BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

Kesatria Windara merupakan episod kesebelas dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod kelima dalam BoBoiBoy Galaxy Windara. Ia disiarkan di YouTube Monsta dan Netflix pada 29 Jun 2024, dan kemudian di TV9 pada 30 Jun 2024.

Ringkasan[]

BoBoiBoy dan Maripos telah terperangkap dalam cengkaman Reramos, dan rancangan jahat maharaja yang kejam itu untuk menguasai minda penduduk planet #Windara menggunakan kuasa Kuputeri kini di ambang kejayaan. Adakah kawan-kawan BoBoiBoy akan berjaya menyelamatkan mereka sebelum semuanya terlambat?

Plot[]

Gopal dan Fang sambil menahan bekalan perisai yang dibawa menunggang Cicak Bayang yang berpaut pada kapal angkasa Kuputeri dengan lidahnya, sementara Yaya dan Ying berusaha menyelamatkan kapal daripada tembakan armada angkatan Maharaja Reramos. Gopal terpaksa menahan busuk dengan berlindung dalam pintu sampah kapal, kemudian dari situ dia bertindak menjatuhkan kapal-kapal musuh yang berbentuk lalat itu dengan Tukaran Makanan Besi. Yaya tersalah tekan-tekan butang menyebabkan Fang bertepek pada cermin hadapan kapal, namun Fang mengambil kesempatan untuk mengajar Yaya dan Ying untuk memandu kapal dengan betul. Setelah kapal terselamat dan semua kapal musuh dijatuhkan, Fang meluluskan Yaya dan Ying sebagai jurupandu kapal.

Di dalam Istana Kupuri, Jeneral Karumbang mencengkam dan mencampak Maripos jauh-jauh tanpa mengendahkan pujukannya untuk sedar semula daripada kawalan minda oleh Reramos melalui Power Sphera LampoBot. Karumbang kemudian diarahkan oleh Reramos untuk mengerjakan BoBoiBoy kerana mengingkari titah untuk pulang ke Bumi. Kuputeri yang terkekang dalam sawang menggesa Reramos untuk berhenti, namun Reramos hanya sudi jika diperkenankan untuk menggunakan kuasa telepati tawanannya. BoBoiBoy lantang membantah, dan oleh itu dibalas dengan lontaran lampu hias balairung oleh Karumbang.

Yaya dan Ying tiba tepat pada masanya, dengan Tumbukan Padu memecahkan pintu balairung dan Kuasa Slow-Mo untuk memperlahankan lontaran tersebut, disusuli Fang yang menggunakan Tangan-Tangan Bayang, dipercepat oleh Kelajuan Tinggi Ying, untuk memakaikan baju perisai pada BoBoiBoy. Dengan itu, BoBoiBoy yang baru diperkuat dengan baju perisai bertema semut, sempat menangkap dan melontar balik lampu itu ke tepi takhta Reramos. Yaya dan Ying pun sudah siap memakai baju perisai masing-masing yang bertema kumbang kura-kura dan tebuan, manakala Fang tampil dengan baju perisai besar bertema kumbang badak dan berjaya merempuh Karumbang yang datang melanggar.

BoBoiBoy hairan melihat baju perisai Fang yang aneh, manakala Muskida terkilan kerana musuhnya telah memperoleh baju perisai kesateria Windara. Fang menjelaskan bahawa dia memasuki bilik perisai dengan kunci pemberian Tok Liam dan sepatutnya menemui lima peranggu baju perisai. Gopal menjulurkan kepalanya dari dada baju perisai Fang, menambah bahawa mereka hanya terjumpa empat, dan oleh itu terpaksa berkongsi baju dengan Fang. Reramos tidak gentar dengan kelengkapan baharu wira berlima dan mengarahkan Kelkatoa menyerang mereka.

Apabila Kelkatoa merayap turun dari dinding balairung dan mula mengepung dari sekeliling, BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Taufan dan mempersiapkan pasukannya untuk bertempur. Yaya menggunakan Perisai Graviti untuk memelantingkan sekumpulan Kelkatoa yang menghampirinya sekali gus. Kemudian, Ying melonjak dari tatangan Yaya dan menjatuhkan satu demi satu Kelkatoa dengan Tendangan Penyengat. Sementara itu, Gopal belum mengatasi masalah kegeliannya dengan Kelkatoa dan bertindak melarikan diri daripada menghadapi musuh, maka Fang rimas dan mengeluarkan Lembing Bayang untuk menepis Kelkatoa yang mengejar. Taufan mara ke arah takhta dengan menundukkan semua Kelkatoa yang menghalang dengan Tetakan Taufan.

Reramos mula berasa tergugat dan menyerahkan cokmar LampoBot kepada Muskida untuk menyedut lebih banyak tenaga daripada Kuputeri, lantas mengarahkan satu lagi Power Sphera di sampingnya, CocoonBot untuk mengenakan kepompong pada dirinya. Maripos yang tersungkur sejak sebelum pertempuran, bangun semula dan menyeru Taufan untuk menyelamatkan Kuputeri. Yaya dan Ying membantu dengan membuka laluan Taufan dan Maripos ke tempat Kuputeri. Sementara itu, Fang mencari akal dengan memperdaya Gopal akan kedudukan kelekatu dan lipas supaya dapat melanggar Kelkatoa dengan larian Gopal. Helah itu ternyata berkesan sehingga mereka bertembung dengan Karumbang. Mujur Gopal tidak geli dengan kumbang, malah terlepas daripada ayunan serampang Karumbang.

Apabila Taufan dan Maripos semakin hampir dengan Kuputeri, Sibella dan Cikala terjun dari lampu gantungan di atas untuk menghalang mereka. Cikala melakukan Jeritan Supersonik, tetapi sempat dihambat oleh Yaya dengan Perisai Graviti. Ying dan Maripos berlanggaran dengan Sibella sementara Taufan melibaskan pedangnya ke arah Cikala. Yaya membantu Ying mengatasi Sibella dengan memusingkan perisainya di keliling Ying dengan Manipulasi Graviti. Cikala menjerit sekali lagi ke arah Taufan, sekali lagi disekat oleh perisai Yaya dan kali ini disudahkan oleh Ying yang menerajang perisai itu sehingga menolak Cikala keluar dari tingkap istana. Taufan bersambung menuju ke arah Kuputeri sementara Yaya dan Ying menguruskan Sibella. Ying mengenakan Kelajuan Tinggi pada Yaya supaya mereka berdua dapat menarung Sibella dengan selaju-lajunya.

Maripos mendapati Muskida telah membawa Kuputeri naik di atas lampu hias, maka Taufan beralih kuasa kepada BoBoiBoy Duri dan menggunakan pedangnya yang bertukar menjadi akar menjalar untuk bergayut ke atas. Melihat Duri dan Maripos mencapai paras alang balairung dan menjatuhkan semua Kelkatoa yang menghalang, Muskida pun menaikkan lagi pelantar yang dinaikinya. Gopal menukarkan serampang Karumbang menjadi sate ayam, menyebabkan Karumbang membalas dengan melontarkan Gopal dan Fang jauh-jauh. Duri cemas terlihat nasib kawan-kawannya dikasari Karumbang, maka Maripos memintanya untuk turun membantu sementara dia sendiri pergi menyelamatkan Kuputeri.

Yaya dan Ying semakin letih setelah cukup lama melawan Sibella yang masih terlalu laju. Ying mencari akal dan mengenakan Kelajuan Tinggi hanya pada Yaya seorang agar Yaya dapat melawan Sibella dengan lebih pantas daripada tadi. Daripada memecut-mecut sambil berlanggaran ke sana-sini, hingganya Sibella bertindak meninju-ninju lawannya dengan amat laju, namun Yaya mengelak satu demi satu tumbukan itu tanpa kecuali lantas membalas dengan satu terajangan kencang yang menjatuhkan lawannya ke lantai. Yaya kemudian menghasilkan Tinju Graviti untuk memecahkan lantai balairung, kemudian Ying melakukan Tendangan Sisi Laju ke atas setiap serpihan lantai untuk menimbusi Sibella. Pertarungan ini disudahi dengan "Serangan Kombo Y & Y" yang mana Yaya melanggar Sibella dengan Tolakan Graviti, didorong oleh Kelajuan Supersonik Ying, lantas mereka berdua bergilir-gilir menerajang Sibella hingga ke lelangit istana.

Daun berpaut pada baju perisai Gopal dan Fang yang dikejar oleh Karumbang, malah mencambuk lagi dengan Duri Menjalarnya supaya lebih laju. Apabila menghampiri pintu keluar balairung, Fang mengeluarkan Kepak Kumbang Bayang untuk melayang dan Karumbang pun terlanggar pintu itu. Daun turun dan mencambuk punggung Karumbang yang tersepit dalam pintu. Karumbang kemudian melepaskan diri, maka Daun berlagak segan silu dan cuba menenangkan hatinya dengan menawarkan sekuntum bunga. Karumbang tetap meradang dan mengejar semula, jadi Ying membantu Daun dengan mengenakan Kuasa Slow-Mo untuk memperlahankan Karumbang.

Ying menyuruh Fang memegang tiang-tiang istana dengan Tangan Bayang. Fang teragak-agak, tetapi akhirnya akur setelah didesak oleh Gopal atas hujah "perempuan mana pernah salah?" Kemudian, Yaya mengarahkan Gopal untuk menukarkan Tangan Bayang itu menjadi gula-gula getah. Gopal pun teragak-agak tetapi akur setelah digesa oleh Fang dan Daun atas hujah yang sama tadi. Daun hairan melihat kuasa bayang Fang boleh ditukar menjadi makanan. Yaya melakukan Apungan Graviti untuk mengangkat Fang dan Gopal. Daun mengerti bahawa Fang dan Gopal dijadikan batu lastik untuk menembak Karumbang dan oleh itu bertindak membantu bidikan seperti marsyal udara. Setelah membidik, Yaya melakukan Lepasan Graviti, Ying mengenakan Kelajuan Supersonik, dan Daun selaku "pramugara" membimbing Fang dan Gopal untuk menyorok dalam baju perisai sehingga mereka menghempas Karumbang. Dengan itu, Karumbang kalah dan kawalan mindanya pun terlerai.

Tiba-tiba BoBoiBoy dan kawan-kawan dilanda oleh gelombang kuat yang mengganggu minda, berpunca daripada Muskida yang sudah menyedut kuasa telepati Kuputeri dengan LampoBot dan bersiap untuk mengawal minda seluruh penduduk Windara untuk tunduk kepada Reramos. Maripos naik darah dan bertindak mengasari Muskida, lantas mencampakkan cokmar LampoBot dan Muskida ke luar istana.

Kuputeri terlepas dari sawang kekangannya dalam keadaan kurang bermaya dan melafazkan terima kasih atas jasa Maripos dan wira berlima. Karumbang dalam keadaan pulih ingatan menggesa Kuputeri untuk melarikan diri. Gopal hairan mengapa disuruh berlari walaupun sudah menang. Tiba-tiba, wira berlima ditimpa oleh bahan melekit dari lelangit yang serupa dengan sawang yang mengekang Kuputeri dahulu, malah mereka sukar melepaskan diri walaupun dengan menggunakan kuasa. Rupa-rupanya bahan itu datang daripada Reramos yang sudah selesai berkepompong dan bertukar menjadi raksasa campuran rama-rama dan labah-labah!

Perbezaan dengan Versi Komik[]

  • Gopal dan Fang tidak berkongsi baju perisai yang sama dalam versi komik.
  • CocoonBot tidak muncul dalam versi komik.
  • Babak pertempuran agak berbeza dalam versi komik.
  • Dalam versi komik, Reramos melepaskan Karantular sebagai pilihan terakhir terhadap geng BoBoiBoy. Dalam versi animasi, dia sendiri bertukar menjadi binatang buas seperti labah-labah.

Watak[]

Galeri[]

Video[]

Advertisement