BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Lahap merupakan ahli kanan kepada Kapten Kaizo. Lahap sentiasa setia kepada kaptennya dan telah menyertai pelbagai kempen pemberontakan bersama kaptennya.

Sejarah

BoBoiBoy

Dalam Musuh Baru Dan Lama, Lahap dan Kapten Kaizo tiba di Bumi dengan misi untuk merampas kesemua Jam Kuasa milik BoBoiBoy dan rakan-rakannya dan Sfera Kuasa. Disebabkan mereka enggan untuk menyerahkan kuasa mereka, Kaizo menyuruh Fang untuk menghapuskan BoBoiBoy. Apabila Fang berhenti menyerang, Lahap memarahi Fang di atas mengingkar arahan kaptennya sebelum dia dihukum oleh Kaizo. Dalam Antara Kawan Dan Lawan, Lahap menentang Yaya, Ying dan Gopal yang ingin menyelamatkan Fang. Lahap minum cecair bertoksik dari sebuah tong dan menukarkannya menjadi tenaga plasma lalu menyerang mereka bertiga tanpa henti. Ying cuba mempertahankan kawan-kawannya, tetapi gagal apabila kuasa masanya terbatal yang menyebabkan dia dan Yaya diserang oleh kuasa Lahap sementara Gopal terselamat apabila dia sempat bersembunyi di dalam sebuah tong.

Sementara itu Lahap yang termakan biskut Yaya yang ditukarkan oleh Gopal mula melatah kerana rasanya. Kesan biskut Yaya telah memaksa Lahap untuk melepaskan semua tenaga toksiknya secara rawak. Tetapi Lahap sempat memuji biskut Yaya yang mampu menghasilkan serangan pemusnah yang amat berbahaya dan mula ketagih akan keenakan biskut Yaya. Tetapi kemudian Kapten Kaizo memberikan arahan kepada Lahap untuk menghapuskan mereka dan Lahap mula mengeluarkan sebekas penuh toksik berbahaya daripada beg galasnya. Bagaimanapun, Fang sempat menggunakan kuasanya untuk mengambil kesemua Jam Kuasa daripada tangan BoBoiBoy dan kawan-kawannya sebelum dia meminta maaf kepada Kaizo. Lalu Kaizo, Lahap dan Fang berlepas ke angkasa.

Dalam Jumpa Lagi BoBoiBoy, Lahap mengemudi kapal angkasanya sewaktu mereka dikejar oleh kapal angkasa Adu Du yang dikemudi oleh Adu Du. Lahap terus mengeluarkan serangan dan tembakan dari kapal angkasanya ke arah kapal angkasa Adu Du. Sebelum ia terhempas ke Bumi, Adu Du menyuruh geng BoBoiBoy untuk masuk ke dalam pod angkasa dan pergi ke dalam kapal angkasa Kapten Kaizo lalu mereka melancarkan pod angkasa. Pod berlepas dengan laju dan memecah masuk ke dalam kapal angkasa Kapten Kaizo sementara kapal angkasa Adu Du terhempas ke Bumi. BoBoiBoy mengajak kawan-kawannya untuk mencari Fang, tetapi Kapten Kaizo datang bersama Lahap dan memuji tindakan mereka yang berani datang tanpa sebarang kuasa. Kemudian mereka mendesak Kaizo dan Lahap untuk memulangkan kesemua Jam Kuasa mereka, walaupun Lahap sempat mengingatkan tentang kekalahan mereka dalam pertarungan sebelum ini. Namun, Kaizo tertarik akan keazaman mereka untuk mendapatkan semula kuasa, lalu mencabar mereka untuk bertarung sekali lagi.

Fang yang bersembunyi di saluran udara ditegur dan dimarahi oleh Kaizo tentang niatnya yang telah mencuri kesemua Jam Kuasa itu. Akibat perbuatan Fang yang telah membelot mereka, Lahap meminum cecair toksik dari begnya dan terus melepaskan Tembakan Tenaga ke arah BoBoiBoy dan kawan-kawannya. Fang segera melindungi mereka dan memulangkan semua kuasa mereka, namun mereka diserang oleh Kaizo dan terdampar di Medan Latihan Tempur. Apabila BoBoiBoy dan Fang bertarung dengan Kaizo, Lahap memulakan serangan ke arah Yaya, Ying dan Gopal. Yaya dan Ying cuba menyerang balas, dan Lahap segera menggunakan kuasa tahap keduanya dengan mengubah struktur badannya menjadi besi. Ia menyebabkan serangan Yaya dan Ying tidak berkesan. Bagaimanapun, Gopal mendapat satu idea dan menyuruh Yaya dan Ying mencampakkan serpihan-serpihan besi ke arah Lahap. Setelah dilontarkan dan dipercepatkan oleh Yaya dan Ying, Gopal menukarkan serpihan besi itu kepada sayur dan akhirnya mengubah struktur badan Lahap menjadi sayur. Lalu Yaya dan Ying menyerang Lahap habis-habisan.

Selepas kekalahan Lahap dan Kaizo, mereka mengakui bahawa BoBoiBoy dan kawan-kawannya layak untuk menggunakan Jam Kuasa itu sebelum menjelaskan yang misi kumpulan mereka adalah mencari kesemua Jam Kuasa untuk diberikan kepada mereka yang layak. Lahap membantah keputusan kaptennya kerana kuasa-kuasa itu sepatutnya diberikan kepada sekutu dan kawan-kawan mereka. Jadi Kaizo mempelawa BoBoiBoy untuk menyertai pasukannya, yang kemudiannya ditolak oleh BoBoiBoy. Kaizo tidak mendesak BoBoiBoy untuk menyertai pasukannya, lalu memberikan amaran tentang ancaman yang akan datang kepada dia dan Ochobot. Lahap juga berpesan kepada BoBoiBoy untuk menjaga kawan-kawannya dan Sfera Kuasa mereka itu sebelum menghantar mereka semula ke Bumi.

Kuasa

Serangan
5/5
Pertahanan
2/5
Ketangkasan
2/5
Keberanian
5/5
Kelajuan
1/5


Lahap boleh menukarkan sisa-sisa toksik menjadi kuasa plasma yang dilancarkan melalui mulutnya seperti yang ditunjukkan dalam Musim 3, Episod 25. Dalam kuasa tahap keduanya pula, dia boleh menukarkan struktur badannya sama ada keras atau lembut bergantung kepada apa yang dimakannya seperti yang ditunjukkan dalam Musim 3, Episod 26.

  • Tembakan Plasma: Lahap meminum cecair-cecair bertoksik lalu menembak lawannya dengan sedas tembakan yang boleh meletup apabila menyentuh objek pegun.
  • Tembakan Toksik Plasma: Sama seperti Tembakan Plasma, tetapi Lahap menghasilkan projektil berbentuk sfera dalam kuantiti yang banyak dan juga boleh meletup apabila menyentuh objek pegun.
  • Tembakan Tenaga: Selepas memakan sebekas toksik, Lahap melepaskan sedas tembakan berbentuk tenaga.
  • Serangan Plasma Toksik: Serangan yang sama dengan Tembakan Toksik Plasma, tetapi lebih kuat sehingga dapat memecahkan besi-besi lantai kapal angkasa.
  • Penyerapan Material: Merupakan kuasa tahap kedua bagi Lahap yang membolehkan dia menukar struktur badannya kepada struktur bahan yang lain bergantung kepada objek yang dimakannya.
    • Kuasa Serapan Besi: Dengan memakan serpihan besi-besi kapal angkasanya, dia boleh menukarkan struktur badannya menjadi objek besi.

Rupa

Lahap adalah alien ungu dengan mata kuning dan lengan panjang. Dia juga mempunyai dua tanduk pada setiap sisi kepala dan seluar hitam dengan garis kuning. Lahap juga mempunyai mulut dan lidah yang besar. Kakinya juga besar.

Perwatakan

Lahap adalah seorang anggota TAPOPS berpangkat leftenan dan merupakan orang kanan kepada Kapten Kaizo. Apabila mendapat tahu bahawa Ochobot ada bersama BoBoiBoy dan kawan-kawan, dia bersama dengan Kapten Kaizo terus ke Bumi untuk menguji kekuatan BoBoiBoy. Leftenan Lahap mempunyai ketahanan semula jadi terhadap sisa toksik dan racun. Disebabkan itu, dia boleh memakan sisa-sisa toksik dan juga biskut Yaya.

Walaupun rupanya agak menggerunkan, tetapi dia seorang yang baik dan setia kepada Kapten Kaizo dan juga TAPOPS.

Trivia

  • Nama Lahap merupakan kata seerti untuk perkataan "makan", sesuai dengan sifatnya yang boleh "makan apa sahaja".
  • Disebabkan Fang seorang yang rajin mengemas dan pembersih, Lahap terpaksa memberus giginya setiap hari.
  • Lahap merupakan watak kedua yang tidak pengsan selepas memakan biskut Yaya, malah dia menyukai biskut Yaya. Watak yang pertama ialah Probe dalam Musim 1, Episod 4.
    • Namun, Lahap juga mungkin boleh pengsan setelah memakan biskut Yaya kerana pada awalnya biskut Yaya memberikan tenaga yang lebih banyak kepada Lahap dan menyebabkan dia menjadi sukar untuk mengawal pergerakan dan serangannya.
  • Apabila tidak menjalankan misi, Lahap menjadi pelatih kelas memandu untuk anggota-anggota TAPOPS.[1]
  • Lahap berasal dari sebuah planet bertoksik yang tidak diketahui namanya.
  • Lahap tinggal di Stesen Angkasa TAPOPS dan kapal angkasa Kapten Kaizo.
  • Lagu kegemaran Lahap ialah lagu-lagu Bollywood dan warna kegemarannya ialah ungu.
  • Sifat fizikal Lahap boleh berubah mengikut benda yang dimakannya. Kalau dia makan benda keras, badannya akan menjadi keras. Kalau dia makan benda lembut, dia akan menjadi lembut dan lemah.

Galeri

Kategori utama: Gambar Lahap

Gambar promosi

Cekupan skrin

BoBoiBoy
BoBoiBoy Galaxy

Rujukan

Advertisement