"Dalam episod lepas, Adu Du dan Probe dah berjaya masuk ke dalam Piramid Baja. Diorang udah dapat PasuBot dah. Tapi, BoBoiBoy pula dah mula jadi pelupa. Haiya... ni mesti mereka berpecah lama sangat! Habislah..." |
Paduan Dua Kuasa merupakan episod keenam dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod keenam dan terakhir dalam BoBoiBoy Galaxy Sori. Ia dilepaskan di YouTube Monsta, Netflix dan TV9 pada 28 Disember 2023.
Ringkasan[]
Plot[]
Adu Du dan Probe menemui pintu ke kamar simpanan Power Sphera PasuBot di Piramid Baja. Sekali lagi Probe menggunakan kepala tuannya sebagai anak kunci untuk membuka pintu itu, tetapi dalam arah bertentangan dari pintu yang lepas. Sebaik sahaja pintu dibuka, kelihatan bekas berbentuk sfera di puncak sebuah pentas yang berbentuk piramid bertangga.
Pada masa yang sama, BoBoiBoy Solar, BoBoiBoy Duri dan Ying menemui pangkal jalan koridor yang bercabang ke kiri dan kanan. Duri bercadang untuk mengikut hati menghala ke kiri, tetapi Solar bertegas bahawa mereka perlu mengikut logik dan membawa Duri dan "Ah Meng" ke arah kanan. Ying rimas dipanggil "Ah Meng" tetapi tetap mengikut. Solar memimpin mereka berjalan menelusuri koridor yang berselirat ke merata piramid dan akhirnya kembali ke pangkal jalan. Duri mengejek Solar kerana menggunakan 'akal lutut', mengundang kemarahan Solar sehingga nyaris bergaduh.
Sementara itu, BoBoiBoy Halilintar memimpin Yaya dan Gopal masuk ke dalam piramid dan menggunakan Pedang Halilintar untuk menyuluhi jalan. Halilintar mengajak Yaya dan "Arumugam" masuk dan meminta Yaya mengesan Solar, Duri dan Ying, dan Yaya pun menggunakan Jam Kuasanya untuk menunjukkan haluan isyaratnya. Gopal hairan Halilintar tersalah sebut namanya sedangkan nama Yaya masih betul.
Sampai giliran Duri mencari arah, maka dia membimbing Solar dan Ying "kanan kiri kanan kiri" sehingga terbuat seperti arahan berkawad seperti tentera, "Belakang... pusing!" Malah Solar pun terikut sekali berkawad, membuat Ying patah hati.
Dalam mengikuti arah isyarat, Halilintar, Yaya dan Gopal bertemu dengan dinding halangan. Halilintar menanya "Mimi" sama ada tiada jalan lain. Gopal mentertawakan "Nana" kerana Halilintar terlupa namanya; Yaya geram membalas dengan "Mimi-lah!" dan Halilintar pun mengutuk balik Gopal kerana tidak ingat namanya sendiri. Melihat Yaya sudah kebuntuan, Gopal menukarkan dinding itu dengan Tukaran Biskut Krim lalu mengajak kawan-kawannya makan bersama. Tidak sabar membuka jalan, Yaya meruntuhkan dinding biskut krim itu dengan Tumbukan Padu.
Akhirnya Halilintar, Yaya dan Gopal bertemu semula dengan Solar, Duri dan Ying. Ying menangis kehibaan kerana kedua-dua BoBoiBoy temannya yang sudah meragam kerana hilang ingatan, diburukkan lagi dengan Halilintar yang memanggilnya "Ah Meng" dan turut berkawad sekali. Untuk menyelesaikan kemelut ini, Gopal berlakon seperti "Korporal Arumugam" dan mengarahkan ketiga-tiga BoBoiBoy untuk berhenti berkawad dan bergabung semula. Pergabungan semula berjaya, dan Ying tersedu-sedu berterima kasih kepada Yaya. Ying bertanya khabar BoBoiBoy, dan BoBoiBoy mengadu kaki lenguh.
Sementara itu, Kapten Papa Zola keluar dan menggunakan pembaris untuk menetak akar-akar menjalar yang mencengkam MYS Kebenaran.
BoBoiBoy, Yaya, Ying dan Gopal tiba di koridor tengah-tengah piramid yang bersuluh. Pada dinding kelihatan lukisan mural yang menggambarkan Puak Baja. Ying menduga bahawa lukisan itu menceritakan sejarah Planet Kadruax. Gopal bertanya mengapa Puak Baja kelihatan sedih; Yaya menjawab bahawa mereka kebuluran disebabkan kemarau. BoBoiBoy mengaitkan sejarah pada mural itu dengan penerangan DataBot bahawa planet ini pernah tandus. Gopal mendapati PasuBot juga terlukis; Ying dan Yaya membuat kesimpulan bahawa PasuBot menggunakan kuasanya untuk mempercepat pertumbuhan tumbuh-tumbuhan dan menyuburkan planet ini sehingga diliputi hutan tebal. Justeru, BoBoiBoy yakin bahawa PasuBot boleh digunakan untuk menumbuhkan pokok Oakuat.
BoBoiBoy menemui sebahagian mural yang terlukis pengguna PasuBot berbadan hijau tetapi tidak dapat dikenalpasti kerana gambar kepalanya terserpih. Pada masa yang sama, kedengaran ketawa Adu Du bergema, maka seluruh geng bergegas ke kamar PasuBot. Adu Du dan Probe sudah menaiki pentas dan menghampiri PasuBot! BoBoiBoy menyeru Adu Du dan Probe berhenti dan bertanya bagaimana mereka dapat masuk dengan senang. Adu Du dan Probe menunjukkan lukisan mural sekitar dan memahamkan musuhnya bahawa piramid ini dibina oleh Puak Baja sebagai tanda penghargaan kepada kaum Kubulus.
Adu Du memasukkan tangannya ke dalam slot untuk membuka bekas PasuBot. BoBoiBoy mengutuk Adu Du tidak layak memiliki PasuBot; Probe membangkang dengan hujah bahawa tuannya paling layak kerana kaumnya pernah berjasa kepada Planet Kadruax; Gopal setuju dengan hujah Probe. Sebaik sahaja PasuBot dikeluarkan, ia mencelik mata dan menghadap Adu Du. BoBoiBoy menyeru PasuBot tidak melayan Adu Du kerana dia bukan tuan asalnya. Adu Du menyangkal kata-kata BoBoiBoy kepada PasuBot, mengambil benih yang disangka Oakuat daripada Probe dan memasukkannya ke dalam Power Sphera itu dengan tujuan mengeluarkan kuasa terpendam dalam dirinya. Sebaik sahaja proses bermula, Adu Du mula menyedari timbulnya masalah. BoBoiBoy dan Yaya menggelakkan Adu Du kerana benih itu bukan Oakuat, tetapi benih tempatan Kadruax yang dikutip semalam untuk kajian. Benih Oakuat yang sebenar berada dalam jagaan Fang di markas TAPOPS-B.
Benih yang tertanam dalam PasuBot mula bercambah dengan mendadak dan tidak terkawal, menyebabkan Power Sphera itu terlepas dari pegangan Adu Du dan tergolek ke bawah pentas. Belum sempat kedua-dua pihak menyambutnya, kecambah itu membesar menjadi seekor Tumbosaur gergasi dan menyebabkan lantai di tempat PasuBot, Adu Du dan Probe runtuh. Ying pun berteriak menyebut nama Tumbosaur, mewajarkan penamaan oleh Gopal dalam peristiwa semalam, tetapi Gopal memberikan nama "Jumbosaur" khas untuk raksasa ini. Jumbosaur memanjangkan tangan dahannya ke arah BoBoiBoy dan kawan-kawan. Yaya membendung Jumbosaur dengan Tumbukan Graviti. Ying pula mengenakan Kuasa Slow-mo untuk melambatkan pergerakan akar Jumbosaur, memecut di atas akar itu dan menyepak raksasa itu dengan Tendangan Laju. Namun, Jumbosaur langsung tidak terkesan dengan pukulan Ying dan Yaya.
BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Blaze dan menggunakan Cakera Api untuk mencantas akar dan dahan Jumbosaur. Akan tetapi, anggota Jumbosaur yang terpotong itu tumbuh semula; Ying berpendapat bahawa hal itu berlaku kerana ia masih tertanam pada PasuBot. Yaya menyeru bahawa PasuBot perlu dicari dan dipisahkan daripada Jumbosaur. Yaya dan Ying terjerat dalam dahan menjalar Jumbosaur. Oleh itu, BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Gempa dan cuba membendung kemaraan Jumbosaur dengan mengasak akarnya, tetapi dipukul dan tercampak. Gopal pula turut membantu dengan menembak-nembak ke arah Jumbosaur tetapi tidak berkesan, kemudian dia tertangkap. Pada masa yang sama, Adu Du dan Probe sedar dalam rekahan lantai dan mula mencari PasuBot semula.
Yaya mengingatkan BoBoiBoy untuk menyelamatkan PasuBot dahulu, maka BoBoiBoy mendapat idea dan berpecah dua kepada Solar dan Duri. Ying berasa kesal melihat dua bentuk Elemental yang beragam tadi dan menyeru mereka untuk tidak sampai berkawad lagi. Duri mengeluarkan Akar Pengikat untuk mengekang Jumbosaur supaya Solar boleh menembak. Gopal mempersoal tindakan Solar menembak Jumbosaur sehingga ia membesar lagi, maka Solar membetulkan sangkaan Gopal dengan melakukan Tembakan Solar pada siling, menyebabkan Jumbosaur terhempap dan terbenam dalam rekahan, maka Yaya, Ying dan Gopal pun terlepas; Ying sempat mengenakan Kelajuan Rendah untuk memperlahankan kejatuhan mereka dan mendarat dengan selamat.
Ying memuji Solar dan Duri kerana bekerjasama, dan Yaya sekali lagi mengingatkan untuk menyelamatkan PasuBot yang terperangkap dalam rekahan lantai. Baru sahaja melangkah, Solar dan Duri terkena libasan akar Jumbosaur yang cuba bangkit dari rekahan. Yaya menahan kemaraan Jumbosaur dengan Graviti Pemberat, manakala Gopal menembakkan Tukaran Dodol pada rekahan, menyebabkan Jumbosaur terbenam lagi. Akan tetapi, Jumbosaur semakin membesar, dan Yaya, Ying dan Gopal terpaksa melarikan diri, dipercepat oleh Ying dengan Kelajuan Tinggi. Adu Du dan Probe masih tercari-cari PasuBot yang dikatakan akan menjadi Power Sphera pertama milik Adu Du.
Yaya, Ying dan Gopal keluar dari piramid dan disambut oleh MYS Kebenaran yang akhirnya terlepas dari cengkaman akar menjalar. Yaya hairan bertanya bagaimana ia terlepas, maka Papa mengeluh bahawa dia bertungkus-lumus memotong semua akar itu semalaman, membuat Ying berasa kagum. Ochobot menyeru mereka segera naik, tetapi mereka keberatan kerana BoBoiBoy masih tertinggal. Papa lantang mengesali tindakan pemuda-pemuda itu meninggalkan rakan seperjuangan sendiri. Jumbosaur membesar sehingga merempuh bumbung piramid lalu mencengkam MYS Kebenaran dan menangkap semula ketiga-tiga budak yang baru menaikinya. Papa dan Ochobot semakin cemas.
Solar dan Duri keluar dari piramid dan menyeru Jumbosaur berhenti dalam pelbagai bahasa. Papa mengesali gelagat Duri kerana raksasa tidak memahami bahasa, dan Gopal menambah lagi bahawa ia tidak mempunyai mata untuk mendengar, mengundang rasa pelik daripada Yaya dan Ying. Solar bercadang kepada Duri untuk bekerjasama pada tahap seterusnya, dan Duri bersetuju dan sedia untuk bergabung, membuat Gopal teruja kerana mereka akan melakukan Fusion terbaharu. Akan tetapi ketika hendak bergabung, Solar dan Duri tidak sependapat tentang nama gabungan baharu mereka; Duri memilih Bunga Matahari manakala Solar memilih Fotosintesis, maka pergabungan pun terlengah.
Duri mengusulkan Bunga Matahari sempena gabungan perkataan bunga dan matahari, manakala Solar menghujahkan Fotosintesis sempena proses tumbuhan menyerap khasiat dari cahaya matahari. Duri mencadangkan agar kawan-kawannya memilih nama yang sesuai. Gopal sukar memilih kerana kedua-dua nama itu sedap. Yaya dan Ying pula bengang menyeru mereka bergabung cepat, jadi Solar dan Duri melafazkan "sorry." Daripada itu, Gopal mendapat idea dan mencadangkan nama "Sori", iaitu gabungan nama Solar dan Duri. BoBoiBoy berdua setuju dengan nama itu, tatkala Papa dan Ochobot pun sudah tergesa-gesa menyeru mereka bergabung.
Akhirnya Solar dan Duri melakukan Elemental Fusion dan menjelma sebagai BoBoiBoy Sori. Sori melakukan serangan sulungnya ke atas Jumbosaur, iaitu Libasan Durian Sori mengena kepala raksasa itu, menyebabkan Yaya, Ying dan Gopal terlepas semula. Jumbosaur tumbuh urat berdaun untuk menyembuhkan luka kepalanya, menandakan ia masih tercantum pada PasuBot. Yaya menggunakan Tarikan Graviti untuk mengeluarkan MYS Kebenaran dari cengkaman Jumbosaur. Ying dan membawa Gopal memasuki semula piramid untuk mencari PasuBot, namun Kelajuan Tingginya menyebabkan Gopal terlanggar-langgar sepanjang jalan. Sori menaiki kepala Jumbosaur dan menggunakan Lilitan Durian Sori untuk memecahkan dahan yang mencengkam MYS Kebenaran; akan tetapi, dahan itu tumbuh semula.
Adu Du dan Probe sudah menghampiri PasuBot. Probe mengeluarkan gergaji cakera untuk memotong akar Jumbosaur dan melepaskan PasuBot. Tiba-tiba sahaja, gergaji itu ditimpa Tukaran Piza Ikan Bilis Gopal, dan pada masa Ying juga mengebas PasuBot dari jangkauan Adu Du. Gopal juga sempat mengambil piza untuk dimakan. Adu Du pergi mengejar mereka dengan Probe dalam mod Probey Jet. Ying menghubungi kapal dan memaklumkan kejayaan mengambil PasuBot kepada Ochobot. Dengan itu, Ochobot memandang Jumbosaur tidak dapat sembuh lagi dan menyeru BoBoiBoy bertindak.
Sori menyeru Bunga Mekar Berduri, sebuah senjata berupa tumbuhan berbunga yang besar dan memancarkan cahaya, memecah keluar dari permukaan piramid. Dia membidik bunga tersebut ke arah Jumbosaur dan melancarkan Tembakan Sori Berduri. Tembakan yang berupa pancaran cahaya kuat itu cukup kencang untuk menyebabkan Jumbosaur jatuh dari puncak piramid sehingga terhempap Adu Du dan Probe yang mengejar Ying dan Gopal, dan akhirnya tersungkur di kaki piramid. Sori pergi menjenguk Adu Du dan Probe yang meminta maaf, membalas mereka dengan "Tiada Sori bagimu!" dan mengacah mereka dengan sinaran tembakan, menyebabkan Adu Du dan Probe tunggang-langgang melarikan diri.
Sori menggunakan rantai Durian Sorinya untuk bergayut ke pintu hac kapal, bertukar semula kepada BoBoiBoy normal dan bertanyakan khabar kawan-kawannya. Gopal mengeluh habis berbenjol dari terlanggar-langgar runtuhan piramid, dan Ying pun meminta maaf. Yaya memuji kuasa baharu BoBoiBoy manakala Ying berbesar hati mengumumkan misi mereka berjaya. PasuBot berterima kasih kepada BoBoiBoy kerana menyelamatkannya dan berkata dia akan menunaikan sebarang permintaannya. Oleh itu, BoBoiBoy meminta PasuBot mempercepat pertumbuhan benih Oakuat. PasuBot bersetuju, dan BoBoiBoy girang berteriak "Terbaik!" Kapal MYS Kebenaran berlepas untuk kembali ke Bumi, dan Gopal meminta untuk singgah di klinik sebaik sahaja sampai.
Perbezaan dengan Versi Komik[]
- Babak tambahan dengan BoBoiBoy Halilintar, Yaya dan Gopal di dalam Piramid Baja hanya muncul dalam versi animasi.
- Ketika BoBoiBoy dan kawan-kawan mencapai ke atas Piramid Baja, Adu Du dan Probe tidak memasang perangkap terhadap mereka dengan menurunkan kurungan.
- Dalam versi animasi, Adu Du dan Probe cuba mengejar PasuBot yang berguling menuruni tangga, manakala dalam versi komik, Adu Du dan Probe cuba melarikan diri daripada Alpha Jumbosaur.
- Alpha Jumbosaur ditumbuhkan ke posisi yang berbeza, ialah di atas tanah dalam versi animasi dan di tangan Adu Du dalam versi komik.
- Daripada dililitkan oleh Alpha Jumbosaur dalam versi komik, Adu Du dan Probe cuba mendapatkan PasuBot ke tangan mereka.
- Daripada BoBoiBoy Halilintar dalam versi komik, BoBoiBoy Gempa melawan Alpha Jumbosaur selepas Blaze dalam versi animasi.
- Kuasa tambahan BoBoiBoy Sori hanya muncul dalam versi animasi.
- Kawan-kawan BoBoiBoy yang menyelamatkan PasuBot dalam versi animasi daripada BoBoiBoy Halilintar dalam versi komik.
- Adu Du dan Probe meminta maaf dengan BoBoiBoy Sori atas perbuatan mereka dalam versi animasi manakala mereka berterima kasih kepada Sori untuk menyelamatkan mereka daripada Alpha Jumbosaur dalam versi komik.
Watak[]
Trivia[]
- Dalam episod ni, BoBoiBoy Duri ada cakap "Niruttu! Tumigil ka! Yamate kudasai!"
- Niruttu ialah bahasa Tamil yang bermakna "berhenti".
- Tumigil ka ialah bahasa Tagalog yang bermakna "berhenti".
- Yamete kudasai ialah bahasa Jepun yang bermakna "tolong berhenti".
Galeri[]
Video[]
|