BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

"Dalam episod lepas, Tuan Guru Gaharum telah menugaskan BoBoiBoy untuk mencari empat bahan bagi memasak Tom Yum Sakti. Namun, BFF baru aku, Qually, membaling tanda dan mencuri beberapa bahan yang dijumpai untuk tujuannya sendiri."
Gopal menceritakan episod sebelumnya.

Resipi Warisan Terulung! merupakan episod ketiga dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod ketiga dalam BoBoiBoy Galaxy Sori. Ia dilepaskan di YouTube Monsta dan Netflix pada 17 Disember 2023 sebelum disiarkan di TV9 pada 20 Disember 2023.

Ringkasan[]

Akibat pembelotan Qually, BoBoiBoy dan rakan-rakan kembali pada Tuan Guru Gaharum dengan tangan kosong. Namun begitu, BoBoiBoy diberi satu lagi peluang untuk membuktikan kesungguhannya. Siapakah yang bakal mewarisi ilmu turun-temurun Tuan Guru Gaharum? BoBoiBoy atau Qually?

Plot[]

BoBoiBoy, Gopal, Yaya, Ying dan Fang dalam perjalanan pulang ke rumah Gaharum dengan kecewa kerana hanya sempat membawa pulang dua daripada empat bahan yang dituntut oleh sang tukang masak itu, iaitu Garam Kristal dan Cili Suci. BoBoiBoy khuatir bahawa dia tidak akan dapat mencapat Kuasa Elemental Tahap Ketiga, sementara Gopal patah hati kerana dipermainkan oleh Qually yang baru dijadikan sahabat akrab. Fang menegur Gopal atas sikap lurusnya ketika mempercayai Qually. Yaya berpesan agar mereka berpuas hati dengan mengharapkan dua bahan yang mereka ada, malah Ying mengeluh tidak mengetahui tempat letaknya Apiru Biru. Ketika BoBoiBoy tertanya-tanya apa yang Qually mahukan semua bahan itu, mereka menemui kapal angkasa Qually yang sudah berada di hadapan rumah Gaharum.

Qually masuk menghadap Gaharum dengan membawa bahan-bahan yang diminta oleh Gaharum. "Kayu jati dibuat pintu, sampai juga budak BoBoiBoy tu." BoBoiBoy dan kawan-kawan pun masuk dan menggesa Gaharum mengambil tindakan terhadap Qually atas kesalahannya kepada mereka. Qually cuba menyangkal tuduhan mereka, jadi Fang dan Gopal bertegas bahawa dia mengikuti mereka semata-mata untuk memperoleh bahan-bahan dengan cara yang senang. Qually mengingatkan mereka akan baktinya dengan menunjukkan tempat-tempat untuk jumpa bahan-bahan itu; Ying pula mengingatkan betapa susah-payah mereka melawan penjaga bahan-bahan itu. Gaharum hairan kerana tersalah sangka Qually berkawan dengan mereka, maka Gopal bertegas tidak memperakui Qually sebagai kawan. "Batang buluh dibelah-belah, sudah!" sergahan Gaharum memeranjatkan semua. Pertengkaran antara geng BoBoiBoy dan Qually juga menyebabkan Tok Kasa terjaga dari lelapnya.

Atas suruhan Gaharum, BoBoiBoy dan Qually meletakkan bahan-bahan yang dicari di atas meja; didapati bahawa BoBoiBoy hanya ada dua manakala Qually ada tiga. Gopal mengejek Qually kerana kekurangan Apiru Biru; tiba-tiba Qually mengeluarkan sekuntum bunga Apiru Biru dari lengan bajunya, menyebabkan geng BoBoiBoy terkilan. Qually menerangkan bahawa dia merahsiakan simpanan Apiru Birunya kerana ia hanya muncul sepuluh tahun sekali; Ying mengutuk kelicikan Qually. Gaharum memutuskan bahawa hanya Qually yang menepati syarat untuk berguru dengannya. BoBoiBoy merayu agar diberi satu lagi peluang kerana ini sahaja cara untuk mendapatkan kuasa Balak, namun Gaharum teragak-agak.

Melihat BoBoiBoy meminta peluang kedua, Tok Kasa menasihati Gaharum untuk mengadakan pertandingan memasak Tom Yam Sakti antara BoBoiBoy dan Qually. Sambil membuat pertimbangan, Gaharum mengibaratkan BoBoiBoy dengan King Balakung yang degil tetapi tidak pernah menyerah kalah. "Buah rambutan banyak bulu, baiklah, aku setuju!" Geng BoBoiBoy menyambut baik keputusan itu manakala Qually tidak puas hati kerana gurunya seakan-akan berubah hati. "Burung pipit makan padi, itu tadi!" Gaharum memberikan masa tiga hari untuk membuat persiapan. Qually bertanya sama ada dia boleh menggunakan semua bahan yang dikumpul; Gaharum pun membenarkan kedua-dua pihak menggunakan apa sahaja bahan yang dapat diperoleh.

Gopal menanya BoBoiBoy di mana untuk mencari bahan-bahan yang setanding dengan Qually, malah Fang turut menyoal sama ada dia pandai memasak tomyam. BoBoiBoy mengaku tidak pandai, manakala Gopal mencelah jawab dan mengaku hanya pandai makan, mengundang bidasan daripada Yaya dan Ying. BoBoiBoy mencari jalan dan bercadang untuk melawat Tok Aba di Bumi untuk mendapat tunjuk ajar.

Tiga hari kemudian, berlangsungya pertandingan memasak antara BoBoiBoy dan Qually yang diacarakan oleh Tok Kasa dengan dirinya dan Gaharum sebagai juri, dihadiri oleh Gopal, Fang, Yaya dan Ying, serta penduduk-penduduk Rimbara seperti kaum Cendawa dan Brolangkas Brothers. Cara Tok Kasa melaram sebagai pengacara dan juri yang 'paling kacak dan bijak' mengundang ulasan sinis daripada Gopal. Para peserta diberi masa 60 minit untuk menyiapkan masakan yang menyerupai Tomyam Sakti kegemaran Gaharum, dan pihak mana yang menghidangkan masakan terbaik akan dikira sebagai pemenang dan menerima hadiah yang diminta: buku resipi turun-temurun Gaharum untuk Qually, atau benih Oakuat untuk BoBoiBoy mengeluarkan kuasa terpendam.

BoBoiBoy mengenang masa dia melawat Tok Aba sebelum bertanding. Tok Aba hairan kerana cucunya tiba-tiba berminat untuk belajar memasak tomyam. BoBoiBoy menjelaskan bahawa dia perlu memenangi pertandingan untuk memperoleh kuasa baharu, tetapi Tok Aba ragu-ragu. Yaya tolong merayu kerana masa yang diberi hanya tiga hari. Tok Aba teragak-agak kerana masakan tomyam turun-temurun keluarganya agak rumit, namun BoBoiBoy berikrar bahawa dia sedia untuk belajar.

"Pokok balak usah ditebang, pertandingan ini dimulakan sekarang!" Gaharum menekan loceng meja, dan kedua-dua peserta pun mula berentap sementara Tok Kasa mula mengulas. BoBoiBoy berpecah lima menjadi Gempa (sebagai ketua), Blaze, Duri, Ais dan Halilintar, dan mengagihkan tugas sesama sendiri, dipuji oleh Tok Kasa sebagai strategi yang bijak dan kreatif. Gempa menyusun kayu api dalam dapur, Ais mencuci sayur-sayuran; Blaze menyusun sayur-sayuran di meja memasak, kemudian menghembuskan api dapur; Hali menggunakan Pisau Pemotong Halilintar untuk mencincang bahan-bahan dengan cermat; dan Duri pula ditugaskan menyiapkan air untuk kuah. Qually yang seorang diri memasak pula secara bersahaja tetapi tangkas, dari menghiris bawang, mencencang lobak hingga membelah Kelapa Langit.

Apabila Tok Kasa mengumumkan masa hanya tinggal 20 minit, BoBoiBoy Gempa mula rasa cemas kerana pihaknya agak ketinggalan, sedangkan Qually sudah mula mengacau kuahnya. Halilintar yang terlalu perlahan memotong sayur-sayuran pun didesak oleh Gempa untuk cepat dan bertindak melakukan Belahan Halilintar untuk mencencang habis bahan-bahan yang tinggal dalam sekelip mata. Qually mengupas bunga Apiru Biru ke dalam kuah sebagai bahan perasa, sementara pihak BoBoiBoy menggunakan bunga kantan untuk tujuan yang sama.

Gopal menyeru BoBoiBoy membubuh garam, maka Ais membawa ketulan Garam Suci ke meja masakan untuk dicurahkan ke dalam kuah. Khuatir kuahnya akan terlalu masin, Gempa merampas garam dari Ais dan merenjiskan sedikit demi sedikit garam ke dalam kuah. Qually pula menudung periuk kuahnya, mengeluarkan bau harum yang mempesonakan Gopal sehingga dia tersilap bersorak untuk Qually sehingga dia ditegur oleh Ying.

Masa tinggal 10 minit, Gempa merasa kuahnya dan mendapati ia terlalu pedas. Halilintar dan Duri datang dengan santan untuk dituang ke dalam kuah. Selepas itu, Gempa mengacau kuah dan khuatir tomyamnya tidak akan sempat. Blaze mendapati apinya tidak cukup kuat dan bertindak melakukan Hembusan Api, tetapi hembusan itu terlalu kuat sehingga kawah kuah habis dilitupi api, mencemaskan lagi keadaan. Malah, Qually mencemuh gelagat lawannya sementara Fang mengeluh pihak yang disokongnya akan kalah. Ais cuba menyelamatkan keadaan dengan menggunakan Ais Pembekunya untuk memadamkan api, tetapi ia juga berlebihan sehingga kawah habis dilitupi ais. Gempa mula patah semangat untuk terus bersaing.

Ochobot membuka teleportal di atas pentas pertandingan dan membawa Tok Aba ke mari atas suruhan Yaya. Tok Aba pergi menjenguk cucunya dan berpesan bahawa memasak bukan sahaja perlukan ilmu tetapi juga kesabaran dan azam yang tinggi. Gempa menunjukkan hasil masakannya yang habis beku, membuat Tok Aba hancur luluh seketika. Tok Aba menerangkan cara dia membetulkan masakan: jika terlebih masin ditambah air, jika terlebih pedas ditambah gula, malah dia menasihati supaya memasak boleh beramai-ramai tetapi kepala mesti satu, bak 'pepatah Jawa' yang berbunyi "too many cooks spoil the broth." Gopal berasa ngilu terdengar ujaran Inggeris bercap Jawa itu.

BoBoiBoy Gempa mencernakan nasihat Tok Aba dan kembali memimpin pasukannya. Masa sudah tinggal lima minit, dan Qually mula mencurahkan tomyamnya ke dalam mangkuk. Blaze memegang kawah kuahnya dan meleburkan ais dengan Haba Pencair. BoBoiBoy bercantum semula dan bertukar kepada Elemental Fusion Blaze dan Ais, iaitu BoBoiBoy FrostFire. FrostFire mengusahakan masakannya dengan "Semburan Panas Beku, Pemanasan Optimum, Gaulan Serasi," mengundang sorakan daripada kawan-kawan dan para hadirin. Tok Kasa turut memuji cara BoBoiBoy mengejutkan penonton dengan penggunaan kuasa yang optimum dan efisien. Dalam minit yang terakhir, FrostFire sempat mencencang daun ketumbar sebagai penghias hidangan tomyam.

Masa sudah pun tamat, dan kedua-dua peserta menyajikan hasil kerja masing-masing kepada juri. Qually mempersembahkan Tomyam Galaksi, iaitu empat bahan utama digabungkan dalam satu masakan yang "dijamin terbang sampai ke bintang". Setelah menjamah, Tok Kasa memperakui kelazatan karya Qually manakala Gaharum mengulas bahawa Qually telah berjaya menggabungkan bahan-bahan untuk menghasilkan "rasa yang cukup kompleks dan terperinci." Setelah Qually berterima kasih dan beredar, tiba-tiba Gaharum mengujarkan seolah-olah terdapat kekurangan.

Giliran BoBoiBoy mempersembahkan Tomyam Fusion Tok Aba kepada para juri. Setelah menjamah, Tok Kasa mengulas bahawa tomyam itu nampak ringkas tetapi boleh tahan rasanya, manakala Gaharum bertanya dari mana BoBoiBoy belajar memasaknya. BoBoiBoy dengan bangga menjawab bahawa ia adalah resipi keluarga turun-temurun. Gaharum memuji masakan BoBoiBoy sebagai tomyam yang "agak unik" dan tidak pernah dirasainya sebegini. BoBoiBoy mengucapkan terima kasih sambil mengekek dan beredar.

Setelah cukup lama berbincang, Gaharum dan Tok Kasa tampil mengumumkan keputusan pertandingan. "Buah langsat buah strawberi, keputusannya adalah seri!" Keputusan itu cukup menggemparkan seluruh dewan. BoBoiBoy pun keliru, malah Qually terasa kecewa kerana menganggap itu bermakna dia gagal. Gaharum memperjelas bahawa seri itu bukan tanda kegagalan, kemudian dia mencampurkan kedua-dua tomyam menjadi satu: "Daun sirih daun kari, ini dia tomyam yang kucari!" Ulasnya, kedua-dua tomyam ada kekurangan masing-masing tetapi jika digabungkan menjadi sempurna.

Gaharum mengucapkan tahniah kepada kedua-dua peserta dan menghadiahkan ganjaran masing-masing. Qually menerima buku resipi gurunya dan berikrar untuk belajar semua resipi yang terkandung untuk mencapai cita-citanya. BoBoiBoy pula menerima biji benih Oakuat dan dipesan untuk ditanam dan dijaga dengan baik. Qually berjabat tangan dan berbaik-baik semula dengan BoBoiBoy, tetapi dipandang dingin oleh Gopal. "Tomyam Sakti nama diberi, kamu berdua nampak serasi." Tok Kasa bercadang agar Qually menyertai TAPOPS sebagai tukang masak untuk pasukan BoBoiBoy, dan Qually pun setuju.

Qually meminta maaf kepada BoBoiBoy dan kawan-kawan atas perbuatan lampaunya dan mengakui bahawa dia terlalu mengejar cita-cita sehingga memperalatkan mereka untuk kepentingan sendiri. Gopal masih berat hati malah menegur Qually kerana menyebabkan kerosakan kapal angkasa Fang walaupun kapal itu sudah "teruk dan buruk", mengundang kecaman daripada Fang. Ying memaafkan Qually kerana dia dan BoBoiBoy berjaya menuntut benda yang dicari masing-masing. Qually berasa bersyukur kerana dapat mewarisi buku resipi berharga dan bercadang untuk memasak "Nasi Goreng Special Galaksi" untuk mereka, siap dengan dua biji telur mata kerbau. Sekadar terdengar tentang makanan akhirnya membuat Gopal rela memaafkan Qually dan mengajaknya untuk memasak makan tengah hari, tetapi Tok Kasa mencelah mengajak mereka berkenduri tomyam. Maka BoBoiBoy dan Qually menghidangkan tomyam gabungan mereka kepada para hadirin untuk dinikmati.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

  • Episod ini melangkau isu kelima ke isu keenam.
  • Qually mencapai ke Guru Gaharum duluan dalam versi animasi daripada berhadapan dengan geng BoBoiBoy dalam versi komik.
  • Ada dialog tambahan pada bahagian Tok Aba pada masa bagi nasihat kat BoBoiBoy yang tidak ada dalam versi komik.
  • Nama teknik BoBoiBoy Blaze yang mencairkan tomyam yang sudah dibekukan oleh BoBoiBoy Ais ialah Haba Pencair telah didedahkan dalam versi animasi, tetapi tidak dinamakan dalam versi komik.

Watak[]

Galeri[]

Video[]

Advertisement