BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

"Rahsia King Balakung" merupakan episod kedua dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod kedua dalam BoBoiBoy Galaxy Sori. Ia dilepaskan di YouTube Monsta dan Netflix pada 10 Disember 2023 sebelum disiarkan di TV9 pada 14 Disember 2023.

Ringkasan[]

Tanpa disangka-sangka, Planet Rimbara merupakan bekas jajahan King Balakung, pemilik asal Kuasa Elemental Balak yang tewas di tangan Retak'ka. Sebuah planet yang penuh dengan rahsia. Dapatkah BoBoiBoy membongkar rahsia King Balakung, dan mendapatkan Kuasa Elemental Balak?

Plot[]

Di markas bawah tanahnya, Adu Du berjaya mencipta suatu peranti khas yang mereplikasi setiap teleportal yang dibuka oleh Ochobot daripada cip yang dipasang dalam badan Ochobot. Probe teruja kerana tidak sabar untuk menjadi penjahat semula. Komputer memaklumkan bahawa isyarat teleportal dikesan menuju ke Planet Rimbara, membayangkan kehadiran Power Sphera di situ. Adu Du memakai perantinya di pergelangan tangannya dan melakukan Replikasi Teleportal dari markas. Sebaik sahaja Adu Du dan Probe melalui teleportal, mereka termasuk ke dalam ruang angkasa, mula lemas sehingga dilanggar oleh kapal Fang.

Di dalam kapal Fang, BoBoiBoy, Yaya, Ying dan Gopal menemani Tok Kasa dalam perjalanan ke Planet Rimbara. BoBoiBoy menanya Tok Kasa sama ada dia akan memperoleh Kuasa Elemental Tahap Ketiga di situ. Gopal pula bertanya sama ada Tok Kasa berniat untuk menyedut tenaga dari pokok-pokok itu seperti Retak'ka, mengundang kecaman daripada Ying dan Yaya yang menunjukkan kesan kemusnahan oleh Retak'ka di Rimbara dalam skrin kawalan kapal. BoBoiBoy merenung Jam Kuasa sambil mengujarkan bahawa dia tidak akan memperoleh Kuasa Balak seperti itu.

Tok Kasa mengesahkan bahawa dia membawa BoBoiBoy untuk menuntut ilmu daripada penguasa asal elemental Balak, iaitu King Balakung, di Planet Rimbara, bekas tanah jajahannya. Kawan-kawan BoBoiBoy tertanya-tanya sama ada King Balakung masih hidup. Dengan memaparkan lukisan gua dalam skrin, Tok Kasa menceritakan tentang sejarah Planet Rimbara yang aman damai di bawah pemerintahan King Balakung, seorang raja yang adil dan perwira yang terkuat, malah mementingkan keseimbangan antara penduduk dan alam sekitar, sehingga baginda dihapuskan oleh Retak'ka dan planetnya pun bertukar huru-hara.

Kapal angkasa mendarat di Planet Rimbara, dan geng BoBoiBoy pun turun dan memulakan perjalanan mengikut jejak langkah Tok Kasa. Yaya meluahkan rasa kesal kerana kehadiran King Balakung pasti memudahkan BoBoiBoy memperoleh kuasa baharu. Gopal tidak sependapat dengan Yaya, berhujah bahawa King Balakung tentu hendak menuntut kembali Kuasa Elemental yang pernah dimilikinya seandainya dia masih hidup. BoBoiBoy menjamin pada kawan-kawannya bahawa Tok Kasa ada jalan penyelesaiannya.

Setelah cukup lama berjalan, BoBoiBoy menyoal Tok Kasa tentang tempat tujuan mereka. Tok Kasa enggan menjawab atas alasan orang banyak bertanya akan sesat jalan; kata-katanya dianggap 'terbalik' oleh Fang. Akhirnya mereka tiba di hadapan sebatang pokok gergasi yang mengagumkan. Yaya menunjuk ke arah pintu masuk di tapak pokok, dan Tok Kasa pun mengajak para pemuda memasuki pokok itu untuk berjumpa dengan seseorang. Sebaik sahaja masuk, sekali lagi BoBoiBoy dan kawan-kawan takjub melihat ruang dalam yang tersergam indah. Fang pula bertanya di mana orang yang hendak dijumpai.

Tiba-tiba, berkumandang suara garau lagi lantang terbahak-bahak mengalu-alukan kedatangan mereka dengan serangkap pantun: "Dua tiga campur madu, siapakah gerangan kamu?" Ying terlihat punca suara itu dari 'semak bermata' di atas tanah. 'Semak' itu bangkit menegak dari korok tanahnya, memperlihatkan susuk orang pokok gergasi.

Tok Kasa memperkenalkan Tuan Guru Gaharum kepada geng BoBoiBoy. Gaharum berasa girang bertemu semula dengan sahabat lamanya, malah bertanya mengapa Hang Kasa berkedut rupanya. Hang Kasa membalas dengan menunjukkan wajah sahabatnya yang juga berkedut dalam cermin, membuat Gaharum bertanya berapa lama dia sudah terlena. Tok Kasa menyatakan bahawa sudah hampir 100 tahun berlalu semenjak kali terakhir mereka bersua.

"Kayu gaharu di dalam gua, siapa kamu ini semua?" soal Gaharum kepada pemuda berlima. Atas desakan Fang, BoBoiBoy cuba berbalas dengan pantun: "Ada daun, ada akar... How are you, Tok?" lalu berasa aib. Gopal mengejek cubaan BoBoiBoy dan mencuba sendiri: "Ikan siakap dibawa berlayar, kami anak murid Tok Kasa!" Fang mengkritik pantun Gopal juga tidak berima seperti BoBoiBoy.

Gaharum bertanya lagi apa tujuan mereka ke mari, maka BoBoiBoy menjawab bahawa dia dibimbing oleh Tok Kasa untuk mempelajari cara memperoleh Kuasa Elemental Balak. Gaharum hairan dan menyoal BoBoiBoy sama ada dia mewarisi kuasa King Balakung, maka BoBoiBoy mengia. Gaharum menyoal Hang Kasa sama ada dia mengalahkan Retak'ka, maka Hang Kasa menjawab bahawa dia hanya mampu membekukannya, tetapi akhirnya BoBoiBoy mengalahkan penjahat tersebut. Gaharum terbahak-bahak dan berpantun: "Buah limau dibuat asam boi, terima kasih BoBoiBoy!" tetapi menghadap Fang. Fang sempat menunjukkan BoBoiBoy dan BoBoiBoy pun membalas "Sama-sama."

BoBoiBoy bertanya lagi sama ada dia boleh berlatih di bawah Tuan Guru Gaharum. Gaharum ketawa sinis dan memperjelas bahawa dia sekadar tukang masak. BoBoiBoy, Fang, Yaya dan Ying terkilan, malah Gopal mengesali tindakan Tok Kasa membawa mereka menghadap tukang masak. Gaharum menceritakan bahawa dirinya adalah orang yang paling rapat dalam seluruh kalangan King Balakung, malah dia sendiri pernah menyaksikan bagaimana baginda memperoleh kuasanya.

BoBoiBoy kembali bergiat dan bertanya lagi sama ada Tuan Guru boleh melatihnya untuk mendapatkan kuasa itu. "Daun pandan daun mengkudu, tidak semudah itu," Gaharum mensyaratkan bahawa BoBoiBoy mendapatkan empat jenis ramuan: Garam Kristal dari Hutan Bakau Utara, Cili Suci dari Lembah Timur Selatan, Kelapa Langit dari Pokok Mencecah Awan, dan Apiru Biru sebagai pelengkap dapurnya. Ying mengulas betapa anehnya nama-nama bahan itu. Fang bertanya apa tujuan Tuan Guru menuntut ramuan itu, maka Gaharum menjawab hendak memasak makanan kegemarannya, Tomyam Sakti, sambil menahan kebulurannya.

Gopal cuba 'menolong' dengan melakukan pesanan tomyam melalui telefon, tetapi Ying merampas telefon itu dan menegur perbuatannya. Gopal mengeluh semua tomyam itu sama, mengundang sergahan lantang daripada Gaharum yang bertegas bahawa Tomyam Sakti yang asli mesti dimasak sendiri dengan bahan-bahan berkualiti tinggi. BoBoiBoy berpendapat bahawa Tomyam Sakti itu pernah disantap oleh King Balakung untuk memperoleh kuasanya dan bersetuju untuk menunaikan tuntutan Tuan Guru Gaharum. Maka Gaharum menutup perjumpaan dengan wira muda berlima dengan "Kayu getah kayu jati, apa lagi, lekaslah pergi!"

Sebaik sahaja keluar, Gopal memberitahu BoBoiBoy bahawa Gaharum hanya menyatakan bahan-bahan tanpa menunjukkan lokasinya. Tiba-tiba sahaja, muncul susuk yang memakai jubah berhud di atas pokok menyapa geng BoBoiBoy, mengundang kehairanan mereka. Susuk itu melonjak turun, mencampak jubahnya dan memperlihatkan rupa makhluk gempal yang berbadan hijau dengan rambut daun. Sebaik sahaja hendak mempekenalkan dirinya, dia ditimpa jubahnya dan terkapai-kapai, mengundang gelak tawa daripada mereka berlima.

Makhluk itu melucutkan semula jubahnya dan memperkenalkan dirinya sebagai Qually, dan mengaku bahawa dia dihantar oleh Tuan Guru Gaharum untuk membantu mereka. BoBoiBoy menyoal Qually sama ada dia anak murid Tuan Guru, malah Yaya dan Ying mendapati Qually berkulit hijau dan berambut daun sama seperti Gaharum. Qually berkata dia boleh menunjukkan tempat-tempat untuk mendapatkan bahan-bahan yang dicari, tetapi Fang dan Gopal masih sangsi kerana tidak pernah diberitahu oleh Gaharum tentang Qually. Qually menunjukkan sudipnya dan berkata lagi bahawa dia boleh memasak untuk mereka. Gopal teruja dengan bakat yang disebut itu dan menegur Fang kerana buruk sangka, membuat Fang berasa sebal. BoBoiBoy pun menerima Qually masuk ke dalam kumpulan untuk membantu mereka.

Mula-mula, Qually membawa BoBoiBoy, Gopal dan Fang ke Hutan Bakau Utara untuk mendapatkan Garam Kristal. Sebaik sahaja memetik ketulan garam yang secukupnya, mereka dikejar oleh tiga adik-beradik Brolangkas Brothers, Along, Angah dan Acik, kerana mencerobohi kawasan mereka. Qually memudahkan pelarian dengan menggunakan Spatula Berapi untuk menjatuhkan Acik. BoBoiBoy mencontohi Qually dengan bertukar menjadi BoBoiBoy Halilintar dan memacakkan Tombak Halilintar untuk menjatuhkan Along dan Angah, dibantu oleh Fang yang menghasilkan Kabus Bayang. Gopal bersyukur kerana mendapat kawan baharu yang membantu mereka dengan 'idea bernasnya'.

Seterusnya, Qually membawa Yaya dan Ying ke Lembah Selatan, juga dikenali sebagai Lembah Cidas, untuk memperoleh Cili Suci. Qually menerangkan bahawa Cili Suci yang sangat eksotik dan dihargai cef-cef terkenal di galaksi hanya terdapat di Lembah Cidas, dan berpesan agar mereka memetik sebanyak mungkin. Akan tetapi, kebun cili Lembah Cidas dikawal ketat dari udara oleh makhluk seakan burung, membuat Yaya dan Ying lintang-pukang melarikan diri daripada ditangkap.

Seterusnya, BoBoiBoy, Yaya, Ying dan Gopal menuju ke kemuncak Pokok Mencecah Awan untuk mendapatkan buah Kelapa Langit yang mengikut Qually menjadi rebutan ramai kerana kaya dengan khasiat. Fang terpaksa tinggal di bawah untuk membaiki kapal angkasa yang rosak, malah raungannya meratapi nasib 'Lily' pun terdengar oleh Gopal dari jauh. Ying hairan kerana Qually tidak mengikut mereka, maka BoBoiBoy meneka bahawa dia sedang menolong Fang. Setelah Gopal mula mendesak untuk mencari Kelapa Langit, BoBoiBoy menunjuk ke atas pokok di mana kelihatan buah-buah berbentuk bulat. Gopal berasa lega dan lekas bergegas ke arah pokok.

Tiba-tiba, munculnya Adu Du menaiki Mecha Probe, mendarat di atas pelantar dalam keadaan bergelumang dalam daun, mengeluh tercari-cari selama tiga hari tiga malam di Planet Rimbara sebelum akhirnya menjumpai BoBoiBoy. Ying marah menyoalkan niat mereka, maka Probe mengingatkan bahawa "di mana ada BoBoiBoy, di situ ada Power Sphera." BoBoiBoy bertegas bahawa mereka tidak mencari Power Sphera, jadi Adu Du menyoalkan benda bulat yang tergantung di atas pokok itu. Yaya menjawab itu Kelapa Langit, tetapi Adu Du keras menyanggah bahawa benda sebulat itu pastinya Power Sphera.

Gopal berjengket-jengket cuba mencari tempat berlindung, tetapi dia terbuat lantai berkerik-kerik sampai dikesan oleh Adu Du. Atas arahan tuannya, Mecha Probe melancarkan hujan roket terhadap Gopal. BoBoiBoy bertindak dengan bertukar menjadi BoBoiBoy Blaze dan mula bertarung, dibantu oleh Yaya dan Ying dengan Pecutan Graviti dan Larian Laju. Blaze melempar Cakera Berapi untuk menampan roket-roket Probe. Adu Du turun dari Mecha Probe, menghalang kemaraan Yaya dan Ying dengan galahnya, dan menyuruh Probe menembakkan laser pemusnah terhadap Gopal.

Qually muncul tepat pada masanya, menggunakan kuali perisainya untuk melindungi Gopal daripada pancaran laser. Probe hairan dengan kehadiran budak hijau itu, maka Qually memperkenalkan dirinya sebagai 'BFF' (best friend forever - sahabat akrab selamanya) Gopal. Probe terbawa-bawa dengan memperkenalkan dirinya dan juga 'BFK - bos feveret-ku', Adu Du. Adu Du sebal menegur kelalaian Probe bertegur sapa dengan musuh.

Yaya cuba mengenakan Tumbukan Padu pada Adu Du tetapi terelak. Ying pula melakukan Tendangan Somersault Kelajuan Tinggi, menyebakan Adu Du terlepas galahnya. Yaya dan Ying menyeru agar Adu Du mengaku kalah dan meninggalkan perbuatan jahatnya, tetapi Adu Du menghidupkan medan kuasa daripada galahnya untuk meletupkan lantai pelantar dan menyebabkan Yaya dan Ying terjunam.

Blaze melakukan Tendangan Berapi pada Mecha Probe tetapi ditepis. Blaze mengakui bahawa Probe semakin mahir bertarung, dan Probe membalas bahawa ini berkatnya daripada berguru dengan Tok Kasa. Blaze berganjak dan menyuruh Gopal pergi memetik Kelapa Langit, tetapi Mecha Probe cuba menghalang Gopal dengan melancarkan hujan roket sekali lagi.

Blaze bertindak melakukan Pemecahan Elemental dan berpecah menjadi Blaze, Duri dan Taufan, masing-masing melontarkan Cakera Api, Libasan Duri dan Pelindung Taufan untuk menangkis semua roket Probe, kecuali satu yang terlepas dan menimpa tempat Gopal. Duri bertindak menghasilkan Tikar Berduri untuk mengelakkan Gopal daripada terjunam. Gopal meraung kesakitan dengan duri-duri tikar, mengundang minta maaf daripada Duri dan gelak tawa daripada Probe. Blaze kembali menyerang Adu Du dan Probe dengan Bebola Api Maksima, menyebabkan musuh berdua jatuh dari pelantar. Yaya dan Ying timbul kembali dengan kuasa graviti, tidak sempat menyaksikan kekalahan Adu Du. Ying mendapati Kelapa Langit sudah hilang dari atas pokok. Qually sudah pun memetik buah itu, jadi semua orang pun lega.

Fang datang dengan memandu kapal angkasanya yang sudah siap dibaiki, menggemparkan kawan-kawannya dengan amaran bahawa Qually tidak boleh dipercayai kerana dia telah mensabotaj kapalnya. Qually dan Gopal meminta bukti, maka Fang menunjukkan sudip milik Qually yang pernah tersumbat dalam enjin, siap terpahat namanya. Setelah terbongkar, Qually menjatuhkan Bom Lada Hitam dan melarikan Kelapa Langit dengan menaiki kapal angkasa kecilnya sambil mengucapkan selamat tinggal kepada Gopal. Gopal sebak mengenang nasibnya setelah diperdayakan oleh 'BFF' yang baru dikenalinya.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

  • Kaum Cendawa hanya muncul dalam imbas kembali bukannya pada skrin seperti dalam versi komik.
  • Gopal mencadangkan bahawa BoBoiBoy hanya menyedut kuasa elemental daun tahap ketiga daripada Planet Rimbara hanya ketika mereka dalam perjalanan ke Planet Rimbara.
  • Hang Kasa hanya menceritakan kisah King Balakung daripada Tok Cendatok.
  • Qually bertemu dengan Geng BoBoiBoy sebelum menolong mereka mendapatkan Garam Kristal dari Hutan Bakau Utara dalam versi animasi manakala dia menyelamatkan mereka daripada Brolangkas Brothers dalam versi komik.
  • Pertarungan antara Geng BoBoiBoy dan Brolangkas Brothers dipendekkan dengan babak pengejaran.
    • Tetapi, BoBoiBoy hanya mengeluarkan satu kuasa dalam episod ini.
  • BoBoiBoy Gempa tidak muncul dalam episod ini.
  • Qually membalikkan Brolangkas Achik dengan berlari serang menggunakan Spatula Berapi dalam versi animasi manakala memanjangkan sudip biasanya dalam versi komik.
  • Geng BoBoiBoy dan Qually meninggalkan Fang yang membaiki kapal angkasanya tidak ditunjukkan dalam versi animasi.
  • Selepas Qually meninggalkan Geng BoBoiBoy dengan Kelapa Langit di tangannya, Gopal memanggilnya "BFF baruku" dalam versi animasi daripada namanya dalam versi komik.
  • Episod ini telah melangkau Isu 3 dan telah dimajukan kepada Isu 4.
    • Bermakna episod seterusnya akan menjadi isu yang akan menyusul Isu 4.
  • Malangnya, banyak watak daripada versi komik tidak muncul dalam episod ini, seperti makhluk asing Kampung Muriong (tetapi dua orang dilihat sebagai bayangan bayang), dan Profesor Utan.

Watak[]

Galeri[]

Video[]

Advertisement