Di Bawah Langit Yang Sama merupakan isu ke-27 BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 21 April 2023. Isu ini berfungsi sebagai isu terakhir musim ini seperti yang dinyatakan di akhir isu sebelumnya.
Ringkasan[]
Babak terakhir dalam menentukan nasib galaksi kini bermula! Setelah Kuasa Elemental Voltra mula menguasai dirinya, hati Kira’na kini dikaburi dengan amarah dan dendam terhadap BoBoiBoy. Baginya, keselamatan Planet Gur’latan dan keamanan galaksi mesti dicapai walau dengan apa cara sekalipun, dan BoBoiBoy merupakan satu-satunya penghalang kepada matlamat tersebut.
BoBoiBoy Rimba dan para adiwira TAPOPS perlu berganding bahu untuk meredakan amukan Kira’na, sebelum Planet Gur’latan terjerat dalam pertarungan di antara dua kuasa paling hebat.
Plot[]
Kira'na, Maharani Gur'latan yang meradang tak terkawal dalam pertarungannya dengan BoBoiBoy Rimba, terkenang akan satu perbualan dengan mendiang ayahandanya. Kul'dar memanggil anakandanya ke serambi istana Kota Terawangan dan memberitahunya bahawa dia akan memimpin tentera untuk mempertahankan planet daripada serangan Retak'ka. Kira'na gelisah kerana teringat kekalahan nendanya kepada adidurjana itu, maka Kul'dar berpesan bahawa mereka hanya akan melengahkan Retak'ka sementatra menunggu TAPOPS. Kira'na sebak menuntut untuk turun berperang, tetapi Kul'dar melarang dan menasihatinya kekal untuk melindungi rakyat walau dengan apa cara sekalipun, dengan bidalan bahawa dia adalah darah daging Satriantar, malah dia ibarat 'perisai' Gur'latan yang digandingkan dengan ayahandanya selaku 'pedang'.
Manifestasi kemuncak kemarahan Kira'na yang dizahirkan dalam bentuk pancuran halilintar yang melimpah-ruah, membuat Rimba dan Fang tercegat dalam kegelisahan. Jeneral Sa'riya mengambil kesempatan dengan mengarahkan laskar elit membantu maharani mereka, namun Kira'na mengusir mereka dengan libasan Pedang Voltranya kerana tidak mahu sesiapa masuk campur dalam pertarungannya. Kira'na menjatuhkan Sambaran Mega Voltra ke atas lawannya. Rimba lekas menggunakan pokok menjalarnya untuk menghindarkan Fang daripada terkena, dan Fang sempat mengeluarkan KeyBot dari reaktor yang tertimpa sambaran hebat itu sehingga hancur berkecai.
Pada masa yang sama, Yaya, Ying, Gopal dan Qually masih bertarung dengan bala tentera di lapangan istana. Kuasa tahap ketiga Yaya dan Ying sudah hampir tamat tempoh 30 minit, sementara Gopal masih rancak membedal Jeneral Gur'mida dengan Tumbukan Dodol Gergasinya (kerana minum Jus Oakuat lewat daripada yang lain). Qually mencadangkan agar Gopal menukarkan badannya menjadi bahan lain seperti besi atau batu untuk mengalahkan lawan dengan segera, malah Ying menyindir Gopal kerana selalu memikirkan makanan. Gopal bertegas bahawa bahan makanan banyak kegunaan dan menukarkan seluruh badannya menjadi dodol untuk berlagak. Jeneral Gur'mida dihubungi oleh rakan sejawatnya dan diberitahu bahawa tentera tidak dapat bertolak kerana bekalan kuasa dari reaktor telah terputus. Dengan itu, Yaya menarik nafas lega dan memadamkan Lapangan Gravitinya, sekali gus menurunkan armada tentera.
Akan tetapi, Gur'mida masih mampu berlawan, maka dia melonjak ke arah Yaya sambil mengayunkan kapak lembingnya. Gopal sempat menepis serangan itu dengan bertukar kepada mod "Biskut Yaya," lalu dia melakukan Tandukan Biskut Keras pada Gur'mida di bahagian muka, membuat dia tercampak jauh sampai terlanggar salah satu kapal tentera. Gur'mida meraung terasa biskut tidak sedap, membuat Yaya sakit hati kerana biskutnya dikutuk. Gopal mahu meraikan kejayaan tetapi diingatkan oleh Qually bahawa mereka semua masih dikepung bala tentera Gur'latan yang masih ramai.
Dari tanah lapangan merempuh keluarnya seekor Tumbosaur yang menurunkan BoBoiBoy Rimba dan Fang dari mulutnya. Melihat laskar-laskar datang mengejarnya, Fang bertindak mencabut kunci dari badan KeyBot dan mematikan semua laskar robot itu, sementara Rimba memperkenalkan kuasa tahap ketiga baharunya kepada kawan-kawannya. Ying hairan bertanya mengapa namanya bukan Balak, maka jawabnya Rimba lebih sedap namanya. Tiba-tiba Rimba jatuh tercanguk kerana kebuluran setelah berlawan tadi, jadi Qually segera membawa bekalan sandwic untuknya. Rimba melahap semua sandwic itu tetapi terasa belum kenyang, maka Qually dan Gopal pergi menyiapkan lagi makanan.
Tiba-tiba, Kira'na keluar dengan menetak jatuh Tumbosaur yang berakar di situ, lalu dia senang hati melihat kesemua wira berkumpul di satu tempat untuk dihapuskan sekali gus. Fang tampil untuk menghalang, jadi Kira'na sambil memancarkan kuasanya mengingatkan Fang bahawa abangnya tidak akan hadir untuk menyelamatkannya. Fang membalas bahawa Kapten Kaizo pergi menyelamatkan tebusan Kira'na. Kelihatan kapal MYS Kebenaran yang dinaiki Kaizo berlepas dari kota, membuat Kira'na hampa. Fang juga menerima Jus Oakuat daripada Qually sementara Qually dan Gopal melayan Rimba. Kira'na cuba menghalang dengan melemparkan Sambaran Voltra, tetapi...
Fang mencapai Kuasa Manipulasi Bayang Tahap Ketiga dan bertukar bentuk menjadi Naga Bayang gergasi yang menutup langit. Ying kagum melihat Fang mengawal kuasa baharunya dengan sempurna, tetapi Gopal dan Qually tergelak kerana melihat Naga Fang masih memakai cermin mata, membuat Fang geram seketika. Kira'na tidak takut dengan rupa baharu Fang dan melemparkan Sambaran Voltra Berganda ke arahnya, tetapi Naga Fang sempat menepis dengan Hembusan Api Bayang. Sementara itu, Qually menyuruh Gopal menukarkan barang-barangnya menjadi bahan masakan sementara Yaya dan Ying sibuk menyuap Rimba. Kira'na meredakan api Naga Fang dengan Gerakan Kilat Tetakan Berganda. Naga Fang cuba mencatuk Kira'na tetapi terelak. Kira'na mengecil-ngecilkan usaha Fang untuk melindungi kawan-kawannya sambil menyeru Tombak Voltra dari langit.
BoBoiBoy Rimba akhirnya kenyang, berterima kasih kepada Qually dan melancarkan diri ke angkasa dengan menggunakan pokok menjalar sebagai lastik, lalu menyampuk Kira'na dengan Belantan Tumbosaur. Naga Fang mengambil kesempatan dengan melanggar Kira'na dengan muncungnya dan menjatuhkannya ke tanah. Kira'na bangkit terkapai-kapai dari jatuhnya, melayan amaran daripada Rimba dan Fang untuk sedar bahawa kuasanya sedang memakan dirinya. Sambil menguatkan kuasa pedangnya, dia menyanggah dan berkeras bahawa kuasa Voltra adalah milik kerabat diraja Gur'latan sahaja. Kira'na melakukan Libasan Voltra Mega, menyebabkan Naga Fang tumbang dan kembali kepada bentuk asal. Gopal bertukar badan kepada mod Naan Gebu dan menyambut Fang dengan perutnya seperti tilam udara.
Kira'na beralih kepada Rimba dan memberinya amaran bahawa pokok alah kepada petir. Rimba mencabarnya lagi dengan menyeru Rimba Menjalar Alpha Tumbosaur yang jauh lebih besar daripada yang tadi. Kira'na cuba menjatuhkan raksasa itu dengan Gerakan Kilat Tetakan Berganda sambil memperlekehkan kemampuan lawannya, namun Rimba berpesan bahawa keberkesanan kuasa bergantung pada penggunanya sambil menggandakan kuasa Alpha Tumbosaur. Alpha Tumbosaur lali dengan panahan kuasa Kira'na dan berjaya menangkap dan menghempaskannya ke tanah.
BoBoiBoy Rimba dan kawan-kawan pergi menghampiri Kira'na yang terbaring telentang dan terlucut baju perisainya dan menyeru pada bala tenteranya untuk menyerah. Sa'riya cemas dan menengking mereka kerana memecahkan baju perisainya yang dipakai untuk mengawal kuasa Voltranya. Kira'na segera bangkit dalam keadaan tidak terkawal diri, memancarkan halilintar yang jauh lebih hebat sampai memanah laskar-laskar elit sendiri. Rimba berasa gelisah melihat keadaan Kira'na kerana teringat ketika dirinya hilang kawalan kuasanya seperti di Windara dan Baraju. Yaya, Ying, Gopal dan Qually membawa seluruh tentera termasuk Sa'riya dan Gur'mida berlindung di dalam istana, walaupun Gopal berat hati kerana terpaksa menolong musuh.
Kira'na mula meraung tidak dapat mengawal kuasanya. Limpahan kilat merah dari Kota Terawangan jelas kelihatan dari bawah, menggerunkan rakyat jelata Gur'latan. Peristiwa itu turut disaksikan dari kapal MYS Kebenaran oleh Kaizo, Tok Kasa, dan delegasi yang baru diselamatkan, terdiri daripada Tuan Guru Gaharum, Maripos, Toktaroka dan Raja Gusto. Gaharum berharap agar BoBoiBoy bertukar elemen kerana sukar menghampiri Kira'na dalam keadaan begini. Maripos menyedari Rimba menggunakan Rimba Bercambah untuk menumbuhkan sebatang Pokok Oakuat. Toktaroka memuji kepandaian Rimba membesarkan pokok itu sebagai pengalir kilat untuk melindungi penduduk bawah, maka Tok Kasa menanggap Kapten Papa berjasa dalam hal ini.
Berdepan dengan risiko dipanah petir, Rimba menghampiri Kira'na dan menggesa agar Pedang Voltra diserahkan kepadanya kerana ini satu-satunya jalan penyelesaian. Sekali lagi Kira'na membentak enggan akur, tetapi kali ini dia dihadapkan visual rakyat jelata ditimpa kesusahan akibat keliaran kuasanya, yang dipancarkan oleh Sa'riya dari tabletnya. Dengan itu, Kira'na mula sebak dan menyedari kesan daripada perbuatannya sendiri, maka Rimba menawarkan diri untuk menolong Kira'na mengawal semula kuasanya dengan memujuknya bahawa dia masih ada Kaizo dan Fang sebagai keluarga. Akhirnya Kira'na menghulurkan Pedang Voltra, dan BoBoiBoy Rimba pun bertungkus-lumus menyerap kuasa Voltra dengan Jam Kuasanya. Setelah selesai pemindahan kuasa, BoBoiBoy menjelma sebagai Halilintar sekejap, dan Kira'na sempat terbayang gambaran nendanya melafazkan bahawa semuanya sudah selamat. BoBoiBoy bertukar kepada normal dan jatuh menjunam bersama Kira'na, lalu diselamatkan oleh Yaya dengan Apungan Graviti.
Sebaik sahaja diturunkan, BoBoiBoy melayan pujian daripada Gopal dan Ying kerana menamatkan krisis sebagai penyelamat galaksi yang paling berkaliber. Sekali lagi dia meraung kebuluran, maka sekali lagi Qually menawarkan diri untuk memasak. Kapal MYS Kebenaran pun mendarat dan menurunkan penumpang-penumpangnya. Ochobot bergegas untuk menjenguk BoBoiBoy, manakala Komander Koko Ci berkata dia akan meminta bantuan kecemasan daripada TAPOPS. Tok Kasa merenung ke arah istana sambil mengenang sahabatnya Satriantar, manakala Kaizo berlari ke arah Kira'na yang terbayang akan mendiang orang tuanya dan memohon ampun.
Keesokan harinya, pasukan BoBoiBoy termasuk Fang dan Kaizo, serta Kira'na dan bala tenteranya menerima rawatan di perkhemahan perubatan yang didirikan oleh TAPOPS di bawah teduhan Pokok Oakuat di lapangan istana Kota Terawangan. Dengan restu adiknya, Kaizo pergi menziarahi Kira'na dan memujuknya setelah kekalahan semalam. Kira'na yang memakai anduh di tangan kanan sebak merenungi kegagalan dirinya selaku pemimpin untuk melindungi rakyatnya.
Turut datang menziarahi adalah Tok Kasa, ditemani BoBoiBoy, Koko Ci, Raja Gusto, Kuputeri, Panglima Yanaari dan Mas Gardu. Tok Kasa menceritakan kepada Kira'na bahawa dia pernah memujuk Satriantar untuk pergi bersembunyi bersamanya setelah Retak'ka mengalahkan empat Penguasa Elemental, namun Satriantar enggan meninggalkan planet dan rakyatnya, tetapi memintanya untuk mencari sebuah Power Sphera generasi kesembilan sementara dia pergi melengahkan Retak'ka. Oleh yang demikian, Tok Kasa bersungguh-sungguh mencari sehingga menjumpai Ochobot dan bergegas semula ke Gur'latan, tetapi malangnya Satriantar sudah terkorban dan planetnya dalam keadaan genting, maka dia menggunakan Ochobot untuk mengalahkan Retak'ka dengan menyerap semua kuasanya.
Sungguhpun menang akhirnya, namun Tok Kasa berasa serba salah kerana gagal memburu peluang untuk menyelamatkan sahabatnya, namun semenjak mengenali BoBoiBoy dia mula mengerti bahawa Satriantar Ratna dan Kul'dar sedia mengorbankan diri demi melindungi orang-orang yang dikasihi, malah mendapati Kira'na memiliki naluri yang sama walaupun berlainan caranya. BoBoiBoy turut membantu dengan menyampaikan nasihat Tok Aba kepada Kira'na: apabila sesat, balik semula ke pangkal jalan.
Kira'na menitiskan air mata kerana terharu dengan cerita Tok Kasa dan memohon maaf kepada pelawat-pelawatnya. Kuputeri meluahkan kesediaan mereka untuk memaafkannya tetapi berpesan bahawa Kira'na akan dijatuhi hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya. Yanaari menjamin bahawa pihak planet-planet lain akan membantu warga Gur'latan membangunkan semula planetnya; Mas Gardu juga sepakat kerana planet asalnya sendiri telah merasai akibat daripada kitaran kemusnahan yang berlarutan. Raja Gusto pula berpesan bahawa Pertubuhan Planet-Planet Bersatu ditubuhkan untuk setiap bangsa saling menjaga sesama sendiri kerana semua bangsa yang berbeza-beza "hidup di bawah langit yang sama." Akhir sekali, BoBoiBoy berharap akan berkawan dengan Kira'na selepas dia menjalani hukuman, jadi Kira'na pun bersyukur.
Sebaik sahaja keluar dari khemah rawatan Kira'na, BoBoiBoy disambut oleh Ochobot yang mahu berbincang secara berduaan. Koko Ci dan Kaizo mengucapkan setinggi penghargaan kepada Yaya, Ying, Gopal, Fang dan Qually atas jasa mereka dalam menyelamatkan galaksi. Yaya dan Ying berbesar hati, walhal Gopal bersungut tidak diberi kenaikan pangkat atas jasa tersebut. Koko Ci mula menulis laporan kepada Laksamana Tarung bahawa Gopal gila pangkat, jadi Gopal pun malu dan mengaku sekadar bergurau senda. BoBoiBoy mengajak kawan-kawannya pulang ke Bumi, dan mereka pun seronok kerana akan kembali ke kehidupan normal. Di samping itu, BoBoiBoy membuat permintaan kepada Koko Ci...
BoBoiBoy kembali ke pangkuan Tok Aba yang duduk di rumah dalam keadaan uzur, bersalaman dengan datuknya dan mengkhabarkan misinya sudah selesai. Tok Aba menanya cucunya akan ke planet mana selepas ini, maka Ochobot menjelaskan bahawa BoBoiBoy telah meminta kepada Koko Ci untuk bertugas di Bumi. Tok Aba hairan kerana BoBoiBoy tidak akan pergi bertugas di angkasa lagi, maka BoBoiBoy meluahkan hasratnya untuk kekal demi menjaga datuknya yang satu. Maka Tok Aba berasa syukur kerana dikasihi cucunya yang tunggal.
Watak[]
- BoBoiBoy
- Yaya
- Ying
- Gopal
- Fang
- Ochobot
- Qually
- Tok Aba
- Kapten Kaizo
- Papa Zola
- Hang Kasa
- Koko Ci
- Gaharum
- Toktaroka
- Maripos
- Raja Bayugan
- Kuputeri
- Panglima Yanaari
- Mas Mawais
- Kira'na
- Laskar Guruhan
- Jeneral Sa'riya
- Jeneral Gur'mida
- Kul'dar (imbas kembali)
- Satriantar (imbas kembali)
Kata-Kata Penutup[]
Salam sejahtera, semua.
Setelah berjalan selama 27 isu, akhirnya Komik BoBoiBoy Galaxy Musim 2 kini melabuhkan tirainya. Seperti yang anda tahu, ini merupakan kali pertama kisah BoBoiBoy disampaikan dalam bentuk komik selama semusim, dan kami amat menghargai respon positif yang diberikan di sepanjang penerbitan komik ini.
Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada anda yang setia mengikuti pengembaraan BoBoiBoy dan rakan-rakan, dari permulaannya di Bumi, hinggalah pengakhirannya di Gur'latan. Dan yang pastinya, kisah ini tidak akan terhenti di sini, kerana BoBoiBoy Galaxy Musim 2 akan muncul dalam bentuk animasi tidak lama lagi!
Akhir kata, terima kasih sekali lagi buat para pembaca dan peminat Monsta di luar sana. Komik ini ditujukan khas kepada anda semua!
Kita bertemu lagi dalam musim yang akan datang kelak!
Trivia[]
- Monsta juga memuat naik gulungan intip isu ini di Facebook dan Instagram.[1][2][3][4]
- Ia adalah isu ketiga yang mana gulungan itu dimuat naik, yang pertama ialah Kitaran Kesumat dan kedua ialah Lepaskan Kuasamu.
- Secara kebetulan, ketiga-tiga isu itu adalah dalam urutan berturut-turut.
- Isu ini berkongsi namanya dengan lagu Di Bawah Langit Yang Sama yang merupakan lagu penamat BoBoiBoy: The Movie.
- Ia adalah isu kedua untuk mempunyai nama alibi.
- Isu pertama untuk berkongsi nama dengan runut bunyi ialah Lepaskan Kuasamu.
- Yang menghairankan, ia adalah arka musim kedua BoBoiBoy Galaxy pertama yang tidak mempunyai pesta di penghujungnya. Senyap sahaja bersama Tok Aba.[5]
- Isu ini menandakan kemunculan pertama Kuasa Manipulasi Bayangan tahap ketiga Fang.
- Isu ini telah dimuat naik pada 10 Januari 2024 di Google Play Books dalam bahasa Inggeris dan Melayu untuk peminat antarabangsa.
Galeri[]
Rujukan[]
- ↑ https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid032hKR3AkVVEPy9cHgvtMLDQCitqFs6TzejFcV9GDFgKmn1B2uYFBCnZsM6q24RD92l&id=100044130159461&mibextid=Nif5oz
- ↑ https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02r5owYw4hCUKWBnTuy89LxAVU8uEKHZcaR69akqL4KFt9CDQvdvSMtjma6XPoQ6tFl&id=100044130159461&mibextid=Nif5oz
- ↑ https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02d7TjQkhHfDratdcwp7AuEg4XAzQz38G1tNCz2z1VB2vkXTsrcj5EvFnyGVVAWcjdl&id=100044130159461&mibextid=Nif5oz
- ↑ https://www.facebook.com/100044130159461/posts/pfbid02Cmp3H4zTZBqWNbsJ4cSCorvY2RUqUVZmXz77bS23i1v1fx2n2qb4gqfMzjvxriyel/?mibextid=Nif5oz
- ↑ https://twitter.com/anasabdulaziz83/status/1654404219183726597?t=8uJnvL440X_7aKLCQcQcJQ&s=19
Pautan Luar[]
|