BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Cahaya Di Sebalik Awan merupakan isu ke-21 BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 2 September 2022.

Ringkasan[]

Kemunculan BoBoiBoy Sopan nampaknya meredakan keadaan yang semakin meruncing. Yanaari dan Gardu mula bersetuju untuk berunding, demi menamatkan persengketaan yang sudah berlanjutan terlalu lama. Akan tetapi, dalang yang berselindung di sebalik tabir akhirnya menunjukkan dirinya…

Plot[]

BoBoiBoy Sopan melakukan kemunculan sulung dengan menghentikan perkelahian antara Panglima Yanaari dan Mas Gardu dan meminta mereka meletakkan senjata. Kawan-kawannya memandang dengan kagum, terutamanya Gopal yang mengharapkan yang lebih baik daripada BoBoiBoy Gentar, sementara Qually suka akan budi bahasanya. Mas Gardu menyuruh Sopan ke tepi; Sopan berbalas tidak molek bergaduh atas perkara remeh semata-mata. Yanaari bengkeng menegur Sopan kerana meremehkan soal maruah kaumnya.

Dengan alat khas Kipas Angin Sopan, Sopan melakukan Hembusan Angin Sopan untuk menenteramkan kedua-dua ketua puak. Gardu terasa hatinya tenang kerana "kehangatannya" sementara Yanaari teringat akan kedamaian di Talistiwa. Kawan-kawan BoBoiBoy pun terasa aman, tetapi Gopal sedikit hampa kerana kuasa Sopan tidak sehebat yang dijangka. Maka dengan itu, Yanaari dan Gardu setuju untuk duduk berunding.

Yaya mengendalikan rundingan damai antara Yanaari dan Gardu. Kedua-dua pihak kembali meninggikan suara menuntut hak masing-masing, tetapi Sopan sempat mengipasi mereka semula. Gopal menepuk muka kerana tidak terasa kehebatan Sopan, maka Yaya menasihati bahawa tidak semestinya gunakan kekerasan untuk mencapai matlamat. Ying setuju dengan ujaran bahawa semua hal boleh dibincangkan apabila dalam keadaan tenang.

Baru sahaja rundingan hendak bermula, tiba-tiba datangnya gerombolan seakan askar-askar dari puak Bara dan Salju mengepung tempat rundingan. Salah satu askar Bara mengacukan parang ke arah Yanaari. Sopan cuba mengipasi askar-askar itu tetapi tidak berkesan. Fang mengecam mereka sebagai robot penyamar askar yang ditemui di bawah tanah.

Tampilnya Pak Pato mengaku telah mencipta robot-robot askar tersebut dan memimpin mereka untuk menyerang kumpulan BoBoiBoy kerana merosakkan usaha mengapi-apikan persengketaan antara puak Bara dan Salju. Yanaari dan Gardu tergempar, menuntut tujuan Pak Pato berbuat demikian, maka Pak Pato menjawab bahawa perniagaannya bergantung pada permusuhan antara mereka. Qually berbisik kepada Gopal, bergurau bahawa perniagaan jual mainan Pak Pato laku keras sewaktu perang.

Pak Pato mengarahkan robot-robot askarnya menyerang kumpulan BoBoiBoy. Fang mengeluarkan Separa Beruang Bayang dan meleraikan robot-robot sebagai tanda "mengajar cara beradab yang sebenar" kepada musuh. Sopan dengan sinis menyebut Fang seorang "lelaki yang berbudaya" lalu bersiap sedia menghadapi musuh dengan kipasnya. Gopal mula-mula mengeluh Sopan akan mengeluarkan kuasa angin biasa-biasa lagi, tetapi Sopan kali ini mengeluarkan Gerakan Cahaya Sopan untuk bergerak laju sambil menghancurkan semua robot yang mendatang dalam masa yang singkat. Gopal akhirnya takjub bersama Qually, dan Sopan pun mengaku ada masanya tetap harus berlawan.

Panglima Yanaari dan Mas Gardu mengeluarkan senjata rahsia masing-masing yang terkendong dan mengacu ke arah robot musuh. Yaya mendapati senjata mereka serupa. Akan tetapi, kedua-dua senjata tidak jadi melepaskan sebarang tembakan, lalu ia dihancurkan terus secara telekinesis oleh Pak Pato yang mengaku mencipta senjata itu. Yaya menyimpulkan bahawa Pak Pato telah menjual senjata itu kepada Yanaari dan Gardu, jadi Pak Pato mengia dan berpesan jangan berniaga dengan orang yang tidak dikenali supaya tidak dikecong. (Dalam imbasan kembali, Pak Pato memakai selendang di atas kepala supaya tidak dicamkan.)

Mas Gardu beralih ke Kapak Salju asalnya dan meluru ke arah Pak Pato, maka Pak Pato mengarahkan robot-robot menyerang Gardu. Yaya masuk campur dengan Mampatan Graviti untuk melonggokkan robot-robot tersebut, dibantu oleh Ying yang menggunakan Kuasa Halaju Tinggi untuk menerajang longgokan robot sehingga musnah. Gopal dan Qually mencemburui kehebatan kombinasi Yaya dan Ying dan turut masuk bertempur. Gopal melakukan Tembakan Mesingan Makanan untuk menukarkan cebisan-cebisan robot yang gugur menjadi makanan, disusuli Qually yang mengapikan sudip kembarnya dan melakukan Jurus Buffet Berapi untuk memasak makanan tersebut untuk dinikmati mereka berdua.

Yanaari dan Gardu berbelakang-belakangan menghadap lagi robot-robot yang mengepung. Melihat kehebatan hasil kerjasama kumpulan BoBoiBoy, Yanaari bercadang bahawa mereka berdamai sementara sehingga dapat mengalahkan Pak Pato. Gardu menyambut baik cadangan itu dan mahu menyaingi Yanaari untuk menjatuhkan robot terbanyak. Yanaari memerli Gardu degil sambil mereka menghunus bilah masing-masing untuk mencantas musuh. Turut serta membelasah robot Pak Pato ialah Roktaroka yang mengeluh kerana berat hati hendak terlibat dalam pertempuran.

Setelah semua robot askar habis dibasmi, seluruh wira berkumpul dan BoBoiBoy Sopan menuntut Pak Pato supaya menyerah kalah. Gopal pula mencabar Pak Pato mengeluarkan lagi robot untuk ditukar jadi kuih lapis. Pak Pato enggan menyerah kalah dan menggunakan kuasa telekinesis untuk mencantumkan dan menghidupkan semula robot-robotnya yang hancur berderai. Qually khuatir pihaknya tidak akan menang dengan tindakan Pak Pato, maka Sopan memujuk dengan pepatah "bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat," dan pergi menghadap robot-robot lagi. Qually bingung tertanya-tanya sama ada dia diperli kerana susuk tubuhnya yang bulat, maka Ying menjelaskan maksud Sopan bahawa segala masalah boleh diatasi dengan mudah jika bekerjasama.

Sopan menukarkan kipasnya menjadi senjata terapung Keris Solar dan memohon maaf kepada semua robot askar. Kemudian, dia membawa kerisnya berlari pecut dan mengelar semua askar sehingga mereka habis meletup. Pak Pato mula melarikan diri dengan menunggang motosikal terapungnya; mujur Fang sempat terlihat dan menyeru Sopan menghalangnya demi menumbangkan robot-robot tersebut. Yaya setuju dengan gesaan Fang dan meminta Sopan menyerahkan tugas melawan robot kepada mereka. Sopan berterima kasih kepada kawan-kawannya dan mula mengejar, namun tercegat seketika apabila terlihat Roktaroka bergolek masuk ke medan pertempuran. Roktaroka bertarung di samping Fang, menggesa Sopan pergi.

Sopan bergegas ke arah Pak Pato, ditemani oleh Gopal dan Qually. Qually memanjangkan sudipnya untuk menghancurkan robot-robot, disusuli Gopal menukarkan serpihan robot menjadi biskut rapuh. Yaya dan Ying turut membantu membasmi saki-baki robot dengan kuasa Serangan Laju dan Apungan Graviti demi memudahkan perjalanan Sopan ke arah Pak Pato. Mas Gardu berjuang di samping Yanaari, menyeru Sopan menuntut bela ke atas Pak Pato kerana menganiaya mereka. Dengan lompatan anginnya, Sopan berjaya memintas Pak Pato dan sehingga dia terjatuh dari motosikal.

Pak Pato sakit hati dengan kegagalan robot-robot askarnya dan bertindak membongkar mesin atas kepala yang terlindung dalam serbannya; Ying segera mengecamkan mesin itu sebagai Power Sphera. Pak Pato mengganti kunci engkol Power Sphera itu dengan kunci khas untuk menyeru dua buah "Robot Penguasa Elemental" yang masing-masing menyerupai Panglima Pyrapi dan Mas Mawais. Yanaari dan Gardu rimas melihat nama baik leluhur mereka dicemari dengan penciptaan robot-robot besar itu. Pak Pato berbangga dengan robotnya yang terhasil dengan jitu daripada hasil penyelidikan bertahun-tahun lamanya.

Sopan mencelah bahawa robot tersebut tidak akan dapat menyamai penguasa elemental sebenar lalu menyerang Robot Mawais dengan Keris Solar, namun robot itu sempat menepis dengan Perisai Ais. Robot Pyrapi menyerang Solar dari belakang dengan Cakera Api, lalu Sopan nyaris terkena. Pak Pato berpesan bahawa dua robot ini mempunyai kuasa elemental sama dengan BoBoiBoy dan diperbuat daripada logam kemilau; Fang menyimpulkan itulah sebab Pak Pato menyimpan logam kemilau di bekas tempat latihan Pyrapi dan Mawais. Yanaari hairan tempat latihan apa yang dimaksudkan, maka Roktaroka berkata akan menjelaskan nanti.

Pak Pato mengarahkan Robot Penguasa Elemental terus menghapuskan semua wira. Robot Pyrapi mencuba Tumbukan Berapi ke atas Solar tetapi terlepas. Robot Mawais melontarkan Kapak Beku tetapi ditangkis pula dengan Keris Solar. Sopan melakukan Jurus Gerakan Cahaya untuk mengelak serangan, kemudian melakukan Belahan Keris Solar terhadap Robot Mawais, tetapi tertampan dengan Tumbukan Ais dan ditolak jauh ke belakang. Sopan bertahan dengan kerisnya, dan pada masa yang sama Robot Mawais meluncur ke belakangnya dan menghembuskan Semburan Nafas Pembeku. Sopan menoleh dan menangkis dengan Tolakan Angin Solar dan menolak lawan ke belakang. Robot Pyrapi dan Robot Mawais menyerang serentak dengan Semburan Berapi dan Tembakan Sejuk Beku, lalu Sopan segera berlindung dengan Keris Solar sebagai perisai.

Mas Gardu mendapati bahawa kuasa dua robot musuh sama kuat dengan penguasa elemental asal, dan Yanaari pula bimbang Sopan tidak akan bertahan lama. Sambil menahan serangan elemental robot yang berterusan, Sopan berteriak mempersoal tujuan Pak Pato melakukan segala huru-hara ini dan bersumpah bahawa seluruh Planet Baraju tidak akan tunduk kepadanya. Pak Pato membalas bahawa warga Baraju bakal menjadi pengikut robot-robot elementalnya supaya dia boleh menggali semua logam kemilau yang terdapat di planet itu. Sopan berikrar tidak akan mengalah kalah, dan Pak Pato mengejeknya kerana sudah terlambat.

Sopan yang semakin penat dari terus menahan serangan robot, mengeluh tidak dapat mengalahkan mereka seorang diri. Mujur Fang tampil menolong dengan menggunakan Perisai Tenaga Bayang yang diperkuat oleh baju zirah Ais Batu Api yang dipakainya untuk menolak balik serangan robot-robot, lalu mengeluarkan Ular Bayang dan Koala Bayang, masing-masing untuk mengganggu Robot Pyrapi dan Robot Mawais. Apabila Pak Pato naik gelisah melihat serangan robotnya dipatahkan, Fang menyeru Sopan merampas peluang. Sopan meminta Fang pergi menolong kawan-kawan lain. Fang melindungi Yaya, Ying, Gopal, Qually, Gardu dan Yanaari dengan Kubah Tenaga Bayang.

"Umpama langit ditutupi awan, hilang awan keluarlah cahaya." BoBoiBoy Sopan mengingatkan Pak Pato bahawa kesopanannya ada hadnya lalu mengeluarkan serangan penamatnya, iaitu Pusaran Taufan Solar: dibentuknya sebuah puting beliung raksasa berkilauan untuk menyedut Robot Pyrapi dan Robot Mawais, kemudian dilemparkannya lima bilah Keris Solar ke dalam puting beliung untuk mencerai-beraikan mereka; akhirnya, dibentuknya bebola Letupan Cahaya untuk menghanguskan saki-baki robot.

Setelah puas berlawan, BoBoiBoy bertukar kembali ke rupa asal dan sempat menyapa Gopal dengan pantun. Sayangnya buat BoBoiBoy dan kawan-kawan, Pak Pato telah menaiki kapal angkasanya dengan melarikan sedikit logam kemilau, namun BoBoiBoy lega kerana menyelamatkan Planet Baraju. Geng BoBoiBoy dikejutkan oleh Panglima Yanaari dan Mas Gardu yang marah kerana jasa baik mereka dibalas dengan perdayaan, kemudian nada marahnya pun terus reda. Yanaari menyimpulkan bahawa wira-wira muda berenam bertindak demikian kerana risau akan masa depan Baraju, dan Gardu pula berjanji akan menghentikan peperangan dan menyambung rundingan damai. Yaya menarik nafas lega sementara Ying bertempik meraikan kejayaan.

Yanaari melutut sambil memegang tangan BoBoiBoy, mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberi kepadanya dan Gardu lalu mengujar bahawa kuasa-kuasa Pyrapi dan Mawais memang mengalir di dalam diri wira muda itu. Disinari aura Pyrapi dan Mawais, BoBoiBoy melafazkan sama-sama, maka kedua-dua ketua puak pun mengangguk. Gopal mencadangkan jamuan besar-besaran, diejek tidak malu oleh Ying tetapi dipuji "terbaik" oleh BoBoiBoy. Pada masa yang sama, Fang memeriksa cebisan Robot Pyrapi dan terjumpa sesuatu yang amat mencurigakan.

Sambil memandu kapal angkasanya ke planet lain, Pak Pato memohon ampun terhadap kelibat bayangan tuannya yang terpancar dalam hologram kerana dikalahkan oleh kumpulan BoBoiBoy. Tuan Pak Pato memaafkannya kerana dia telah mencapai matlamat di Baraju, tidak seperti Reramos yang gila kuasa. Pak Pato berkata akan menghantar logam kemilaunya di tempat yang dijanjikan tetapi khuatir kapalnya akan dikesan oleh TAPOPS. Tuannya tidak terkesan dan berkata sudah tiba masa untuk "kami" menunjukkan diri.

Watak[]

Galeri[]

Video[]

Pautan Luar[]

Advertisement