BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

"Dalam insiden lepas, BoBoiBoy berjaya mengalahkan Reta'ka, Penguasa Elemental yang kejam. Walaupun galaksi kembali aman, tetapi BoBoiBoy perlu mempelajari Kuasa Elemental Tahap Ketiga demi mengekalkan keamanan sejagal."
Koko Ci menceritakan kisah sebelumnya.

"Kembali Beraksi!" merupakan episod pertama dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod pertama dalam BoBoiBoy Galaxy Sori. Ia pertama kali dilepaskan di YouTube Monsta dan Netflix pada 3 Disember 2023 sebelum disiarkan di TV9 pada 13 Disember 2023.

Ringkasan[]

Dalam insiden lepas, BoBoiBoy berjaya mengalahkan Retak'ka, penguasa Elemental yang kejam. Walaupun galaksi kembali aman, tetapi BoBoiBoy perlu mempelajari Kuasa Elemental Tahap Ke-3, demi mengekalkan keamanan sejagat.

Plot[]

Episod bermula di mana Adu Du sedang mencipta sesuatu di markasnya dan menyeru Probe untuk bersedia. Probe muncul sambil menyapu lantai dan menyanyikan lagu "Bersedia". Adu Du sakit hati melemparkan kole ke arah Probe dan menegurnya kerana tidak memahami arahannya. Probe mengeluh kerana suasana nostalgik yang cuba ditimbulkan tidak disambut baik oleh tuannya.

Di Akademi Pulau Rintis, BoBoiBoy, Gopal, Yaya, Ying dan Fang sedang menghadiri sesi kelas tambahan Matematik yang dianjurkan oleh Papa Zola. BoBoiBoy didapati menghadap tingkap sambil mengelamun, tidak mengendahkan sigungan daripada Gopal yang duduk di sebelahnya (sambil makan di balik buku), sehingga Papa Zola datang untuk mengejutkannya dari kelamun. BoBoiBoy terpinga-pinga dan tertanya-tanya soalan apa, maka Papa Zola dengan geram menjerit "Soalan matematik!" lalu menyebut soalannya:

"Tok Samad mempunyai tiga orang anak. Mak Salmah juga mempunyai tiga orang anak. Jadi, berapakah jumlah anak mereka?" BoBoiBoy menjawab enam, tetapi Papa Zola mengira jawapan itu salah, memeranjatkan seluruh kelas. Yaya bertanya apa jawapannya, maka Papa Zola menyebut jawapannya tiga kerana Tok Samad dan Mak Salmah adalah suami isteri. Ying merungut tentang jenis soalan yang dibincangkan tadi, maka Papa Zola menjelaskan bahawa itu ialah "Soalan KBAT Kebenaran" di mana sesiapa yang menjawab dengan salah akan disebat, menyebabkan BoBoiBoy menjadi gerun.

Waktu sudah sampai pukul tiga, maka kelas pun tamat dan Gopal dan Fang memerli BoBoiBoy kerana terlepas dari sebatan. Papa Zola memesan murid-murid untuk mengkaji dua muka surat untuk kerja rumah, kemudian Ying dan Yaya terus meminta lebih banyak muka surat untuk dikaji, maka Papa Zola pun menunaikan permintaan itu, membuat ketiga-tiga pelajar lelaki gerun sebelum mengundurkan diri dengan berlari berjengket dari bilik darjah ke keretanya dan memecut pergi. BoBoiBoy dan Gopal hairan melihat sikap Ying dan Yaya suka kerja rumah ditambah. Jam kuasa mereka berlima menyala, dan Fang berkata mereka dipanggil oleh Komander Koko Ci untuk berkumpul di Tok Aba Kokotiam. Gopal cuba mengelat tetapi dikekang oleh Fang dengan Tangan Bayang, malah dituduh cuba ponteng untuk bermain permainan video oleh Ying.

Tok Aba dan Ochobot sedang sibuk mengusahakan kedai apabila Tok Kasa hadir dan memesan secawan Koko Tarik Kurang Manis. Sebaik sahaja minuman dihidangkan, mereka didatangi pula oleh Adu Du dan Probe yang bersalam dengan nada manis. Tok Aba dan Ochobot sangsi dengan niat mereka, tetapi Adu Du dan Probe datang untuk menghadiahkan gitar elektrik berupa bentuk kepala Adu Du kepada Tok Kasa yang akan pulang ke Planet Quabaq. Tok Kasa melafazkan penghargaan atas usaha Adu Du dan Probe dan mereka pun 'menangis' sambil berterima kasih kepada bekas guru mereka kerana menerima mereka sebagai anak didik tanpa prejudis. Adu Du dan Probe malah mengajak Tok Kasa untuk menguji gitar baharunya di rumah Tok Aba, jadi Tok Kasa pun mendapat keizinan daripada Tok Aba dan pergi sana seorang diri. Adu Du dan Probe berdekit-dekit meraikan kelancaran misi tanpa disedari sesiapa.

Datang pula geng BoBoiBoy ke kedai Tok Aba, maka Adu Du dan Probe pun pergi duduk di meja luar. BoBoiBoy, Yaya dan Gopal duduk di tepi kaunter sementara Fang pergi menyoal Adu Du dan Probe akan niat sebenar mereka di sini; Adu Du dan Probe menjawab mereka hanya berborak dengan Tok Aba dan Ochobot. Ying memecut ke mari dan memesan "Koko-kojato" untuk lima orang. Gopal hairan kerana tidak pernah dengar item menu tersebut, jadi Ying berpesan tengok sahaja nanti. Adu Du turut memesan "Koko-kojato", tetapi Tok Aba berkata ia hanya untuk pelanggan premium; sebagai ganti mereka dihidangkan Special Coklat Tok Aba secara percuma. Gopal turun dari kerusi dan turut meminta air percuma, jadi BoBoiBoy terus menyuruhnya untuk duduk semula kerana "Koko-kojato" akan sampai. Ochobot mengendalikan mesin rahsia di sebalik kaunter untuk membuka lantai tempat duduk, menjatuhkan mereka berlima ke dalam pintu rahsia.

Geng BoBoiBoy berlima menggelongsor jauh ke bawah, lebih-lebih lagi Gopal yang terkejut sehingga melolong-lolong meminta tolong sepanjang gelongsoran. Sebaik sahaja mendarat di suatu ruang yang malap, Gopal bangun dan tertanya-tanya di mana airnya. BoBoiBoy berpesan bahawa "Koko-kojato" adalah kod rahsia untuk memasuki markas bawah tanah. Lampu pun dinyalakan, memperlihatkan wajah TAPOPS-B. Gopal bertanya lagi sejak bila adanya markas ini, maka Yaya menegurnya kerana ponteng setiap perjumpaan dengan Komander semata-mata untuk bermain sehingga tidak menyedari akan wujudnya markas baharu.

Komander Koko Ci muncul dalam skrin dan mengiakan cerita Yaya, membuat Gopal terkejut lagi. BoBoiBoy dan lain-lain terus menyapa komander mereka dengan tabik. Koko Ci menegur Gopal kerana sering memonteng mesyuarat. Laksamana Tarung turut tampil dalam skrin dan mengucapkan selamat datang ke "Stesen TAPOPS di Bumi". Koko Ci menerangkan bahawa stesen angkasa TAPOPS masih sedang diperbaiki, maka pihak TAPOPS mengambil keputusan untuk membina satu lagi stesen di Bumi di mana kumpulan BoBoiBoy akan bertugas.

Gopal bertanya mengapa mereka membina stesen di Bumi sedangkan lebih senang membinanya di angkasa. Koko Ci mendedahkan penemuan data yang menggemparkan bahawa semenjak BoBoiBoy menyertai TAPOPS, serangan oleh pelbagai musuh terhadap Stesen TAPOPS meningkat sebanyak 500 peratus, malah penyamarannya sebagai stesen dobi juga terbongkar. Fang menyalahkan BoBoiBoy atas semua itu; BoBoiBoy hanya mampu berdekit-dekit. Tarung mengumumkan bahawa penyamaran baharu akan diaktifkan untuk stesen baharu iaitu sebagai "Pusat Pencuci Kapal Angkasa Suci" yang dikendalikan oleh Kaizo.

Masih lagi di kedai Tok Aba, Adu Du tertanya-tanya ke mana hilangnya geng BoBoiBoy secara tiba-tiba. Probe meneka bahawa mereka pulang untuk menyiapkan kerja sekolah. Oleh itu, Adu Du mendapati keadaan telah mengizinkan mereka untuk melanjutkan niat sebenar mereka.

Koko Ci menangguhkan taklimat seketika untuk memperkenalkan Jam Kuasa baharu untuk BoBoiBoy. Dari panel meja bulat keluarnya sebuah hac yang membongkar sebentuk jam tangan bermuka bulat, membuat BoBoiBoy betul-betul teruja. Koko Ci menambah bahawa pihak TAPOPS telah menolong Ochobot untuk memperbaiki dan menaik taraf jam berkenaan sehingga berupaya mengeluarkan Kuasa Elemental Tahap Ketiga. Kawan-kawannya turut bergembira, namun Koko Ci mengingatkan bahawa mereka belum menemui cara yang selamat untuk mengeluarkan kuasa tersebut, malah Tarung berpesan kepada BoBoiBoy untuk berlatih dengan bersungguh-sungguh dan berusaha mendapatkannya.

Tambah Koko Ci, dengan Kuasa Elemental Tahap Ketiga, misi menyelamatkan Power Sphera akan berjalan lancar di "Sektor B-801Y", iaitu sektor di bawah jagaan geng BoBoiBoy di mana mereka akan mendapat amaran serta-merta sekiranya Power Sphera dikesan dalam bahaya. Kebetulan pula lampu amaran berbunyi, menandakan adanya Power Sphera dalam bahaya di sektor mereka. Ying memasang komputer untuk mencari dan mendapati amaran datang dari kawasan kedai Tok Aba, di mana Adu Du dan Probe cuba menculik Ochobot. Maka geng BoBoiBoy segera bergerak ke permukaan untuk menyelamatkan kawan mereka.

Yaya, Ying, Gopal dan Fang muncul dari bawah pondok kedai Tok Aba, jadi Adu Du dan Probe pun menyedari bahawa mereka juga mempunyai markas bawah tanah. Tatkala Yaya dan Ying bersemuka dengan Adu Du, BoBoiBoy melonjak di belakang dan menggunakan Jam Kuasa baharunya untuk bertukar menjadi BoBoiBoy Blaze lalu membuka pertarungan dengan Tinju Berapi. Adu Du menyerahkan Ochobot kepada Probe dan mengeluarkan galah besinya untuk menampan tumbukan Blaze. Blaze menyerang lagi dengan Tendangan Berapi Bertubi-tubi tetapi setiap satunya juga ditepis dengan mudah oleh Adu Du yang mengejeknya lembab. Blaze rimas dengan hinaan itu dan bertindak menyerang dari langit dengan Tendangan Berapi yang kencang membakar rumput. Adu Du sempat mengelak, kemudian menyandung dan menjolok Blaze dengan galahnya sehingga jatuh, menyebabkan Ochobot dan kawan-kawan lain semakin cemas.

Tok Aba yang turut menyaksikan pertarungan itu hairan melihat Adu Du semakin hebat berlawan. Adu Du dengan bangga berkata dia pernah berlatih dengan Tok Kasa, malah Probe berpesan agar tidak memandang rendah pada tuannya walaupun badannya rendah; Adu Du berasa jengkel dengan perlian itu dan memukul Probe dengan galahnya. Yaya dan Ying turun bertarung dengan melancarkan Tumbukan Padu dan Seribu Tendangan Laju secara serentak ke arah Probe. Adu Du segera menghalang mereka dengan galahnya sambil mengingatkan bahawa tiada sesiapa boleh memukul Probe selain daripada dirinya sendiri. Probe terharu dengan kata-kata tuannya dan bertukar mod kepada Mecha Probe.

Ketika hendak melakukan serangan, Mecha Probe tiba-tiba dikekang oleh Fang dengan Tusukan Bayang, menyebabkan pelurunya jatuh bertaburan di merata perkarangan kedai. Gopal lintang-pukang mencari perlindungan, sementara Tok Aba berlindung dalam kaunter bersama pelanggan-pelanggan, merintih nasib kedainya yang termakan kemusnahan, jadi Fang pun meminta maaf. Probe meminta tolong daripada Adu Du yang sedang sibuk membendung serangan bertubi-tubi daripada Yaya dan Ying. Adu Du menyahut dengan melaraskan galahnya untuk melakukan serangan balas yang cukup kencang sehingga membuat Yaya dan Ying terpelanting ke arah Fang, sekaligus meleraikan belenggu bayang Fang daripada Mecha Probe.

BoBoiBoy Blaze naik berang melihat Adu Du mencederakan kawan-kawannya dan bertindak menghujani lawannya dengan serangan Bebola Api berbiji-biji. Sekali lagi Adu Du menepis dengan memutar-mutarkan galahnya, menyebabkan bebola api berterbangan ke merata tempat dan memburukkan lagi kerosakan kedai. Fang membentuk Perisai Bayang untuk melindungi Yaya, Ying dan Gopal. Blaze sekali lagi mengasak Adu Du dengan Tinju Berapi dan Tendangan Berapi; kali ini, Adu Du terkena di bahagian lengan kanannya. Adu Du mendapati lawannya semakin marak dan menyuruh Probe bertukar mod dan melarikan Ochobot. Probe bertukar mod kepada Probey Jet dengan Ochobot terkurung di dalam kokpitnya, pergi menjemput tuannya dan memecut ke langit.

Blaze bertukar Kuasa Elemental kepada BoBoiBoy Taufan dan menaiki Hoverboard Taufannya untuk mengejar Adu Du di angkasa. Fang menggesa Yaya, Ying dan Gopal bersama-sama mengejar musuh mereka. Ying dan Yaya bergerak dahulu dengan Larian Supersonik dan Pecutan Graviti. Gopal pula tercegat di situ dan meminta tolong daripada Fang.

Adu Du duduk di dalam kokpit Probey Jet dan memateri suatu cip berbentuk kepalanya ke dalam badan Ochobot yang meronta-ronta cuba melepaskan diri. Taufan datang mengejar dan melancarkan Cakera Udara terhadap musuhnya, membuat Probey Jet tunggang-langgang mengelak serangan sehingga terbang secara terbalik. Yaya dan Ying juga muncul, membuat Probe cemas dan meminta tolong daripada tuannya, tetapi Adu Du merungut sukar bertindak dalam keadaan terbalik.

Tidak jauh di belakang, Fang memakai Helang Bayang dan mengangkat Gopal ke udara. Digesa oleh Fang yang terkesan dari berat badannya, Gopal membidik dengan teliti ke arah Probey Jet lalu melepaskan Tembakan Sniper Makanan. Probey Jet terkena di bahagian booster yang ditukar menjadi biskut dan mula jatuh. Pada masa yang sama, Fang sudah tidak larat dan turut menjunam bersama Gopal. Adu Du cemas menyuruh Probe bersedia untuk teleportasi. Taufan mengejar lagi, menegah Adu Du daripada memperalatkan Ochobot dan melancarkan Cakera Udara, dibantu oleh Ying di darat yang melakukan Kuasa Slo-mo untuk melambatkan pergerakan Probey Jet.

Walaupun diperlahankan, Adu Du sempat menekan perantinya untuk mengaktifkan Kuasa Teleportasi Ochobot, maka Probey Jet sempat dibawa masuk melalui portal teleportasi. Mujur bagi pihak BoBoiBoy, teleportasi gagal membawa Adu Du dan Probe pergi jauh, maka sekali lagi mereka berhadapan dengan BoBoiBoy dan kawan-kawannya, apatah lagi tidak dapat memecut lagi kerana sebelah booster Probey Jet telah menjadi biskut. Yaya melakukan Tumbukan Padu pada Probey Jet, menyebabkan Ochobot dalam keadaan pengsan terlepas dari tangan Adu Du dan terkeluar dari kokpit. Probey Jet tercampak jauh dan terhempas, sementara Ying cepat menyambut Ochobot yang jatuh dari langit. Taufan turun dan bersedia untuk melakukan Cakera Udara Maksima, maka Adu Du segera mengawal Ochobot dari perantinya untuk membuka portal di langit supaya dia dan Probe sempat melarikan diri daripada termakan serangan BoBoiBoy.

Setelah selesai bertarung, BoBoiBoy dan kawan-kawan berkumpul untuk menjenguk keadaan Ochobot. Yaya mengkhabarkan perihal Adu Du dan Probe melarikan diri dengan menggunakan teleportal Ochobot. Fang terkilan dan bertanya ke mana mereka pergi. Ochobot berentah kerana koordinatnya telah dikawal oleh Adu Du. BoBoiBoy memujuk kawan-kawannya membiarkan musuh mereka terlepas untuk kali ini asalkan Ochobot selamat. Gopal pula tertanya-tanya ke mana perginya lawan mereka.

Adu Du dan Probe selamat kembali di markas bawah tanah mereka, mengenang nasib mereka sewaktu bertarung dengan geng BoBoiBoy. Probe mengeluh kerana gagal melarikan Ochobot, tetapi Adu Du ketawa terkedek-kedek membetulkan sangkaan robot suruhannya bahawa dia tidak berniat untuk menangkap Ochobot, tetapi hanya untuk memasang cip di dalam badannya. Komputer tampil untuk mengkhabarkan bahawa Ochobot kini berada di kedai Tok Aba, membuat Probe bertanya cip apa yang ditanam oleh tuannya tadi. Atas arahan Adu Du, Komputer menerangkan bahawa cip tersebut akan mereplikasi teleportal yang dibuka oleh Ochobot, iaitu setiap kali Ochobot menghasilkan satu teleportal, satu lagi teleportal akan dibuka untuk pihak Adu Du untuk menjejaki lokasinya supaya mereka dapat mengejar geng BoBoiBoy ke mana sahaja mereka pergi. Probe girang memuji kebijaksanaan tuannya.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

  • Probe memakai apron pink dalam awal episod.
  • Tidak seperti dalam komik, pelajar-pelajar lain tidak hadir di kelas Papa Zola seperti Iwan.
  • Ketika Papa Zola menambahkan kerja sekolah di bawah permintaan Yaya dan Ying, Fang tidak mengeluh tentang berkawan dengan mereka berdua.
  • Ketika hendak pulang dari sekolah, Gopal mengenakan beg sandang sekolah dalam episod ini.
  • Gopal dengan hairan bertanya sejak kapan TAPOPS memiliki markas bawah tanah selepas BoBoiBoy memperkenalkannya.
  • Adu Du tidak menggunakan Serangan Rod Elektrik terhadap Yaya, Ying dan Fang.
  • Ketika melontarkan Bebola Api kepada Adu Du, BoBoiBoy Blaze hanya menyebutkan "Serangan Bebola Api" dalam komik.
  • Sebelum Ying menggunakan Kuasa Slow-Mo untuk menghentikan Adu Du, BoBoiBoy Taufan melepaskan Cakera Udara lagi dalam episod daripada menggunakan Gerudi Taufan dalam komik.
  • BoBoiBoy Ais dan Duri tidak muncul dalam episod ini.
  • Sebagai serangan terakhir kepada Adu Du dan Probe, BoBoiBoy Taufan menggunakan Cakera Udara Maksima dalam episod manakala BoBoiBoy Blaze menggunakan Bebola Api Maksima dalam komik.

Watak[]

Galeri[]

Video[]

Advertisement