BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

"Belantara Penuh Bahaya!" ialah isu ketujuh komik BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 25 Disember 2020.

Sinopsis

Pengembaraan baharu! Setelah menerima benih Oakuat daripada Tuan Guru Gaharum, BoBoiBoy kini bersemangat untuk mempelajari Kuasa Elemental Tahap Ketiga. Akan tetapi, rancangan BoBoiBoy berjaya dihidu oleh musuh yang licik dan penuh muslihat. Pertarungan dua seteru ini membawa mereka ke sebuah planet yang buas dan liar, Planet Kadruax!

Plot

Loceng berbunyi menandakan berakhirnya seminggu persekolahan di Akademi Pulau Rintis, waktu untuk pulang ke rumah dan menikmati hujung minggu. Lebih-lebih lagi Yaya dan Ying yang teruja sekali, tidak sabar hendak mengulang kaji bersama-sama dalam 'Study Night', manakala BoBoiBoy merancang untuk ke TAPOPS-U untuk mengkaji selidik benih Oakuat yang dikurniakan oleh Tuan Guru Gaharum dalam pengembaraan yang lepas di Planet Rimbara.

BoBoiBoy mengajak Gopal dan Fang untuk turut serta, tetapi Gopal enggan kerana rela bermain permainan video di rumah. BoBoiBoy memujuknya sekali lagi dengan janji makanan lazat yang dimasakkan oleh Qually, maka Gopal pun setuju. Sementara itu, Adu Du dan Probe sedang menggali bawah tanah selama tiga hari sehingga berjaya menceroboh markas TAPOPS-U.

Di kafeteria TAPOPS-U, Gopal menjamah masakan seakan-akan nasi goreng yang dimasak oleh Qually. Apabila ditanya, Qually menerangkan bahawa masakan itu bukan nasi tetapi semut goreng, membuat Gopal terperanjat dan terus meluahkan makanannya. Pada masa yang sama, Adu Du dan Probe menyelinap dalam salur pengalihan udara, mengintip perbualan warga markas.

Melihat Gopal kecil hati dengan apa yang dihidangkan, Qually meminta maaf kerana hanya ingin mencuba resepi-resepi yang ditulis dalam buku Tuan Guru Gaharum, kemudian bertanyakan pendapat daripada BoBoiBoy sedang khusyuk mengkaji buku sehingga terjawab soalan Qually dalam keadaan bingung.

Gopal mengumpat BoBoiBoy kerana muram semenjak menerima benih Oakuat, menandakan dia tidak berterima kasih, tetapi BoBoiBoy menyanggah sambil terkenang pesanan Tuan Guru Gaharum supaya benih itu ditanam dan dijaga baik-baik sehingga menjadi pokok Oakuat yang besar dan sihat dan menghasilkan sebiji buah yang boleh memberikan kuasa terpendam, tetapi haruslah bersabar kerana pokok itu hanya berbuah sekali sepanjang hayatnya. Paling menggemparkan, ia mengambil masa seribu tahun untuk tumbuh!

Qually mencadangkan agar digunakan suatu Power Sphera yang disimpan dalam markas untuk mempercepat penumbuhan pokok berkenaan. BoBoiBoy berkata tiada yang boleh berbuat sedemikian, tetapi sebaliknya dia pergi bertanya kepada DataBot yang sedang dicas dalam pod kuasa. Gopal risau kerana DataBot lembab, tetapi BoBoiBoy yakinkan dia bahawa DataBot sudah dinaik taraf supaya dapat memproses data dengan lebih laju.

BoBoiBoy bertanya kepada DataBot sama ada terdapat Power Sphera yang mempunyai kuasa untuk mempercepat pertumbuhan pokok. Dengan segera DataBot menjawab PasuBot. BoBoiBoy bertanya lagi di mana ia terdapat, tetapi sebelum sempat menjawab, DataBot kembali lembap. Gopal bertindak menguatkan lagi mesin pengecas untuk mempercepat pemprosesan DataBot, tetapi luruan kuasa yang dikenakan melampau sehingga merenjat Adu Du dan Probe yang mengintip di dalam salur!

Nampaknya DataBot terselamat dari renjatan dan menghabiskan jawapan bahawa PasuBot terdapat di sebuah planet tandus bernama Planet Kadruax, beserta dengan koordinatnya. Sementara itu, Qually mengesan gerak-geri aneh di dalam salur udara dan membongkarkan Adu Du dan Probe. Adu Du merampas DataBot dan cuba melarikan diri dengan menaiki Probe yang bertukar kepada mod Kereta Probe. Qually cuba menghalang mereka dengan melontarkan Sudip Berapi, tetapi Adu Du membalas dengan menembak Qually dengan Ekzos Laser. Mujur Gopal sempat menampan dengan menukarkan laser kepada mi goreng.

BoBoiBoy bertukar menjadi Halilintar dan melakukan Pecutan Kilat untuk mengejar Adu Du dan Probe yang sedang menuju ke pintu lif untuk keluar dari markas. Halilintar memintas dan mengenakan Tetakan Halilintar kepada Adu Du yang menepis dengan Rod Elektriknya. Ketika Adu Du berlagak bahawa BoBoiBoy tidak belajar dari pertarungannya yang lepas, Halilintar bertukar kepada Gempa dan menjatuhkan Adu Du dengan Tumbukan Gempa, kemudian menuntut semula DataBot, Adu Du dan Probe sempat menaiki lif untuk melarikan diri, tetapi mereka disambut oleh Fang yang mengusir mereka keluar dengan Tumbukan Bayang.

BoBoiBoy bercadang untuk pergi menjalankan misi segera kerana Adu Du telah mengintip mereka, dan Gopal dan Qually setuju kerana khuatir Adu Du juga akan mengejar PasuBot dan mematahkan hasrat BoBoiBoy untuk membesarkan pokok Oakuat dan mendapatkan kuasa baharunya. Fang dan Qually akan tinggal untuk menaik taraf sistem pertahanan markas, jadi tinggal BoBoiBoy, Gopal, Ying, dan Yaya yang akan pergi ke planet Kadruax untuk menuntut Power Sphera baharu.

Keesokan harinya, rombongan BoBoiBoy, Gopal, Ying, dan Yaya, bersama Ochobot dan Papa Zola, menaiki kapal angkasa MYS Kebenaran untuk diteleportkan ke lokasi Planet Kadruax dengan kuasa Ochobot. Setelah tiba di Planet Kadruax, Yaya melaporkan dikesannya isyarat lemah dari kawasan berdekatan, mungkin disebabkan hutan tebal. Papa Zola mengeluh sukarnya mendaratkan kapal dalam keadaan hutan tebal, jadi BoBoiBoy bercadang supaya kapal diterbangkan rendah-rendah supaya mereka boleh terjun keluar.

BoBoiBoy, Gopal, Ying, dan Yaya bertukar kepada pakaian pengembara hutan sambil mendengar ucapan semoga berjaya oleh Qually melalui panggilan video. Ditanya Gopal mengapa tidak ikut sekali, jawabnya takut kerana orang tuanya pernah berpesan akan kehadiran raksasa ganas dan 'puak orang asli yang makan orang' di planet berkenaan. Gopal ngeri mendengar penjelasan Qually dan hendak menarik diri, tetapi sudah terlambat dan dia diheret oleh BoBoiBoy untuk terjun dari kapal bersama-sama. BoBoiBoy bertukar jadi Taufan dan mengeluarkan Luncuran Taufan untuk menenangkan ketakutan Gopal.

Adu Du menaiki Probe dalam mod Probey Jet, tiba di planet Kadruax pada masa yang sama dengan hasrat mencuri PasuBot sebelum ia jatuh di tangan BoBoiBoy. Setelah mengesan isyarat, Adu Du mengarahkan Probe untuk mendarat di arah situ.

Untuk mendarat dengan selamat dari terjunan, Yaya dan Ying melakukan kombinasi Apungan Graviti dan Kelajuan Rendah, sementara Gopal tersangkut kolarnya pada hoverboard Taufan. Isyarat Power Sphera bertambah kuat, dikesan di kawasan utara dari lokasi semasa mereka. Yaya kagum melihat pokok-pokok sekitar serba tinggi dan berwarna-warni, membuat Taufan hairan kerana DataBot pernah berkata planetnya tandus.

Juga menarik perhatian mereka adalah benda-benda yang berupa benih berwarna merah ungu dan berduri. BoBoiBoy dan Yaya memungut beberapa biji sementara Gopal cemas mengingatkan mereka akan bahaya yang disebut oleh Qually tadi. Ying yang memegang tablet mendapat tiada sebarang data mengenai raksasa di planet ini, dan Yaya cuba menguatkan semangat kepada Gopal yang semakin takut.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi-bunyi pecutan dari berdekatan jadi BoBoiBoy dan lain-lain mula berjaga-jaga, kecuali Gopal yang hanya meraung ketakutan akan raksasa. Seperti yang diduga, munculnya seekor "raksasa pokok" berbentuk dinosaur berjalan dua kaki dengan kepala seakan bunga bersiung dengan lidah cabang tiga. Taufan mencampakkan raksasa jauh-jauh dengan Tolakan Taufan sehingga ia terhentak pada pokok, tetapi muncul pula banyak lagi raksasa seumpamanya mengepung dan menyerang mereka!

Yaya menyerang dengan Tumbukan Graviti, Ying mengenakan Tendangan Ribut, dan Taufan pula melemparkan Cakera Taufan. Gopal cuba mengatasi ketakutan dengan melakukan Tembakan Machinegun Makanan, tetapi nampaknya kuasanya tidak memberikan sebarang kesan dan dia pun melarikan diri sambil dikejar raksasa. Taufan menyelamatkan Gopal dengan menaikkan ke hoverboard sambil menghubungi Papa Zola supaya datang ke lokasi mereka untuk menolong, tetapi Papa Zola pun memesan supaya selamatkan diri kerana tempatnya juga diserang oleh raksasa pokok yang sedang menarik kapalnya ke tanah. Taufan mengeluarkan Taufan Pengabur untuk melindungi seluruh geng daripada raksasa pokok, sementara Gopal meraung menyalahkan Qually.

Sementara itu, Adu Du dan Probe juga sedang melawan raksasa pokok yang sama. Probe dibaham oleh seekor raksasa, tetapi sempat diselamatkan oleh suatu pukulan kepada raksasa tersebut. Probe berterima kasih kepada Adu Du tetapi Adu Du berkata bukan dia yang buat. Kedengaran teriakan berulang-ulang "ja ba ja ba" sementara kawanan raksasa melarikan diri, membuat Adu Du berasa tidak sedap hati.

Watak

Trivia

  • Isu ini dikeluarkan pada Krismas.
  • Ia juga selepas pengembaraan Planet Rimbara.
  • Beberapa cekupan skrin telah tersedia pada Shoppe untuk isu.
  • Ulasan isu dikeluarkan pada hari yang sama pengeluaran isu.

Galeri

Video

Advertisement