BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

"Misteri Pergunungan Tandus" ialah isu kelima komik BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 28 September 2020.

Sinopsis

Dalam usaha mendapatkan semula bahan-bahan yang dirampas oleh Qually, BoBoiBoy dan rakan-rakan terkandas di kawasan pergunungan yang tandus dan tak berpenghuni. Namun ada sesuatu yang sedang menanti mereka di Snowasis yang penuh misteri. Dapatkah BoBoiBoy merungkai misteri Snowasis tersebut dan dapatkan kembali bahan-bahan yang telah hilang?

Plot

BoBoiBoy dan kawan-kawan sedang mengejar Qually yang mengkhianati mereka dengan mensabotaj kapal angkasa mereka dan melarikan buah Kelapa Langit antara bahan-bahan yang diperlukan untuk menyempurnakan misi mereka. Yaya meneliti skrin kapal dan mendapati bahawa bahan seterusnya iaitu Apiru Biru berada di kawasan berhampiran lokasi mereka, sementara Fang memandu kapal laju-laju di celah-celah genting untuk mengejar kapal angkasa Qually. Ying berikhtiar untuk keluar dari kapal dan cuba memperlahankan kapal Qually dengan Kuasa Slow-Mo.

Akan tetapi, kapal angkasa geng BoBoiBoy sekali lagi diganggu oleh kegagalan enjin. Atas suruhan Fang, BoBoiBoy memeriksa enjin kapal dan mendapati ada lagi sudip Qually yang ditanam dalam sistem kapal. Sekali lagi kapal angkasa Fang jatuh disebabkan punca yang sama dengan yang lepas. Gopal cuba meredakan kehibaan Fang atas kerosakan "Lily", membuat Fang terasa janggal mendengar nama timangan bagi kapalnya disebut oleh orang lain, tetapi Gopal berjanji akan merahsiakannya.

BoBoiBoy mengajak Gopal pergi mencari Qually, Fang sekali lagi berusaha membaiki kapal, sementara Ying dan Yaya mencari maklumat tentang Apiru Biru dalam Internet. Baru sahaja memulakan perjalanan, BoBoiBoy dan Gopal melihat asap berkepul di langit yang disangka tempat kapal Qually terhempas. Laluan di hadapan pula terbahagi kepada dua jalan, malah kedengaran pula bunyi raungan seakan serigala. BoBoiBoy dan Gopal mengikut jalan sempit untuk mengesan punca raungan, lalu bertemu dengan seekor makhluk seakan musang putih yang kecil dengan antena berbentuk tunas bunga, yang dihempap longgokan batu, satu tanda bahaya yang dekat!

Sementara itu di Kapal Angkasa Fang, setelah puas menggelintar maklumat tetapi tidak jumpa-jumpa, Yaya dan Ying menelaah bahawa Apiru Biru bukanlah api sebenarnya, ibarat bunga matahari yang bukan matahari. Berpandukan bayangan ini, akhirnya mereka jumpa apa yang dicari.

Berbalik kepada BoBoiBoy dan Gopal yang diancam tanah runtuh, BoBoiBoy bertukar kepada BoBoiBoy Gempa dan mengeluarkan Golem Tanah untuk melindungi mereka dari runtuhan, sementara Gopal menukarkan runtuhan kepada cekodok ikan bilis untuk menyelamatkan musang putih. BoBoiBoy mendapati musang putih yang bermata merah dan berekor biru ini comel dan jinak, tetapi Gopal takut kerana khuatir ia mungkin raksasa ganas. Melihat si musang kebuluran, BoBoiBoy meminta Gopal memberi makan, tetapi Gopal enggan menyerahkan bekalan makanan kepada si musang, sebaliknya menukarkan runtuhan tanah kepada buah-buahan untuk dimakan musang.

Gopal mengingatkan BoBoiBoy tentang Apiru Biru, dan si musang pun peka terdengar dan menyalak-nyalak untuk menarik perhatian mereka ke sebuah gua kecil yang terletak berhampiran yang difahami merupakan laluan ke arah sumber bahan tersebut. Setelah merangkak sepanjang gua yang sempit, BoBoiBoy dan Gopal sampai di sebuah cenuram di hujung jalan, dan di bawah cenuram itu adalah sebuah kolam bulat beku yang bertebing salji dengan tumbuhan seakan bunga teratai di tengah-tengah.

Sekali lagi si musang menyalak kuat-kuat sambil menuding muncung ke arah suatu lembaga di bawah sana. BoBoiBoy dan Gopal meneliti apa yang ada di arah sana lalu menemui Qually di tebing salji. Qually pun terdengar salakan musang dan memandang ke arah BoBoiBoy dan Gopal di atas cenuram.

Baru sahaja bersemuka dengan bekas sahabat, BoBoiBoy dihubungi oleh Yaya untuk memaklumkan mereka bahawa Apiru Biru ialah sejenis bunga, dan memang sahlah ia bunga yang terletak di tengah kolam beku. Tambah Yaya, bunga itu sekiranya diancam akan menutup kelopak dan tidak membuka semula selama setahun. Maka BoBoiBoy, Gopal dan musang bergegas turun untuk menghalang Qually dari mencuri bunga itu.

BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Ais untuk mengejar Qually yang meluncur di atas kolam dengan bantuan sepasang sudip sebagai tongkat ski. Ais cuba menghalang dengan Dinding Ais, tetapi Qually sempat mengelak dan menepis dengan Sudip Berapinya. Gopal tergelincir setelah menaiki kolam, jadi Ais membuatkan sepasang kasut luncur ais dan menyuruh Gopal turut melawan Qually. Qually melengahkan Ais dan Gopal dengan balingan sudip-sudip berapinya sambil meluru ke arah bunga Apiru Biru, dibalas dengan curahan Panah Ais dan tukaran Aiskrim Malaysia bertubi-tubi. Akan tetapi, sebatang panah ais menuju ke arah bunga, nyaris mengena tetapi luncas.

Qually membaling Bom Serbuk Lada ke arah Ais dan Gopal, dan Ais cepat mengeluarkan Perisai Ais untuk berlindung dari letupan. Tetapi nampak gayanya Qually sampai dulu di bunga Apiru Biru dan bersedia untuk memetik, tetapi si musang datang untuk menyampuk dengan menjatuhkan Qually dari bunga. Gopal menukarkan air kolam yang beku kepada Air Batu Campur untuk membenamkan Qually, kemudian Ais menukarkan kolam kembali kepada ais dengan Panah Pembeku supaya Qually tersekat.

BoBoiBoy menyoal Qually mengapa dia mencuri bahan-bahan, dan Qually menjawab bahawa dia bercita-cita sejak kecil untuk menjadi tukang masak, tetapi kerana tidak direstui ibu bapanya, dia melarikan diri dari rumah dan mengembara semata-mata untuk bergurukan Gaharum. Gaharum juga mensyaratkan Qually untuk mencari empat bahan, dan setelah mendengar tentang sekumpulan anak muda yang mencari bahan-bahan yang sama, iaitu geng BoBoiBoy, dia pun datang menumpang bersama mereka.

Gopal terharu mendengar cerita itu walaupun sukar mempercayai kata-katanya, tetapi Qually mengambil kesempatan untuk mencampak Bom Bawang Merah untuk memedihkan mata lawannya dan menggunakan Sudip Berapi untuk melepaskan diri. Qually memanjangkan sudipnya untuk dijadikan tiang pelenting untuk mencampaknya ke arah bunga Apiru Biru, dan dia pun berjaya memetik kepala putiknya, lalu dia melarikan bahannya dengan kapal angkasa. Nampaknya geng BoBoiBoy kempunan menyempurnakan misi, dan si musang turut bersimpati.

Beberapa minit kemudian, BoBoiBoy dan Gopal pulang ke kapal angkasa sambil melelehkan air mata daripada kepedihan Bom Bawang Merah Qually. Secara mengejut, si musang bercakap dan tumbuh menjadi besar, memperkenalkan dirinya sebagai penjaga Snowasis (kolam beku yang dikunjungi tadi) yang bertanggungjawab melindungi bunga Apiru Biru daripada jatuh ke tangan orang yang salah, malah ia sendiri berniat untuk menghadiahkan bunga itu kepada BoBoiBoy kerana menyelamatkannya.

Di kala peluang untuk menyempurnakan misi sudah pudar, Yaya cuba menaikkan semangat sepasukan untuk berusaha sedaya upaya dengan dua bahan yang tinggal, iaitu Cili Suci dan Garam Kristal.

Watak

Galeri

Advertisement