BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

Musim 1, Episod 13 (juga dipasarkan sebagai Musim 1, Episod 25 & 26) merupakan episod ketiga belas dan episod terakhir bagi musim pertama siri BoBoiBoy. Episod ini disiarkan di TV3 pada 25 Disember 2011.

Episod ini juga diulang tayang dalam bentuk "Extended Finale" pada 1 Januari 2012 di TV3.

Plot[]

Episod 25[]

Adudu mukalakus

Adu Du menguji kekuatan Mukalakus.

Adu Du mengagumi Robot Pemusnah Mukalakus, sebuah mecha gergasi hijau yang diberikan sebagai hadiah percuma untuk sudip elektrik yang dibeli oleh Probe dengan menggadaikan kapal angkasanya kepada Bago Go. Tanpa membuang masa, Adu Du menyuruh Komputer untuk mengaktifkan Mukalakus, tetapi Komputer mengingatkan tuannya bahawa robot itu tidak boleh diaktifkan dengan sebarang tenaga. Adu Du membalas penafian Komputer bahawa Bago Go pun tidak sedar, Mukalakus boleh dihidupkan dengan tenaga koko bumi, lantas menyuruh Probe untuk membawa lebihan koko Tok Aba ke robot itu.

Sementara itu di padang main, BoBoiBoy yang bakal pulang ke tempat asalnya dipujuk oleh Yaya, Ying, dan Gopal supaya tidak meninggalkan mereka dan terus tinggal dan bersekolah bersama mereka di Pulau Rintis. Gopal mencadangkan supaya BoBoiBoy berpecah menjadi tiga, iaitu "satu pergi sekolah, satu duduk sana, satu duduk sini", tetapi dia diingatkan oleh yang lain bahawa kuasanya itu terhad dan boleh menyebabkan BoBoiBoy hilang ingatan. BoBoiBoy pula menenteramkan hati kawan-kawannya bahawa Ochobot masih tinggal bersama mereka kerana ia menjadi pembantu di kedai Tok Aba, tetapi Ochobot pun merenyek kerana tidak sanggup berpisah dengan BoBoiBoy dan ingin mengikutnya pulang. Belum habis bersembang, mereka berlima dikejutkan oleh satu ledakan yang menimpa mereka.

Mukalakus

Mukalakus muncul di depan geng BoBoiBoy.

Ledakan itu adalah hasil tembakan raksasa dari Robot Pemusnah Mukalakus yang dipandu oleh Adu Du. Selepas menunjukkan dirinya dalam dada mecha itu, Adu Du menembakkan lagi pancaran berbahaya ke arah musuh-musuhnya. Kekuatan kuasa mecha itu sangat menggerunkan sehingga mereka ingin berundur, tetapi Adu Du tidak senang melepaskan mereka begitu sahaja. Ying memecut sepantas-pantasnya, tetapi Mukalakus nyata jauh lebih pantas dan dapat menumpaskannya dengan tembakan dari dada. Setelah melihat Ying tersungkur dalam kawah yang terhasil oleh ledakan itu, Yaya naik berang, terbang ke udara dan melancarkan Tumbukan Super Padu yang berapi ke arah jentera durjana itu. Adu Du membalas serangan Yaya dengan Tumbukan Keras Mukalakus dan menjatuhkan Yaya ke bumi.

Bahawasanya Yaya dan Ying tersungkur dalam medan perang antara mereka dengan Adu Du membuat BoBoiBoy begitu marah. Dia menyuruh Gopal untuk menukar objek-objek di padang main menjadi makanan, kemudian BoBoiBoy menyeru Tanah Ceranggah untuk menghantar makanan-makanan itu ke atas Mukalakus, dan akhirnya Gopal menukar balik makanan itu kepada bentuk asal untuk dijatuhkan ke atas mecha itu. Akan tetapi, Adu Du sempat memalingkan mechanya ke atas dan menghapuskan semua objek itu, kemudian menyasar Gopal. Mujurlah tembakan ke arah Gopal sempat ditampan oleh Tanah Pelindung BoBoiBoy.

Dalam saat genting sebegini, BoBoiBoy bersedia untuk berpecah menjadi tiga, tetapi Adu Du cuba memintasnya dengan satu lagi tembakan ke arahnya. Nasib baik bagi wira muda itu, tembakan itu tidak menjadi kerana Mukalakus kekurangan tenaga koko, jadi dia dapat menyeru Kuasa Tiga dengan lancar. Sejurus selepas berpecah, BoBoiBoy Petir dan BoBoiBoy Angin masing-masing menjadi BoBoiBoy Halilintar dan BoBoiBoy Taufan dan terus menyerang Mukalakus dengan kuasa mereka. Tindakan dua BoBoiBoy yang dipertingkat kuasanya nampaknya berpihak kepada mereka apabila Mukalakus tidak tertahan kekuatan kuasa mereka lalu jatuh ke tanah.

Bagaimanapun, Adu Du enggan menyerah kalah, menyuruh Probe untuk menangkap Ochobot lalu mengurungnya dalam teras Mukalakus untuk mengisi semula tenaga mecha itu dengan memeras kuasa koko dalam Ochobot. BoBoiBoy Tanah bertindak balas dengan menyeru Timbunan Tanah untuk mengepungi dan menghempap Mukalakus, tetapi Mukalakus dapat memecah keluar dari timbunan itu dan melancarkan tembakan laser berasak-asak ke arah ketiga-tiga BoBoiBoy. BoBoiBoy Halilintar dan Taufan dapat menangkisnya, tetapi BoBoiBoy Tanah yang belum mendapat kuasa baru itu mudah dijatuhkan. Untuk dua yang lain itu, Adu Du mengacukan Pedang Laser Merah dan melancarkan Kuasa Laser Maksima dari mecha itu ke arah mereka dan menawan mereka berdua dalam genggaman jentera itu untuk dipicit sampai kuasa mereka pudar. BoBoiBoy Tanah yang tampak lemah merayu Adu Du untuk berhenti, tetapi dibalas dengan laser yang tidak seberapa kuat, kemudian menyerang Yaya, Ying dan Gopal dengan laser yang lebih kuat sementara kemenangan hampir pasti dalam genggaman pihak yang jahat.

Episod 26[]

Boboiboy gempa

Lahirnya BoBoiBoy Gempa!

Tidak tahan dengan keganasan yang ditimbulkan oleh Adu Du dan Robot Pemusnah Mukalakusnya, BoBoiBoy Tanah akhirnya menemui kuasa barunya. Adu Du memandu mechanya ke arah BoBoiBoy itu untuk menghalangnya daripada selesai kepada bentuk baru, tetapi BoBoiBoy Gempa sempat menjelma dan menangkis serangan pecut Mukalakus dengan Tumbukan Gegar. Dengan kelahiran BoBoiBoy Gempa juga datangnya seekor makhluk buatan tanah yang berbadan sasa seperti Mukalakus dan dikawal dengan gerak badan BoBoiBoy Gempa itu. Tidak sedikit berasa getir dengan kuasa-kuasa baru musuhnya itu, Adu Du sekali lagi menyerang dengan Pedang Laser, tetapi kali ini makhluk tanah itu ternyata setanding dengan Mukalakus dan mampu menangkis serangan-serangan yang paling bahaya, apatah lagi menjatuhkan lawannya itu.

Pertarungan antara mukalakus dan raksasa tanah

Pertarungan sengit sesama gergasi sasa.

Adu Du melancarkan pula Tiga Laser Maksima (kemungkinan besar serangan paling kuat dari Mukalakus) ke arah BoBoiBoy Gempa dan makhluk tanah itu, tetapi makhluk tanah itu sekali lagi menunjukkan kemampuannya untuk menahan laser itu sambil berjalan ke arah Mukalakus. BoBoiBoy Petir dan BoBoiBoy Angin sempat bangkit dan bertukar ke BoBoiBoy Halilintar dan BoBoiBoy Taufan untuk membantu BoBoiBoy Gempa. Dengan semangat baru yang datang daripada ketiga-tiga BoBoiBoy yang sudah menemui kuasa baru, BoBoiBoy Gempa dengan makhluknya memukul Mukalakus ke langit. Ini disusuli dengan BoBoiBoy Taufan yang menaiki papan luncurnya ke angkasa dan melepaskan Cakera Udara untuk menghancurkan mecha itu, BoBoiBoy Halilintar yang membuat Gerakan Kilat dan memotong-motong Mukalakus dengan Pedang Halilintar, dan akhirnya serangan penamat berpadu ketiga-tiga BoBoiBoy yang menusuk teras robot itu sampai berkecai.

Serangan terakhir bbbx3 mukalakus

Serangan penghabisan tiga BoBoiBoy berkuasa baru.

Adu Du terkeluar dari mecha itu dan terjatuh atas lantai, sambil kepalanya dijaga oleh topi keledar yang dipakainya selama pertarungan itu. BoBoiBoy selaku pemenang bercantum balik dan rebah. Ochobot pun selamat dan terbaring di samping wira kecil yang menjadi orang pertama yang dilihatnya pada julung kali ia mencelikkan matanya.

Boboiboy sedar gopal goncang

BoBoiBoy sedar dalam biliknya setelah rebah dalam pertarungan yang dimenanginya.

Tidak lama kemudian, BoBoiBoy sedar di bilik tidurnya sambil dijenguk oleh Gopal, Yaya, Ying, Tok Aba dan Ochobot. Kawan-kawan yang mukanya bertampal plaster itu terima kasih kepada BoBoiBoy kerana menyelamatkan mereka. BoBoiBoy bertanya pula apa yang terjadi pada Adu Du, Ochobot cuba menjawab tetapi Tok Aba menegahnya daripada bercerita lebar tentang Adu Du. Yaya menjemput BoBoiBoy makan biskut yang dibawanya dalam sebakul, tetapi Gopal sempat menghalangnya. Sebaliknya, Gopal mengambil lencana pada topi Ying dan menukarnya menjadi biskut cip coklat untuk diberikan kepada BoBoiBoy. BoBoiBoy terus memakannya, sementara Ying memarahi Gopal atas perbuatannya itu.

Tayangan 25 Disember episod ini berakhir dengan babak-babak dari "Episod 10" dan "Episod 11" yang tidak dapat ditayangkan di TV3.

Extended Finale[]

Babak-babak yang berikut dipertontonkan pada ulang tayang 1 Januari 2012, selepas babak terakhir dalam tayangan pertama.

Gopal nangis bbb

Gopal tak sanggup berpisah dengan BoBoiBoy.

Tiga hari selepas peristiwa Mukalakus, BoBoiBoy siap berkemas dan dihantar ke stesen keretapi oleh Tok Aba pada waktu senja. Tok Aba memesan BoBoiBoy supaya menelefonnya selepas sampai di rumah. Ochobot merayu kepada BoBoiBoy supaya membawanya pulang, tetapi BoBoiBoy memesan kawan robotnya supaya kekal di Pulau Rintis untuk menolong Tok Aba. Kelibat keretapi sudah kelihatan di atas landasan tidak jauh dari stesen, jadi Tok Aba mengambil kesempatan untuk memeluk BoBoiBoy sambil berpesan kepadanya supaya tidak melupai datuknya yang tersayang, dan dibalas dengan jaminan cucunya bahawa Tok Aba "atuk yang terbaik". Gopal, Yaya dan Ying berlari masuk ke stesen dengan mengejut, terutamanya Gopal yang menangis terngongoi sambil memeluk BoBoiBoy kerana tidak sanggup berpisah lama dengan "kawan baik terbaiknya". Tok Aba memesan Gopal, BoBoiBoy akan kembali pada cuti akan datang. Yaya memujuk BoBoiBoy supaya menerima sebungkus biskut yang dibuatnya untuk dimakan dalam keretapi; BoBoiBoy menerima dengan berat hati.

BoBoiBoy minta diri

BoBoiBoy bersalam dengan Tok Aba dan kawan-kawan buat kali terakhir.

Keretapi Yong Pin Aerotrain sudah pun tiba, sudah tiba masanya untuk BoBoiBoy melangkah masuk. Sebelum itu, Ying mengingatkan BoBoiBoy supaya tidak melupai kawan-kawannya di Pulau Rintis. Pengumuman berkumandang di stesen, tiba-tiba disampuk oleh Gopal yang melihat dasar keretapi di atas gerabak sambil berujar bahawa tayar keretapi pancit. Suara pengumuman itu membetulkan Gopal bahawa keretapi itu tidak lagi bertayar, sebaliknya menggunakan maglev, jadi Gopal kembali sebak. Dengan itu, BoBoiBoy bertukar salam dengan Tok Aba, menaiki keretapi dan berjempol kepada kawan-kawannya buat kali terakhir. Terdapat juga seorang watak yang tidak diketahui, turun daripada keretapi sewaktu BoBoiBoy hendak menaiki keretapi. Gopal masih menangis dengan berlebih-lebih, jadi Tok Aba memesannya dengan lebih geram, sambil menaiki keretapi tanpa sedar. Nasib baik Ochobot memesan majikannya supaya turun cepat. Pintu menutup, dan keretapi pun berlepas; kawan-kawan BoBoiBoy di platform tidak habis melambai-lambai ke arah keretapi dan dibalas dengan tangan berjempol BoBoiBoy yang dihulurkan dari tingkap.

Markas kotak adudu

Adu Du dan Probe membina markas baru di bawah tanah.

Sementara itu, di tempat longgokan sampah, Adu Du yang kalah teruk dalam pertarungan lepas dan kehilangan kapal angkasa dan Robot Pemusnah Mukalakus menengking ke arah langit yang mendung untuk mengugut BoBoiBoy. Probe memesan majikannya supaya cepat berteduh di dalam kotak yang dijadikan "markas" sebelum hujan.

Enam bulan kemudian, kelas bermula di Sekolah Rendah Pulau Rintis. Yaya, Ying dan Gopal sama bilik darjah. Murid-murid dimaklumkan oleh guru mereka bahawa datangnya seorang pelajar baru untuk menyertai kelas mereka. Rupa-rupanya pelajar baru itu BoBoiBoy, maka Yaya, Ying dan Gopal tumpang gembira menyambut kedatangannya.

Kedua-dua versi berakhir dengan ucapan terima kasih oleh watak-watak BoBoiBoy kepada para penonton kerana menyokong siri animasi ini, dan juga Probe yang berpesan semoga jumpa lagi pada musim hadapan.

Watak[]

Trivia[]

Galeri[]

Kategori utama: Gambar Musim 1, Episod 13

Video[]

Extended Finale[]

Advertisement