BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

"Paduan Dua Kuasa!" merupakan isu ke-9 BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 26 Mac 2021.

Sinopsis

BoBoiBoy Solar, BoBoiBoy Duri, dan Ying telah pun tiba di Piramid Baja, tempat tersimpannya Power Sphera PasuBot. Namun begitu, BoBoiBoy Halilintar, Gopal, dan Yaya masih mencari jalan untuk meloloskan diri daripada menjadi habuan Tumbosaur.

Mampukah mereka menyelamatkan PasuBot sebelum Adu Du dan Probe? Atau adakah Adu Du berjaya memperoleh Power Sphera tersebut dan mengeluarkan kuasa terpendam dalam dirinya?

Plot

Malam berganti siang, dan kumpulan BoBoiBoy Halilintar, Gopal, dan Yaya tertanam di dalam tanah sehingga paras leher untuk dikorbankan kepada Tumbosaur oleh Puak Baja atas arahan Adu Du semalam, masih bergelut untuk melepaskan diri. Pada saat yang genting apabila Tumbosaur mula bangkit dari tidur, Yaya menggunakan sepenuh tenaga yang ada untuk melakukan Apungan Graviti, dan dia berjaya memecahkan tanah dan mereka bertiga pun terlepas.

Sementara itu, BoBoiBoy Solar, BoBoiBoy Duri dan Ying masih tercari-cari pintu masuk ke dalam piramid kuno yang tertinggal di tengah-tengah hutan. Mereka dihubungi oleh kumpulan yang satu lagi, di mana Yaya berpesan bahawa Adu Du dan Probe sedang menuju ke lokasi mereka, dan dalam keadaan hampir buntu akal, Duri dan Solar mencari jalan membuka pintu secara berseloroh: Duri membacakan jampi untuk membuka pintu seperti gua harta karun Ali Baba, sementara Solar melakukan perhitungan untuk mencari kod rahsia untuk memutarkan roda 'kekunci pintu' seperti bilik kebal bank, sebelum menyedari bahawa itu roda kereta sorong yang tiada kena-mengena dengan pintu. Cubaan mereka diejek satu sama lain sehingga menimbulkan pergaduhan kecil tetapi dipatahkan oleh Ying.

Kebetulan pula, fajar menyingsing di hadapan pintu, membuat akar menjalar sekitar pintu mula bergerak-gerak. Rupa-rupanya pintu piramid juga makhluk tumbuhan yang tidur malam jaga siang seperti Tumbosaur. Atas cadangan Ying, Solar membuka pintu cukup luas dengan Sinaran Solar, dibantu oleh Duri dengan Tiang-tiang Duri untuk menahan pintu. Setelah masuk, Ying memuji Duri dan Solar kerana dapat bekerjasama setelah berdingin, dan mereka bertiga bertemu dengan satu lagi pintu dengan lubang kunci di tengah yang berbentuk petak dengan dua lagi lubang petak kecil di dalam.

Pada masa yang sama, Adu Du dan Probe merempuh masuk piramid dan menembakkan laser ke arah mereka bertiga. Memandangkan corak lubang pintu yang kedua serupa dengan corak kepala Adu Du, Probe bergegas memasukkan kepala Adu Du ke dalam lubang untuk membuka pintu. Pintu berjaya dibuka, dan Probe memberitahu kepada mereka bagaimana cara membuka pintu itu tetapi Adu Du memperdiamkannya. Mereka berlari masuk ke piramid dan Probe melepaskan tembakan roket untuk meruntuhkan kawasan pintu untuk menghalang Solar, Duri, dan Ying.

Ying sempat melakukan Kelajuan Slow-Mo untuk memperlahankan keruntuhan supaya mereka bertiga sempat ke sebalik pintu, tetapi runtuhan itu menutup cahaya dan menyebabkan keadaan gelap-gelita. Solar menyalakan Bola Solar untuk menerangi keadaan; pada masa yang sama, tibanya kumpulan Halilintar, Yaya, dan Gopal di mana Gopal menukarkan runtuhan kepada biskut krim. Maka kesemua wira muda pun bertemu semula, dan Duri, Solar, dan Halilintar bergabung semula menjadi satu.

Geng BoBoiBoy kini berada di dewan yang penuh dengan ukiran berwarna-warni yang mengisahkan sejarah Planet Kadruax dan kaum Baja yang pernah mengalami bencana kemarau yang berlarutan (mengesahkan pengetahuan DataBot bahawa planet ini pernah tandus) sehingga munculnya Power Sphera PasuBot yang menyuburkan semula planet sehingga tumbuh hutan tebal, dibawakan oleh suatu makhluk berkulit hijau yang tidak diketahui rupanya (kerana terpadam akibat rekahan dinding).

Kedengaran pula suara Adu Du berteriak meraikan kejayaan, maka geng BoBoiBoy pun bergegas ke sana untuk mendapati bahawa Adu Du dan Probe sudah menjumpai PasuBot yang terletak di atas meja di tengah piramid. Sebelum BoBoiBoy sempat menghalang Adu Du dari menyentuh Power Sphera tersebut, Adu Du memasang suis di meja sebelah PasuBot untuk menurunkan kurungan untuk menghalang kemaraan BoBoiBoy. BoBoiBoy bertanya mengapa mereka dapat memasuki piramid dengan mudah; Adu Du menjawab bahawa piramid ini dibina khas untuk kaumnya iaitu kaum Kubulus, menjawab kehairanan mereka akan layanan baik puak Baja terhadap Adu Du.

Adu Du dengan bangganya membuka bekas yang menyimpan PasuBot dan bersedia untuk menggunakannya. BoBoiBoy menengking Adu Du tidak layak menggunakannya, dan Probe berbalas dengan kenyataan bahawa bosnya layak kerana kaumnya pernah berjasa kepada planet Kadruax dan penduduknya, membuatkan BoBoiBoy merasa geram. PasuBot terjaga dari tidur dan menanggap Adu Du sebagai tuannya. BoBoiBoy cuba memujuk PasuBot untuk ingkar, sementara Adu Du menyuruh Probe untuk menyiapkan 'benih Oakuat'. Setelah ditunjukkan benihnya, PasuBot merasakan ada yang tidak kena dan cuba meminta Adu Du tunggu, tetapi Adu Du terburu-buru memasukkan benihnya ke dalam PasuBot.

Maka benih yang dimasukkan itu diolah dalam badan PasuBot, tetapi hasilnya ternyata di luar jangkaan Adu Du apabila dahan-dahan menjalar tumbuh deras dari PasuBot. Yaya teringat bahawa benih ungu berduri itu ialah benih asli yang pernah dikutipnya untuk dikaji kemudian hari, dan bukan benih Oakuat yang disangka-sangka oleh Adu Du. Tidak sempat Adu Du menyedari kesilapannya, akhirnya terbentuk seekor raksasa pokok dengan belikat rimbunan berduri-duri - digelar Alpha Tumbosaur oleh Gopal! Maka semua orang pun melarikan diri, tetapi Alpha Tumbosaur menangkap dan memakan Adu Du dan Probe lalu berpaling kepada geng BoBoiBoy.

BoBoiBoy bertukar kepada BoBoiBoy Blaze dan melakukan Semburan Berapi untuk membendung ancaman Alpha Tumbosaur. Yaya dan Ying membantu dengan Tumbukan Graviti dan Tendangan Laju, tetapi ditangkap oleh daun menjalar raksasa itu sebelum diselamatkan oleh potongan Cakera Berapi daripada Blaze. Akan tetapi, anggota Alpha Tumbosaur cepat tumbuh semula selepas dipotong. PasuBot kelihatan tercantum dengan Alpha Tumbosaur dengan dahan-dahan di lambung kiri, meminta maaf kerana selagi dirinya bercantum dengan raksasa, selagi itulah raksasa dapat tumbuh semula bahagian yang dipotong.

Blaze bertukar kepada Halilintar dan melakukan Pecutan Kilat untuk bergegas ke arah tempat PasuBot tersangkut pada badan raksasa. Belum sempat Halilintar melakukan tetakan, kakinya dibelit oleh daun menjalar. Yaya segera bertindak mengenakan Graviti Pemberat untuk melumpuhkan Alpha Tumbosaur. Gopal turut membantu dengan melepaskan Tembakan Teh Ais ke arah raksasa untuk melicinkan daun-daun supaya Halilintar terlepas dan melakukan Tetakan Halilintar untuk melepaskan PasuBot dari ikatan. Sebaik sahaja dibebaskan, Halilintar membaling PasuBot kepada Gopal dan menyuruh semua kawannya untuk lari dari Alpha Tumbosaur, dibantu oleh Ying dengan Kelajuan Tinggi. Halilintar kini tersangkut dalam jalaran belikat raksasa dan bertukar kepada asal, sempat bertegur sapa dengan Adu Du dan Probe yang tertahan dalam daun-daun pencengkam sementara raksasa mara memburu yang lain.

Gopal, Yaya, dan Ying berlari menaiki tangga ke puncak piramid lalu menghubungi Ochobot di MYS Kebenaran, tetapi kebetulan pula kapal angkasa itu tiba di situ untuk menyambut mereka setelah sempat dibebaskan dari cengkaman akar menjalar semalam oleh Papa Zola. Pada masa yang sama, Alpha Tumbosaur merempuh puncak piramid dan menangkap MYS Kebenaran, membuat Papa kembali cemas diancam oleh 'Raksasayur' sekali lagi. Adu Du dan Probe seakan-akan rela menjadi 'baja' raksasa, tetapi BoBoiBoy berikhtiar untuk melepaskan diri dengan berpecah menjadi dua iaitu Solar dan Duri. Ying berkeluh melihat gandingan elemental ini lagi dan memohon mereka supaya tidak bergaduh. Duri dan Solar menjamin itu tidak akan berlaku, lalu melakukan Elemental Fusion untuk menjadi BoBoiBoy Sori.

Adu Du bertanya mengapa nama Sori, dan jawabnya 'Sori kalau korang terkena sekali' sambil melakukan Libasan Durian Sori untuk meletupkan badan Alpha Tumbosaur. Sebagai serangan penamat, Sori menjelmakan lembaga berbentuk pokok bunga gergasi untuk memancarkan Tembakan Sori Berduri untuk memusnahkan raksasa, sekaligus melepaskan Adu Du dan Probe. Adu Du dan Probe berterima kasih kepada Sori, tetapi Sori mengacukan kuasanya kepada mereka pula, membuat mereka tergesa-gesa melarikan diri tanpa menyedari bahawa Sori sekadar mengacah mereka.

BoBoiBoy dan kawan-kawan selamat menaiki MYS Kebenaran bersama dengan PasuBot. PasuBot berterima kasih kepada BoBoiBoy kerana menyelamatkannya dan sudi memberikan bantuan kepadanya. BoBoiBoy berhajat untuk menumbuhkan benih Oakuat, dan hajat itu pun ditunaikan. Bab ini ditutup dengan kejadian yang berlaku jauh dari lokasi BoBoiBoy, di dalam sebuah gua di mana suatu makhluk putih menggerunkan keluar dari kepompong di hadapan saksi.

Watak

Trivia

Galeri

Video

Rujukan

Advertisement