BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

Terkandas merupakan episod kesembilan dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod ketiga dalam BoBoiBoy Galaxy Windara. Ia akan disiarkan di YouTube Monsta dan Netflix pada 15 Jun 2024, dan kemudian di TV9 pada 16 Jun 2024.

Ringkasan[]

BoBoiBoy telah terpisah daripada rakan-rakan serta Kuputeri dan Maripos. Kini terkandas bersama Fang, berusaha untuk cuba menghubungi rakan-rakan mereka. Dapatkah wira-wira Bumi ini bertemu semula setelah dipisahkan?[1]

Plot[]

Setelah melepaskan diri dari kejaran musuh dengan menaiki pod kecemasan, BoBoiBoy dan Fang terkandas di tengah-tengah suatu kawasan gurun dan sukar menghubungi kawan-kawan mereka yang terpisah. BoBoiBoy terkenang akan nasib mereka dalam pertarungan lepas di mana dia terlebih guna kuasanya sehingga terjadi dalam keadaan tidak bermaya, malah sebak menyalahkan dirinya kerana tidak segera menyerahkan kuasa Beliung kepada Kuputeri, maka Fang memujuknya untuk mengetepikan soal itu dan berikhtiar mencari jalan keluar. Tiba-tiba, mereka dilanda oleh ribut pasir.

Sementara itu di Bumi, Adu Du mendapat idea untuk menggantikan "mikrocop" yang rosak untuk Jam Teleportasinya dengan meminta Komputer mencarikannya kilang yang menghasilkan komponen tersebut. Komputer menyelongkar fail-fail yang tersimpan dalam markas dan menemui maklumat tentang NuBot Inc, kilang terakhir yang pernah menghasilkan mikrocop. Adu Du kembali gembira dan memakaikan semula mikrocop lama untuk melakukan satu lagi teleportasi dengan bantuan Komputer untuk menetapkan koordinat secara manual, walaupun Probe risau akan keselamatannya. Adu Du dan Probe menjalani teleportasi dengan selamat, tetapi tiba di tempat gelap yang tidak terjangka.

Di dalam bangkai kapal Kuputeri, Gopal mengejutkan Maripos dari pengsan dengan menamparnya berkali-kali, menyebabkan Yaya dan Ying berasa sebal. Setelah Maripos sedar semula, Yaya dan Ying menceritakan kepadanya kesan daripada pertarungan lepas, malah mereka menerbangkan kapal angkasa sehingga terhempas.

BoBoiBoy dan Fang berteduh dari ribut pasir di sebalik batuan. BoBoiBoy tidak sabar mahu mencari bantuan walaupun ditegah Fang kerana tenaganya belum pulih. Oleh itu, dia melakukan Pemecahan Elemental, tetapi dia hanya mampu mencapai kuasa tahap satu, iaitu BoBoiBoy Daun, BoBoiBoy Api dan BoBoiBoy Angin. Angin pergi mencari orang dengan menaiki Luncuran Angin, Daun mendirikan perkhemahan di sebalik batuan, sementara Api menemui punca air yang menitis dari batuan tersebut dan menggunakan bekas daun yang dibuat oleh Daun untuk menadah air tersebut. Fang dihubungi oleh Angin yang meminta mereka datang ke tempat selamat yang telah dijumpainya.

Fang memimpin Daun dan Api dalam perjalanan ke lokasi berkenaan sambil melayan kerenah mereka memanggilnya "Robert Tan" gara-gara kesan hilang ingatan. Setiba mereka mendaki kawasan bukit, mereka ditimpa jaring yang diturunkan oleh sekumpulan kanak-kanak yang mengawal kawasan itu, tetapi kemudian dilepaskan oleh ketua mereka, Papileon yang mengecam mereka sebagai "Ahmad Sobri".

Papileon membawa Daun, Api dan Fang ke taman hiburan Kepaku Park. Di situlah mereka berjumpa dengan "Ahmad Sobri" yang satu lagi, iaitu Angin yang leka menaiki cawan pusing-pusing. Papileon menegur Angin kerana memberikan deskripsi yang tidak tepat tentang orang-orang yang dicarinya: Fang bercermin mata dan berkepala botak, Daun berjanggut sehingga paras lutut, dan Api berseluar pendek dan berkaki ayam. Begitu kesal Daun, Api dan Fang dengan kelemahan Angin sehingga mereka menyuarakan bahawa kuasanya wajar dipulangkan kepada Kuputeri.

Fang bertanyakan ketiadaan orang dewasa, maka Papileon menceritakan bahawa Kepaku Park dahulu merupakan sebuah pusat "peranginan" terkemuka di Windara di mana "orang datang untuk makan angin", sebait lawak basi yang membuat Angin terbahak-bahak. Pada masa yang sama, munculnya seorang lelaki tua bernama Tok Liam datang menjenguk geng Papileon dan tetamunya. Fang berasa lega dengan kehadiran orang dewasa, tetapi orang tua itu mengaku bukan dewasa tetapi orang tua, membuat Angin terpaksa menahan gelak. Atas nasihat Fang, BoBoiBoy bergabung semula menjadi satu untuk bertegur sapa dengan Tok Liam, membuat Papileon berasa kagum.

BoBoiBoy menerangkan bahawa dia dan Fang dibawa ke Windara atas jemputan Kuputeri, jadi Tok Liam berasa gembira kerana penantiannya sudah berakhir. Fang bertambah bahawa mereka datang dengan menaiki pod kecemasan setelah diserang oleh Kelkatoa, maka budak-budak Kepaku naik cemas kerana didatangi orang buruan, walhal Tok Liam menawarkan perlindungan. BoBoiBoy bertanya apa yang telah menimpa Kepaku Park, maka Tok Liam membawa mereka menaiki roller-coaster yang dinamakan "Keretapillar" sambil bercerita. Fang naik gerun kerana terpaksa menaiki roller-coaster yang boleh berjalan tinggi-tinggi, apatah lagi yang sudah lama dan berkarat, tetapi dipujuk oleh BoBoiBoy kerana landasan tidak terlalu tinggi.

Sebaik sahaja Keretapillar bertolak, Tok Liam menceritakan bahawa Kepaku Park pernah dibangunkan oleh keluarganya sendiri di atas puncak gunung sebagai pusat peranginan, tetapi setelah Reramos mengambil alih, seluruh tempatnya habis ditukar menjadi kuari dan lombong demi menggali mineral yang berharga. Setelah Keretapillar mencapai paras tinggi, Papileon menunjukkan lokasi Kampung Kepaku, bekas tempat tinggalnya yang terbiar sepi setelah semua orang dewasa ditangkap dan diperhambakan di lombong, meninggalkan semua kanak-kanak di bawah jagaan Tok Liam. BoBoiBoy menyesali kesan kekejaman Reramos kepada kaum Tok Liam dan Papileon, tetapi Papileon tetap bersemangat kerana masih seronok hidup di sini, apatah lagi dengan kembalinya Tuanku Kuputeri. Perjalanan atas Keretapillar berakhir dengan pecutan berpusing-pusing, menyebabkan Fang cemas kerana terlewat memakai abah-abah keselamatan. Setelah kembali di tanah, Fang segera melepaskan muntah kerana mual, diperli oleh BoBoiBoy dengan "Terbaik."

Hadirnya kapal angkatan Kelkatoa di langit, maka Tok Liam menyuruh semua kanak-kanak pergi berlindung. Papileon membawa BoBoiBoy dan Fang bersembunyi di sebuah bangunan sementara Tok Liam pergi menyambut Muskida. Muskida menyuarakan hasrat Reramos untuk mencari lebih ramai pekerja lombong. Tok Liam mengeluh bahawa yang tinggal cuma kanak-kanak, namun Muskida bernafsu untuk menggunakan tenaga kerja kanak-kanak yang sihat dan bertenaga dan mengarahkan angkatan Kelkatoa menangkap Papileon dan kawan-kawannya.

Walaupun kekurangan tenaga, BoBoiBoy tidak sanggup menyaksikan sekutu baharunya ditindas dan keluar untuk mengecam Muskida, dibantu oleh Fang (yang keberatan membiarkan sahabatnya bertindak) dengan menjatuhkan seekor Kelkatoa dengan Tangan Bayangnya. BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Angin dan melontarkan Bebola Angin untuk menjatuhkan Kelkatoa. Papileon kagum melihat aksi Angin, turut menumbangkan Kelkatoa dan menyuruh ahli gengnya berpecah. Dia memimpin dua ekor Kelkatoa ke Kretapillar dan memerangkap mereka ke situ untuk dibawa melayang.

Muskida mengingatkan lawannya bahawa tentera Kelkatoa tiada tandingannya, tetapi Angin dan Fang mengingatkan balik bahawa mereka pernah menumpaskan rakan sekerjanya Cikala yang dianggap jauh lebih kuat daripada Muskida sendiri. Muskida terasa gertak dan mengarahkan saki-baki askar-askar Kelkatoa mengejar mereka. Oleh itu, Angin dan Fang mengumpan Kelkatoa ke mainan cawan pusing dan memerangkap mereka di situ, menyebabkan mereka terputar laju-laju sehingga pengsan. Muskida yang sudah rentan mengugut untuk melaporkan kejadian kepada Reramos. Angin tidak endah dengan ugutan Muskida itu dan meniupinya dengan serangan Pusaran Angin, dibantu oleh Fang dengan Pemukul Lalat Bayang yang melayangkan panglima itu jauh ke langit.

Setelah musuh diusir, Tok Liam berterima kasih kepada BoBoiBoy kerana melindungi kaumnya walaupun tiada pertalian dengan Windara. Akhirnya, BoBoiBoy dihubungi oleh Yaya, Ying dan Maripos yang meminta koordinat lokasinya untuk bertemu semula.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

  • Babak permulaan adalah berbeza dalam versi animasi dan komik. Versi animasi menampilkan BoBoiBoy dan Fang terkandas di kawasan pergunungan Windara manakala Yaya, Ying, Gopal dan Maripos berada di pangkalan rahsia kumpulan penentang.
  • Seperti daripada episod sebelumnya, Adu Du, Probe dan Komputer hanya muncul dalam versi animasi.
  • Kedudukan Yaya, Ying, Gopal dan Maripos selepas mereka tiba di Planet Windara telah berbeza dalam versi animasi dan komik. Mereka berada di tebing selepas Yaya dan Ying mendarat di sini secara tidak sengaja dalam versi animasi manakala di pangkalan rahsia kumpulan penentang dalam versi komik.
  • Ketika mereka berjalan ke wilayah Kepaku, BoBoiBoy dan Fang pergi ke Kepaku Park dalam versi animasi manakala Kampung Kepaku dalam versi komik.
  • Daripada menggunakan kuasa tahap kedua dengan Halilintar dan Blaze dalam versi komik, BoBoiBoy menggunakan kuasa tahap pertama dengan Angin, Api dan Daun dalam versi animasi.
    • Ini disebabkan oleh kehabisan banyak tenaga selepas menggunakan kuasa BoBoiBoy Supra dalam episod lepas.
  • Kepaku Bed & Breakfast dalam versi komik digantikan menjadi Kepaku Park dalam versi animasi.
  • Papileon ditunjukkan sangat mesra dan ceria dalam versi animasi daripada lancang dan licik dalam versi komik.
  • Dalam versi komik, BoBoiBoy dan Fang bersarapan di Kepaku Bed & Breakfast dan kemudian membawa masuk ke Kuari Lembah Kepaku untuk membayar balik dengan menyelamatkan penduduk kampung.
  • Papileon hanya datang bertemu dengan BoBoiBoy dan Fang di Kepaku Park dalam versi animasi daripada ditemukan di Kuari Lembah Kepaku dalam versi komik.
  • Kumpulan dewasa Kepaku yang ditawan di tapak itu tidak muncul dalam versi animasi.
  • Muskida hanya tiba di Kepaku Park untuk menculik kanak-kanak seperti Papileon dan memaksa mereka untuk bekerja lombong dalam versi animasi.
  • Daripada tinggal di kuari, Maripos datang ke kampung dengan tenteranya dan dikalahkan.
    • Dalam versi komik, BoBoiBoy Halilintar yang mengalahkan mereka.
  • Muskida meninggalkan BoBoiBoy, Fang dan penduduk Kepaku dengan cara yang berbeza, iaitu dihantarkan pergi selepas dipukul oleh Pemukul Lalat Bayang Fang dalam versi animasi manakala melarikan diri dengan badan robotnya dalam versi komik.

Watak[]

Galeri[]

Video[]

Rujukan[]

Advertisement