BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

"Puak Purba Kadruax!" ialah isu kelapan komik BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Pada asalnya dijadualkan keluar pada Januari 2021, ia terpaksa ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang dilaksanakan di Malaysia susulan gelombang ketiga wabak COVID-19, dan akhirnya dikeluarkan pada 26 Februari 2021.

Sinopsis

Setelah bersemuka dengan gerombolan Tumbosaur di Planet Kadruax, BoBoiBoy dan rakan-rakan berusaha melepaskan diri demi menjejak Power Sphera PasuBot yang amat berharga. Namun ada satu lagi kejutan sedang menanti mereka di belantara Kadruax, yang boleh membuatkan rancangan mereka menjadi kucar-kacir!

Plot

Papa Zola dan Ochobot cuba menerbangkan kapal angkasa MYS Kebenaran dari bahaya, tetapi enjin kapal tersumbat dengan akar menjalar dari raksasa pokok. Mereka terpaksa bertahan dengan menutup tingkap-tingkap dengan bidai supaya raksasa tidak masuk, dan Ochobot menghantar mesej kecemasan kepada BoBoiBoy.

Sementara itu, BoBoiBoy, Gopal, Yaya, dan Ying bersembunyi di dalam kayu balak gugur daripada raksasa pokok. Ying menyelidik dalam tablet dan mendapati raksasa tersebut tiada dalam pangkalan data; Gopal bercadang agar raksasa itu dinamakan "Tumbosaur" kerana rupanya seperti campuran dinosaur dan tumbuhan. BoBoiBoy bertanya sama ada PasuBot masih dikesan, jawab Ying ia datang dari arah utara, sementara Gopal menggesa batalkan misi.

Malangnya, gerombolan raksasa "Tumbosaur" berjaya mengesan geng BoBoiBoy dan memecahkan kayu. BoBoiBoy segera bertukar menjadi Gempa dan melakukan Tumbukan Gempa untuk mengusir raksasa, dibantu oleh Yaya dan Ying dengan Tolakan Graviti dan Tendangan Laju masing-masing. Gopal pula, disebabkan Tukaran Makanan tidak berkesan pada Tumbosaur, nyaris dibaham seekor Tumbosaur, tetapi dia terjumpa belantan kayu dan melawan balik.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi dentuman yang kuat, membuat raksasa Tumbosaur berhenti dan berundur. Gempa melihat di celah kayu dan mendapati seekor lagi Tumbosaur yang jauh lebih besar, menyerupai Triceratops berkaki empat, datang melanggar batang kayu sampai tergolek! Gempa melindungi kawan-kawan dengan menghasilkan Pelindung Tanah supaya mereka mendarat dengan selamat.

Namun begitu, geng BoBoiBoy masih belum terselamat dari ancaman Tumbosaur. Ying menunjuk ke arah jambatan yang terbentuk daripada pokok jatuh yang menyeberangi ngarai yang tinggi. Baru setengah jalan menyeberangi, mereka berempat dikepung oleh kemunculan Tumbosaur seakan Tyrannosaurus rex yang muncul di hadapan jalan, dan Tumbosaur seakan Triceratops yang mengejar dari belakang.

BoBoiBoy berpecah Kuasa Tiga menjadi Duri, Halilintar, dan Solar. Halilintar membantu Yaya yang melawan Tumbosaur Triceratops sementara Duri melepaskan Akar Pengikat untuk mengikat mulut, tangan dan kaki Tumbosaur T-rex di depan, tetapi ia memutuskan ikatan dengan senang dan bersambung mengganas. Solar menembakkan Tembakan Solar kepada si T-rex, tetapi ternyata hanya menguatkan raksasa itu (kerana tumbuhan menerima tenaga dari cahaya suria).

Tumbosaur T-rex yang sudah besar memijak jambatan, menyebabkan Gopal melenting ke udara. Yaya mengeluarkan Apungan Graviti supaya Gopal tidak terjatuh, sementara Ying, Duri dan Solar berpaut pada dahan jambatan untuk mengelak dari tergelincir ke arah mulut Tumbosaur T-rex. Tumbosaur T-rex mara ke depan di atas jambatan, menyebabkan jambatan patah dan jatuh ke dalam ngarai, dan Ying, Solar, dan Duri turut terlenting. Ying dan Solar cuba menyeru kuasa masing-masing tetapi dilanggar oleh cebisan jambatan sehingga pengsan; Duri mengikat mereka Ikatan Duri dan membuat Daun Payung Terjun (dengan daun yang berdekatan) untuk menampan kejatuhan mereka.

Halilintar memandang dari atas, menarik nafas lega setelah menyaksikan adegan cemas, tetapi diingatkan Gopal untuk membantunya dan Yaya melawan Tumbosaur di pihak mereka. Halilintar mengeluarkan Pedang Halilintar dan bergegas ke arah Yaya, tetapi tersandung pada akar menjalar yang menyangkut dan mengheretnya dari belakang, membuatkan kedua-duanya pedangnya pun tercicir dari capaian. Gopal dan Yaya juga ditangkap dan diikat sekali, menyebabkan mereka tergantung di pokok.

Tiba-tiba sahaja, gerombolan Tumbosaur itu berhenti dan bertukar kembali kepada pokok. Yaya membuat kesimpulan bahawa Tumbosaur hanya aktif pada waktu siang ketika ada cahaya matahari, dan berehat pada waktu malam. Halilintar, Gopal, dan Yaya cuba melepaskan diri dari akar menjalar, tetapi mereka disambut oleh sekumpulan makhluk setara manusia yang memakai topeng kayu dan pakaian daun, melaungkan teriakan berulang yang kedengaran seperti "ja ba ja ba".

Gopal risau inilah puak orang asli memakan orang seperti yang diceritakan oleh Qually, tetapi Yaya tenang dan memujuk Halilintar untuk menyapa mereka. Halilintar cuba berbahasa "jaba jaba" dengan orang asli, tetapi dibalas dengan kekasaran dan "ba ja ba ja". Yaya tertanya-tanya apa maksud kata-kata orang asli, sambil mengharapkan yang terbaik buat kumpulan Ying.

Sementara itu, Ying dan Solar terjaga dari pengsan dan menyedari mereka sedang menaiki sampan daun yang dibentuk oleh Duri sendiri, cuma sampannya berduri membuat Solar kurang selesa. Ying berkata jika mereka ikut terus sungai yang mereka jalani, mereka akan terus sampai di lokasi PasuBot. Duri berharap dapat bertemu semula dengan kumpulan Halilintar di sana, tetapi Solar risau kerana sukar menghubungi mereka.

Halilintar, Yaya, dan Gopal dibawa ke kampung orang asli, lalu didudukkan di meja makan. Gopal takut inilah saat mereka akan dimakan, tetapi penduduk kampung menyuap buah-buahan kepada mereka, membuatkan mereka pun tenang. Mereka disambut oleh kemunculan Adu Du dan Probe yang berpakaian seperti penduduk kampung, tampil untuk menerangkan kepada mereka bertiga bahawa Puak Baja ini tidak makan orang, sebaliknya mengamalkan pemakanan vegetarian.

Apapun, Adu Du dan Probe mengulangi hasrat mereka untuk merampas benih Oakuat dan Power Sphera PasuBot setelah mengetahui tujuah BoBoiBoy ingin mendapatkan benda-benda tersebut. Probe merampas benih ungu dari saku Halilintar yang disangka benih Oakuat untuk diberikan kepada Adu Du, dan Adu Du berhasrat untuk makan buah itu sendiri untuk mengeluarkan kuasa terpendamnya sendiri. Gopal memerli Adu Du, tetapi ditampar oleh Probe kerana menghina "Ketua Baja", membuat semua rasa hairan.

Adu Du menerangkan bahawa mereka datang ke Planet Kadruax untuk mematahkan misi BoBoiBoy tetapi diancam oleh raksasa Tumbosaur sehingga diselamatkan oleh Puak Baja lalu dilantik menjadi penghulu mereka. Yaya bertanya bagaimana, tetapi Adu Du merahsiakan, kemudian dia beredar bersama Probe untuk memburu PasuBot dan meninggalkan Halilintar bertiga terikat di kampung. Penduduk kampung menyanjung ketua mereka dengan laungan "Baja Baik" lalu menanam Halilintar, Yaya dan Gopal terjulur kepala dalam tanah. Yaya berpendapat mereka diperlakukan begini untuk diberi makan kepada Tumbosaur, membuat Gopal lagi takut dan cemas.

Sementara itu, Ying, Solar dan Duri semakin hampir dengan punca isyarat Power Sphera, turun dari sampan untuk menaiki tangga yang menuju ke dalam sebuah piramid yang terbiar usang dan ditumbuhi pokok. Duri tidak sabar untuk mendapat Kuasa Elemental tahap ketiga, sementara Solar mengingatkan agar cepat menyelesaikan misi kerana takut akan jadi pelupa jika berpecah terlalu lama.

Watak

Trivia

Kesilapan

  • Yaya menyebut "Tumbosaur ... hanya aktif bila ada cahaya matahari; bila malam, mereka berhibernasi." 'Hibernasi' sebenarnya merujuk kepada tabiat sesetengah jenis haiwan yang berehat atau tidur jangka masa lama pada musim sejuk, tidak seperti yang digambarkan dalam babak berkenaan.

Galeri

Video

Advertisement