BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

"Resepi Warisan Terulung!" ialah isu keenam komik BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 23 November 2020.

Sinopsis

BoBoiBoy dan rakan-rakan kembali pada Tuan Guru Gaharum dengan tangan kosong. Namun begitu, BoBoiBoy diberi satu lagi peluang untuk membuktikan kesungguhannya. Perjalanan mereka di Rimbara hampir sampai ke penghujung, akan tetapi hanya seorang sahaja yang akan dinobatkan sebagai juara. Siapakah yang bakal mewarisi ilmu turun-temurun Tuan Guru Gaharum - BoBoiBoy atau Qually?

Plot

BoBoiBoy dan kawan-kawan dalam perjalanan pulang ke rumah Tuan Guru Gaharum dengan bahan-bahan yang mampu mereka pelihara, iaitu Cili Suci dan Garam Kristal. Qually muncul pada masa yang sama dan mengejek BoBoiBoy. Dalam kemarahan, BoBoiBoy bertukar menjadi Halilintar dan mengejar Qually, sehingga mereka berlumba ke rumah Gaharum di mana Gaharum dan Hang Kasa menunggu kepulangan mereka.

BoBoiBoy dan Qually bergaduh sambil mempersembahkan bahan-bahan kepada Gaharum - BoBoiBoy ada dua sementara Qually ada keempat-empatnya. Gaharum memutuskan bahawa BoBoiBoy gagal sementara Qually menang. Untuk mengubati kekecewaan BoBoiBoy dan kawan-kawan, Hang Kasa menasihati Gaharum untuk mengadakan pertandingan memasak Tom Yam Sakti antara BoBoiBoy dan Qually. Setelah pertimbangan, Gaharum setuju dengan cadangan itu dan memberi masa tiga hari untuk bersiap.

Qually tidak berpuas hati dengan tindakan ubah hati Gaharum itu dan bertanya jika dia boleh gunakan semua bahan-bahan yang dikumpul, lalu diiyakan oleh Gaharum. BoBoiBoy dan kawan-kawan membincangkan cara-cara untuk menebus kekurangan bahan yang ada.

Tibalah harinya, acara pertandingan memasak antara BoBoiBoy dan Qually yang dihadiri oleh seluruh kaum Cendawa dan geng BoBoiBoy sendiri, diacarakan oleh Hang Kasa bersama Tok Cendatok, Tuan Guru Gaharum, dan dirinya sebagai juri. Peserta diberi 60 minit untuk menyiapkan satu hidangan yang menyerupai Tom Yam Sakti, dan hidangan yang terbaik akan diumumkan sebagai pemenangnya. Diejek oleh Qually yang tampak angkuh, BoBoiBoy mengenang tiga hari usaha mempelajari masakan tom yam di bawah tunjuk ajar Tok Aba, lalu membalas dengan penuh keyakinan, sementara Gaharum memasang jam pengira masa untuk memulakan perlawanan.

Qually bermula dengan menghiris bawang besar, sementara BoBoiBoy berpecah Kuasa Lima, siap dengan pakaian tukang masak masing-masing, lantas mengagihkan tugas sesama sendiri. Gempa menjadi ketua memasak dibantu oleh Blaze dan Ais untuk menjaga dapur, Duri ditugaskan menyiapkan air, sementara Halilintar memotong bahan dengan Pisau Pemotong Halilintar. Sambil membuat tugas, Halilintar menyedari di meja Qually ada Cili Suci yang berbeza daripada yang dipetiknya.

Tiba-tiba sahaja, rombongan makhluk burung dari Kampung Muriong yang dipimpin oleh Jaguh Paruh Lang merempuh masuk kawasan acara dan bersemuka dengan BoBoiBoy untuk menuntut kembali Cili Suci Emas yang dicuri. Halilintar sempat menuding ke arah Qually, tetapi Jaguh Lang tidak peduli hingga bau tom yam yang dimasak menusuk hidung burung-burung, meredakan kemarahan dan menarik minat mereka untuk mencuba tom yam yang dimasak oleh kedua-dua pihak.

Setelah reda pergaduhan, Tok Kasa mengumumkan hanya tinggal 30 minit, menyebabkan suasana menjadi cemas di pihak BoBoiBoy. Atas suruhan Gempa, Halilintar menghiris cili dan bawang dengan Belahan Halilintar untuk disambut oleh Duri dengan mangkuk. Qually menaruhkan bunga Apiru Biru ke dalam kualinya sebagai langkah mengungguli perlawanan, tetapi kumpulan BoBoiBoy membalas dengan Bunga Kantan. Gopal mengingatkan mereka untuk menambah garam, dan Ais hampir menaruh seketul Garam Kristal sebelum dirampas oleh Gempa yang menghancurkan ketulan itu kepada serbuk untuk ditaburkan ke dalam kuali.

Qually menudungkan kualinya dan memasang api kuat-kuat, membuat wap keluar dari celah kuali. Gopal kagum melihat persembahan Qually, tetapi sempat ditegur oleh Ying untuk menyokong BoBoiBoy. Gempa mengecap masakan dan merasa terlalu pedas. Blaze berpesan mereka lupa menambah santan, dan Duri pun bawakan. Setelah kecapan sekali lagi, Blaze merasakan api tidak cukup kuat dan melakukan Semburan Api ke atas kuali, tetapi ia terlalu kuat sehingga kuali pun terbakar dan Ais bertindak memadamkan api. Melihat gelagat di seberang, Qually mengulas kerja BoBoiBoy bagaikan amatur.

Halilintar membawakan sebaldi air, tetapi Gempa menyuruhnya tunggu sementara Ais cuba meredakan keadaan dengan melakukan Ais Pembeku terhadap kuali. Nampaknya ia bukan sahaja memadamkan kebakaran tetapi merosakkan masakan, membuat kumpulan BoBoiBoy patah hati sementara Qually terus mengejek mereka. Yaya menghubungi Ochobot di Bumi untuk menteleportkan Tok Aba ke tempat acara untuk memberi suntikan semangat dan petua memasak kepada BoBoiBoy. Masa tinggal 15 minit, kelima-lima BoBoiBoy kembali bersemangat dan membincangkan strategi selanjutnya.

Sementara Qually mula menghidangkan masakan, Blaze menggunakan semburan api yang sederhana untuk mencairkan dan mendidihkan tom yam. Kemudian, Gempa menyuruh Ais dan Blaze untuk melakukan Elemental Fusion dan bergabung menjadi BoBoiBoy FrostFire. FrostFire melakukan Ledakan Panas Beku ke atas kuali untuk menyiapkan masakan, sekaligus membuat Qually terasa tergugat. Dalam minit terakhir, FrostFire sempat menghidangkan masakan.

Sesi memasak telah pun selesai, dan masa untuk mempersembahkan masakan untuk diduga oleh para juri. Qually mempersembahkan Tom Yam Galaksi dengan empat bahan asal yang diminta. Ketiga-tiga juri memberi pujian, tetapi Gaharum dalam senyap merasakan sedikit kekurangan. Giliran BoBoiBoy pula mempersembahkan Tom Yam Kampung Tok Aba. Setelah mencuba, Gaharum menanya BoBoiBoy dari mana dia belajar memasaknya, jawabnya sudah tentu Tok Aba. Gaharum mengulas rasanya unik tetapi terlebih pedas sedikit.

Akhir sekali, juri telah mencapai kata putus dan mengumumkan keputusan pertandingan adalah seri, memperakui kedua-dua masakan ada keistimewaan tetapi belum mencapai tahap cita rasanya, jadi dia menggabungkan kedua-dua tom yam untuk menyempurnakan tom yam yang diingininya. BoBoiBoy dan Qually tergamam dan tertanya-tanya sama ada mereka gagal, tetapi ditidakkan oleh Gaharum yang menunaikan hajat mereka berdua - Qually meraih buku untuk mewarisi resepi-resepi Gaharum sementara BoBoiBoy dihadiahkan sebiji benih Oakuat untuk memperoleh kuasa Balak.

BoBoiBoy dan Qually saling mengucapkan tahniah, dan Qually meminta maaf atas perbuatannya yang lampau untuk mengetepikan persengketaan antara mereka sebelum ini dan juga membiarkan obsesinya memakannya. Yaya menjemput Qually untuk sertai TAPOPS, tetapi Gopal masih geram dan tidak diperdayakan dengannya kerana masih berdendam dengan Qually. Qually menawarkan diri untuk menjadi tukang masak mereka, maka Gopal pun memaafkannya. Isu disudahi dengan BoBoiBoy menghidangkan tom yam kepada seluruh hadirin pertandingan.

Watak

Trivia

  • Isu ini dijadualkan pada Oktober 2020, tetapi telah ditunda pada November 2020.
  • Ini merupakan isu kedua yang ditunda selepas Rahsia King Balakung!.

Galeri

Video

Advertisement