BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

"Dalam episod lepas, BoBoiBoy telah berjaya mendapatkan benih Oakuat. Aku pula telah diajak untuk jadi chef TAPOPS. Sebagai tanda maaf atas semua kesalahanku, aku akan masakkan makanan yang paling enak untuk teman-teman baruku!"
Qually menceritakan episod sebelumnya.

Belantara Penuh Bahaya! merupakan episod keempat dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod keempat dalam BoBoiBoy Galaxy Sori. Ia dilepaskan di YouTube Monsta, Netflix dan TV9 pada 21 Disember 2023.

Ringkasan[]

Setelah menerima benih Oakuat dari Tuan Guru Gaharum, BoBoiBoy kini bersemangat untuk mempelajari Kuasa Elemental Tahap Ketiga. Akan tetapi rancangan BoBoiBoy berjaya dihidu musuh yang licik dan penuh muslihat. Pertarungan dua seteru ini membawa mereka ke sebuah dunia yang buas dan liar: Planet Kadruax!

Plot[]

Di kantin markas TAPOPS-B, Qually memasak hidangan pertamanya selaku tukang masak TAPOPS untuk sahabat akrab baharunya, Gopal. Melihat masakan itu menyerupai nasi goreng, Gopal terbuka selera dan terus melahapnya dengan gelojoh. Gopal bertanya Fang di mana kerana ingin menyimpan makanan untuknya, dan Qually menjawab dia keluar sebentar tetapi bekalan makanan masih banyak. Gopal memuji kesedapan hidangan Qually dan bertanya nasi goreng apa yang dimasaknya; Qually memperjelas bahawa itu bukan nasi tetapi semut goreng, menyebabkan Gopal naik loya dan memuntah-muntah. Tanpa disedari, gelagat mereka diintai oleh Adu Du dan Probe yang mencerobohi markas melalui salur pengudaraan.

Gopal memarahinya Qually kerana melayannya seperti tenggiling, maka Qually meminta maaf kerana tidak tahu manusia bumi tidak makan semut, malah dia hanya mengikut resipi dalam buku warisan. Pada masa yang sama, BoBoiBoy duduk di sebelah Gopal, termenung sambil merenung buku ilmu tentang tumbuhan galaksi. Qually cuba menarik perhatian BoBoiBoy, tetapi dia lambat menjawab. Qually pun menanya Gopal tentang keadaan BoBoiBoy, dan Gopal merungut bahawa dia selalu muram semenjak menerima benih Oakuat yang menjanjikan Kuasa Elemental Balak.

BoBoiBoy mengingatkan bahawa dia mengingati pesan Gaharum bahawa pokok Oakuat hanya berbuah sekali seumur hidup dan mengambil masa seribu tahun untuk tumbuh. Gopal bercadang agar BoBoiBoy terus menelan benih itu untuk mendapatkan kuasanya, namun BoBoiBoy menyanggah. Qually bercadang agar mereka mencari salah satu Power Sphera dalam simpanan TAPOPS-B yang mungkin mempunyai kuasa untuk mempercepat pertubuhan benih Oakuat. Gopal dan BoBoiBoy berkata tiada Power Sphera seum pama itu, tetapi BoBoiBoy bercadang untuk menanya DataBot, maka ke situ mereka pergi, diekori oleh Adu Du dan Probe dengan penuh minat.

Sebaik sahaja mereka bertiga memasuki kamar DataBot dan bertegur sapa dengannya, Gopal mempersoal tindakan BoBoiBoy meminta pertolongan daripada si Power Sphera lama yang lambat memproses data. BoBoiBoy meyakinkan Gopal bahawa DataBot telah dinaik taraf dan seharusnya lebih cepat, namun Gopal masih ragu-ragu. BoBoiBoy menanya DataBot sama ada terdapat Power Sphera yang mempercepat pertumbuhan pokok, maka DataBot mula memproses data. Melihat DataBot masih terlalu perlahan, Gopal bertindak melaraskan mesin pengecas untuk menambah tenaga Power Sphera itu, menyebabkan aliran elektrik naik mendadak di seluruh kamar. Bukan sahaja DataBot menerima pusuan kuasa, malah Adu Du dan Probe yang terdedah kepada kabel-kabel di dalam salur pun terkena renjatan. Qually terdengar suara penceroboh berdua menjerit dalam salur; Probe segera menyamarkan suara sebagai tikus supaya tidak terbongkar.

BoBoiBoy menyuruh Gopal berhenti sebelum DataBot rosak. Mujurnya DataBot terselamat dari pusuan kuasa dan sempat menerangkan bahawa Power Sphera yang dikehendaki oleh BoBoiBoy ialah PasuBot yang terletak di Planet Kadruax, bahkan ia mengirim koordinat planet tersebut ke dalam Jam Kuasa BoBoiBoy. BoBoiBoy mengucapkan terima kasih, dan DataBot pula membalas dengan tergagap-gagap, menunjukkan bahawa penambahan kuasa itu hanya sementara. BoBoiBoy melafazkan "Terbaik!" dan menjadualkan misi seterusnya untuk mencari PasuBot di Planet Kadruax pada pagi esok. Sambil beredar, Qually bercadang untuk memasakkan "semut masak lemak" tetapi terus ditolak. Adu Du dan Probe pulih dari pusuan kuasa dan menukar rancangan dengan sewajarnya.

Keesokan harinya, BoBoiBoy, Gopal, Yaya, Ying dan Qually menaiki kapal angkasa MYS Kebenaran yang dipandu oleh Kapten Papa Zola bersama Ochobot, melalui teleportal ke lokasi Planet Kadruax. Ying yang mengendalikan penal pengesanan melaporkan bahawa isyarat Power Sphera yang agak lemah telah dikesan. Yaya berpendapat bahawa hutan yang serba tebal menyukarkan isyarat dikesan, membuat BoBoiBoy hairan kerana diberitahu oleh DataBot bahawa planetnya tandus. Papa Zola merungut tidak dapat mendaratkan kapal kerana hutan tebal di merata tempat, jadi BoBoiBoy berpesan untuk terbang serendah mungkin supaya mereka boleh terjun. Pada masa yang sama, Adu Du dan Probe (dalam bentuk Probey Jet) sudah berada di Planet Kadruax dan juga mengesan dan mengejar isyarat Power Sphera, tetapi Probey Jet terbang terlalu rendah sehingga terhempas dalam rimbunan.

Setelah terjumpa tempat yang sesuai, BoBoiBoy, Gopal, Yaya dan Ying bersiap sedia untuk melakukan terjunan dari kapal. Qually menghubungi mereka melalui interkom dan memberitahu bahawa dia tidak akan ikut sekali kerana takut. Gopal berasa kesal dan menyoal Qually mengapa. Qually menjawab bahawa dia terdengar khabar angin daripada orang-orang tua di Planet Rimbara bahawa di Kadruax terdapat banyak raksasa buas dan sebuah suku pribumi yang memakan orang. Penjelasan itu membuat Gopal gelabah dan merayu-rayu untuk masuk semula ke kapal. BoBoiBoy mengheret dan menjatuhkan Gopal dari hac kapal, kemudian melakukan terjunan sendiri bersama Yaya dan Ying. Di tengah terjunan, BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Taufan dan menyambut Gopal, sementara Yaya dan Ying menggunakan gerakan Apungan Graviti dan Kelajuan Rendah untuk mendarat dengan selamat.

Setelah mendarat, Ying memasang alat pengesannya dan mengesan isyarat dari arah utara, maka ke situlah mereka bergerak. Yaya memuji betapa tersergam indahnya pokok-pokok di sekitar mereka. Taufan masih memikirkan percanggahan data DataBot dengan keadaan di hadapan mata apabila dia terpijak sesuatu yang kecil dan berwarna-warni. Ying berpendapat bahawa benda itu adalah biji-biji benih pokok tempatan, malah Yaya bercadang untuk mengutip beberapa biji untuk kajian. Gopal pula bertambah gemuruh dengan bunyi rempuhan dari keliling dan menghubungi Ochobot untuk bertanya sama ada terdapat raksasa di kawasan berkenaan. Ochobot menjawab bahawa data tidak menunjukkan sebarang raksasa di Planet Kadruax, hanya pokok-pokok. Yaya memujuk Gopal untuk bertenang kerana sebarang rintangan akan dihadapi bersama-sama.

Bunyi rempuhan semakin kuat dan menghampiri, membuat seluruh geng naik gementar dan berapat-rapat untuk bersedia mempertahankan diri. Gopal menggesa agar mereka berlari, sementara Taufan terlihat daun bergerak dengan bunyi menggerutu di sebalik rimbunan. Dari situ munculnya seekor raksasa yang berdiri secara membongkok dan berjalan dengan dua kaki, mengaum dan meluru ke arah geng. Taufan melakukan Tolakan Taufan untuk mempelantingkan raksasa itu, sementara Gopal mengadu bahawa raksasa tidak dapat dikesan kerana pokok-pokok juga adalah raksasa.

Muncul banyak lagi raksasa seumpamanya di keliling geng. Yaya dan Ying masing-masing menggunakan Tumbukan Padu dan Tendangan Kilat untuk membendung kemaraan raksasa; begitu juga dengan Taufan yang menaiki hoverboard dan melemparkan Cakera Taufan dari atas. Gopal pula cuba menggunakan Tembakan Mesingan Makanan untuk menukarkan raksasa-raksasa itu tetapi tidak berkesan, maka dia terpaksa berlari dan meminta tolong. Taufan menghubungi Papa Zola untuk datang menjemput mereka, tetapi malangnya pihak dalam kapal juga dalam kesulitan apabila MYS Kebenaran habis dicengkam akar menjalar sehingga Papa Zola pun terpekik-pekik seperti perempuan. Taufan menyambut Gopal, menghasilkan Taufan Pengabur untuk menghambat kejaran raksasa, dan menyuruh yang lain bersurai. Gopal merengek menyalahkan Qually atas kesusahan yang menimpa mereka.

Di kapal, Papa Zola menggesa Ochobot menghidupkan enjin sepenuh kuasa. Ochobot berusaha sedaya upaya tetapi gagal menghidupkan enjin. Raksasa-raksasa mula menghinggapi akar menjalar untuk menghampiri kapal, malah akar itu sendiri pun mula mengetuk-ngetuk tingkap kapal. Atas arahan Papa yang tidak mahu akar masuk 'datang beraya', Ochobot segera mengadang tingkap. Kehadiran raksasa terlihat melalui skrin monitor, dan Papa pun menarik nafas lega kerana tidak sampai dikesan 'sayur-sayuran' itu. Ochobot memerli Papa kerana takut pada sayur; Papa mula-mula menyangkal tetapi akhirnya mengaku sedikit takut sewaktu kecil.

Geng BoBoiBoy bersembunyi di dalam kayu mati berongga sementara menunggu gerombolan raksasa beredar. Setelah kelihatan raksasa bersurai, Ying memasang semula perantinya dan mengajukan pendapat bahawa raksasa itu sebenarnya sejenis spesies tumbuhan tempatan yang namanya pun tiada dalam pangkalan data. Gopal bercadang agar raksasa itu diberi nama "Tumbosaur" kerana rupanya seakan-akan gabungan tumbuhan dan dinosaur. Ying mempertikai gelaran itu, tetapi Gopal mempertahankan kebijaksanaannya, maka mereka bertikam lidah sehingga menarik perhatian raksasa-raksasa yang digelar Tumbosaur. Yaya menyeru untuk berwaspada kerana planet ini dipenuhi pelbagai bentuk Tumbosaur. Dengan itu, Gopal menunjukkan bahawa nama Tumbosaur disambut baik, namun Ying tetap menjebik.

BoBoiBoy meredakan pertengkaran dan mengingatkan kawan-kawannya tentang misi yang lebih penting iaitu mencari PasuBot, lalu bertanya kepada Ying tentang kedudukannya. Menurut hasil alat pengesan, Ying mendapati bahawa ia terletak di sebuah lembah di arah utara. Gopal merampas alat Ying dan menggesa agar mereka berundur dari sambung misi, tetapi pada ketika itu seekor Tumbosaur merempuh masuk kayu dengan paruh birunya. Gopal menahan paruh raksasa itu sambil memekik "Tumbosaur!", sekali lagi menunjukkan kesesuaian namanya.

Banyak lagi Tumbosaur mencerobohi kayu persembunyian mereka, maka BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Gempa dan menumbuk semua Tumbosaur keluar. Yaya menolong dengan Tolakan Graviti, sementara Ying memecut sepanjang kayu lalu mengenakan Tendangan Laju pada Tumbosaur di hujung kayu. Gopal yang masih bergelut dengan Tumbosaur yang menjilatnya, mencapai secebis kayu di atas lantai untuk memukul Tumbosaur itu dan melepaskan diri. Tiba-tiba kedengaran bunyi hentaman yang sangat kuat menuju ke arah mereka, menyebabkan semua Tumbosaur melarikan diri secara tiba-tiba.

Muncul pula seekor Tumbosaur yang jauh lebih besar daripada yang lain, dengan badan serba kayu, jambul dan belikat berdaun, dan ngauman yang menggegarkan. Gempa menggesa semua berlari dan bertukar menjadi normal semula. Tumbosaur gergasi itu melibaskan ekornya untuk memukul kayu mati, membuat seluruh geng tergolek-golek. Gempa memimpin kawan-kawannya keluar dari kayu itu dan melarikan diri, dan Tumbosaur gergasi pun terus mengesan dan mengejar mereka. Ying memandu arah ke sebatang jambatan. Yaya terbang ke seberang jambatan dan mendapati terdapat banyak lagi Tumbosaur di situ. Mereka berempat sudah dikepung oleh Tumbosaur di kedua-dua arah dan terkandas di atas jambatan yang merentangi jurang yang sangat tinggi.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

  • Babak BoBoiBoy dan kawan-kawan pulang dari sekolah dilangkau ke babak di mana mereka di TAPOPS-B.
  • Daripada terlibat dalam pergaduhan dengan BoBoiBoy dan rakan-rakannya, Adu Du dan Probe keluar dari TAPOPS-B daripada kena tengkap dengan mereka.
  • Babak Adu Du dan Probe dalam hutan tidak muncul dalam versi animasi.
  • Daripada menggunakan Pelindung Tanah untuk melindungi dirinya dan kawan-kawannya dalam versi komik, Gempa menyuruh mereka untuk kabur dari Plantosaur Rex dalam versi animasi.
  • Kumpulan Puak Baja tidak muncul dalam versi animasi.

Watak[]

Trivia[]

  • Sebelum Probe dan Adu Du terenjat elektrik, Adu Du menyebut PasuBot, walaupun DataBot masih memproses data, dan PasuBot disebut kemudian dalam perbualan.

Galeri[]

Video[]

Advertisement