BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

Pergolakan Di Windara merupakan episod kelapan dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod kedua dalam BoBoiBoy Galaxy Windara. Ia disiarkan di YouTube Monsta dan Netflix pada 8 Jun 2024, kemudian di TV9 pada 9 Jun 2024.

Ringkasan[]

BoBoiBoy dan rakan-rakan menerima jemputan daripada Kuputeri dan Maripos untuk melihat sendiri keadaan di Planet Windara yang kini diperintah oleh seorang penjahat yang tamakkan kuasa bernama Reramos bersama gerombolan bala tenteranya. Namun rancangan mereka telah berjaya dihidu oleh penjahat tersebut. Dapatkah wira-wira Bumi itu tiba di Planet Windara dengan selamat? Atau adakah mereka akan tewas dilanda badai Windara yang mengganas?[1]

Plot[]

Episod bermula dengan Adu Du dan Probe menerima lawatan daripada Bago Go untuk memeriksa komponen Jam Teleportasinya yang rosak. Bago Go menjelaskan bahawa "mikrocip" daripada alat tersebut sebenarnya adalah "mikrocop" yang berharga semurah 20 sen sahaja, tetapi amat sukar ditemui kerana sudah tidak dikeluarkan lagi. Keliru mendengar kenyataan itu, Adu Du dan Probe bertanya lebih lanjut. Bago Go menggesa pelanggannya untuk membeli robot langka XY AI 2000 yang berharga 300 juta 30 sen, tidak termasuk harga mikrocop. Adu Du terpinga-pinga lagi kerana akan terpaksa menanggung beban belanja tinggi untuk mengejar BoBoiBoy.

BoBoiBoy, Yaya, Ying, Gopal dan Fang menaiki Tuanku Kuputeri dan Maripos untuk berkelana ke Planet Windara melalui teleportal yang dibuka oleh Ochobot. Gopal bertanya mengapa Ochobot tidak diajak sekali, jadi BoBoiBoy menjawab bahawa dia perlu menjaga Tok Aba. Yaya dan Ying yang mengagumi kapal angkasa Kuputeri, diingatkan oleh Fang bahawa mereka menumpang semata-mata kerana telah merosakkan kapal angkasanya.

BoBoiBoy menanya Kuputeri mengapa mereka dijemput ke Planet Windara. Kuputeri menjawab dengan membawa kumpulan BoBoiBoy mengkhayalkan zaman silam Planet Windara, sambil menceritakan bahawa planetnya walaupun cuaca sentiasa bergolak namun penduduknya hidup aman damai sehingga datangnya Retak'ka. Kuputeri pernah melawannya dengan Kuasa Beliungnya tetapi akhirnya tewas dan kuasanya dirampas, maka dia terpaksa merawat kecederaan dalam Kepompong Hibernasi dan mengamanahkan kerajaannya kepada penasihat kanannya Reramos. Setelah 100 tahun berlalu, Kuputeri akhirnya bangkit dan mendapati Reramos telah merampas tampuk pemerintahan dan memporak-perandakan planetnya.

Setelah khayalan selesai, para wira muda berasa takjub dengan pengalaman tadi. Maripos yang memandu kapal menjelaskan bahawa Kuputeri mempunyai kuasa telepati yang berkomunikasi terus kepada minda mereka. BoBoiBoy bertanya sama ada inilah sebab Kuputeri menuntut kembali kuasanya, maka Kuputeri bertegas bahawa kuasa Beliung adalah satu-satunya kunci untuk membebaskan Windara daripada cengkaman Reramos. BoBoiBoy keberatan kerana terkenang akan ancaman Retak'ka terhadap galaksi apabila pernah kehilangan kuasanya. Untuk itu, Kuputeri meminta BoBoiBoy untuk berfikir masak-masak.

Kapal angkasa Kuputeri keluar dari teleportal dan memasuki ruang angkasa Windara. Maripos bercadang untuk mendarat melalui "laluan luar" untuk mengelak daripada dikesan oleh angkatan Reramos. Kuputeri meminta kumpulan BoBoiBoy pergi berehat kerana saki-baki perjalanan masih jauh. Malangnya, kehadiran mereka sudah dikesan oleh Muskida dan dilaporkan kepada Maharaja Reramos. Oleh itu, Reramos pun mengarahkan Muskida dan rakan-rakan sejawatnya untuk bertindak.

Di dalam bilik rehat, BoBoiBoy termenung kerana berhadapan dengan keputusan sukar mengenai kuasa anginnya. Gopal memujuknya untuk terus menyimpan kuasa itu kerana ia sudah miliknya, tetapi BoBoiBoy berdalih bahawa ia kepunyaan asal Kuputeri dan Planet Windara hendak diselamatkan daripada Reramos. Fang mengingatkan bahawa BoBoiBoy memerlukan ketujuh-tujuh Kuasa Elemental untuk menewaskan Retak'ka dan melindungi galaksi. Yaya pula berhujah bahawa Kuputeri memerlukan kuasa Beliung untuk menyelamatkan rakyatnya. BoBoiBoy mula rela kerana dia akan masih tinggal enam kuasa, tetapi Gopal membantah kerana kuasanya akan berkurangan. Yaya, Ying dan Fang sebulat suara menyokong apa sahaja keputusan BoBoiBoy.

Tiba-tiba, Maripos muncul di dalam bilik, menyebabkan wira berlima berasa rimas kerana perbualan mereka dicuri dengar. Maripos menghadapkan mereka ke arah tingkap kapal untuk melihat keadaan Windara yang serba genting sambil menceritakan bahawa seluruh planetnya dijarah menjadi kuari dan lombong dan hasilnya dijual semata-mata untuk memuaskan kerakusan Reramos. BoBoiBoy mendapati kesannya lebih teruk daripada angkara Retak'ka di Planet Rimbara dan berasa terpanggil untuk membuat keputusan.

Belum sempat BoBoiBoy melafazkan ikhtiarnya, tiba-tiba penggera kapal berbunyi. Maripos memasang monitor dan mendapati kapal angkasa angkatan Reramos sudah menghampiri. Sebuah kapal angkasa besar berbentuk rama-rama melepaskan sepasang talian cangkuk untuk berpaut pada bahagian ruang pemunggahan. Maripos menggesa agar cangkuk itu dimusnahkan segera, jadi BoBoiBoy memimpin kawan-kawannya ke situ dan meminta Maripos mencari Kuputeri. Sebaik sahaja tiba, BoBoiBoy menyuruh Gopal menukarkan cangkuk-cangkuk itu. Gopal hendak melakukan Tukaran Biskut tetapi berdolak-dalik hendak perisa mana, menguji kesabaran kawan-kawannya, lebih-lebih lagi Yaya tentang soal biskut.

Dari cangkuk-cangkuk besar itu keluarnya segerombolan askar berupa serangga kelekatu, membuat Gopal ketakutan kerana takut pada serangga. Kuputeri datang dan menjelaskan bahawa askar itu adalah kaum Kelkatoa yang dikawal dan dijadikan tentera oleh Reramos. Yang memimpin angkatan Kelkatoa ialah Sibella, seorang pengikut Reramos yang datang untuk mengiringi Kuputeri kembali ke Istana Kupuri. Maripos membantah kerana rakyat Windara tidak pernah sekali-kali mengangkat Reramos sebagai pemerintah. Sibella menyanggah kata-kata Maripos dan mengarahkan Kelkatoa untuk menyerang.

BoBoiBoy menyuruh Yaya dan Gopal menghancurkan cangkuk-cangkuk itu sementara yang lain turun berlawan. Ying membawa Kuputeri pergi bersembunyi di tepi bilik. Maripos melawan satu demi satu Kelkatoa dengan kipasnya. BoBoiBoy menggunakan Kuasa Elemental untuk menjadi BoBoiBoy Ais dan menggunakan Panah Ais untuk membeku Kelkatoa. Fang memakai Separa Helang Bayang untuk menyambar sebanyak mana Kelkatoa yang boleh. Yaya dan Ying turut membantu dengan menggunakan kuasa masing-masing.

Akan tetapi, Gopal pergi menyorok kerana masih mengalami fobia dengan musuh serangga itu. Dia nyaris diserang oleh beberapa Kelkatoa tetapi Maripos sempat datang untuk menepis mereka. Yaya menggunakan Apungan Graviti untuk menyapu Kelkatoa ke tepi untuk membuka laluan, kemudian menggesa Gopal untuk bertindak. Gopal melakukan Tukaran Biskut Uncle Ah Huat untuk menukarkan mata cangkuk menjadi biskut sehingga terhempap Kelkatoa yang ada di bawahnya dan talian cangkuk pun terputus. Fang menyumbat lubang-lubang cangkuk dengan Tutupan Bayang.

Sibella rimas dengan keadaan yang tidak menyebelahi pihaknya dan meluru ke arah Ais. Ais melepaskan lagi Panah Ais tetapi tidak mengena kerana Sibella memecut pergi ke arah Ying. Sibella mengasari Ying dengan Tinju Mentadu, tetapi Yaya datang menepis dengan Tumbukan Bertubi-Tubi. Rakan sejawat Sibella, Cikala yang menyaksikan perlawanan dari balkoni, turun untuk bersemuka dengan Ais, Fang dan Gopal. Gopal mengejek rupa Cikala yang melilit mukanya dengan skarf. Cikala menurunkan skarfnya dan melakukan Jeritan Supersonik, membuat lawan-lawannya tercampak.

Yaya dan Ying berhempas-pulas melawan Sibella dua lawan satu, sehingga mereka dijatuhkan dengan peninju yang amat kuat. Kuputeri keluar dari persembunyian untuk cuba merawat mereka dengan Kuasa Pemulih. Terdedahnya Kuputeri menarik perhatian Sibella dan Cikala, tetapi Maripos sempat mengingatkan wira-wira lain. Gopal melakukan Tukaran Gula-Gula Getah untuk menyekat kemaraan Cikala. Cikala yang terlekat pada lantai melakukan Jeritan Supersonik sekali lagi. Maripos cuba melindungi Kuputeri daripada jeritan dengan Kipas Libasnya tetapi mereka semua terpelanting jua. Sibella mentertawakan nasib Kuputeri dan "hulubalang-hulubalangnya" yang semakin tidak terdaya.

BoBoiBoy tersinggung dengan cacian Sibella itu dan bertindak melakukan Elemental Fusion, menjadi BoBoiBoy Supra. Dia melakukan Gerakan Supra yang pantas sekali untuk menjatuhkan Kelkatoa satu demi satu dan akhirnya berjaya melanggar Sibella. Kemudian, Supra menggunakan Tembakan Super Supra ke arah Cikala dan dibalas dengan Jeritan Supersonik yang kuat. Supra menguatkan lagi serangannya sehingga terpecah dinding kapal dan menembusi kapal musuh, malah Sibella dan Cikala kelihatan terhalau. Fang segera menyumbat lubang dengan Tutupan Bayang untuk mengelakkan peralatan daripada tersedut keluar. BoBoiBoy kembali ke rupa asal dan rebah kerana kehabisan tenaga.

Malangnya, Sibella muncul semula dari Tutupan Bayang tanpa sebarang cacat-cela dari pertarungan tadi. Maripos cuba mengusirnya dengan Kipas Libas sambil mengarahkan BoBoiBoy dan Fang membawa Kuputeri ke pod kecemasan. BoBoiBoy masih ingin menolong walaupun sudah lemah, tetapi akhirnya dipapah pergi oleh Fang, sementara Yaya dan Ying bangun bertarung untuk melengahkan musuh.

Apabila hendak menaiki pod kecemasan, BoBoiBoy meluahkan kebimbangannya akan keselamatan Yaya, Ying dan Gopal yang tertinggal. Kuputeri menjamin bahawa kawan-kawannya itu akan selamat asalkan BoBoiBoy bergegas seawal mungkin, kerana hanya dirinya seorang yang diburu oleh Reramos. BoBoiBoy dan Fang ditolak masuk ke dalam pod, dan Kuputeri sempat memprogramkannya untuk turun ke Windara sebelum dicekup oleh Kelkatoa. Sebelum berpisah, Kuputeri menyampaikan pesanan kepada BoBoiBoy melalui telepati: "Jika benar kau ini pelindung galaksi, kau mesti lindungi Windara dari mereka!"

Perbezaan dengan Versi Komik[]

  • Seperti daripada episod sebelumnya, Adu Du, Probe, Komputer dan Bago Go hanya muncul dalam versi animasi.
  • Ochobot hanya menggunakan kuasa teleportasi untuk membawa BoBoiBoy dan kawan-kawan bersama dengan Kuputeri dan Maripos ke Planet Windara dalam versi animasi.
  • Ketika Gopal bertanya kepada BoBoiBoy mengapa dia tidak bawa Ochobot bersama dengan mereka, BoBoiBoy memiliki alasan yang berbeza, iaitu menyuruhnya untuk menjaga Tok Aba semasa dia tiada dalam versi animasi manakala memberikan Ochobot untuk berehat sikit kerana kuasa teleportal memerlukan kuasa yang banyak dalam versi komik.
  • Dalam versi komik, Kuputeri tidak menggunakan telepati untuk menceritakan kisahnya. Kebolehan ini hanya muncul dalam versi animasi.
    • Begitu juga, kebolehan Kuputeri untuk menyembuhkan yang digunakan kepada Yaya dan Ying hanya muncul dalam versi animasi.
  • Dalam versi animasi, Reramos dinyatakan sebagai penasihat kanan kepada Kuputeri yang tidak disebutkan dalam versi komik.
  • Gopal tidak bertanya kepada Maripos mengapa dia kelihatan muda selepas mendapat tahu dia berada daripada 100 tahun dahulu.
  • BoBoiBoy dan kawan-kawan telah asal sampai ke Planet Windara dalam versi animasi, sedangkan dalam versi komik di mana mereka sampai dalam akhirnya.
  • Qually tidak disebutkan dalam versi animasi.
  • Daripada menghubungi Kuputeri pada ketibaannya di Planet Windara dalam versi komik, Muskida menghubungi Reramos untuk memberitahukan kepadanya.
  • BoBoiBoy tidak mengajak Ying dan Fang untuk ikut dengannya, Yaya dan Gopal sebelum mereka berdua bergabung dengan mereka dalam versi komik.
  • Sebelum dapat menukarkan cangkuk-cangkuk yang tersangkut ke kapal angkasa Kuputeri, Gopal hanya menyebutkan biskut krim dalam versi animasi.
  • Daripada bertukar menjadi Blaze dan Gempa dalam versi komik, BoBoiBoy bertukar menjadi Ais dan berpecah menjadi Halilintar dan Solar untuk bergabung menjadi Supra dalam versi animasi.
  • Gopal hanya menunjukkan rasa takut kepada Askar Kelkatoa dalam versi animasi, yang dia sebutkan "kelkatoaphobia".
  • Muskida tidak ikut dengan Sibella dan Cikala untuk menyerang BoBoiBoy dan kawan-kawan dan menangkap Kuputeri.
  • Vespira dan Karumbang hanya muncul dengan awal dalam versi komik daripada dalam versi animasi.
  • Fang menggunakan Separa Helang Bayang dalam versi animasi manakala Separa Harimau Bayang dalam versi komik.
  • Cikala tidak menyebutkan nama kuasa Jurus Jeritan Supersonik dalam versi animasi.
  • BoBoiBoy dan Fang adalah satu-satunya yang melarikan diri dengan pod kecemasan.

Watak[]

Galeri[]

Video[]

Rujukan[]

Advertisement