BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Musim 1, Episod 1 (juga dipasarkan sebagai Musim 1, Episod 1 & 2) merupakan episod pertama siri BoBoiBoy. Episod ini disiarkan di TV3 pada 13 Mac 2011.

Sempena ulang tahun siaran BoBoiBoy yang kesepuluh, episod ini diberikan nafas baharu apabila tambahan prolog dan epilog mengenai episod ini disiarkan tepat sepuluh tahun selepas tayangan perdana, di saluran yang sama BoBoiBoy mula bersiaran.

Ringkasan

BoBoiBoy pergi ke Pulau Rintis untuk menghabiskan cuti sekolahnya dengan Tok Aba, kemudian dia juga bertemu rakan-rakan barunya Yaya, Gopal dan Ying. Sementara itu, Adu Du tiba di bumi untuk merampas semua koko.

Plot

Prolog Ekstra

Di stesen keretapi Kota Hilir, BoBoiBoy mengucapkan selamat tinggal kepada bapanya Amato dan juga MechaBot sebelum masuk ke keretapi untuk pergi ke Pulau Rintis. Kemudian, Maskmana menghubungi Amato dan MechaBot untuk berlepas sebelum kapal angkasanya mendarat.

Episod 1

BoBoiBoy menaiki keretapi menuju ke Pulau Rintis.

BoBoiBoy menaiki keretapi Yong Pin Aerotrain Express dalam perjalanan ke Pulau Rintis untuk menghabiskan cuti sekolahnya. Dalam keretapi itu, dia terdengar kata-kata yang mencuit hati melalui pembesar suara lalu pergi ke ruang pemandu keretapi untuk menegur pemandu keretapi bernama Wahid yang terlupa menutup mikrofon.

Akhirnya, keretapi yang dinaiki BoBoiBoy berhenti di stesen Pulau Rintis di mana datuknya, Tok Aba sedang menunggu ketibaan cucunya. Sebelum keluar, BoBoiBoy sempat berterima kasih kepada seorang lelaki yang lebih dewasa daripadanya kerana menemaninya. Sebaik sahaja keluar, BoBoiBoy terus berlari menuju keluar tanpa memberikan perhatian sehingga terpeluk orang tua yang salah. Tok Aba juga terpeluk budak yang salah. Lantas BoBoiBoy dan Tok Aba berjumpa depan-depan dan bersalaman, kemudian Tok Aba mengajak BoBoiBoy pulang ke rumahnya.

BoBoiBoy tiba di rumah Tok Aba, datuknya.

Setibanya di rumah Tok Aba, BoBoiBoy mengulas bahawa rumah datuknya kelihatan antik, tetapi Tok Aba tetap berbangga dengan rumahnya. Tok Aba menunjukkan bilik BoBoiBoy di tingkat atas di mana BoBoiBoy dapat melihat pemandangan yang indah di pekan Pulau Rintis dari tingkap biliknya. Ketika Tok Aba sibuk bertaklimat mengenai tanggungjawab BoBoiBoy, cucunya tertidur dengan kepalanya diletakkan pada landasan tingkap, maka Tok Aba terpaksa mengangkatnya dan diletakkan di atas katil sambil mengulas bahawa cucunya terlalu penat.

Penemuan sumber tenaga koko di Planet Bumi.

Sementara itu di angkasa lepas, Adu Du bersama konco-konconya, Probe dan Komputer berada dalam sebuah kapal angkasa yang terapung tidak jauh dari Planet Bumi. Komputer telah mengesan keberadaan koko di Bumi yang manusia jadikannya sebagai sumber tenaga lalu memulakan rancangan jahat mereka untuk merampas kesemua di Bumi. Rancangan jahat mereka dimulai dengan Adu Du memberi pengumuman kecemasan melalui televisyen, kemudian mengarahkan Probe untuk mengintip kegiatan makhluk Bumi.

Pertama kali BoBoiBoy bertemu dengan Yaya.

Pada pagi keesokannya, BoBoiBoy terjaga dari tidurnya dan mendapati Tok Aba tiada di rumah. Semasa di dapur, dia terlihat kertas yang terlekat dengan magnet pada peti sejuk di dapur. Setelah membaca, tertulis pesanan untuk pergi ke Tok Aba's Kokotiam, iaitu warung datuknya. Sebaik sahaja melangkah keluar dari rumah dan mengunci pintu utama rumahnya, BoBoiBoy mulai meneliti kertas itu, kemudian dikejutkan oleh seorang gadis bertudung merah jambu yang berdiri di depan matanya. Gadis itu memperkenalkan dirinya sebagai Yaya dan menawarkan diri untuk menolong membawa BoBoiBoy ke sana, tetapi BoBoiBoy menolak pertolongannya kerana telah tertulis arahan pada kertas yang dipegangnya.

Ternyata keputusannya itu kurang tepat kerana dia terpaksa mengambil jalan yang sangat panjang dan berliku-liku sehingga memakan masa satu jam. Setibanya di warung datuknya, dengan rasa kepenatan BoBoiBoy terkilan apabila mengetahui yang warung datuknya dekat sahaja dengan rumahnya. Apabila ditanya mengapa disuruh untuk menipunya mengikut jalan yang panjang, Tok Aba menjelaskan tujuannya - untuk 'menyenamkan' cucunya itu.

Tok Aba's Special Hot Chocolate, minuman istimewa yang paling terbaik.

Sejurus kemudian, Yaya juga tiba di warung Tok Aba dan membidas sikap BoBoiBoy yang menolak pertolongannya tadi. Apabila membalas, BoBoiBoy tersilap memanggil namanya "Mimi", lalu membuatnya berasa geram dan merajuk. Tok Aba berpesan kepada mereka berdua supaya jangan bergaduh kerana dibimbangi tiada pelanggan datang ke warungnya. Kemudian, BoBoiBoy memerhatikan warung datuknya betul-betul dan bertanya itu kedai apa. Tiba-tiba, muncul seorang lagi budak lelaki berbadan gemuk dan berkulit gelap mempromosikan warung Tok Aba's Kokotiam dengan segala makanan yang diperbuat daripada coklat, terutama sekali "Tok Aba's Special Hot Chocolate" kepada "budak baru" itu. Jelas Tok Aba dengan nada melenguh, budak lelaki itu bernama Gopal, "pelanggan setia" yang sentiasa menginginkan makanan percuma sahaja. Disebabkan dia sudah berkawan dengan BoBoiBoy, Gopal meminta Tok Aba untuk memberikannya makanan percuma.

Apa pandang-pandang?

Selepas itu, telefon yang diletakkan di atas meja warung Tok Aba berbunyi. Tok Aba yang sibuk membuat kerja menyuruh cucunya untuk mengangkat telefon itu. Panggilan itu dipanggil dari seorang gadis bernama Ying yang ingin memesan Special Hot Chocolate. Semasa perbualan, tiba-tiba Ying muncul di hadapan BoBoiBoy dan rupa-rupanya dia membuat panggilan dari jarak yang dekat. Gopal memesan BoBoiBoy supaya tidak melayan perangai Ying dan lebih baik menonton televisyen di warung. Tiba-tiba, mereka dikejutkan oleh gangguan siaran dengan pengumuman dari Adu Du sementara cuaca cerah bertukar menjadi mendung.

Episod 2

Adu Du membuat pengumuman di televisi, tetapi BoBoiBoy menganggap ianya adalah rancangan TV.

Siaran televisyen dalam kedai diganggu oleh pengumuman Adu Du, alien yang datang dari Planet Ata Ta Tiga dan menyuruh mereka untuk menyerahkan kesemua koko, atau mereka akan menghadapi kehancuran. Akan tetapi, orang ramai tidak mengendahkan siaran itu. Kemudian Probe datang dan memberitahu Adu Du tentang perkara yang menakutkan - makhluk-makhluk Bumi menjadikan "makhluk hijau" (sayur-sayuran) sebagai makanan. Oleh itu, Adu Du berhajat untuk mengaktifkan "Bola Kuasa" yang memerlukan kuasa koko yang tinggi. Maka, dia mengarahkan Probe untuk mencuri koko di Bumi kerana Probe berwarna ungu.

Nampaknya warna purple pun tak selamat...

Tok Aba meminta BoBoiBoy untuk menjaga warungnya kerana dia ada urusan lain, tetapi BoBoiBoy berasa gentar jika ramai pelanggan datang. Balas Tok Aba, pelanggan itu cuma manusia dan bukannya makhluk asing pun yang datang. Maka, terpaksalah BoBoiBoy menjaga warung datuknya secara bersendirian. Sebentar kemudian, Probe tiba di warung Tok Aba dan mengambil satu tin koko secara senyap. Probe berpaling muka ke arah sebuah papan iklan animatronik memotong terung ungu dan tiba-tiba menjerit ketakutan sehingga BoBoiBoy perasan dia memegang satu tin koko. Oleh kerana takut datuknya marah, BoBoiBoy mengejar robot ungu itu sehingga memasuki ke dalam kapal angkasa Adu Du yang terletak di tengah-tengah tempat pelupusan sampah.

Itu alien dalam TV tadi...

Probe juga memasuki ke dalam dan melaporkan pada bosnya, tanpa menyedari BoBoiBoy mengekorinya. Akan tetapi, Adu Du memarahinya atas kesalahfahamannya tentang sayur-sayuran tadi yang sudah diperbetulkan oleh Komputer. Oleh itu, Probe keluar ke pintu untuk memulangkan tin koko dengan alasan "makhluk Bumi tidak ganas", tetapi Adu Du sempat menghalangnya dan mengarahkan Komputer untuk melempang Probe dan mengambil tin koko itu dari Probe. Kemudian, Adu Du dan konco-konconya pergi ke bilik senjata tanpa menyedari kehadiran BoBoiBoy yang memerhatikan mereka secara menyorok.

Adu Du menyambut kelahiran Bola Kuasa.

Di dalam bilik senjata, Adu Du mengarahkan Komputer untuk menyalurkan serbuk koko daripada tin yang dicuri itu ke dalam Bola Kuasa yang menyinar kekuningan di dalam bilik itu. Komputer memesan bahawa memerlukan sedikit masa sebelum bola itu aktif sepenuhnya. Sambil itu, Adu Du mengarahkan pula Komputer untuk memasukkan koko lebih ke dalam Probe. Adu Du menanya Probe apa yang dirasanya, tetapi sekadar dibalas dengan "rasa sedap". Adu Du berasa tidak puas hati dengan jawapan Probe lalu melemparkan tin kosong itu ke arah Probe, tetapi Probe pantas menyambut tin itu dengan cengkaman yang kuat, kemudian hilang kawalan dan berlari-lari ke sana sini.

Lengkapnya bentuk Super Probe.

Sementara Adu Du keluar mengawasi Probe, BoBoiBoy keluar dari salur bolong udara kapal dalam bilik senjata untuk mendapatkan balik tin koko yang dicuri itu. Bola kuasa itu akhirnya aktif 100 peratus dan bangun; ia membuka matanya dan mula-mula melihat kelibat BoBoiBoy yang keluar dari bilik senjata. Probe tiba di makmal kapal untuk melengkapkan diri menjadi Super Probe.

BoBoiBoy berlari keluar dari kapal angkasa, tanpa menyedari dia diekori oleh Bola Kuasa yang telah dihidupkan dan secara tidak sengaja mereka bertentang mata dengan Adu Du dan konco-konconya buat kali pertama. Dengan rasa terperanjat setelah melihat Bola Kuasa mengekori BoBoiBoy, Adu Du menyuruh Komputer untuk menutup semua pintu masuk sambil berada di atas Super Probe. Walaupun ditentang hebat oleh ciri-ciri keselamatan kapal angkasa, namun BoBoiBoy berjaya keluar dari kapal itu bersama Bola Kuasa.

Bola Kuasa tadi menyamar sebagai bola sepak.

Hari sudah senja, dan BoBoiBoy balik ke warung datuknya dan disambut oleh datuknya yang marah kerana kedainya dibiarkan tak terjaga sepanjang hari. Apabila diminta penjelasan, BoBoiBoy berterus-terang menjelaskan pengembaraannya dengan makhluk asing yang mencuri koko dari kedai, tetapi Tok Aba tidak percaya semua itu dan berasa kurang yakin dengan kemampuan cucunya menjaga kedai. Secara senyap, Bola Kuasa mengekori BoBoiBoy sampai di warung itu dan menyamar sebagai bola sepak lalu diambil oleh BoBoiBoy ke biliknya.

Bola Kuasa tadinya memperkenalkan dirinya sebagai Ochobot.

Pada waktu malam, BoBoiBoy baring di katilnya, memegang "bolanya" sambil mengeluh datuknya akan pengembaraan hebatnya pada siang hari. Tiba-tiba, bola itu bertukar menjadi kuning dan mulai bersuara, menyebabkan BoBoiBoy terperanjat lalu terlontar bola itu ke luar rumah. BoBoiBoy turun ke bawah untuk menyambut balik bola itu. Rupa-rupanya, inilah Bola Kuasa yang dibangunkan di kapal Adu Du tadi, tetapi ia memperkenalkan diri sebagai Ochobot, dan tidak mengakui Adu Du sebagai tuannya kerana menyangka BoBoiBoy yang membangunkannya. Ochobot menjanjikan kuasa luar biasa kepada sesiapa yang membangunkannya, dan BoBoiBoy pun setuju. Untuk memindahkan kuasa kepada BoBoiBoy, Ochobot melepaskan pancaran biru yang kuat hingga menarik perhatian Adu Du dan konco-konconya.

Ochobot memberikan penjelasan kepada BoBoiBoy tentang kuasanya.

BoBoiBoy dikurniakan dua utas jam tangan yang dinamakan "Jam Kuasa" dengan berlambangkan petir pada permukaannnya. Belum sempat Ochobot habis memesan BoBoiBoy supaya tekun berlatih menggunakan kuasanya, BoBoiBoy tanpa sedar menggemparkan seluruh pekan dengan menghasilkan sebilah Keris Petir yang pejal. Tok Aba yang sedang tidur dalam rumah pun terjaga oleh panahan petir dari luar, lalu menyangka hujan akan turun.

Dengan ini lahirnya seorang wira baru!

BoBoiBoy yang leka memegang panahan petir itu terkena celah antara topi dan rambutnya lalu membuat BoBoiBoy kesakitan dan terlontar panahan itu ke udara. Mujurlah, dia sempat menangkis panahan itu dengan tolakan angin yang kuat bagai ribut. Tok Aba kedengaran memanggil nama cucunya dalam rumah, BoBoiBoy bergegas ke pintu masuk rumahnya lalu tersandung pada Ochobot. Ini menyebabkan gempa bumi berlaku hingga mencemaskan lagi Tok Aba. Sebaik sahaja membuka pintu bilik cucunya, BoBoiBoy sudah berada dalam bilik kerana sempat naik dengan menaikkan tanah ke tingkapnya.

Epilog Ekstra

Tok Aba merakam video mesejnya kepada Amato untuk memberitahunya tentang keadaan BoBoiBoy dan bagaimana dia jumpa dengan Ochobot. Selepas video mesejnya berhenti, Amato mundurkan videonya dan nampak babak di mana BoBoiBoy tertidur dan berikrar bahawa dia akan kembali.

Watak

Trivia

BoBoiBoy: Superhero Kita

  • BoBoiBoy lupa nama Yaya dan memanggilnya "Mimi" menjadi jenaka berterusan dalam musim pertama.
  • Dalam versi buku cerita daripada siri BoBoiBoy, episod ini bertajuk "Superhero Kita".
  • Versi Extended Edition Musim 1, Episod 1 dibuat untuk meraikan ulang tahun ke-10 siri BoBoiBoy dengan tanda pagar #BoBoiBoyBeyond10.
  • Dalam versi Extended, kesemua dialog yang mempunyai frasa "Bola Kuasa" telah ditukar kepada "Power Sphera" dengan rakaman suara yang baharu.
  • Dalam prolog versi Extended, BoBoiBoy berkata: "Bila ayah akan balik?". Kemudian Amato menjawab: "Tak tahu lagi anak ayah". Walaupun BoBoiBoy kembali ke bandar asalnya pada Musim 1, Episod 13 dan pindah kembali ke Pulau Rintis pada Musim 2, Episod 1.

Galeri

Kategori utama: Gambar Musim 1, Episod 1

Video

Versi Extended

Advertisement