"Dalam episod lepas, anak-anak murid Kebenaran telah diserang dan dikepung oleh sekumpulan raksasa sayur. Kebenaran memang nak tolong, tapi... Hey! Kapal Kebenaran pun dah kena belik ni oooy!" |
Puak Purba Kadruax! merupakan episod kelima dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod kelima dalam BoBoiBoy Galaxy Sori. Ia dilepaskan di YouTube Monsta pada 24 Disember 2023 sebelum dilepaskan di Netflix dan TV9 pada 27 Disember 2023.
Ringkasan[]
Plot[]
Di markas TAPOPS-B, Qually sedang berjalan sepanjang koridor sambil membaca buku resipinya apabila dia terlihat Fang sibuk mengendalikan monitor kamera litar tertutup di bilik kawalan. Qually pergi menjenguk Fang dan bertanya mengapa dia tidak mengikuti BoBoiBoy dan lain-lain ke Planet Kadruax. Fang menjawab bahawa dia terpaksa tinggal untuk melindungi markas daripada pembelotan seperti yang dilakukan oleh Qually sendiri di Rimbara. Qually kesal kerana Fang masih belum mempercayainya atas peristiwa itu. Melihat Fang baru kehabisan bekalan kek lobak merahnya, Qually mendapat idea dan beredar untuk bertindak.
Di Planet Kadruax, BoBoiBoy, Yaya, Ying dan Gopal terkandas di atas jambatan kayu yang tinggi, dikepung oleh Tumbosaur di kedua-dua hujung. BoBoiBoy bertindak dengan berpecah menjadi Solar, Duri dan Halilintar. Yaya melakukan Apungan Graviti untuk menghalang kemaraan gerombolan Tumbosaur di satu hujung, memudahkan Halilintar untuk menumpaskan mereka dengan Tetakan Halilintar.
Di satu lagi hujung, Ying memberikan amaran bahawa jambatan akan runtuh jika dipijak oleh Tumbosaur besar, maka Duri mengenakan Akar Pengikat untuk menghalang Tumbosaur itu, namun ia melepaskan diri. Solar menegur Duri bahawa pokok tidak boleh melawan pokok dan melepaskan Tembakan Solar kepada Tumbosaur berkenaan, tetapi ia hanya membuat Tumbosaur membesar, maka Solar diejek oleh Duri, malah ditegur oleh Ying bahawa pokok subur dengan cahaya matahari.
Tumbosaur besar akhirnya memijak dan mengumpil jambatan, menyebabkan Solar, Duri dan Ying tergelongsor ke arah mulutnya sementara Gopal di satu lagi hujung pula tercampak. Solar berpaut pada puntung dahan untuk mengelak dari menggelongsor lagi, mankala Yaya menyelamatkan Gopal dengan Apungan Graviti. Tumbosaur besar menaiki jambatan, menyebabkan jambatan itu jatuh ke dalam jurang, sekali dengan dirinya dan tiga orang budak yang nyaris menjadi mangsanya. Ying dan Solar cuba menggunakan kuasa masing-masing tetapi ditimpa runtuhan sampai pengsan. Duri mengeluarkan Ikatan Akar untuk menyambut mereka berdua dan membuka Daun Payung Terjun untuk melayang dengan selamat.
Halilintar lega melihat Duri menyelamatkan kawan-kawannya, manakala Gopal masih dalam keadaan panik. Halilintar menghunus pedangnya dan memecut pergi untuk mencari jalan. Tiba-tiba, dia ditangkap oleh akar menjalar dan diikat secara tergantung. Gopal ditimpa nasib yang sama dan diancam oleh Tumbosaur yang menghampiri. Yaya datang untuk menghalau Tumbosaur itu tetapi juga tertangkap. Yaya menyeru Halilintar untuk bercantum semula dan bertukar menjadi Blaze untuk membakar akar, tetapi Halilintar enggan kerana tidak mahu menyebabkan Ying terjatuh.
Hari sudah semakin senja, dan Halilintar, Gopal dan Yaya masih meronta-ronta dalam ikatan sambil digugat oleh gerombolan Tumbosaur. Gopal sempat menanduk jatuh seekor Tumbosaur untuk menyelamatkan diri. Apabila matahari terbenam, tiba-tiba semua Tumbosaur berhenti, mengorek tanah dan menanam diri, menimbulkan kehairanan Halilintar dan Gopal. Yaya berpendapat bahawa Tumbosaur hanya aktif pada waktu siang apabila ada cahaya matahari, dan 'berhibernasi' waktu malam. Walaupun selamat, mereka bertiga tetap meronta-ronta.
Halilintar, Gopal dan Yaya dihampiri oleh sekumpulan makhluk yang berteriak seakan "baja baja". Gopal khuatir bahawa mereka adalah puak pemakan orang yang dikatakan oleh Qually. Yaya menegur prasangka Gopal dan meminta Halilintar cuba berkomunikasi dengan puak itu. Halilintar menyapa mereka dengan "Hai, jaba, apa jaba?" Puak itu seakan-akan membentak "Bajaba!" sehingga menakutkan budak bertiga, sambil menurunkan mereka dari gantungan. Gopal menegur BoBoiBoy kerana tersalah bahasa.
Ying dan Solar sedar semula di atas Sampan Daun Berduri yang didayung oleh Duri, menelusuri sebatang sungai panjang yang direntangi jambatan dari atas jurang tadi. Ying kagum dengan Duri yang bermegah-megah menggunakan kuasanya untuk menyelamatkan mereka, padahal Solar berasa cemburu. Namun begitu, Ying dan Solar juga merungut permukaan sampannya berduri; Duri mengaku bahawa semua ciptaannya berduri sepadan dengan namanya, bahkan meragui kebolehan Solar. Solar naik geram dan mengugut untuk menembak Duri dengan kuasa cahaya. Ying kesal melihat kedua-dua BoBoiBoy sukar berbaik-baik.
Ying melihat Jam Kuasanya dan mendapati bahawa mereka sedang menuju ke lokasi PasuBot. Duri bercadang agar mereka menghubungi kawan-kawan mereka untuk berjumpa di situ. Solar berkata dia sudah cuba tetapi gagal. Ying berpesan agar dia mencuba lagi.
Halilintar, Gopal dan Yaya diikat pada kayu gandar dan dibawa ke kampung Puak Baja. Jam Kuasa Halilintar bernyala menerima panggilan Solar tetapi tidak terjawab. Sebaik sahaja masuk, mereka didudukkan di tepi meja makan. Gopal panik lagi kerana menyangka akan dimakan oleh puak berkenaan. Tanpa disangka, mereka didatangi oleh Adu Du dan Probe yang membetulkan prasangka mereka, iaitu bahawa Puak Baja tidak makan orang, sebaliknya hanya mengamalkan pemakanan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Disoal oleh Halilintar akan niatnya, Adu Du mengaku bahawa dia datang untuk mencuri benih Oakuat daripada BoBoiBoy. Probe menyeluk kantung Halilintar dan mengambil sebiji benih berduri yang disangka Oakuat untuk diserahkan kepada tuannya. Mengetahui bahawa musuhnya tersilap ambil, Halilintar, Gopal dan Yaya berdiam diri sambil tersengih. Adu Du juga menyatakan hasratnya untuk mencuri PasuBot demi menumbuhkan benih Oakuat dan mendapatkan kuasa terpendam dalam dirinya. Halilintar terkilan kerana hasratnya untuk memperoleh kuasa baharunya sudah diketahui musuhnya. Gopal mempersoal sama ada Adu Du mahu menjadi tinggi dengan buah Oakuat, tetapi ditampar oleh Probe kerana biadab kepada "Ketua Baja".
Puak Baja bersorak memanggil Adu Du "Ketua Baja", menimbulkan kehairanan budak bertiga. Probe menceritakan bahawa dia dan tuannya datang untuk memintas BoBoiBoy tetapi diserang oleh raksasa pokok. Gopal memperkenalkan nama Tumbosaur untuk raksasa tersebut, dan Probe pun memuji sedap namanya. Probe menyambung cerita bahawa mereka diselamatkan daripada Tumbosaur oleh Puak Baja yang melantik Adu Du sebagai ketua kampung. Yaya mempersoal rasional perlantikan itu, dan Adu Du membalas bahawa itu adalah rahsia. Setelah selesai bercerita, Adu Du dan Probe segera beredar untuk mengejar PasuBot, manakala Puak Baja melaungkan "Baja Baik," membuat budak bertiga hairan.
Halilintar, Gopal dan Yaya ditanam dengan kepala terkeluar di halaman luar kampung, berdekatan dengan tempat tidur Tumbosaur. Yaya menyimpulkan bahawa mereka telah dijadikan makanan untuk Tumbosaur oleh Puak Baja, maka Halilintar jelas tentang sebab mereka dipanggil "baja baik". Gopal panik lagi kerana tidak mahu dimakan, dan Yaya meminta untuk bertenang sementara dia mencari ikhtiar.
Ying membimbing Solar dan Duri ke sebuah bangunan piramid yang besar dan dikatakan tempat letaknya PasuBot. Duri kagum dengan keindahan bangunan dan juga teruja kerana sudah menghampiri kunci kepada Kuasa Elemental Tahap Ketiganya. Solar mengingatkan bahawa mereka perlu segera menjumpai PasuBot dan bercantum semula dengan Halilintar sebelum mereka jadi pelupa. Duri mencabar Solar berlumba naik tangga piramid, tetapi Solar enggan melayan.
Adu Du menunggang Kereta Probe dengan laju menelusuri hutan, tergesa-gesa untuk tiba di piramid itu sebelum matahari terbit. Probe setuju kerana takut dimakan oleh Tumbosaur liar pada waktu siang.
Fajar mula menyingsing, dan Halilintar dan Gopal masih meronta-ronta, sementara Yaya terlena dengan tenang. Halilintar cuba mengejutkan Yaya dari tidur, manakala Gopal mengeluh bahawa Yaya mungkin berikhtiar untuk menerima takdir dijadikan 'baja' Tumbosaur. Yaya bangun dan menegur Gopal cepat mengalah tanpa berusaha. Halilintar menyoal 'usaha' Yaya dengan tidur, dan Yaya menjawab dia tidur untuk memulihkan tenaga.
Matahari sudah terbit, dan Tumbosaur sudah mula bangun. Halilintar dan Gopal pun mendesak, tetapi Yaya mengaku belum cukup tidur. Tumbosaur pun mula mengaum, maka Ying memecahkan tanah dengan Apungan Graviti, menyebabkan semua Tumbosaur terpelanting. Bunyi gegaran dari pemecahan tanah itu kedengaran jauh sehingga tercapai Adu Du dan Probe yang semakin tergesa-gesa menuju ke destinasi.
Setelah menaiki tangga piramid, Duri cuba membuka pintu dengan menari sambil berpantun, "Piramid purba piramid batu, cepatlah buka pintu hatimu," mengundang kehairanan Ying. Solar mengutuk Duri 'minda lemah' kerana berbuat seolah-olah cerita dongeng kanak-kanak. Ying menerima panggilan Yaya melalui Jam Kuasa dan mereka pun mengesahkan keselamatan pihak masing-masing. Yaya menggesa pihak Ying bergegas ke piramid dan mendapatkan PasuBot kerana Adu Du sedang menuju ke situ. Ying berkata mereka sudah tiba tetapi kebuntuan membuka pintu. Halilintar yang juga berada dalam talian meminta koordinat lokasi mereka, maka Ying berbuat demikian dan menamatkan panggilan.
Sementara Ying berbual, Duri tidak habis berjampi dengan pintu piramid, "Kalau bukan hati yg buka kalbu, mungkin hempedumu?" walaupun ditegur lagi oleh Solar. Ying menyoal Solar sama ada dia ada cara lain, maka Solar mula melakukan kiraan berdasarkan sukatan-sukatan di sekitar piramid untuk membayangkan kod kombinasi untuk membuka pintu, membingungkan Duri dan Ying. Solar meneka bahawa kodnya ialah 3-7-3-1 dan memutarkan benda seakan injap di sebelahnya seakan-akan tombol bilik kebal, sehingga Ying menunjukkan bahawa 'injap' itu adalah roda dari kereta sorong yang buruk. Duri mentertawakan gelagat Solar dan sekali lagi bertengkar mengutuk kelemahan satu sama lain, sehingga akhirnya dimarahi oleh Ying dan digesa untuk bekerjasama menyelesaikan masalah.
Matahari terbit menyinari kawasan piramid, menyebabkan pintu terbuka dengan Ying menunjuk ke arah akar menjalar yang menjulur dari bawah. Solar menggunakan Sinaran Solar untuk melanjutkan lagi akar itu untuk membuka pintu luas-luas, tetapi tidak memadai. Ying menyuruh Duri membantu, tetapi Duri bersorak seperti tukang sorak; setelah ditegur , barulah Duri mengeluarkan Tiang Balak Berduri untuk menopang pintu ke atas. Ying memuji kerjasama kedua-dua BoBoiBoy, namun Duri dan Solar tetap berdingin. Setelah masuk, mereka bertiga menemui satu lagi pintu yang menghalang. Duri mendapati terdapat lubang kunci di tengah yang bermata dua.
Tiba-tiba, Adu Du dan Probe tiba di piramid, dan Probe menembakkan roket ke arah Solar, Duri, dan Ying, menyebabkan mereka terpelanting keluar. Adu Du senang hati melihat BoBoiBoy sudah berpecah tiga dan lama-kelamaan mungkin akan hilang ingatan. Probe menyumbatkan kepala tuannya ke dalam lubang kunci, menggunakan sesungutnya untuk membuka pintu. Solar, Duri, dan Ying tergamam menyaksikan cara pintu itu dibuka, maka Probe menjelaskan bahawa dia adalah VIPK - 'Very Important Pala Kotak' di piramid ini. Adu Du menampar Probe kerana nyaris mendedahkan rahsia dan mengarahkannya menyekat jalan untuk musuh mereka. Probe menembakkan roket untuk meruntuhkan siling di tepi pintu, tetapi Ying sempat melakukan Gerakan Slow-mo untuk melambatkan keruntuhan supaya mereka bertiga sempat masuk.
Solar, Duri, dan Ying memasuki suatu bilik yang gelap. Solar menggunakan kuasanya untuk menerangi bilik. Duri menguap dan mengucapkan selamat pagi, kemudian panik kerana 'lambat ke sekolah'. Solar mengingatkan Duri bahawa mereka tidak bersekolah, tetapi terlupa tujuan mereka berada di piramid dan menanya 'Ah Meng'. Ying tercengang dipanggil dengan nama itu, malah Duri menegur Solar bahawa namanya adalah 'Yaya'. Ying mula risau kerana BoBoiBoy berdua sudah mula hilang ingatan.
Di TAPOPS-B, Fang yang mengawasi monitor terlihat Qually memasak di dapur dengan benih Oakuat di sebelahnya. Dia bergegas ke situ dan mencekup Qually dengan Jari Bayang dan menuduh Qually membelot lagi. Qually memperjelas bahawa dia sedang membuat hadiah perdamaian untuk Fang. Fang terlihat kek lobak merah buatan Qually dan terus menjamu selera. Qually bertanya sama ada Fang sudah memaafinya, tetapi Fang hanya leka makan, dan Qually menganggapnya sebagai tanda kemaafan.
Perbezaan dengan Versi Komik[]
- Babak Fang dan Qually di TAPOPS-B tidak muncul dalam versi komik.
- Ketika diikat dengan akar-akar bersama dengan Yaya dan BoBoiBoy Halilintar, Gopal hanya menggunakan kepalanya untuk menanduk terhadap satu Tumbosaur dalam versi animasi.
Watak[]
Trivia[]
- Kelemahan BoBoiBoy yang menjadi pelupa bila berpecah dalam masa yang lama dibawa kembali dari siri BoBoiBoy.
Galeri[]
Video[]
|