersuara "hancurkan kebaikan" sebanyak dua kali, kemudian dia memeluk ibunya dengan sebak sambil mengucapkan terima kasih.
Ibu Bu menceritakan bahawa sejak pemergian Adu Du, Jaja Bear sahaja yang ada untuk dipeluk untuk menghilangkan rasa rindunya kepada Adu Du, malah rupanya yang "hodoh dan jahat" mengingatkan dirinya kepada anak kesayangannya. Adu Du menangis tak henti-henti, sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada ibunya kerana mengingatkan kembali kenangan silamnya.
Di Sekolah Rendah Pulau Rintis, BoBoiBoy terus mengelamun dalam kemurungan sambil dipujuk oleh Yaya dan Gopal bahawa peristiwa ibu Adu Du bukanlah salahnya. Setelah Papa Zola datang ke bilik darjah, dia disambut oleh murid-murid dengan bergaya: "Selamat pagi, Cikgu... Kebenaran!". Cikgu Papa Zola ada satu kejutan yang mana dia meminta murid-muridnya supaya menutup mata dahulu. Gopal meneka bahawa ini tentu kejutan hari jadinya, tetapi Papa Zola membidas seolah-olah dia mahu menyambut hari jadinya tiap-tiap tahun.
Selepas diminta membuka semula mata, semua murid digemparkan oleh satu kejutan yang tidak menyenangkan hati, iaitu "Ujian Mengejut Kebenaran"! Ying menyentak bahawa minggu lepas baru sahaja ujian. Fang merungut, ujian ini tidak disangka; tegas Papa Zola, namanya pun "ujian mengejut", memanglah tidak disangka-sangka. BoBoiBoy juga mengeluh kerana tidak membuat persiapan.
Papa Zola terus menyedari meja kosong Adu Du lalu bertanya kepada Iwan di manakah dia berada. Gopal mencelah dengan berkata bahawa Adu Du dihalau oleh BoBoiBoy, maka Papa Zola terus pergi menyergah BoBoiBoy atas tindakannya terhadap anak murid kesayangannya.
Gopal terkejut mendengar kata-kata itu lalu bertegas bahawa dialah murid kesayangan Papa Zola. Papa Zola mengutuk Gopal kerana "meminjam mimpi orang" serta memuji kepandaian Adu Du sebagai pelajarnya. Fang tolong menjelaskan bahawa Adu Du kembali jahat; tambah Gopal, itu kerana BoBoiBoy mencederakan ibunya. Maka sekali lagi Papa Zola memarahi BoBoiBoy.
Tiba-tiba sahaja Adu Du muncul di hadapan kelas dengan menyamar sebagai pelajar dan berkelakuan baik dengan alasan dia lambat kerana menolong nenek membeli sayur. BoBoiBoy dan kawan-kawan terkejut melihat Adu Du berkelakuan baik semula sambil dituduh oleh Papa Zola kerana membohongi mereka. BoBoiBoy meminta maaf kepada Adu Du, dan Adu Du "memaafkan" dia. Maka mereka yakin bahawa Adu Du tidak kembali jahat, tanpa mengetahui niat sebenar Adu Du.
Hadiah kedua Adu Du daripada Ibu Bu adalah "Kad Kredit Kejahatan" bertaraf Plutonium tanpa had pembelian. Probe teruja dengan kurniaan mewah itu, tetapi Adu Du menolak sebagai tanda mahu hidup berdikari, tetapi Ibu Bu terus memujuknya kerana mengasihani keadaan hidup anaknya yang serba kekurangan. Akhirnya Adu Du akur, asalkan kali ini sahaja dia menerima pertolongan daripada ibunya.
BoBoiBoy mengeluh "susahnya" tentang ujian mengejut itu. Gopal pula mengeluh kelaparan dan mengambil kesempatan untuk menukarkan meja kepada coklat secara senyap. Tindakannya disedari oleh Iwan, lalu dia cuba menarik perhatian gurunya yang hanya memerhatikan usaha Adu Du. Sementara itu Ying dan Yaya kembali berseteru sempena ujian, masing-masing saling menuduh meniru dan menyeru kuasa super masing-masing untuk mengatasi satu sama lain.
Ying menggunakan kuasa Tulisan Laju untuk mengelak daripada ditiru, tetapi ianya membuatkan Yaya berasa geram lalu secara tidak sengaja dia teraktifkan Kuasa Gravitinya kerana tidak tertahan sehingga satu kelas dengan meja-meja sekali terangkat ke udara. Ying sekali lagi menggunakan Tulisan Laju tetapi kali ini terbakar kertasnya hingga Yaya pun terkejut dan Kuasa Graviti itu terus terbatal, menjatuhkan semula seluruh kelas.
Kemudian, Yaya dan Ying terus bertengkar dan saling mengutuk, tetapi dileraikan oleh Papa Zola yang mengingatkan bahawa ujian itu bukan untuk bercakap-cakap seperti di perpustakaan. Fang membetulkan percakapan guru itu bahawa di perpustakaan mana boleh bercakap, tetapi dia pula yang diherdik supaya "senyap lagi dipersenyapkan!".
Adu Du mengambil kesempatan dari kekalutan itu untuk memulakan rancangan jahatnya dengan cuba mengambil sesuatu daripada begnya. Sambil itu dia terusik-usik meja sehingga pemadamnya terjatuh. Gopal sedar lalu berbisik kepada Adu Du tentang pemadamnya. Tetapi Adu Du tidak endah dan mengeluarkan suatu alat yang berupa walkie-talkie. Lantas dia menekan butang dan berbisik kepadanya. Gopal cuba mengadukan tindakan Adu Du kepada Papa Zola.
Maka Papa Zola pergi menuduh Adu Du menipu sambil menyiasat meja, tetapi tiadanya walkie-talkie. Adu Du menunjuk walkie-talkie di atas meja Gopal kepada guru itu, maka Gopal pula yang memakan bidasan gurunya. Sementara Gopal menuduh balik Adu Du, Papa Zola menguji walkie-talkie tersebut; nyata alat itu bersuara dan menjawab.
Adu Du menyaksikan peristiwa walkie-talkie itu dari hadapan kelas sambil tergelak. Tetapi gelakannya tertarik perhatian murid-murid dan Papa Zola yang menyangka dia tidak sihat, maka Adu Du cuba mengelak dengan alasan bahawa soalan dalam ujian lawak. Maka Papa Zola memuji Adu Du kerana akhirnya ada seorang murid yang memahami jenaka dalam soalannya.
Tiba-tiba, seluruh sekolah digemparkan oleh gegaran kuat yang didengari dari luar sekolah. Maka seluruh kelas pun lintang-pukang kecuali Adu Du yang gembira kerana pelannya berjalan lancar.
Bago Go terkejut apabila melihat wajah Adu Du di skrin lalu menegaskan keengganannya untuk berurusan dengan orang yang menjadi musuhnya. Kemudian dia terlihat seorang wajah yang baru. Ibu Bu memperkenalkan dirinya sebagai ibu Adu Du, maka Bago Go menceritakan peristiwa Pertarungan Di Bulan, tambahan pula sewaktu dikejarkan ke hospital, dia disalah sangka sebagai lempeng lalu dihantar ke kafeteria.
Ibu Bu memujuk Bago Go bahawa itu kisah dahulu sewaktu Adu Du baik, tetapi Adu Du sudah kembali jahat, tetapi Bago Go tetap teragak-agak kerana peristiwa itu telah menjatuhkan maruah suku-sakatnya. Untuk memujuk Bago Go supaya berbaik semula, Ibu Bu menayangkan Kad Kredit Kejahatan, jadi Bago Go terus bermata duitan dan mengujar bahawa kad kredit Plutonium hanya ada tiga keping di seluruh alam semesta dan hanya dimiliki oleh orang kaya yang ter tip top sahaja.
Ditayangkan pula kulit majalah dengan gambar Ibu Bu, barulah Bago Go sedar bahawa dialah Ibu Bu iaitu tokoh produk kecantikan terkemuka di alam semesta, lalu dia meminta maaf kerana keadaan serba malap yang dipancarkan dari sebelah talian Adu Du. Jadi Ibu Bu memberitahu jurujual itu bahawa kad kredit itu sudah diserahkan kepada anaknya serta bertanya senjata apa yang paling sesuai. Adu Du meminta supaya berbaik semula untuk kejahatan, dan Bago Go pun rela hati menolong.
Sementara sekolah masih bergegar, BoBoiBoy dan kawan-kawan melihat melalui tingkap suatu benda besar berbentuk bola yang berpusing-pusing laju di perkarangan sekolah. Benda itu berhenti, membuka diri dan menjelma dalam bentuk robot tenggiling, siap dengan kantung berisi dengan lambang dolar. Adu Du pun ke tingkap untuk "bertanya khabar" kepada robot itu, tetapi cara percakapannya yang tergagap-gagap mencurigakan Gopal.
Robot itu memperkenalkan diri sebagai Robot Pango yang telah mencuri dan merompak kesemua hasil tabung derma di seluruh sekolah, termasuk jugalah dana Kelab Matematik. Papa Zola marah dan mencabar Robot Pango untuk berlawan. BoBoiBoy, Gopal dan Fang meluru ke pintu bilik darjah untuk keluar untuk melawan Robot Pango, tetapi dihalang oleh Papa Zola kerana ujian belum selesai. Ying berkata sekolah dalam bahaya, tetapi Papa Zola tetap memaksa murid-murid menghabiskan ujian sebelum berlawan.
Tiba-tiba, Adu Du menghulurkan kertas jawapannya kerana sudah habis menjawab, lalu dia meminta izin untuk "melawan Robot Pango". Akan tetapi jawapannya ditulis dalam bahasa makhluk asing ibundanya maka Papa Zola pun menengkingnya supaya menjawabnya semula.
Ketegasan Papa Zola menyebabkan BoBoiBoy dan kawan-kawan tidak dapat berbuat apa-apa dengan Robot Pango yang bermaharajalela dengan mencuri harta dan kemudahan sekolah, sementara Adu Du pula kian cemas kerana khuatir rahsianya akan terdedah. Papa Zola juga rimas melihat Robot Pango mencuri tayar keretanya, tetapi apabila BoBoiBoy meminta izin untuk keluar berlawan, dia tetap tegas melarang dengan alasan "Dua tiga tayar boleh dicari, tetapi amanah perlu dijaga sampai mati".
Fang cemas berbisik tanya kepada BoBoiBoy angkara dan siapakah Robot Pango itu, dan BoBoiBoy menjawab tidak tahu. Adu Du bertambah cemas terdengar perbualan mereka. Robot Pango mencuri tiang bola keranjang, membuat Fang hanya mengeluh, tetapi apabila ia mencuri gawang bola sepak, Gopal pula panik dan merayu kepada BoBoiBoy supaya mencari idea.
Akhirnya, BoBoiBoy mendapat satu idea yang boleh menyelesaikan masalah - berpecah kepada tiga. Dengan cara ini, seorang daripada mereka boleh menjawab ujian, sementara dua lagi keluar berlawan dengan Robot Pango itu. Setelah mendapat keizinan daripada Cikgu Papa, Gempa hendak mula berbincang dengan Halilintar dan Taufan, namun mereka berdua terus meluru keluar sambil berkata "Selamat Menjawab Ujian!". Maka tinggallah Gempa seorang diri, yang terasa seperti dikhianati oleh dirinya sendiri.
Setelah Halilintar dan Taufan berada di padang sekolah, mereka memberikan amaran kepada Robot Pango untuk berhenti sebelum bertarung.
Watak[]
- BoBoiBoy
- Yaya
- Ying
- Gopal
- Fang
- Tok Aba
- Papa Zola
- Adu Du
- Bago Go (imbas kembali)
- Ibu Bu
- Robot Pango (Kemunculan sulung)
Trivia[]
- Ini merupakan satu-satunya episod yang pengarahnya ialah Yap Ee Jean.
- Episod ini telah dimuat naik ke YouTube dalam saluran Monsta tanpa diiringi oleh lagu tema pembukaan, kad tajuk dan lagu tema penutup, menjadikan durasinya kurang kira-kira 2 minit.
- Ibu Adu Du, Ibu Bu didedahkan merupakan seorang yang kaya dan salah satu alien yang tergolong dalam golongan kelas pertama, sangat berbeza dengan anaknya, Adu Du yang merupakan alien golongan bawahan, diceritakan dalam Musim 2, Episod 10.
- Terdapat dua versi yang berbeza pada babak tertentu dalam episod ini, iaitu:
- Babak BoBoiBoy menjerit "Tunggulah..." Dalam versi pertama, suara jeritan BoBoiBoy agak garau manakala dalam versi kedua, BoBoiBoy menjerit dengan suara lantang.
- Babak Jaja Bear bersuara "Hancurkan kebaikan". Dalam versi pertama, Jaja Bear tidak bergerak ketika ia bersuara manakala dalam versi kedua, ia bergerak.
Galeri[]
- Kategori utama: Gambar Adu Du Kembali Jahat
Video[]
|