BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Musim 1, Episod 5 (juga dipasarkan sebagai Musim 1, Episod 9 & 10) merupakan episod kelima siri BoBoiBoy. Episod ini disiarkan di TV3 pada 3 Julai 2011.

Mulai episod ini, lagu tema pembukaan tampil dengan versi yang berlainan berbanding dengan episod-episod sebelumnya.

Ringkasan

Untuk membantu Tok Aba dalam penghantaran koko, BoBoiBoy menggunakan kuasanya terlalu lama sehingga membuatnya lupa diri.

Plot

Episod 9

Adu Du bertungkus-lumus mengkaji potensi koko Tok Aba yang dipercayainya sebagai satu-satunya serbuk koko yang berpotensi dari Planet Bumi. Dalam cubaan ke-10, dia menguji koko yang diperkuatnya pada Probe. Probe bertukar menjadi sebuah mesin basuh, tetapi kuasanya masih terlalu singkat. Dengan rasa kecewa dan berang, Adu Du sekali lagi mengarahkan robot-robot hamba ke tempat Tok Aba.

Pada awal pagi, BoBoiBoy dikejutkan oleh Tok Aba yang meminta tolong lalu berpecah jadi tiga, tetapi Tok Aba hanya memintanya untuk menghantar bekalan koko dari rumah ke rumah. Setelah pergi membuka Tok Aba's Kokotiam, BoBoiBoy bertanya mengapa tengah hari tidak boleh, jelas Tok Aba, pelanggan-pelanggannya memerlukan koko pada awal pagi. Apapun, BoBoiBoy menerima permintaan datuknya dan ditemani oleh Ochobot atas suruhan Tok Aba.

Ketika hampir siap dengan hanya tiga pelanggan lagi, BoBoiBoy bertemu dengan jalan silang. Ada tiga orang pelanggan yang menunggu hantaran koko BoBoiBoy, setiap satu di satu arah pada jalan silang itu. BoBoiBoy mengambil keputusan untuk berpecah menjadi tiga untuk memudahkan tugas, tetapi Ochobot menegahnya kerana jika terlalu lama berpecah tiga, ini boleh menyebabkan daya ingatan BoBoiBoy terjejas.

Sementara itu, di Kokotiam, Tok Aba diserang oleh robot hamba Adu Du yang menyasarkan buku resipinya. Mujurlah Gopal muncul untuk menyelamatkan keadaan, tetapi usahanya mengambil masa kerana batas kuasanya yang amat memerlukan Gopal berasa takut supaya berkuasa penuh. Tok Aba membantu Gopal dengan melontarkan buku resipi supaya Gopal ditakutkan dengan suatu isi kandungan buku yang cukup menyeramkan. Apapun Gopal berjaya menukar bentuk semua robot hamba itu menjadi kotak cekedis coklat, dan ingin menjual produk makanan barunya itu atas nama Tok Aba. Tok Aba tidak bersetuju kerana tidak elok makan cekedis-cekedis, tetapi apapun memberikan ganjaran dalam bentuk Hot Chocolate Special kepada Gopal.

BoBoiBoy pun kembali daripada tugasnya, tetapi dalam keadaan yang serba tidak betul, apabila menyapa Gopal dengan nama Arumugam dan Tok Aba dengan Tok Babas. Tok Aba dan Gopal terkilan mendengar nama-nama salah yang dipanggilnya itu, maka Ochobot menjelaskan masalah ingatan BoBoiBoy kerana mengingkari tegahannya supaya tidak berpecah menjadi tiga terlalu lama.

Beginilah ceritanya:

  • BoBoiBoy Tanah ditugaskan ke rumah Pakcik Kumar (bapa Gopal), tempat yang diperginya betul tetapi kotak yang dibawanya lupa diisi tin koko, maka dia terpaksa patah balik untuk mengambilnya. 20 minit kemudian, BoBoiBoy ini datang balik untuk bertanya khabar Gopal, tetapi diingatkan oleh Kumar yang marah akan pesanannya. Mujurlah ia dihantar sebaiknya, tetapi lambat.
  • BoBoiBoy Petir ditugaskan ke rumah Makcik Yah, tetapi tersalah pergi ke si pelayan Burgerriak kerana alpa menghafal butiran peta. Mujurlah ia dihantar ke tempat yang betul, tetapi terpaksa dihantar oleh pelayan itu dengan rasa yang kepayahan.
  • BoBoiBoy Angin ditugaskan ke rumah nenek Ying, tetapi tersalah pergi ke pejabat pos. Apapun, posmen yang baik hati membawanya ke tempat yang betul, lalu disambut oleh seorang perempuan tua yang penyabar dan menunggu semata-mata untuk memakan serbuk koko itu mentah-mentah.

Episod 10

Walaupun tidak menjalankan tugasnya dengan betul, apatah lagi lupa mengambil bayaran atas sikap pelupanya kerana salah guna kuasa berpecah tiga, BoBoiBoy dimaafkan oleh Tok Aba lalu disuruh berehat di pondok di belakang Tok Aba's Kokotiam sambil ditemani Ochobot. Sejurus selepas itu, Tok Aba dan Gopal dikejutkan oleh kedatangan Probe dan Adu Du yang menyamar sebagai ibu dan anak, dengan sungguh-sungguh hingga sukar dicam oleh penjaga kedai Kokotiam itu. Tok Aba menganggap Probe yang menyamar sebagai wanita sebagai Makcik Saodah, jiran lama Yaya yang sudah lama berpindah, dan Adu Du pula menjadi Leman, anaknya yang ke-13, kerana seingat Tok Aba, Saodah ada 12 orang anak.

Tujuan Adu Du dan Probe menyamar ke Kokotiam ialah membeli serbuk koko daripada Tok Aba tanpa dikesan sebagai musuh. Sepanjang urus niaga ini, mereka bersusah-payah menyorokkan identiti sebenar mereka di hadapan Tok Aba, dan nampaknya, Tok Aba agak mudah terpedaya oleh samaran mereka berbanding Gopal yang tertanya-tanya mengapa badan 'Leman' hijau. Probe tertunjuk lengan robotnya, lalu menjelaskan bahawa ia merupakan anggota badan ganti ekoran kemalangan lalu. Apapun, Probe memesan minuman koko panas sementara membuka peluang untuk merampas buku resipi koko Tok Aba.

Ying dan Yaya datang ke Kokotiam dan mudah mengecam Adu Du dan Probe di sebalik samaran mereka. Setelah dikejutkan, mereka menanggalkan samaran, kemudian Adu Du merampas buku itu dan Probe menanggalkan pakaian wanitanya untuk mengganas di warung Tok Aba. BoBoiBoy pun dikejutkan dari rehatnya lalu beraksi demi keselamatan datuknya, tetapi masalah ingatannya masih belum reda apabila dia mengugut Adu Du sambil menuding jari ke arah Gopal. Ochobot menerangkan apa yang terjadi sekali lagi kepada Ying dan Yaya.

Aku, Super Makcik Probe!

Adu Du mengambil kesempatan mengisikan koko panas yang dipesan oleh Probe tadi ke dalam badan Probe lalu menukarnya kepada "Super Makcik Probe" gara-gara terbawa-bawa watak makcik tadi. Pada mulanya, bentuk baru Probe itu menjadi bahan ketawa lawan-lawannya, tetapi kemudiannya tetap boleh mengganas dengan melancarkan peluru berbilang ke arah BoBoiBoy dan teman-teman seperjuangannya.

Kehebatan Super Makcik Probe dipuji oleh BoBoiBoy sehingga mengundang kehairanan Adu Du yang menunggang bentuk Probe itu. Gopal sempat menjelaskan bahawa dia "hilang ingatan". Tok Aba berasa menyampah mendengarnya kerana dengan mudahnya Gopal mendedahkan kelemahan utama BoBoiBoy kepada musuh ketatnya.

Sebelum menghabiskan BoBoiBoy, Probe menyerang kawan-kawannya terlebih dahulu, dengan mencengkam Gopal. Yaya cuba menolongnya dengan Tumbukan Padu tetapi ditangkis oleh kilauan cermin mekap dan lontaran pisau Probe sehingga Yaya terpaku pada pokok oleh pisau. Ying mengambil kesempatan dengan memecut melepasi Probe dan merampas buku resipi Tok Aba. Probe menewaskan Ying dengan sudip yang membuatnya tersandung, lalu mengancamnya dengan pengadun roti berduri. Mujurlah Gopal sempat menghalang Probe daripada menyiksa Ying dengan menukar pengadun itu menjadi roti; dan sepit yang mencengkam Gopal itu pula ditukar menjadi kuih koci.

Dengan marahnya, Adu Du dan Probe menghidangkan "pencuci mulut" berbentuk tembakan ke arah Gopal. BoBoiBoy yang ingatannya makin teruk itu melengahkan Adu Du dengan beberapa soalan: "yang mana satu Adu Du?" kerana melihat wajah Probe dan Adu Du sekali; dan "Adu Du anak siapa" yang tidak diendahkan oleh Adu Du. Apapun, BoBoiBoy tidak lupa bahawa dia seorang adiwira dan berpecah menjadi tiga lagi walaupun dilarang oleh Ochobot.

BoBoiBoy Petir cuba menghasilkan Keris Petir, tetapi Cangkul Petir pula yang terhasil... Apapun, tetap berguna untuk merenjatkan Probe. BoBoiBoy Tanah pula menghasilkan Tanah Runtuh untuk membuat satu lubang besar untuk memerangkap Adu Du dan Probe, tetapi tersasar sedikit di belakang mecha itu. BoBoiBoy Angin meniupkan Angin Sepoi-Sepoi Bahasa yang lembut tetapi cukup untuk menolak musuh-musuhnya ke dalam jurang yang begitu dalam, sebelum ditutup oleh Tanah Kambus BoBoiBoy Tanah.

BoBoiBoy dipuji oleh Yaya dan Ah Meng (Ying) atas kejayaannya, tetapi memarahkan mereka pula kerana tersalah sebut nama mereka. Tok Aba memesan supaya mereka bersabar dan membantu BoBoiBoy memulihkan ingatannya. Tiba-tiba, Adu Du dan Probe menggali keluar dari tanah dan terus merampas buku resipi Tok Aba dan BoBoiBoy Petir.

Watak

Trivia

  • Ini kali kedua di mana Robot Hamba menyerang Tok Aba's Kokotiam selepas Musim 1, Episod 2.
  • Ini merupakan episod pertama Probe berbisik "Popet" kepada Adu Du. Yang kedua ialah Musim 2, Episod 4 dan ketiga ialah Musim 2, Episod 9.
  • Dalam satu babak, BoBoiBoy Petir memberitahu Pakcik Mat bahawa rumah Makcik Yah (sekarang Makcik Wawa) terletak di sebuah bukit, ia mungkin melengkung di jalan dalam peta.
  • Episod ini menandakan kemunculan pertama Pakcik Kumar iaitu bapa kepada Gopal dalam siri BoBoiBoy.
    • Ini juga menandakan kemunculan pertama nenek Ying.
  • Sekiranya BoBoiBoy tidak mengalami kehilangan ingatan, dia sepatutnya mengetahui rumah Makcik Yah kerana ia terletak bersebelahan dengan rumahnya.
  • Apabila Gopal mendekati Probe ketika menyamar sebagai Makcik Saodah, dia berfikir bahawa Gopal akan mengubahnya menjadi burger. Ia betul-betul berlaku dalam Musim 1, Episod 9.
  • Dalam episod ini, Gopal menyebut bahawa Makcik Saodah, bekas jiran Yaya membuat resipi nasi lemak yang digemari oleh ibunya.
  • Babak di mana pisau dapur terlalu dekat dengan penonton dan Adu Du berkata "Berani kau!" kepada Gopal dipotong dalam Disney Channel Asia sejak ia disiarkan semula pada April 2012.
  • Dalam penutup kedua-dua Musim 1, Episod 2 dan Musim 1, Episod 4, Adu Du menyebutkan bahawa dia akan menangkap BoBoiBoy.
  • Ini kali kedua Probe menyamar dirinya sebagai Makcik Saodah. Yang pertama ialah Musim 1, Episod 4 dan yang ketiga ialah Musim 2, Episod 11.
  • Ini merupakan episod kedua BoBoiBoy memanggil Yaya sebagai "Mimi" selepas Musim 1, Episod 1.
  • Babak dimana eksperimen koko Adu Du kemudian digunakan dalam Musim 1, Episod 11, koko digantikan menjadi Cecair Emosi X.
  • Ini merupakan episod pertama di mana Gopal mengatakan sesuatu yang dia tidak katakan. Yang kedua ialah Musim 2, Episod 12 dan ketiga ialah Musim 3, Episod 5.
  • Dalam versi bahasa Inggeris YouTube pada episod ini, nama Makcik Saodah telah diubah menjadi Makcik Stephenson. Selain itu, apabila BoBoiBoy tersilap memanggil Yaya "Siti Zubaidah" dalam versi Melayu, ia ditukar kepada "Margaret" dalam versi bahasa Inggeris YouTube.

Galeri

Kategori utama: Gambar Musim 1, Episod 5

Video

Advertisement