Kitaran Kesumat merupakan isu ke-25 BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 1 Februari 2023.
Ringkasan[]
Segala rahsia kini sudah terbongkar, dan tujuan sebenar Maharani Kira'na telah diketahui umum. Malah, pembelotan Fang yang kini memihak kepada Kira'na memberi tekanan kepada BoBoiBoy dan rakan-rakan. Walaupun agenda sebenar Kira'na masih lagi menjadi misteri, tetapi matlamat BoBoiBoy masih tetap sama: untuk memastikan keamanan galaksi sentiasa terjaga, dan memecahkan kitaran kesumat yang takkan luput ditelan masa.
Plot[]
BoBoiBoy, Gopal, Ying, Yaya, Qually dan Kapten Kaizo habis dikepung oleh tentera Gur'latan, terkilan dengan tindakan Fang tiba-tiba memihak kepada Ratu Kira'na. BoBoiBoy, Kaizo dan Qually cuba memujuk Fang untuk berpatah balik, tetapi Fang mengherdik mereka kerana tidak memahami perasaan kehilangan ahli keluarga sendiri. Kaizo menggetapkan gigi menahan rasa sesal, manakala Gopal memarahi Fang kerana dikhianati sekali lagi hari ini selepas Kira'na. Kira'na mengarahkan Jeneral Sa'riya membawa Fang ke dalam istana.
Kaizo sekali lagi merayu kepada Fang, dicemuh sebagai abang yang lalai menjaga adiknya oleh Kira'na. Tidak sempat membalas cemuhan itu, Kaizo sekali lagi menahan nyeri lukanya. Melihat keadaan Kaizo, BoBoiBoy menyeru supaya berundur dahulu. Jeneral Gur'mida bertindak mengeluarkan arahan kepada askar-askar untuk memberkas kumpulan BoBoiBoy, tetapi Kira'na mencelah kerana mahu mencabar BoBoiBoy untuk bertarung satu lawan satu, dengan syarat bahawa jika BoBoiBoy menang, Kira'na akan melupakan cita-citanya, dan jika BoBoiBoy kalah, dia mesti melepaskan semua kuasanya. Kaizo membantah keras kerana BoBoiBoy tiada kena-mengena dengan nasib Planet Gur'latan, tetapi Kira'na tidak mengendahkannya.
Setelah gemuruh seketika, BoBoiBoy menerima cabaran Kira'na dengan tenang; sebaik sahaja itu Kira'na terus menghunus pedang dan menyerang. BoBoiBoy segera berpecah dua menjadi Gempa dan Ais. Gempa menyerang dahulu dengan Tumbukan Gempa untuk mengepung Kira'na dengan tanah mencacak, tetapi Kira'na mudah memecah keluar dengan Belahan Pedang Voltra. Ais mengambil kesempatan melepaskan Panah Pembeku untuk menambat pergerakan Kira'na. Ais dan Gempa cuba menyerang Kira'na serentak, tetapi Kira'na menundukkan mereka dengan Sambaran Voltra.
Gopal, Ying dan Qually cemas mahu membantu rakan seperjuangan mereka di medan pertarungan, tetapi Gur'mida melarang mereka dengan peringatan bahawa dia telah bersetuju untuk berlawan satu lawan satu dengan Kira'na. Kira'na terlepas dari kekangan ais dan mengecam BoBoiBoy kerana tamak menggunakan tujuh kuasa sehingga memakan diri. Sa'riya memerli Fang kerana menoleh dari menyaksikan kawan-kawannya teruk dikalahkan. Kira'na bersedia untuk melakukan serangan penamat ke atas BoBoiBoy tetapi tiba-tiba dihalang oleh Yaya dengan Graviti Pemberat. Melihat kawan-kawan BoBoiBoy mula masuk campur, Gur'mida mengarahkan askar-askar menyerang mereka. Maka Yaya, Ying, Gopal dan Qually berhempas pulas membendung serangan bala tentera Gur'latan, walaupun ditegah oleh Kaizo yang masih menanggung kecederaan. Gopal dan Qually terasa gentar melihat peluang untuk mereka menang kian tipis, tetapi Yaya tetap menyuntik semangat untuk berlawan habis-habisan.
Kira'na menyalahkan BoBoiBoy lagi atas tindakan melulu kawan-kawannya. Gempa dan Ais tidak peduli dengan ugutan lawannya dan melakukan Elemental Fusion untuk menjadi BoBoiBoy Glacier. Glacier membentuk Tangan Gargantua Ais dan menggunakannya untuk menampar tanah sehingga terhempap semua bala tentera, sekaligus menyelamatkan kawan-kawannya. Qually malah kagum kerana belum pernah menyaksikan bentuk Glacier sebelum ini. Kira'na mengecamkan bentuk Glaicer sebagai helah BoBoiBoy untuk mengalahkan Retak'ka yang tidak akan berkesan pada dirinya. Glacier mengutuk Kira'na kerana cakap besar dan melakukan Tinju Glacier ke atas lawannya, tetapi ditepis oleh Belahan Pedang Voltra sehingga melepaskan letusan kencang.
Sambil bertarung, Glacier menggesa Kira'na untuk berhenti bertarung kerana mereka bukan bermusuhan, tetapi Kira'na berkeras dan menuduh BoBoiBoy sebagai bakal pemusnah galaksi. Sambil melakukan Tetakan Pedang Voltra, Kira'na menuduh TAPOPS dan BoBoiBoy menyebabkan kematian ayahandanya dan berikrar untuk melindungi galaksi daripada menerima nasib yang sama. Glacier menyeru Kira'na untuk berhenti kerana kuasa Voltra terlalu berbahaya untuk dikawalnya, tetapi Kira'na meragui kemampuan BoBoiBoy menanganinya. Berikhtiar untuk mengalahkan Kira'na, Glacier mengawal Gargantua Aisnya untuk menepuk lawannya, tetapi Kira'na terlepas dan membalas dengan Serangan Voltra Kelajuan Maksima untuk mengekang Gargantua Ais, disusuli Sambaran Voltra Maksima untuk memusnahkannya.
Kemusnahan Gargantua Ais melepaskan angin kabus yang kencang, dan dari kabus itulah munculnya BoBoiBoy yang kembali ke bentuk asal dalam keadaan tidak bermaya; Gopal segera memapahnya. Melihat kemenangannya hampir pasti, Kira'na memperkecilkan cabaran yang didatangkan oleh BoBoiBoy dan bersedia untuk melucutkan kuasanya. Yaya dan Ying sempat menghalang dan mengambil alih pertarungan daripada BoBoiBoy. Yaya menyerang dengan Graviti Pemberat lagi, tetapi Kira'na mengelak dan melakukan tendangan; Yaya sempat menepis dan Kira'na pun mengundur. Ying cuba menyerang dari belakang, tetapi Kira'na sempat mengesan pergerakannya dan melepaskan Sambaran Voltra yang kencang.
Yaya dan Ying sempat diselamatkan oleh Kaizo yang bertindak menghasilkan Perisai Tenaga Jingga. Qually pula cuba menyerang Kira'na dengan Libasan Sudip Berapi tetapi ditangkis dengan mudah oleh Kira'na yang menumbuk perut Qually. Gopal cemas melihat sahabat karibnya dikasari dan bertindak melakukan Tukaran Makanan Bertubi-tubi ke arah Kira'na, namun Kira'na mudah menepis semuanya dengan libasan pedas Pedang Voltra, membuat Gopal tercengang. Kaizo turun bertarung dengan pedangnya mengambil alih pertarungan dengan Kira'na. Sambil menyaksikan pertarungan antara dua bekas sahabat lama itu, BoBoiBoy mengelamun dalam kemurungan kerana sudah hilang semangat untuk menuntut kuasa tahap ketiga.
Pertarungan antara Kaizo dan Kira'na terhenti dengan kedatangan kapal angkasa MYS Kebenaran. Tok Kasa muncul di tanjakan pintu kapal dan menyuruh Yaya mengangkat semua kawan-kawannya dengan kuasanya. Qually turut melengahkan Kira'na dengan melempar Bom Lada dan Garam sementara Yaya menggunakan Apungan Graviti untuk mengangkat BoBoiBoy, Gopal, Ying, Qually dan Kaizo ke dalam kapal di mana mereka disambut oleh suara Papa Zola selaku jurupandu kapal. Sedang kapal hendak berlepas semula, Kira'na melonjak ke paras kapal untuk mengejar BoBoiBoy, jadi Qually bertindak menghembuskan Semburan Minyak Masak Berapi ke arah Kira'na. Atas arahan Tok Kasa, Papa Zola memecutkan kapal pergi. Kira'na melakukan Sambaran Voltra untuk menembak kapal dan bertempik bahawa BoBoiBoy tidak layak untuk bertempat di galaksi. Pemergian MYS Kebenaran turut disaksikan oleh Fang dari istana.
MYS Kebenaran mendarat di Ladang Tuaian Petir, Pangkal Gurun untuk berlindung. Ying bergerak keluar dengan memakai jubah penyamaran dan memecut ke pekan untuk memenuhi permintaan Qually menuntut semula beg bekalan yang tercicir di situ. Mengeluh akan kawalan tentera yang semakin ketat, Ying bertanya apa yang hendak dimasak oleh Qually dengan bekalan rempah tersebut. Daripada memasak, Qually sebaliknya menggunakan rempah untuk membancuh Air Serbuk Cili Gur'latan sebagai penawar untuk Kaizo. Kaizo sekali meneguk ubat itu dan terus tersedak kerana kepedasan. Qually dengan megah menjelaskan bahawa bahan yang dibancuhnya sesuai untuk memasak kari dan juga menyembuhkan luka, menurut buku resipi Tuan Guru Gaharum. Ying meneliti buku tersebut dan membetulkan kesilapan Qually bahawa air serbuk cili itu bukan untuk diminum tetapi untuk disapu. Qually pergi meneliti bukunya dan mendapati sesuatu yang menarik dalam kalangan tulisan resipi.
Sementara itu, Gopal Tukaran Karamel Panas untuk mencantumkan semula anggota kapal yang terjejas dari serangan Kira'na, atas suruhan Papa Zola. Papa Zola berbangga kerana dapat menurunkan ilmu Kemahiran Hidup kepada Gopal di sekolah. Gopal hairan Papa Zola berkata begitu sedangkan dia guru matematik, maka Papa Zola berpesan bahawa matematik tergolong dalam kemahiran hidup. Papa Zola juga menanya Ochobot tentang keadaan BoBoiBoy; Ochobot menjawab bahawa BoBoiBoy masih termenung di atas cenuram dari semalam. Gopal dan Yaya turut menyedari perubahan sikap BoBoiBoy, lebih-lebih lagi Yaya yang mengulas bahawa BoBoiBoy sudah berubah semenjak peristiwa di Planet Windara. Papa Zola cuba memeriahkan keadaan dengan melafazkan mutiara kata bahawa kitaran kehidupan ibarat perutnya yang naik apabila kenyang dan turun apabila lapar, membuat anak-anak muridnya ngilu mendengarnya.
BoBoiBoy duduk termenung dalam kemurungan di tepi cenuram tanpa memakai topinya sambil menghadap pemandangan gurun Gur'latan. Dihampiri oleh Tok Kasa, BoBoiBoy mengeluh bahawa dirinya belum bersedia untuk menerima kuasa tahap ketiga kerana khuatir akan tercedera kawan-kawannya apabila menggunakannya, malahan mungkin ada benarnya kata-kata Kira'na bahawa sedikit demi sedikit dia akan bertukar jadi seperti Retak'ka. Tok Kasa menasihati BoBoiBoy agar tidak terpengaruh dengan cemuhan Kira'na itu kerana hati Kira'na dipenuhi kesumat sehingga tidak waras pertimbangannya. BoBoiBoy masih sugul dan berasa menyesal kerana tidak mengalahkan Retak'ka awal-awal.
Tok Kasa merenungi rintihan BoBoiBoy dan duduk bersebelahan dengannya, lalu berpesan agar melupakan kekhilafan lalu. BoBoiBoy bertanya lagi apa yang wajar dilakukan, jadi Tok Kasa memakaikan topi BoBoiBoy sambil mengingatkan bahawa segala kuasa di galaksi boleh menjadi baik atau buruk, terpulang pada hati penggunanya, malah dia tidak merasakan BoBoiBoy seorang yang jahat dengan adanya kawan-kawan sebagai bukti. BoBoiBoy kembali bersemangat dengan kata-kata Tok Kasa, lalu turun untuk bertemu semula dengan kawan-kawannya dan meminta maaf kerana menimbulkan kebimbangan. Gopal berseloroh dengan mengatakan hanya dirinya yakin kawan baiknya masih baik sedangkan kawan-kawan lain risau lebih-lebih, menyebabkan yang lain naik geram seketika sementara BoBoiBoy berbalas dengan berdikit-dikit dan "terbaik".
Kaizo yang sudah pulih dari kecederaan pun hadir dan memberitahu BoBoiBoy bahawa masa mereka semakin suntuk dan peluang mereka untuk menyelamatkan tebusan Kira'na adalah tipis. BoBoiBoy berpendapat bahawa jika delegasi itu sudah dijadikan tebusan, maka Kira'na pasti sudah mensyaratkan tuntutan untuk membebaskan mereka. Ying bersetuju dengan menyatakan bahawa Kira'na tidak menyebut sebarang tuntutan, namun Kaizo merasakan bahawa mereka akan mengetahui tuntutan itu kelak.
Kaizo juga berpesan bahawa kuasa tahap ketiga BoBoiBoy akan diperlukan untuk mengalahkan Kira'na. BoBoiBoy mula berasa teragak-agak, namun Ying, Yaya, Gopal dan Qually bersama Papa Zola dan Ochobot tampil untuk melafazkan kata-kata semangat untuk merangsang kembali keyakinan BoBoiBoy. Malahan, Qually menyerahkan Buah Oakuat kepada BoBoiBoy, sementara Tok Kasa berpesan lagi apabila tanggungjawab yang dipikulnya terasa seperti beban, BoBoiBoy mesti beringat bahawa dia mempunyai kawan-kawan yang sedia untuk berkongsi beban itu bersama-sama, yakni kawan-kawan yang dipilih untuk menjadi keluarganya sendiri.
BoBoiBoy terharu dengan pesanan Tok Kasa dan berikrar untuk bersama-sama mengalahkan Kira'na, menyelamatkan tebusan dan mendapatkan kembali Fang. Semua pun sebulat suara menumbuk langit, cuma Gopal teragak-agak hendak menyelamatkan Fang 'si kaki populariti', mengundang kecaman daripada Ying yang menyiku belakangnya. BoBoiBoy membalas bahawa dia yakin pada Fang. Kaizo menerima isyarat pada perantinya dan memasang siaran dialog antara Kira'na dengan delegasi PPB yang dijadikan tebusan: Koko Ci, Gaharum, Toktaroka, Maripos dan Raja Gusto. BoBoiBoy mengujar kepada Kaizo bahawa "semua orang sudah terpedaya," membangkitkan kebingungan Gopal.
Dialog itu berlangsung di bilik kurungan Istana Diraja Gur'latan yang seakan-akan ruang tamu, di mana seluruh delegasi sebulat suara menolak sekeras-kerasnya pelawaan Kira'na untuk menjadikan semua planet yang diwakili sebagai naungan Empayar Gur'latan. Diiringi oleh Jeneral Gur'mida yang lantang menegur bahasa delegasi, Kira'na sekali lagi memujuk mereka bahawa keselamatan semua planet akan terjamin di bawah empayarnya, malah tidak akan timbul lagi peperangan dan kesengsaraan. Raja Gusto wakil Bayugan bersetuju kerana galaksi sudah kucar-kacir semenjak tiadanya Penguasa Elemental, malah TAPOPS tidak mampu melindungi seluruh alam, tetapi Gaharum tidak setuju kerana "apa guna kita bebas kalau sebelah kaki masih dirantai?" Dikecewakan dalam rundingan ini, Kira'na menahan geram dan mengundurkan diri sambil meninggalkan amaran kepada delegasi bahawa mereka telah membazirkan peluang untuk menyelesaikan isu dengan aman.
Turut hadir menyaksikan sepanjang perbalahan adalah Fang yang memakai pakaian rasmi Gur'latan dan menjaga pintu dengan bermuka selamba. Sebaik sahaja Kira'na dan Gur'mida pergi, Mariposa mengherdik Fang kerana berpaling tadah pada sahabat handainya sendiri. Fang menasihati mereka berlima untuk bersabar di bilik kurungan dan enggan menjelaskan pendiriannya kerana takut akan sukar difahami. Gaharum mempersoal jalan yang dipilih oleh Fang, namun Fang berdiam diri sahaja.
Sementara itu di makmalnya, Jeneral Sa'riya menggunakan kunci-kunci yang baru dinaik taraf oleh Keybot untuk mempertingkat bala tentera elit suruhannya yang terdiri daripada robot. Setiap individu askar robot dipasang kunci merah di bahagian tengkuk leher untuk dicas kuasanya. Setelah semua askar selesai dicas dan kembali ke batalion, Sa'riya didatangi oleh Kira'na yang mencemar duli di bersama Gur'mida dan Fang. Kira'na meminta Fang kembali menunggu di dewan lalu menanya Sa'riya tentang persiapan mereka. Sa'riya dengan senang hati menerangkan bahawa segala persiapan untuk batalion elit Guruhan sudah disempurnakan untuk menakluki lima buah planet iaitu Rimbara, Bayugan, Windara, Baraju dan Bumi. Kira'na turut bersukacita mendengarkan bahawa persiapan telah membawanya mengorak satu langkah ke arah mencapai cita-citanya untuk menyatukan seluruh galaksi di bawah panji-panji Gur'latan.
Tanpa disedari, perbualan Kira'na dan Sa'riya dicuri dengar oleh Fang yang sedang menghubungi Kaizo. Setelah seluruh kumpulan difahamkan bahawa Fang bukan pembelot tetapi bertindak sebagai perisik, Kaizo menyeru mereka untuk bersiap sedia. BoBoiBoy berikrar untuk membuktikan kepada Kira'na bahawa "masih ada kebaikan lagi di galaksi ini."
Watak[]
- BoBoiBoy
- BoBoiBoy Gempa
- BoBoiBoy Ais
- BoBoiBoy Glacier
- BoBoiBoy Beliung (imbas kembali)
- Yaya
- Ying
- Gopal
- Fang
- Qually
- Papa Zola
- Kapten Kaizo
- Hang Kasa
- Kira'na
- Jeneral Sa'riya
- Jeneral Gur'mida
Trivia[]
- Monsta memuat naik beberapa gulungan intip isu ini di Facebook dan Instagram[1][2][3][4].
- Isu ini ditundakan kerena pelepasan Mechamato Movie, yang menjadikannya isu kelima yang ditunda selepas Rahsia King Balakung!, Resepi Warisan Terulung!, Puak Purba Kadruax!, Pergolakan Di Windara dan Pertarungan Demi Windara!.
Galeri[]
Video[]
Rujukan[]
- ↑ https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0nyZXSGUUWa8KJ8ASL5xsBpxpqGsXmvZHw9SYSFYn1HMDoUVNPr2kWUxiuMjxHamsl&id=100044130159461&mibextid=Nif5oz
- ↑ https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0Qe15E245GAZPc9DJw2DXJoB6stLEdkDcNeHpqwD2Du6HQRXcNubyHZYvugZ2qkm4l&id=100044130159461&mibextid=Nif5oz
- ↑ https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02FmBjX8Fd1oLADndwZTd3yBqubPpnP7diTTiEYMPExd2NfE9EhpKdWb8f9SGaN2Gpl&id=100044130159461&mibextid=Nif5oz
- ↑ https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02LehJiVBeuPHTiQ9J3gamci4WBPy4D7jt3bUowiMNfbBCbZqYBPVsu7W3g9U6kdool&id=100044130159461&mibextid=Nif5oz
Pautan Luar[]
|