BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

Pertarungan Demi Windara merupakan episod kedua-belas dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod keenam dan terakhir dalam BoBoiBoy Galaxy Windara. Ia disiarkan di YouTube Monsta dan Netflix pada 6 Julai 2024, dan kemudian di TV9 pada 7 Julai 2024.

Ringkasan[]

BoBoiBoy bertembung dengan musuh baharu yang menakutkan apabila Reramos bertukar menjadi makhluk yang menyerupai labah-labah gergasi. Untuk mengalahkannya, BoBoiBoy perlu mengeluarkan kuasa yang lebih hebat daripada apa yang pernah digunakannya sebelum ini.

Plot[]

Dengan BoBoiBoy dan rakan-rakannya serta Kuputeri dan Maripos dalam tawanan, Maharaja Reramos telah menggunakan kuasa CocoonBot untuk bermetamorfosis menjadi raksasa kacukan rama-rama dan labah-labah. BoBoiBoy Duri menggunakan Akar Berduri untuk melepaskan diri daripada sesawangnya, kemudian bergayut-gayut untuk berlari daripada dikejar Reramos. Gopal dan Fang cuba melepaskan diri, dan Yaya dan Ying mencadangkan Gopal menukarkan sesawangnya menjadi makanan. Akan tetapi, Gopal terganggu oleh kejaran Reramos dan tidak sengaja menukarkan sesawangnya menjadi gula-gula getah, menyebabkan mereka berdua tidak dapat melepaskan diri.

Daun terkejar lintang-pukang sehingga sedar tak sedar dia berjalan melekat pada dinding, membuat dirinya berasa seronok; Gopal mengatakan ini adalah kerana Daun memakai baju perisai jenis semut. Namun begitu, Reramos mengambil kesempatan atas kelekaan Daun dan pergi menerpanya sehingga dia jatuh ke lantai dan bertukar kembali ke BoBoiBoy normal.

Kuputeri berusaha memulihkan Maripos supaya dia dapat menolong BoBoiBoy. Karumbang menggesa Kuputeri untuk melupakan BoBoiBoy dan menyelamatkan diri, tetapi Kuputeri enggan. Karumbang menjelaskan bahawa Reramos mahu menyedut nyawa Kuputeri untuk dirinya. Reramos rimas mendengar Karumbang membocorkan rahsianya dan bertindak menerkam Kuputeri, tetapi sempat dihalang oleh Karumbang yang memakan tikaman penzalim itu. Malah, Karumbang sempat menitiskan air mata sambil memohon ampun daripada Kuputeri atas perbuatannya di bawah pengaruh Reramos. Reramos sempat merakam jasa Karumbang lalu menyedut nyawanya di hadapan semua pahlawan lain, malah Yaya mendapati kecederaan Reramos pulih daripada melakukan perbuatan kejam itu.

Setelah puas menyedut nyawa, Reramos mencampak jasad Karumbang. Kuputeri sebak dan cuba memulihkan semula jeneral itu tetapi tidak berhasil. Reramos bersedia untuk menamatkan nyawa Kuputeri, tetapi disergah oleh BoBoiBoy yang bangun dari jatuh. Reramos menjatuhkan alang-alang balairung sehingga seakan-akan tertimpa BoBoiBoy dan mengutuknya sebagai lemah seperti semut. Namun begitu, BoBoiBoy sempat berpecah jadi tujuh dan bersama-sama mempamerkan kekuatan kerjasama dengan mencampak alang-alang ke arah Reramos. Sementara Reramos memangkas alang-alang itu, ketujuh-tujuh BoBoiBoy pun mula melakukan serangan.

Mula-mula, Daun mengenakan Jaring Berduri ke atas muka Reramos sehingga mengganggu penglihatannya. Kemudian, Gempa membentuk Cengkaman Gempa untuk mengekang Reramos dari bawah, disusuli Blaze dan Ais melakukan Semburan Api dan Ais secara serentak ke atas musuh gergasi itu, dibantu oleh Taufan yang meniupkan Semarak Taufan dan Halilintar yang melayangkan Pedang Halilintar. Serangan beramai-ramai ini cukup menyeksa, namun Reramos belum luntur semangat. Solar tampil untuk menamatkan Reramos dengan Tembakan Solar, tetapi belum sempat serangan dilepaskan, Reramos melepaskan diri dari kekangan, menyebabkan ketujuh-tujuh BoBoiBoy tercampak dan Tembakan Solar pun melayang dan merosakkan istana.

BoBoiBoy bercantum semula dalam keadaan tersungkur, ditertawakan oleh Reramos kerana Penguasa Elemental seakan-akan gagal menyaingi kuasanya. Sebelum menghabiskan BoBoiBoy, Reramos beralih kepada kawan-kawannya yang masih terperangkap dalam sesawang untuk dijadikan santapan. Dia memilih Gopal sebagai pembuka selera, tetapi Gopal memujuknya supaya jangan atas alasan dirinya banyak lemak dan tinggi kolesterol, sebaliknya memakan Fang. Fang menempelak Gopal kerana mereka berdua akan dimakan sekali gus gara-gara berkongsi baju perisai. Gopal memujuk Reramos untuk makan Yaya dan Ying dahulu, membuat kedua-dua gadis itu geram.

Kuputeri pergi memulihkan BoBoiBoy, dan BoBoiBoy pun meminta Kuputeri menuntut semula kuasa Beliung. Kuputeri menolak atas sebab proses peralihan kuasa menelan masa yang lama, oleh itu hanya BoBoiBoy yang mampu mengalahkan Reramos. BoBoiBoy teragak-agak untuk berlawan lagi, maka Kuputeri melafazkan kata nasihat: "perjalanan seorang Penguasa Elemental akan sentiasa bergolak, penuh dengan cabaran dan rintangan ... tetapi walau sesusah mana sekalipun perjalanan itu, kamu tetap perlu mengharunginya," lantas menolak BoBoiBoy ke dalam taufan pelindung istana.

Perbuatan Kuputeri menyebabkan kawan-kawannya terkilan sementara Reramos pun menanggap Kuputeri hilang pertimbangan. Gopal menyangka Reramos masih mengawal minda Kuputeri, tetapi Fang mengingatkan bahawa kuasa LampoBot sudah tiada. Yaya dan Ying menyedari bahawa Kuputeri sedang menggunakan kuasa telepati. BoBoiBoy yang terlayang dalam taufan menerima pesanan telepati daripada Kuputeri dan diminta untuk bertenang dan membiarkan angin membawanya ke mata beliung untuk menemui kuasa yang terselindung. BoBoiBoy meminta maaf kerana tidak sempat menyerahkan semula kuasa Beliung dan masih ragu-ragu untuk mengalahkan Reramos walaupun memiliki kuasa tersebut. Maka pesan Kuputeri, "Satu pesanan kecil cukup untuk merubah segalanya." Maka BoBoiBoy cuba menghayati pesan Kuputeri itu...

Reramos telah memilih Gopal dan Fang sebagai pembuka selera, tetapi diganggu oleh silauan cahaya dari luar. Pada ketika inilah BoBoiBoy telah merungkai Kuasa Elemental tahap ketiga yang pertamanya dan bertukar menjadi BoBoiBoy Beliung, lengkap dengan pakaian dan topi baharu yang serba putih, biru dan emas, dilengkapi Hoverboard yang berbentuk kupu-kupu. Beliung menyapa "Mas Reramos", menyebabkan penzalim itu berasa murka kerana dihina, mencampakkan santapannya dan lantang menuntut untuk digelar "Tuanku Maharaja Reramos."

Maka bermulalah pertarungan kemuncak di mana Reramos meludah-ludahkan sesawangnya ke arah Beliung, namun Beliung mengelak setiap satu dengan pantas. Kemudian, Reramos cuba menikam BoBoiBoy dengan kaki labah-labahnya yang berkuku, namun Beliung terlepas dengan berpecah menjadi kerumunan kupu-kupu, kemudian dia bercantum semula untuk mengalihkan Reramos keluar dari istana. Maripos mengambil kesempatan untuk melepaskan kawan-kawan BoBoiBoy dari sesawang. Gopal mengatakan bahawa kuasa Beliung sama dengan Maripos, maka Maripos menggelar Beliung sebagai peniru.

Ketangkasan Beliung membuat Reramos lintang-pukang mengejarnya di luar istana, malah serangan demi serangannya tidak mengena. Beliung menukar Hoverboardnya menjadi senjata Kepak Beliung dan melakukan libasan kencang yang berdaya mengasak Reramos. Reramos sekali lagi meludahkan sesawang tetapi sekali lagi satu pun tidak mengena Beliung. Beliung menggunakan Kepak Beliung itu untuk memukul Reramos sehingga terhempas ke atas bumbung istana dan mentertawakannya kerana seorang maharaja tidak mampu mengalahkan seorang budak.

Reramos bangun dari runtuhan dan mengecam Beliung sebagai biadab, jadi Beliung pun melucutkan topinya dan tertawa terkekeh-kekeh kerana geli hati dan mengutuk balik Reramos atas kezalimannya terhadap rakyat Windara. Reramos cuba menyerang lagi tetapi ditepis dengan mudah dengan Kepak Beliung. Beliung membalas dengan serangan yang lebih hebat iaitu Pusaran Vortex yang menggerudi perut Reramos, disaksikan oleh Kuputeri yang bersemangat mengutuk pengkhianatan bekas penasihatnya itu. Untuk mengakhiri pertarungan, Beliung menggunakan Kepak Beliung untuk menetak muka Reramos, tetapi itu tidak cukup memuaskan hatinya, jadi dia pun memukul dan menendang Reramos ke sana-sini sehingga Reramos pun tercampak keluar dari perkarangan istana.

Kemenangan BoBoiBoy diraikan oleh kawan-kawan dan sekutunya, tetapi keraian itu bertukar menjadi kerisauan memandangkan BoBoiBoy Beliung masih terkekeh-kekeh sambil melayang tak tentu arah seolah-olah dia tidak puas berlawan sehingga terus merosakkan istana, maka Yaya menggunakan Apungan Graviti untuk menahan runtuhan. Kuputeri menunjukkan bahawa BoBoiBoy hilang kawalan kuasa Beliung dan cuba mengawalnya dengan telepati. Kuputeri dapat merasakan BoBoiBoy meminta tolong dari lubuk hati dan berpesan bahawa BoBoiBoy sendiri "mengawal kuasa itu, bukan sebaliknya" dan memintanya untuk melepaskan kuasa itu sambil memulangkan topinya. Dengan itu, BoBoiBoy Beliung bertempik memendamkan kuasanya dan bertukar semula kepada asal dan gugur dari langit. Fang segera menyambut BoBoiBoy dengan Jaring Bayang.

Beberapa ketika kemudian, seluruh warga Windara meraikan kemenangan ke atas Reramos dengan berpesta di Kepaku Park. Di tengah keraian ini, BoBoiBoy meminta Kuputeri menuntut semula kuasa Beliung, tetapi Kuputeri menolak kerana dia hendak menumpukan perhatian kepada pembangunan semula planetnya. BoBoiBoy akur tetapi masih berasa tidak yakin untuk menguasai kuasa Beliung, maka Kuputeri berpesan bahawa dia perlu meluangkan masa untuk berusaha mengawal sebarang kuasa baharu, malah dia merelakan BoBoiBoy untuk menyimpan kuasa Beliung dengan satu syarat, iaitu dia perlu datang untuk menghulurkan bantuan sekiranya Windara diancam lagi.

Pada masa yang sama, Yaya, Ying dan Gopal menaiki Keretapillar bersama Tok Liam, lebih-lebih lagi Gopal yang meronta-ronta gara-gara dipaksakan oleh Fang. BoBoiBoy tercuit hati melihat gelagat mereka dan mengucapkan "Terbaik!"

Sementara itu, Adu Du dan Probe sambil penat mengangkut peti baju perisai yang dicuri dari Istana Kupuri telah pun tiba di Kilang NuBot.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

  • Dalam versi komik, BoBoiBoy tidak berpecah menjadi tujuh.
  • Seluruh babak pertarungan BoBoiBoy Beliung berbeza dalam versi komik. Dia mendapat lebih sedikit masa skrin berbanding dengan versi animasi. Reka bentuk wataknya juga berbeza.
  • Dalam versi komik, Beliung tidak mempunyai senjata.
    • Kuasa dan kebolehannya juga dalam julat yang lebih luas berbanding dengan versi komik. Dalam versi komik, dia hanya menggunakan pusaran.

Watak[]

Trivia[]

  • Video YouTube episod ini, yang dimuat naik di YouTube pada 6 Julai, mencapai 9.4 juta tontonan dalam masa 2 hari.
  • Ini merupakan kali keenam yang menampakkan kematian/dimusnahkan dalam siri animasi, pertama ialah Musim 2, Episod 12 (Probe), kedua ialah Musim 2, Episod 13 (Robot Perisai Tempur Angkasa I), ketiga ialah Musim 3, Episod 20 (BoBoiBot), keempat ialah BoBoiBoy: The Movie (Klamkabot), kelima ialah Galaxy Episod 18 (A.B.A.M.).
    • Secara kebetulan, episod ini ada kesamaan seperti Musim 2, Episod 12 di mana episod ini secara teknikal ialah BoBoiBoy Galaxy Musim 2, Episod 12 dan sama sama ada unsur kematian.

Galeri[]

Video[]

Advertisement