BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Galaksi Dalam Krisis! merupakan isu ke-24 BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 2 Disember 2022.

Ringkasan[]

Fang, Yaya, Ying dan Qually kini dalam tahanan penjara di Gur'latan setelah dituduh sebagai pengganas yang mensabotaj persidangan PBB. Pada masa yang sama, Kira'na yang berjaya merampas Kuasa Elemental Halilintar dari BoBoiBoy mempunyai agendanya yang tersendiri. Agenda yang bakal menggegarkan seluruh galaksi dan membawanya ke dalam kancah yang penuh krisis!

Plot[]

Kapten Kaizo terkenang zaman mudanya dahulu ketika dia berlatih berlawan dengan Kira'na di bawah seliaan Kul'dar, bapa Kira'na. Dalam sesi latihan itu, mereka berdua bertarung dengan sengit sehingga Kira'na menjatuhkan Kaizo dengan menyandungnya dari belakang. Kaizo menuduh Kira'na memukul curi, maka Kira'na membalas dengan sinis bahawa dalam pertarungan tiada curi pukul tetapi hanya serangan teratur. Kul'dar menegur sikap Kira'na, dan Kira'na membantah kerana mahu Kaizo diajar sehingga maju. Kaizo mengambil kesempatan dengan menyambar dan menghempaskan Kira'na lalu bertanya sama ada dia sudah maju. Kira'na bangun dan mengejek Kaizo terlalu tertumpu pada perkara salah dan menumbuk dadanya sebelum disuraikan oleh Kul'dar.

Latihan itu turut disaksikan oleh Fang kecil yang ditemani oleh Maskmana, dan dia pun mula mengagumi Kira'na daripada abangnya sendiri. Masukkan menasihatinya untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran, tetapi Fang rela menonton abangnya berlawan daripada menghadap tablet yang digunakan untuk belajar. Maskmana berpesan lagi bahawa bertarung bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal bahkan juga ilmu pengetahuan. Kaizo menyoal adiknya siapa yang disokongnya, dan jawabnya ialah Kira'na; oleh itu, Kira'na memerli Kaizo lagi. Maskmana menasihati Kaizo untuk tidak putus asa supaya akan menjadi hebat seperti wira pujaannya. Kira'na berjabat tangan dengan Kaizo sambil mengucapkan kata-kata semangat, maka tamatlah sesi latihan untuk hari itu.

Kaizo dikejutkan dari mengelamun oleh BoBoiBoy dan Gopal. Mereka bertiga sudah menghampiri Kompleks Penjara, malah Gopal hairan bertanya mengapa ia terletak di kawasan tidak berpenghuni. Kaizo menjelaskan bahawa tempat di mana mereka berada di Teras Guruh, iaitu sektor di mana semua reaktor menjana tenaga dan kilat yang dituai dari bawah. Dengan memasang perantinya, Kaizo menerangkan bahawa Teras Guruh terletak di antara Kota Terawangan di atas, iaitu pusat pemerintahan dan kediaman golongan pemerintah, dan Pekan Pangkal Guruh di bawah yang didiami golongan kelas bawahan. Kaizo berpendapat bahawa penjara dikawal ketat kerana dipesan oleh Pak Pato bahawa ia adalah fasiliti rahsia yang tersembunyi. Gopal mengeluh kerana menyangka terpaksa berlawan lagi, tetapi BoBoiBoy bercadang bahawa mereka boleh terus menyamar dan memasuki pintu hadapan. Kaizo bersetuju dengan cadangan itu dan mereka bertiga pun bergerak.

Yaya, Ying dan Qually terjaga di dalam penjara. Yaya dan Ying di dalam bilik kurungan bersebelahan terkilan melihat Qually turut tertawan di bilik bertentangan. Qually hendak bercerita tentang perjalanannya ke Kota Terawangan, tetapi Fang mencelah dengan berkata bahawa mereka telah diperdayakan oleh Kira'na yang mengejar kuasa Halilintar dari BoBoiBoy. Ditanya tentang nasib delegasi, Fang berentah tetapi yakin BoBoiBoy, Gopal dan Kaizo terselamat, maka mereka berempat dikurung di situ dan jam tangan kuasa mereka pun dirampas. Ying terkilan dan tertanya-tanya akan tindak-tanduk Kirana kerana tahu bahawa Kira'na bersahabat dengan Kaizo. Oleh itu, Fang menceritakan bahawa dia dan Kaizo diterima ke dalam keluarga Kira'na ekoran tragedi yang menimpa mereka di planet asal mereka iaitu Gogobugi; tidak lama kemudian, mereka menyaksikan Kul'dar terkorban dalam perang. Fang segera menutup cerita dan menyeru untuk mencari jalan untuk melarikan diri.

Qually menaruh harapan pada BoBoiBoy untuk datang dan menyelamatkan mereka, tetapi Yaya dan Ying membantah kerana khuatir BoBoiBoy sudah memikul beban yang terlalu banyak. Fang yakin bahawa jam tangan mereka tersimpan di tempat berdekatan dan menggesa untuk menuntutnya semula sebelum ia jatuh di tangan yang salah. Qually mendapat jalan dan mengeluarkan sudip kecil yang tersembunyi dalam kasutnya untuk mengusik panel kunci kurungannya sehingga terkena renjatan elektrik dan rebah. Ini menarik perhatian seorang pengawal yang datang untuk meninjau keadaan. Sebaik sahaja dia memasuki bilik kurungan, Qually bangkit dan menanduk pengawal itu di bahagian dagu lalu menolaknya ke arah jerejak yang berarus elektrik. Tindakan mengejut itu mengundang kecaman daripada kawan-kawannya, jadi Qually mempertahankan tindakannya tidak memberitahu terlebih dahulu supaya helahnya tidak disyaki musuh.

Maka Qually membebaskan tiga sahabatnya dan mereka berempat pun mula bergerak untuk mencari jalan keluar. Yaya hairan mendapati pegawainya tidak ramai, tetapi Qually mengingatkan bahawa terdapat banyak kamera pengawasan di seluruh penjara. Oleh itu, Fang bertindak menggunakan perantinya untuk menggodam sistem dan menyahaktifkan semua kamera serta menjejaki jam tangan kuasa mereka. Didapati jam-jam tangan kuasa tersimpan di aras atas penjara, maka Fang memimpin sahabat-sahabatnya menuju ke situ.

Kira'na sedang bersemayam di balairung istananya dan berkenan dengan Jeneral Sa'riya yang memegang Pedang Halilintar sambil melaporkan bahawa kuasa Voltra sudah stabil dan sedia untuk dipindahkan. Sa'riya meluahkan rasa kesal kerana rancangan asal tidak diikuti, maka Kira'na mengingatkan bahawa kuasa Voltra adalah hak milik kerabat dirajanya dan bukan untuk dijadikan bahan eksperimen. Datangnya Jeneral Gur'mida menghadap sambil membawa KeyBot, melaporkan bahawa kumpulan BoBoiBoy telah melarikan diri dan mungkin sedang menuju ke Teras Guruh. Sa'riya memerli rakan sejawatannya kerana gagal menangkap sekumpulan budak, maka Gur'mida berpesan untuk tidak memandang rendah pada wira-wira muda itu sambil membaling KeyBot kepada Sa'riya. Sambil menyambut Power Sphera itu dengan rambut dawainya, Sa'riya mencadangkan agar upacara pertabalan ditangguhkan selagi BoBoiBoy belum ditangkap, manakala Gur'mida menyuarakan jaminan untuk memperketat kawalan dan menangkap kumpulan BoBoiBoy dengan segera. Kira'na berasa tidak akan tergugat dan memerintahkan kedua-dua jeneral menjalankan persiapan seperti yang dirancang, dan mereka pun menjunjung perintah.

Fang, Yaya, Ying dan Qually menghendap di tengah-tengah bangunan penjara. Mereka terdengar perbualan antara dua pengawal yang terpaksa bertugas sementara upacara pertabalan Kira'na sedang berlangsung. Qually terkilan mendengar bahawa Kira'na tergamak mengadakan upacara pertabalan sebaik sahaja mensabotaj persidangan PPB. Selepas itu, Fang segera memimpin kawan-kawannya ke bilik simpanan senjata untuk mencari jam-jam tangan kuasa mereka. Qually tergesa-gesa menyerbu rak-rak dan peti-peti di situ sehingga terjumpa Buah Oakuat yang hendak diberikan kepada BoBoiBoy sebelum menerima panggilan kecemasan. Tiba-tiba, mereka didatangi oleh seorang pegawai berbadan besar yang baru masuk.

Di Dataran Istana Diraja bermulanya upacara pertabalan Kira'na yang dihadiri beratus ribu Laskar Gurmida. Diiringi Jeneral Gur'mida dan Sa'riya yang mengawal dron hologram untuk memancarkan imej pemimpin dan penduduk anggota PPB lain, Kira'na berucap kepada para hadirin tentang seratus tahun pancaroba yang dilalui oleh seluruh galaksi sejak tewasnya Satriantar kepada Retak'ka hingga hari ini apabila galaksi hendaknya kembali aman di bawah naungan Empayar Gur'latan. Upacara turut ditonton secara langsung oleh Tok Kasa di kapal angkasa MS Kebenaran, dan dia menggesa Papa Zola bergegas kerana masa kian suntuk.

Di bilik simpanan senjata, kumpulan Fang berempat berhadapan dengan Warden Deemo, ketua pengawal penjara yang mengancam mereka dengan hentakan yang kencang sehingga melepaskan angin. Belum sempat menjumpai jam-jam kuasa mereka, mereka berikhtiar dengan menggunakan senjata yang tersimpan di situ. Yaya menemui sepasang sarung tangan besi yang membesarkan tangannya untuk menampan serangan Deemo. Ying mendapat sepasang but magnetik untuk menahan angin dan berjalan di atas dinding. Fang pula mendapat sepasang tonfa ungu yang diulas sepadan dengan corak pakaiannya oleh Qually. Fang menggesa Qually turut menolong, tetapi Qually rela sekadar menonton sambil mengudap kerepeknya.

Sementara Yaya menahan asakan Deemo, Ying memecut di atas dinding lalu menerajang muka lawannya. Deemo kelihatan tidak terkesan dan membalas dengan tepukan kencang sehingga Yaya dan Ying tercampak. Yaya mendapat akal dan bertindak melontarkan Ying secara tiba-tiba ke arah lawan mereka, kemudian Ying menendang bahagian abdomen Deemo dengan kuasa but magnetiknya, membuat lawannya tertolak. Fang yang menyaksikan aksi itu dari pinggiran bersetuju dengan Qually bahawa lebih baik menonton orang lain berlawan. Deemo masih bertahan dan mengingatkan bahawa badannya berperisai. Yaya menghendap dari belakang dan mengingatkan lawannya bahawa kepalanya tidak berperisai, lalu menghimpit kepalanya dengan kuasa sarung tangannya, membuatnya rebah.

Fang menemui jam-jam kuasa mereka dalam abdomen baju perisai Deemo. Akan tetapi, Deemo sempat menekan butang penggera sebelum pengsan, maka datangnya seangkatan pengawal mengepung mereka. Fang segera menyerahkan jam tangan masing-masing kepada Yaya dan Ying, mengeluarkan kuasa Tangan Bayang untuk menghalang pengawal-pengawal itu dan menyuruh rakan-rakannya pergi menyelamatkan delegasi dan berjumpa semula di istana. Maka Yaya, Ying dan Qually bergegas keluar, meninggalkan Fang untuk melawan para pengawal seorang diri.

Ketika Yaya, Ying dan Qually mencari jalan keluar, mereka dikejutkan oleh kemasukan tiga lembaga yang memecah masuk melalui dinding. Mereka tersalah sangka itu pengawal penjara lagi dan terus menyerang mereka, sehingga asap dari ledakan dinding reda dan baru mereka sedar bahawa itu adalah Kaizo, BoBoiBoy dan Gopal. Setelah mereka meminta maaf, Kaizo bertanya tentang Fang, maka Yaya dan Qually pun menyampaikan pesanan Fang kepadanya. Kaizo terkilan dengan tindakan adiknya dan memimpin geng BoBoiBoy ke lif turbo untuk naik ke tapak istana.

Sebaik sahaja tiba di aras istana, Kapten Kaizo dan geng BoBoiBoy mula menghendap di perkarangan istana. Yaya memberitahu Kaizo tentang upacara pertabalan Kira'na, maka Gopal mempersoal kewajaran Fang mahu bertemu di istana. BoBoiBoy memperhatikan skrin besar di atas istana yang menyiarkan acara kemuncak pertabalan Kira'na sebagai Maharani Gur'latan di mana dia menjulang Pedang Voltra dan memancarkan pertunjukan panahan kilat untuk menandakan bermulanya pemerintahannya. Tatkala dataran istana bergema dengan sorakan bala tentera meraikan pemerintah baharu mereka, tiba-tiba datangnya seorang pemuda bertopeng dan memakai mantel bertudung menghadap Kira'na di atas pentas. Kira'na memperkenankan kedatangan pemuda itu dan terus menyapanya. Pemuda itu melucutkan penyamarannya dan mendedahkan diri sebagai Fang, jadi Kaizo, BoBoiBoy dan kawan-kawannya pun terperanjat.

Fang terkenang masa dia bersemuka dengan Kira'na di penjara, di mana Kira'na melafazkan usul untuk membentuk sebuah empayar untuk melindungi seluruh galaksi daripada sebarang ancaman, daripada mengharapkan bantuan daripada "individu yang boleh korup dengan kuasa pada bila-bila masa." Fang pada mulanya membantah dengan keras kerana Kira'na mahu semua planet tunduk kepada Gur'latan, tetapi setelah mendengarkan pujukan lembut Kira'na bahawa semua pihak boleh mengatasi segalanya bersama-sama, Fang berfikir panjang malah mempertimbangkan perasaan BoBoiBoy dan kawan-kawan yang lain, akhirnya Fang akur. Maka di atas pentas pertabalan, Fang tunduk dan melafazkan ikrar ketaatan kepada Maharani Kira'na.

Kaizo tidak tertahan kemarahannya dan meluru ke hadapan pentas untuk mengecam tindakan adiknya. Kira'na sukacita melihat kumpulan BoBoiBoy hadir dan akhirnya memasuki perangkap. Atas arahan Jeneral Gur'mida, Laskar Guruhan segera mengepung Kaizo, BoBoiBoy dan kawan-kawannya. BoBoiBoy mengeluh berada dalam masalah besar.

Watak[]

Trivia[]

Galeri[]

Video[]

Pautan Luar[]

Advertisement