BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Jo Bot adalah seorang watak yang muncul dalam siri BoBoiBoy Galaxy Musim 2.

Sejarah[]

Jo Bot bekerja di Kilang Nubot Planet Machina sebagai pelayan kaunter khidmat pelanggan. Dia dan rakan-rakan sekerjanya yang robot-robot belaka ternyah aktif akibat insiden gangguan bekalan tenaga yang juga menyebabkan kebangkitan entiti pemakan robot yang digelar Rosaksa.

Seminggu kemudian, Jo Bot diaktifkan semula oleh Gopal yang ditemani oleh BoBoiBoy dan Qually dalam misi menyiasat. Mula-mula, dia hanya cuba mempromosikan barang-barang keluaran kilang kepada mereka. Qually mendapat idea dengan berpura-pura menjadi pelanggan dan memohon untuk dipasang lampu supaya boleh meninjau produk-produk Nubot, jadi Jo Bot membawa mereka ke bilik jana kuasa kilang untuk memulihkan bekalan tenaga. Selepas itu, Jo Bot bertembung dengan Rosaksa dan ditelan olehnya, malah dijadikan "kepala" raksasa itu. BoBoiBoy Gempa dengan bantuan Gopal menyelamatkan Jo Bot dari jasad Rosaksa dalam usaha membendung raksasa itu, tetapi Jo Bot sudah kehilangan kakinya dan terpaksa bertaut pada Gopal sepanjang misi mereka. Pada ketika inilah Jo Bot juga bertemu dengan Adu Du.

Jo Bot membawa kumpulan BoBoiBoy ke bilik kawalan keselamatan untuk berjumpa dengan robot pengawal X-99 setelah mendengar keluhan Qually akan kekurangan senjata yang sesuai; di situ juga mereka membaiki sistem kamera dan melanjutkan siasatan. Rosaksa sekali lagi datang mengancam mereka dan menelan robot-robot pengawal. Terdengar Rosaksa menyebut selesainya integrasi mangsanya dengan "CodeBot", maka Jo Bot memerihalkan CodeBot dan pekerjaannya kepada mereka. Keadaan bertambah genting apabila Rosaksa menangkap Ochobot, maka atas permintaan Qually, Jo Bot membawa kumpulan BoBoiBoy ke bilik reaktor di mana mereka menggunakan reaktor dan bateri-bateri yang disimpan untuk memerangkap Rosaksa. Ketika ini, Jo Bot berpaut pada Adu Du kerana Gopal menolong Qually memasang perangkap. Malangnya, cubaan memerangkap gagal dan Rosaksa melarikan diri ke luar kilang, maka kumpulan BoBoiBoy pergi mengejarnya dan Jo Bot pun ditinggalkan di kilang.

Setelah Rosaksa akhirnya ditumpaskan dan mangsa-mangsanya diselamatkan, CodeBot dan robot-robot pekerja lain bertemu semula dengan Jo Bot di kilang, dan Jo Bot pun diberi roda kaki baharu.

Rupa dan perwatakan[]

Jo Bot adalah sebuah robot yang berbadan serba putih. Kepalanya berbentuk jambu atau pear, matanya berbentuk skrin hitam dengan anak mata kuning hijau. Dadanya berbentuk segi tiga terbalik dan mempunyai corak seperti tali leher kupu-kupu, weskot dan tali pengikat baju monyet. Lengannya berbentuk tiub logam dengan tangan seakan ragum berjari dua, dan kakinya pula terdiri daripada sepasang roda yang dilitupi madgad.

Jo Bot tampil dengan perwatakan yang lurus, ceria dan mesra, barangkali kerana diprogramkan sedemikian untuk bertumpu pada tugasnya sebagai pegawai khidmat pelanggan. Dia mematuhi arahan dan menunaikan permintaan yang didengarkan sebaik-baiknya mengikut tafsiran sendiri malah sentiasa tenang walaupun berhadapan dengan bahaya.

Advertisement