BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

"Perbicaraan Terhebat!" ialah isu ketiga komik BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada Julai 2020.

Sinopsis

Yaya dan Ying telah pergi ke Lembah Cidas untuk mendapatkan bahan ketiga yang diminta oleh Tuan Guru Gaharum. Namun setelah seharian menunggu, BoBoiBoy masih belum menerima sebarang berita daripada mereka. Risau akan keselamatan mereka, BoBoiBoy dan Gopal, bersama rakan baharu mereka Qually, pergi ke Lembah Cidas untuk menyiasat.

Plot

Yaya dan Ying tiba di Lembah Cidas, di mana mereka menemui banyak tanaman Cili Suci, iaitu buah cili pelbagai warna yang diperlukan untuk memasak Tom Yam Sakti kegemaran Gaharum. Tanpa menyedari mereka berada di kawasan larangan, Yaya dan Ying memetik sebanyak mana buah Cili Suci yang mampu, sehinggalah mereka ditangkap oleh dua ekor makhluk berupa burung gergasi.

Keesokan harinya, BoBoiBoy, Gopal, dan Fang bersama kenalan baharu mereka, Qually menaiki Kapal angkasa Kapten Kaizo ke Lembah Cidas untuk memulakan usaha mencari dan menyelamat Yaya dan Ying setelah seharian gagal dihubungi. BoBoiBoy meminta Fang kekal di kapal sementara Gopal dan Qually mengikutnya kerana Qually lebih arif tentang.

Sambil melakukan perjalanan, Qually menerangkan bahawa Cili Suci adalah bahan yang sangat eksotik dan dihargai tukang-tukang masak terkemuka, dan hanya didapati di Lembah Cidas. Tambahnya, walaupun menyedapkan masakan, tetapi Cili Suci berbahaya dan boleh menyebabkan pemakan pengsan jika dimakan bulat-bulat. Gopal memandang enteng kenyataan Qually dan mencabar diri dengan memakan sebiji, tetapi terbukti kepedasannya teramat sangat sehingga Gopal menghembus api.

Kumpulan BoBoiBoy mendapat isyarat akan kehadiran pihak lain di kawasan berdekatan. Qually memberitahu bahawa mereka sedang berada di ladang hak milik orang dan mereka perlu bersembunyi supaya tidak dikesan oleh pengawal ladang. Belum sempat mereka berlindung, BoBoiBoy dan Gopal dikejar oleh tiga ekor makhluk berupa burung dan tergopoh-gapah melarikan diri sehingga tersandung kayu balak di tengah jalan, maka terpaksalah mereka bersemuka dengan makhluk burung kakak tua yang hendak menangkap mereka kerana menceroboh dan mencuri.

Sebaik sahaja pengawal ladang menyerang mereka, BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Taufan dan melancarkan Pusaran Taufan untuk menyelamatkan Gopal. Makhluk burung menyerang balas dengan menyumpit cili ke arah mereka, tetapi Taufan mengelak dengan Luncuran Taufan dan menangkis kejaran pengawal dengan Cakera Udara. Namun, cili sumpit mengena badan BoBoiBoy, menyebabkan dia kejang dan jatuh. Gopal menyerang balas dengan menukarkan sumpit ketua pengawal kepada kuih sepit. Tindakan ini memarahkan ketua pengawal dan dia pun bertindak menumbangkan mereka.

Setelah tidak berdaya lawan, BoBoiBoy dan Gopal diterbangkan oleh tiga pengawal ladang ke pusat tribunal Kampung Muriong untuk dihukum. Di situ, mereka dihadapkan kepada ketua kampung, Tok Ngau yang menyuruh Jaga Kar, ketua pengawal tadi mengurung mereka dalam kurungan berbentuk sangkar burung. Di situlah mereka bertemu semula dengan Ying dan Yaya yang digari, sedang dijalankan perbicaraan.

Setelah BoBoiBoy dan Gopal dikurung, Tok Ngau melangsungkan perbicaraan ke atas "Yong" dan "Yey Yey" atas kesalahan menceroboh dan mencuri Cili Suci dari ladang Lembah Cidas. Gopal tergelak mendengar nama kawan-kawannya disalah sebut sebelum disuruh diam oleh Tok Ngau yang menyeru Pendakwa Raya Rukawr tampil untuk berhujah, meluahkan betapa terkutuknya perbuatan tertuduh mencuri hasil tanaman Cili Suci warisan pusaka kaum penduduk Muriong. Sambil mengemukakan hujah, Rukawr menyoal tertuduh mengenai hak milik beg yang berisi Cili Suci. Yaya dan Ying mengaku beg itu milik mereka, tetapi mereka tidak sengaja mencuri. Namun demikian, Rukawr berkeras dengan hujahnya mencadangkan agar mereka dijatuhkan hukuman berat.

Setelah selesai hujah Pendakwa Raya, Tok Ngau terus mengumumkan hasratnya untuk menghukum. Yaya dan Ying sempat mencelah dengan meminta supaya membela diri, tetapi Tok Ngau menegah kerana undang-undang kampung tidak membenarkan tertuduh membela diri, sebaliknya harus mendapatkan khidmat belaan dari luar. Gopal menawarkan diri sebagai pembela. Biarpun Rukawr membantah, tetapi Tok Ngau tetap menunaikan permintaan dan melepaskan "Gopeng" untuk membuat pembelaan.

Membayangkan dirinya sebagai peguam bela yang segak dan yakin, Gopal membuat kejutan dengan menyatakan bahawa 'anak guamnya' ingin mengaku bersalah ... kerana sentiasa bersangka baik sehingga menjadi mangsa keadaan, malah mereka orang asing di sini yang tidak menyedari perbuatan mereka salah. Rukawr membantah kerana terdapat papan tanda larangan di kawasan ladang. Gopal buntu sekejap, tetapi BoBoiBoy mengujar bahawa mereka pun tidak sedar akan adanya papan tanda tersebut, maka Gopal menyambung hujah bahawa cuaca kabus yang tebal telah menyukarkan mereka melihat papan tanda, jadi tertuduh tidak bersalah atas dasar tidak sengaja dan tidak tahu.

Kagum dengan hujah-hujah Gopal, Tok Ngau selaku hakim perbicaraan mengumumkan keputusan bahawa Yaya dan Ying tidak bersalah atas kesalahan menceroboh dan mencuri dari ladang Cili Suci, tetapi ... mereka tetap bersalah kerana memetik Cili Suci yang terlalu muda dan hijau, maka mereka dijatuhkan hukuman perbicaraan dengan pertarungan, tanpa sebarang tolak ansur. Dalam pertarungan ini, tertuduh (sekali dengan peguambela) haruslah mengalahkan jaguh kampung iaitu Jaguh Paruh Lang untuk dibebaskan.

Maka diserunya oleh Tok Ngau si Jaguh Paruh Lang, seekor burung raksasa bertanduk, datang untuk menduga Ying, Yaya dan Gopal. Yaya dan Ying menyerang dahulu dengan Tumbukan Graviti dan Seribu Tendangan Laju. Serangan kembar itu nampak berkesan, tetapi Jaguh Paruh Lang segera membalas dengan libasan sayap kencang yang bukan sahaja memukul Ying dan Yaya bahkan tidak sengaja menjatuhkan sangkar yang mengurung BoBoiBoy.

Jaguh Paruh Lang seterusnya mencabut tiang kayu untuk dihempapkan pada lawan, tetapi Yaya sempat menghalang dengan Pelindung Graviti buat sementara dan menyuruh Ying melarikan diri. BoBoiBoy menawarkan diri untuk masuk bertarung, tetapi Jaga Kar melarang. Setelah berlari cukup jauh, Ying bergegas kembali ke tempat Yaya dengan Larian Halaju Tinggi. Pada masa yang sama, Jaguh Paruh Lang berjaya memecahkan Pelindung Graviti, jadi Yaya mengeluarkan Gelombang Graviti untuk melengahkan lawannya sehingga Ying kembali dengan Tendangan Super Sonik untuk menundukkan si raksasa helang.

Usaha Ying dan Yaya membuatkan Jaguh Paruh Lang mengeluh tidak mahu bersambung lawan. Gopal berhujah agar Yaya dan Ying harus dimaafkan dan dibebaskan kerana mengalahkan Jaguh Paruh Lang, dengan ugutan untuk menyaman Kampung Muriong kerana mencederakan anak-anak buahnya ke "Mahkamah Tinggi Angkasa", ditambah pula dengan tuntutan pampasan. Tok Ngau cukup gelabah mendengar kata-kata Gopal lalu cuba meredakan hati dengan menawarkan bekalan Cili Suci kepada Geng BoBoiBoy.

Beberapa minit setelah geng BoBoiBoy beredar, Jaga Kar melaporkan kecurian Cili Emas yang berbuah sekali seratus tahun. Sekali lagi geng BoBoiBoy disyaki, maka Tok Ngau menghantar Jaga Kar dan Jaguh Paruh Lang mengejar mereka semula. Geng BoBoiBoy kembali di Kapal Angkasa Kapten Kaizo, di mana Qually menunggu kepulangan mereka sambil berlindung dari makhluk burung. Belum sempat burung-burung sampai untuk menuntut kembali Cili Emas, geng BoBoiBoy sudahpun berlepas tanpa menyedari bahawa Qually telah mencuri Cili Emas secara senyap.

Watak

Trivia

  • Beberapa kakitangan Monsta telah memuat naik gambar kulit buku isu ke-3 di media sosial seminggu sebelum dikeluarkan.[1][2]
  • Kulit buku isu telah ditukar dengan kulit buku sebelumnya yang mengandungi potret BoBoiBoy, Gopal, Fang, Yaya, Ying, dan Jaguh Paruh Lang.

Galeri

Video

Rujukan

Advertisement