BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

Istana Kupuri merupakan episod kesepuluh dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod keempat dalam BoBoiBoy Galaxy Windara. Ia disiarkan di YouTube Monsta dan Netflix pada 22 Jun 2024, dan kemudian di TV9 pada 23 Jun 2024.

Ringkasan[]

Masa semakin suntuk bagi Planet Windara, kerana Reramos telah merancang untuk menggunakan kuasa Kuputeri bagi mengawal minda penduduk planet tersebut. Dengan bantuan Maripos, BoBoiBoy dan rakan-rakannya perlu menyelinap ke dalam Istana Kupuri untuk menyelamatkan Kuputeri sekaligus menghentikan rancangan jahat Reramos.[1]

Plot[]

Kuputeri telah ditangkap dan dibelenggu di dalam penjara Istana Kupuri atas arahan Maharaja Reramos. Reramos berangkat ke mari untuk memperlihatkan wibawanya selaku pemerintah Windara kepada tahanannya, namun Kuputeri tetap ingkar. Pada masa yang sama, Istana Kupuri didatangi tetamu tidak diundang iaitu Adu Du dan Probe yang hendak menuju ke Kilang NuBot tetapi tersilap sampai di dalam sebuah bilik yang gelap di dalam istana tersebut.

BoBoiBoy dan kawan-kawan berkumpul bersama Maripos dan kanak-kanak Kepaku di keliling unggun api. Gopal mengambil kesempatan menghiburkan kanak-kanak Kepaku dengan melakukan Tukaran Makanan pada cucuk-cucuk mereka menjadi makanan Bumi. Kanak-kanak Kepaku terpesona dan menghajatkan kuasa sedemikian untuk mengalami masalah kebuluran mereka. Yaya dan Ying juga kagum melihat kanak-kanak itu masih bergembira walaupun dalam kesusahan.

BoBoiBoy berazam untuk menyelamatkan mereka dari cengkaman Reramos dan akur dengan gesaan Maripos untuk menyerahkan kembali kuasa Beliung kepada Kuputeri. BoBoiBoy bertanya ke mana Reramos membawa Kuputeri, maka Maripos menelunjuk ke arah Istana Kupuri. Maripos juga mengiakan sangkaan Yaya bahawa istana itu terletak di atas gunung dan menceritakan sejarah ia dirampas oleh Reramos.

Fang meneropongi lokasi Kupuri dan memberitahu BoBoiBoy bahawa ia dikelilingi oleh ribut taufan, jadi BoBoiBoy bertanya bagaimana untuk masuk ke situ. Maripos menjelaskan bahawa terdapat laluan khas untuk merentasi ribut itu tetapi ia dikawal ketat oleh kapal-kapal tentera Kelkatoa. Yaya dan Ying bercadang untuk memandu kapal angkasa Kuputeri ke situ, tetapi dibantah keras oleh BoBoiBoy, Gopal, Fang dan Maripos. Datangnya Tok Liam untuk menyerahkan sebatang anak kunci kepada Fang untuk mencapai bilik perisai Istana Kupuri sebelum mereka bergerak. Tok Liam menjelaskan bahawa keluarganya adalah bekas penjaga bilik perisai tersebut, malah bilik itu tidak pernah dibuka lagi semenjak istana ditawan.

Di dalam penjara istana, Reramos menyeksa Kuputeri dengan menyerap tenaganya dengan Cokmar Cahaya sambil mendesaknya untuk mengaku kalah demi keamanan Windara. Kuputeri tetap berkeras enggan tunduk kepada bekas penasihatnya, namun Reramos ketawa terkekeh-kekeh, sabar menanti saat tunduknya bekas ratunya. Muskida datang terhegeh-hegeh menghadap Reramos untuk melaporkan bahawa dirinya diserang oleh seorang "budak bertopi aneh" di Kepaku Park; Kuputeri mengecam budak itu sebagai BoBoiBoy. Reramos tidak berasa sedikit gentar pun dengan cabaran wira Bumi itu dan menyuruh Muskida menyeru Karumbang.

Kumpulan BoBoiBoy dan Maripos menaiki kapal angkasa yang dipandu oleh Fang dan memasuki perkarangan Istana Kupuri. Apabila dihubungi kapal Kelkatoa, Maripos melakukan Jurus Ilusi untuk menyamarkan semua anak kapal sebagai askar Kelkatoa dalam siaran video. Gopal berasa geli dan meniru bahasa Kelkatoa, tetapi didiamkan oleh BoBoiBoy. Dengan bantuan Ying memasang fungsi penterjemahan, Fang berbahasa seperti biasa dan melaporkan kemasukan bekalan senjata kepada Kelkatoa di hujung talian. Pintu laluan khas dibuka dan kapal Kuputeri masuk dengan selamat.

Kapal mendarat di landasan atas istana, dan Maripos menunjukkan lokasi bilik penjara dan bilik perisai yang terletak jauh bertentangan dengan satu sama lain. BoBoiBoy menugaskan dirinya dan Maripos untuk ke penjara untuk menyelamatkan Kuputeri, sementara Gopal dan Fang ke bilik perisai. Yaya dan Ying pula menunggu sedia dalam kapal dan melaporkan sebarang kejadian yang mencurigakan, malah diingatkan untuk tidak memandu kapal.

Gopal dan Fang menelusuri istana menuju bilik perisai, tetapi terpaksa berhadapan dengan askar Kelkatoa yang mengawal ketat sepanjang jalan. Gopal mahu berpatah balik, tetapi Fang menegah kerana mahu memanfaatkan anak kunci yang diberikan oleh Tok Liam. Fang mencipta Cicak Bayang untuk ditunggangi secara melekat pada siling untuk mengelak daripada dikesan, namun Gopal terpaksa menahan rasa geli dengan rupa salah satu binatang yang ditakutinya.

Pada masa yang sama, BoBoiBoy dan Fang dalam perjalanan menuju ke kawasan penjara. BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Duri dan menjerat Kelkatoa-Kelkatoa yang berjaga dengan akar menjalar, dibantu oleh Maripos dengan kemahiran bela diri dan tongkat kipasnya.

Gopal dan Fang selamat tiba di hadapan pintu perisai dan turun semula dari siling. Fang bersiap untuk memasukkan anak kunci ke dalam lubang pintu tanpa mengendahkan seruan Gopal agar Cicak Bayang ditarik balik dahulu. Gopal lintang-pukang menghindari cicak itu sehingga terlanggar Fang, menyebabkan anak kunci itu jatuh tercicir melalui celah bawah pintu. Anak kunci yang berpijar itu ditemui oleh Adu Du dan Probe di sebalik pintu, oleh itu mereka pun menyedari kehadiran kelengkapan perisai di situ.

Setelah bertengkar seketika menyalahkan satu sama lain, Fang bertindak menggunakan Tangan Bayang untuk mencari anak kunci dari celah pintu. Tangan Bayang meraba-raba lantai sehingga tersentuh Adu Du dan Probe, menyebabkan mereka menyangka hantu dan bertindak menghentak-hentak tangan itu dengan perisai-perisai yang dijumpai. Setelah menahan kesakitan, Fang berjaya mendapatkan semula kunci itu dan terus merungkai kunci bilik perisai. Apabila pintu dibuka, Adu Du sempat membaiki Jam Teleportasi dan melakukan Replikasi Teleportasi untuk melarikan diri, Probe dan sebuah peti perisai sebelum "hantu" masuk.

Di kapal angkasa, Yaya naik jemu dan ingin membawa kapal berpusing-pusing, tetapi Ying menegah dan bercadang untuk merisik perbualan Kelkatoa. Akan tetapi, Yaya tersalah tekan butang, menyebabkan kapal terapung dan menarik perhatian Kelkatoa yang mengawal di hadapan. Atas gesaan Ying, Yaya segera mematikan kapal dan memulihkan keadaan. Dari alat penerima suara kapal berkumandang suara Muskida berkata bahawa Reramos telah menyediakan kejutan untuk "tetamu khas", merisaukan Yaya dan Ying.

Setelah menghampiri sel penjara yang disangka tempat Kuputeri meringkuk, Maripos mengipaskan sepasang Kelkatoa yang berjaga di situ, kemudian Duri memberkas mereka dengan Ikatan Berduri. Apabila Maripos membuka pintu kurungan, BoBoiBoy dihubungi oleh Yaya dan Ying yang memberikan amaran tentang perangkap. Muskida yang menyamar dengan mantel Kuputeri itu menonjolkan diri untuk bersemuka dengan BoBoiBoy dan Maripos, dibantu oleh sesusuk pahlawan gergasi berperisai yang dicam oleh Maripos sebagai Jeneral Karumbang yang dahulunya panglima paling setia Kuputeri. Maripos cuba menyedarkan Karumbang, tetapi Muskida menegaskan bahawa Karumbang hanya mematuhi arahannya.

BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Gempa dan melakukan Tanah Pelindung untuk menyekat kemaraan Karumbang. Namun, Karumbang mudah memecahkan semua halangan dengan serampangnya sehingga tertolak Gempa dan Maripos ke hujung ruangan. Gempa mengelak lontaran serampang Karumbang dan melakukan Tumbukan Gempa untuk bertembung, namun Karumbang mengatasinya dengan menggocoh Gempa di bahagian perut dengan amat kencang sehingga dia tercampak ke siling, jatuh tersungkur dan bertukar balik. Maripos cuba menghentikan Karumbang dengan libasan kipasnya, namun Karumbang tidak sedikit pun terkesan dan terus melanggar dua lawannya sehingga pengsan.

Fang dan Gopal sekali lagi menunggang Cicak Bayang untuk merayapi siling kembali ke kapal, kali ini dibebani dua buah peti perisai yang diikat di kedua-dua rusuk tunggangan mereka. Malangnya, gelagat Cicak Bayang menjilat Gopal menyebabkan sekeping perisai tercicir, menyebabkan mereka terpaksa bertembung dengan Kelkatoa. Mujurlah pada ketika itu, Yaya dan Ying merempuh kawasan berkenaan dengan kapal angkasa yang dipandu dan melanggar Kelkatoa yang ada di situ. Ditegur kerana mengingkari larangan, Yaya dan Ying mengaku terpaksa kerana BoBoiBoy dan Maripos dalam bahaya.

BoBoiBoy dan Maripos kembali sedar dalam keadaan tersembam di balairung Istana Kupuri. Mereka dihadapkan dengan Maharaja Reramos yang bersemayam, diiringi oleh Sibella, Karumbang dan Muskida, bersama Kuputeri yang terkekang dalam sawang pengikat di sebelah takhta. Maripos mengutuk tindakan Reramos mengkhianati Kuputeri, kemudian disepak di bahagian punggung oleh Sibella untuk mendiamkannya. BoBoiBoy menyergah Reramos atas penindasannya terhadap Maripos dan mempersoalkan niatnya, maka Reramos pun membalas dengan meneka bahawa BoBoiBoy ingin menyimpan kuasa Beliung, malah dia sudi merelakan dengan syarat bahawa BoBoiBoy pulang ke Bumi dan tidak mencampuri urusan Windara.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

  • Daripada dibawa ke bilik tahkta Istana Kupuri dalam versi komik, Kuputeri telah dipenjarakan di penjara bawah tanah dalam versi komik.
  • Seperti dalam episod sebelumnya, Adu Du dan Probe muncul dalam versi animasi.
  • Reramos tidak menyiksakan Kuputeri dengan Cokmar Cahaya-nya kerana dia hanya mengawal salah seorang Kelkatoa didepannya dalam versi komik.
  • Keinginan Reramos untuk mengawal minda penduduk Planet Windara iaitu menggunakan kuasa Kuputeri dalam versi animasi manakala menggunakan Kristal Isyarat untuk menggandakan kuasa Cokmar Cahaya dalam versi komik.

Watak[]

Galeri[]

Video[]

Rujukan[]

Advertisement