BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Kilat dan Guruh merupakan isu ke-22 BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 30 September 2022.

Ringkasan[]

Setelah Pak Pato dan tentera robotnya berjaya ditewaskan, seluruh Planet Baraju meraikan penyatuan antara Puak Bara dan Salju buat julung kalinya. Keamanan yang dulu sekadar impian, kini bertukar menjadi kenyataan. Namun, Pak Pato yang berjaya melarikan diri bersama Logam Kemilau perlu dijejak sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku. Dan Fang menemui satu petunjuk yang bakal membawa superhero Bumi ini ke sebuah planet dengan pergolakan cuaca yang ekstrim…

Plot[]

Panglima Yanaari dan Mas Gardu menurunkan cap tangan pada Batu Perjanjian nenek moyang mereka, menandakan berakhirnya seratus tahun peperangan antara Puak Bara dan Puak Salju. Peristiwa gemilang ini dimeriahkan lagi dengan majlis kenduri yang disajikan oleh Gopal dan Qually. BoBoiBoy mengucapkan tahniah kepada kedua-dua ketua puak dan dibalas dengan ucapan terima kasih, lebih-lebih lagi oleh Mas Gardu yang sampai memeluk BoBoiBoy kuat-kuat sambil terharu mengecapi kedamaian. Yaya dan Ying meneliti Batu Perjanjian yang dimeterai oleh Panglima Pyrapi dan Mas Mawais; bersama mereka ialah Toktaroka yang menghargai jasa "Fang Je" kerana mengembalikan batu tersebut dari tersimpan di arena bawah tanah. BoBoiBoy mencelah dan cuba membetulkan sebutan nama Fang, namun Toktaroka terdengar "Fang Tok"; Fang pula menyerah.

Toktaroka mengisahkan bahawa dia pernah terdengar khabar angin akan kewujudan Batu Perjanjian tersebut, di mana Panglima Pyrapi dan Mas Mawais pernah berniat untuk bergabung tenaga untuk menentang Retak'ka, tetapi kedua-duanya terkorban tanpa sempat memberitahu puak masing-masing, lebih-lebih lagi dengan campur tangan Pak Pato mengeruhkan keadaan sehingga perang berlarutan selama seabad. Fang mengesyaki Pak Pato sengaja menutup laluan ke arena bawah tanah untuk mengaburi orang lain.

Roktaroka dikejutkan oleh kedatangan Rokkiah yang mengucapkan terima kasih kepada atas usaha menyelamatkan Planet Baraju. Roktaroka dari malu-malu akhirnya membuka mulut dan bercerita bahawa dia pernah berhasrat untuk meluahkan cinta kepada Rokkiah 10 tahun dahulu tetapi tidak kesampaian apabila menyangka Rokkiah sudah dirampas oleh jejaka lain. Jejaka yang dimaksudkannya itu pun diperkenalkan oleh Rokkiah sebagai abang kandungnya, Mat Rock, membuat Roktaroka terkilan. Toktaroka geram kerana Roktaroka tidak tahu Rokkiah ada abang dan menghantuk kepalanya dengan tongkat. Roktaroka meminta maaf kerana salah faham, dan Rokkiah pun meluahkan perasaan cinta kepadanya.

Pada waktu petang, BoBoiBoy meneliti serpihan sel kuasa yang tercicir dari robot Pak Pato dalam simpanan Fang. Fang menelah bahawa ia diperbuat daripada Logam Kemilau, dan Yaya berpendapat bahawa itulah sebab Pak Pato mencurinya. Gopal mengujar bahawa Pak Pato tidak menggunakan sel itu pada robot-robot lain selain robot penguasa elemental, maka Fang berkata itulah yang merisaukannya kerana sel kuasa hanya datang dari satu tempat, iaitu Planet Gur'latan. Seluruh geng tergempar terdengar nama planet itu. Ying tertanya-tanya sama ada Pak Pato membina robotnya di situ, manakala BoBoiBoy menduga bahawa penjahat itu berlari ke Gur'latan dan oleh itu harus melaporkan kepada Komander. Fang bersetuju kerana ini dikira misi TAPOPS dan dia tahu orang yang paling sesuai untuk menyiasat hal ini.

Sebulan telah berlalu semenjak berakhirnya perang Baraju. Di bandar setinggan sektor Pangkal Guruh di planet Gur'latan, Fang memakai kuasa Harimau Bayang untuk mengejar Pak Pato. Pak Pato mula menembak ke arahnya tetapi ditangkis oleh Kapten Kaizo yang datang melibas Pedang Tenaga Jingganya. Malah senjata Pak Pato pun habis dibelahnya dan dia pun ditangkap dengan Rantai Tenaga Kaizo supaya dia dan adiknya Pang (Fang) dapat menyoal siasatnya. Jam tangan Fang membunyikan peringatan akan persidangan nanti di mana dia dan Kaizo telah dijemput, namun Kaizo memilih untuk fokus pada Pak Pato dan meminta Fang mengirim salam.

Selama satu bulan, BoBoiBoy menerima latihan daripada Hang Kasa untuk menguasai kuasa elemental baharunya di Gua Kristal, Planet Quabaq. Pada suatu hari, BoBoiBoy bertukar menjadi Beliung di bawah pengawasan Hang Kasa dan Ochobot. Hang Kasa mengarahnya untuk fokus pada memecahkan seketul kristal sahaja. Maka Beliung mula melepaskan serangan, tetapi tiba-tiba teringat akan peristiwa dirinya hilang kawalan di Windara. Hang Kasa dan Ochobot menyedari BoBoiBoy dalam masalah dan memujuknya untuk fokus. Beliung meraung sambil melepaskan putaran beliung yang kencang sehingga dia akhirnya mengawal diri semula dan bertukar kepada asal.

BoBoiBoy meminta maaf kepada Hang Kasa kerana gagal mengawal kuasa elemental tahap ketiga. Hang Kasa memaafkan dengan menceritakan bahawa dirinya dahulu pun sukar mengawal kuasa Kristalnya sehingga gua yang mereka berada itu pun habis dipenuhi kristal, namun dia terus berlatih sehingga dapat mengawal kuasa berkenaan. BoBoiBoy meluahkan rasa khuatir dia akan gagal mengawalnya dan bertukar jahat seperti Retak'ka. Hang Kasa berhujah bahawa BoBoiBoy jauh berbeza dengan Retak'ka: seorang berambut pacak, seorang memakai topi terbaik; seorang menggunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri dan seorang lagi untuk melindungi galaksi; lalu dia menyoal BoBoiBoy akan tujuannya mendapatkan kuasa tahap ketiga. BoBoiBoy bersetuju dengan kata-kata gurunya dan merasakan akan ada lagi musuh yang lebih kuat daripada dirinya, oleh itu dia perlu bersedia agar situasi seumpama Retak'ka tidak berulang lagi, maka dia perlu berlatih sehingga boleh. Hang Kasa menamatkan sesi latihan untuk hari ini dan membawa BoBoiBoy pergi menghadapi kuasanya yang sebenar.

Berlangsungnya sebuah persidangan di Kota Terawangan Planet Gur'latan yang dihadiri oleh tokoh-tokoh terulung. Yaya, Ying, Gopal dan Fang hadir memakai baju seragam serba biru mewakili TAPOPS, semuanya seronok belaka kecuali Gopal yang murung dan merayu-rayu pada Fang kerana terpaksa belajar dengan kedua-dua perempuan. Ying menanya Gopal berapa 56 bahagi 8, punca kuasa 81, dan 13 darab 13. Gopal dengan tiba-tiba menjawab 7, 9 dan 169, maka Fang kagum melihat Gopal dapat mengira tanpa kalkulator, namun Gopal merengek lagi kerana dibawa hadir secara paksa. Yaya dan Ying secara sinis mempersilakan Gopal pulang dan terlepas makan bufet percuma, jadi Gopal pun naik semangat untuk persidangan.

Mereka berempat memasuki kamar persidangan utama, di mana kelihatan Komander Koko Ci bersembang Tuan Guru Gaharum dari Rimbara dan Raja Gusto dari Bayugan; Toktaroka bergambar bersama Maripos yang disalah sangka pemerintah baharu Windara tetapi sebenarnya mewakili Kuputeri yang sibuk membangunkan semula planetnya. Ying berasa teruja kerana dapat berjumpa semula dengan kenalan-kenalan lama mereka, sementara Ying tertanya-tanya siapa yang menjemput mereka kerana tidak tertulis nama pada kad jemputan.

Munculnya susuk perempuan berambut merah panjang bertegur sapa dengan wakil TAPOPS berempat, diperkenalkan oleh Fang sebagai Kira'na, kenalan lamanya. Yaya, Ying dan Gopal terkejut bahawa Fang ada kawan selain daripada mereka, jadi Fang menjelaskan bahawa dia mengenali Kira'na kerana dia dan Kaizo belajar bersama-sama di akademi, malah Kira'na menganggap Fang sebagai adik sendiri. Kira'na berterima kasih kepada mereka kerana menunaikan jemputan daripadanya, di mana dia melayan kawan-kawan Fang sebagai kawan-kawannya sendiri.

Kira'na beria-ia memuji-muji Yaya kerana menghancurkan ratusan robot Pak Pato dengan kuasa manipulasi gravitinya, Ying kerana menyelesaikan teka-teki piramid di Kadruax, dan Gopal pula kerana menggunakan kuasa tukaran makanan ketika BoBoiBoy tidak dapat menggunakan kuasa di Kilang Nubot. Yaya dan Ying melayan pujian dengan segan manakala Gopal pula bermegah. Kira'na bertanya pula akan BoBoiBoy, maka Fang menerangkan tentang latihannya di Quabaq, membuat Kira'na kesal tetapi bersyukur kerana dapat berjumpa dengan kawan-kawan BoBoiBoy yang hadir. Kira'na juga bertanyakan Kaizo, dan Fang pun berkata dia sedang sibuk.

Kapten Kaizo bersama Pak Pato yang digari pergi ke tempat persembunyiannya di mana dia mereka dan memasang semua robotnya. Kaizo menggari Pak Pato pada paip dinding dan pergi meninjau tempat berkenaan. Pak Pato mengambil kesempatan dengan mengeluarkan kunci gari dari mulutnya dan melepaskan diri, tetapi Kaizo cepat mengesannya. Pak Pato menekan butang kecemasan yang melepaskan kabus tebal, kemudian membawa kunci aci engkol dalam simpanannya untuk menghidupkan ciptaan terakhirnya.

Koko Ci, Gaharum, Toktaroka, Maripos dan Raja Gustosedia menduduki kerusi di meja bulat. Koko Ci mempersilakan Puteri Kira'na selaku penganjur persidangan memberikan ucapan pembukaan. Yaya, Ying dan Gopal yang menonton persidangan dari pinggir dewan bersama Fang, terkejut mendengar Kira'na bergelar Puteri kerana tidak diberitahu awal-awal bahawa Kira'na keturunan diraja, maka Fang mengaku tidak sempat. Kira'na berterima kasih kepada Koko Ci dan semua wakil delegasi atas kehadiran mereka.

Dalam ucapannya, Kira'na berkata bahawa Pertubuhan Planet-Planet Bersatu ditubuhkan 100 tahun lalu oleh lima penguasa elemental, termasuklah nendanya Maharani Satriantar (di samping King Balakung, Kuputeri, Pyrapi dan Mas Mawais), dengan matlamat utama untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan sejagat di kalangan semua ahlinya. Fang dikesali kawan-kawannya kerana tidak menceritakan bahawa Kira'na cucu kepada penguasa elemental. Kira'na bersambung bahawa PPB terbubar setelah kelima-lima penguasa elemental tersebut tewas di tangan Retak'ka, dan oleh itu wakil-wakil terbabit diundang ke persidangan ini untuk menyambung legasi mereka sebagai ahli-ahli baharu PPB. Tambahnya lagi, penubuhan semula PPB akan melibatkan agenda-agenda baharu, dan agenda pertama yang diusulkannya ialah pembubaran TAPOPS.

Fang, Gopal, Yaya dan Ying tergempar mendengarkan usul Kira'na, lebih-lebih lagi Fang si kenalan lama yang terkilan. Maripos membantah kerana TAPOPS telah melindungi planet-planet mereka selama ini. Toktaroka bersetuju dengan Maripos dan menegaskan bahawa Windara dan Baraju telah mengecapi kedamaian atas berkat TAPOPS. Kira'na memperakui kenyataan dua wakil itu tetapi membalas dengan hujah bahawa TAPOPS gagal melindungi Gur'latan daripada diserang oleh Retak'ka. Koko Ci gagap menjelaskan bahawa pihaknya terlewat menerima laporan serangan Retak'ka. Kira'na mencelah penjelasan Koko Ci dengan berhujah lagi bahawa TAPOPS bukan pilihan utama untuk menjamin keselamatan mereka bersama, malah yang melindungi mereka dan mengembalikan keamanan planet-planet mereka ialah kumpulan BoBoiBoy dan bukan TAPOPS. Gaharum berasa sangsi dan bertanyakan cadangan Kira'na.

Ketika Kira'na menjawab soalan Gaharum, Fang menerima pesanan daripada BoBoiBoy untuk segera mengungsi dari tempat persidangan. Dia dan kawan-kawannya terjumpa bom asap di atas lantai, maka meresaplah asap itu menyelubungi seluruh ruang; Fang merasakan mereka telah diserang hendap. Maripos mengipasi asap tebal itu dan mereka semua pun mula mencari wakil-wakil lain. Kira'na kelihatan sedang diserang oleh beberapa buah robot, tetapi kemudian mereka dihentam sampai hancur oleh Fang yang memakai Gorila Bayang. Maripos mengibaskan Kipas Libasnya dan mendapati banyak lagi robot. Ahli-ahli TAPOPS mengecamkan mereka sebagai robot-robot Pak Pato dan mula bertempur.

Dengan kuasa masing-masing, Yaya, Ying dan Gopal, menumbuk, menendang dan menukarkan sebanyak mana robot yang mungkin menjadi biskut rapuh. Kelihatan satu robot meluru ke arah Kira'na, tetapi Kira'na sempat membalas dengan membelah robot itu dengan pedangnya, membuat Yaya berasa kagum. Kira'na menyuruh Fang dan Gopal untuk melarikan semua hadirin lain ke seberang jambatan, dan Ying dan Yaya untuk tolong membuka laluan. Tiba-tiba Maripos datang terpelanting, sempat menuding ke suatu benda sebelum pengsan. Munculnya robot yang menyerupai Satriantar menyerang dan merenjatkan Kira'na sehingga ia diserang oleh Ying dengan Tendangan Laju. Yaya dan Ying berkumpul dan sedia untuk melakukan Kombo Penamat, tetapi tiba-tiba dilibas dari belakang sampai pengsan.

Gopal dan Fang memimpin wakil-wakil planet ke balai utama Kota Terawangan di seberang jambatan. Sambil itu, Fang cuba menghubungi Kaizo. Tiba-tiba robot Satriantar muncul secara mengejut di jambatan dan menjatuhkan semua di atas jambatan dengan pancaran kilatnya. Kira'na datang dan memberitahu bahawa Ying dan Yaya sudah pengsan dan mereka semua telah dikepung, malah mereka hanya boleh mengharapkan BoBoiBoy untuk membela nasib seluruh galaksi.

Di Planet Quabaq, Papa Zola dan Qually datang melawat dengan berkelah di luar rumah Hang Kasa, berdekatan dengan PasuBot, sambil menikmati bekalan masakan isterinya yang terindu. Qually berasa hairan akan kehadiran Papa Zola yang sudah bersara dari TAPOPS, maka Papa Zola menjawab dengan sebak bahawa dia mahu menyertai misi anak-anak muridnya untuk kali terakhir.

Papa Zola bertanya tentang pokok yang tumbuh sebesar alam di atas mereka, maka Qually menerangkan tentang Pokok Oakuat yang pernah ditanam di TAPOPS-U tetapi dipindahkan ke situ setelah tumbuh terlalu tinggi. PasuBot yang menjaga pokok itu menjamin bahawa Pokok Oakuat sudah berhenti tumbuh kerana sudah berbuah. Gugurnya sebiji buah yang berwarna merah dengan bintik hijau dan tangkai berdaun biru, jatuh ke tangan Papa Zola. Papa Zola teringin hendak mencubanya tetapi dihalang oleh Qually kerana buah itu untuk BoBoiBoy sahaja.

Munculnya BoBoiBoy, Hang Kasa dan Ochobot menyambut kedatangan Papa Zola dan Qually. Qually pun menyerahkan Buah Oakuat kepada BoBoiBoy, dan BoBoiBoy pun teruja kerana jurulatihnya telah meramalkan kedatangan punca kuasa baharunya dengan tepat. Hang Kasa menyampaikan pesanan Gaharum bahawa Buah Oakuat akan mengeluarkan segala kuasa yang terpendam dalam diri pemakannya. Dia juga menduga bahawa mungkin dengan memakan buah itu BoBoiBoy akan dapat belajar mengawal kuasa baharunya dan menggesa anak muridnya makan segera.

BoBoiBoy merenungi sejenak Buah Oakuat dalam tatangannya. Dengan galakan daripada Papa Zola dan Oakuat, BoBoiBoy membuka mulut dan hampir memakan buah itu, tetapi tiba-tiba disampuk oleh pesanan kecemasan daripada Gopal.

Watak[]

Trivia[]

Galeri[]

Video[]

Pautan Luar[]

Advertisement