Kuasa Tanpa Batasan merupakan isu ke-20 BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 29 Julai 2022.
Ringkasan[]
Situasi konflik di Baraju menjadi semakin genting apabila puak Bara dan Salju nekad ingin membawa peperangan antara mereka ke peringkat yang lebih ekstrim. BoBoiBoy dan rakan-rakan kini perlu mengejar masa untuk mendamaikan kedua belah pihak sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.
Umpana api dan air, puak Bara dan Salju saling berlawanan antara satu sama lain dan takkan rela berunding tanpa sebab yang munasabah. Tugas yang sangat mencabar menanti wira-wira dari Bumi ini, dan nasib Planet Baraju kini terletak pada bahu mereka semua.
Plot[]
Yaya dan Gopal di penempatan Puak Bara, dan Ying dan Qually di perkampungan Puak Salju, masing-masing bersembunyi dan berhubung dengan satu sama lain, membincangkan cara untuk mendamaikan kedua-dua puak Baraju yang sudah lama bertarung. Gopal dengan senang-lenang bercadang untuk meminta Puak Salju jangan mengganggu Puak Bara, tetapi Qually membantah dan mendakwa Puak Bara hendak menawan Talistiwa.
Yaya memandang ke arah penduduk Bara berlalu-lalang dalam keadaan serba lesu dan cedera dan berpesan bahawa mereka perlu berusaha melakukan pendamaian kerana peperangan ini akan menyebabkan ramai lagi penduduk merana; Ying bersetuju. Qually melihatkan askar-askar Salju membawa masuk senjata baharu yang tidak dikenali, maka Yaya bercadang bahawa Yanaari dan Gardu dibawa berunding untuk menyelesaikan sengketa. Gopal berasa kurang yakin, jadi Yaya memujuknya dengan mengingatkan bahawa dia dan Qually pernah dari bermusuh menjadi akrab. Oleh itu, Gopal tiba-tiba kembali yakin dan merancang misi sulit bersama Qually, kali ini menyebabkan Ying, Yaya dan juga Qually gelisah.
Pada masa yang sama, BoBoiBoy Blaze datang ke tempat Yaya sambil menyapa Kamarul dengan nama "Kenny", maka Yaya risau bahawa BoBoiBoy sudah mula hilang ingatan. Ying juga mengesahkan bahawa hal sama berlaku pada BoBoiBoy Ais dan menggesa bahawa BoBoiBoy harus dicantumkan semula sebelum keadaan bertambah parah.
Mas Gardu menjemput Ais, Ying dan Qually ke khemah utama untuk memperkenalkan senjata baharu Puak Salju, iaitu sejenis penembak ais untuk menundukkan Puak Bara. Demikian juga yang dilakukan oleh Panglima Yanaari, menjemput Blaze, Yaya dan Gopal ke lapangan sasar untuk demonstrasi senjata penembak api yang cukup menggentarkan. Blaze membantah penggunaan senjata itu dengan alasan bahawa dia seorang diri sudah cukup untuk menumpaskan Puak Salju, membuat Gopal dan Yaya rimas. Ais menawarkan khidmat untuk berjuang demi Puak Salju, maka Mas Gardu memujinya sebagai wira galaksi yang sejati.
Ying hendak membantah tetapi Ais memujuk "Jessica" bahawa orang Puak Bara akan lari bertempiaran apabila dilanda kuasanya. Qually hairan dan berbisik menyoal Ying mengapa dipanggil Jessica; Ying dengan geram menggesa Qually untuk segera melaksanakan rancangan sulitnya dan Gopal. Oleh itu, Qually memohon sepatah dua kata dengan Mas Gardu. Demikian juga yang dilakukan oleh Gopal kepada Yanaari, memberitahu bahawa mereka mendapat khabar daripada perisik di tempat Puak Salju bahawa Mas Gardu sudah mempunyai senjata seumpama. Yanaari naik rimas terdengar khabar bahawa musuhnya sudah selangkah di hadapan dan menembak bertubi-tubi untuk melepaskan geram.
Yaya gelisah dan mempersoal tindakan Gopal, namun Gopal kekal tenang. Blaze mendekati Yanaari dan menjamin dia akan membawa kemenangan untuk Puak Bara, namun Yaya lantang membantah kerana sudah lari dari rancangan asal. Panglima Yanaari membalas bahawa Puak Bara akan terhutang budi kepada Blaze dan kawan-kawannya. Blaze menyoal "Arumugam" akan lokasi perisik, maka Gopal kesal kerana tersalah sebut namanya, kemudian menjawab bahawa mereka berada di lokasi pertempuran Panglima Pyrapi dengan Retak'ka; Yanaari mengenali tempat itu sebagai Puncak Bakar Beku.
Fang dan Roktaroka menemui arena rahsia bawah tanah bersama Toktaroka, Roka dan Roku. Ditanya oleh Fang, Toktaroka menjelaskan bahawa tempat mereka berada terletak di bawah Pergunungan Bakar Beku, betul-betul di tengah Talistiwa, malah dia menggesa Fang untuk segera kembali kepada BoBoiBoy dan lain-lain kerana merasakan Baraju kini dalam bahaya. Roktaroka bertanya bagaimana untuk naik semula, jadi Toktaroka membawa cucunya dan Fang ke lif "teknologi purba" yang berdekatan. Fang gugup sekejap kerana terdengar fasal teknologi purba, tetapi mujur Roka dan Roku atas suruhan Toktaroka menghembuskan kuasa masing-masing untuk mendorong lif naik selaju-lajunya.
Lif itu terdorong terlalu laju sehingga tiba di kemuncaknya secara berlanggaran, membuat dua penumpangnya keluar dalam kesakitan. Fang menerima pesanan Ying untuk bertemu di Puncak Bakar Beku kerana ada rancangan untuk mendamaikan Puak Salju dan Bara. Fang bertanya di mana letaknya puncak itu, maka Roktaroka menunjuk arahnya di sebalik gunung berapi yang masih aktif tetapi kali terakhir meletus sekitar seabad yang lalu sewaktu kedua-dua puak berlawan dengan Retak'ka. Fang terasa tidak sedap hati dan menggesa bahawa mereka harus segera menuju ke situ.
Pada masa yang sama, Ais, Ying dan Qually membawa Mas Gardu ke Puncak Bakar Beku, lalu mereka berlindung di sebalik batuan di mana kononnya rombongan Puak Bara akan muncul dengan senjata baharu mereka. Dipujuk oleh Qually bahawa perisik berkata pihak Bara akan sampai pada waktu tengah hari, Mas Gardu menunggu dengan sabar dan yakin bahawa kejayaan akan memihak padanya, diiringi oleh Ais yang berkata bahawa peperangan yang sia-sia ini akan tamat dan Planet Baraju akan kembali damai. Ying dan Qually berbisik-bisik tanpa disedari oleh Mas Gardu, di mana Ying memuji Qually dan Gopal kerana bijak memilih tempatnya. Qually berhujah bahawa kedua-dua ketua puak tidak akan teragak-agak untuk datang kerana Puncak Bakar Beku mempunyai nilai sentimental untuk mereka; ini membuat Ying berubah hati dan mendakwa Qually dan Gopal sekadar "main petik."
Kelihatan lembaga berjalan ke arah mereka dalam kabus, Mas Gardu keluar dari lindungan untuk menyerang. Dia tergempar dipertemukan dengan Yanaari, begitu juga Ais dengan Blaze yang mengiringi ketua puak masing-masing. Kedua-dua ketua puak naik darah menuntut penjelasan, maka Gopal dan Qually pun tampil untuk mengaku bahawa cerita itu direka semata-mata untuk mempertemukan mereka dalam persidangan damai. Mas Gardu dan Yanaari masih geram dan berkeras enggan berdamai, maka Gopal dan Qually berundur dan menyerahkan yang selebihnya kepada Yaya dan Ying; perempuan berdua pun kesal dengan sikap lepas tangan lelaki berdua dan terpaksa memikul tugas menenangkan kedua-dua ketua puak.
Panglima Yanaari kesal kerana dibawa ke tempat Pyrapi ditewaskan oleh Retak'ka semata-mata untuk dihadapkan dengan Mas Gardu, dan Mas Gardu pula mengesali campur tangan kumpulan BoBoiBoy dalam urusan mereka, lalu mereka pun hendak berlawan dengan satu sama lain. Yaya dan Ying bertindak menghalang mereka dari bergaduh dengan Graviti Pemberat dan Kuasa Slowmo; sambil itu, Yaya meminta maaf dan memujuk mereka sekali lagi untuk berbincang secara damai, malah Ying pula mengingatkan mereka akan nama buruk yang mungkin mereka tinggalkan kepada anak cucu dengan terus berbalah.
BoBoiBoy Blaze berasa keliru kerana dari bertarung tiba-tiba hendak berdamai; jadi Yaya pun menyuruhnya bergabung semula dengan BoBoiBoy Ais kerana sudah berpecah terlalu lama sehingga terlupa misi asal. Blaze akur dengan teguran "Mimi" dan menyeru Ais segera bergabung dengannya, tetapi Ais enggan dan sebaliknya menyeru Blaze bergabung dengannya kerana menganggapnya sebagai lemah. Ejekan Ais membuat Blaze tersinggung dan naik darah, maka tercetusnya pergaduhan antara dua BoBoiBoy memperlagakan kuasa masing-masing ke atas satu sama lain, disaksikan oleh kawan-kawan dengan runsing.
Ais meluru dengan Luncuran Ais, dipatahkan oleh Tumbukan Berapi Blaze. Blaze menaikkan Ceracak Ais dari tanah; Blaze menembusi dengan Lontaran Cakeram Berapi tetapi ditepis dengan mudah oleh Ais. Blaze serik diperkecilkan dan menghembuskan Semburan Berapi yang kuat ke arah Ais, menyebabkan suasana menjadi panas terik. Ais terselamat, menjatuhkan Meteor Ais menimpa Blaze dan menganggap perlawanan setakat ini sebagai sekadar memanaskan badan. Blaze lolos dari timpaan ais dengan api marak dan mengisytiharkan pusingan kedua.
Pertarungan antara dua BoBoiBoy itu disaksikan oleh Panglima Yanaari dan Mas Gardu yang mendapati gerak-geri kedua-dua lawan menyerupai jurus-jurus pertarungan yang diamalkan oleh leluhur masing-masing, iaitu Panglima Pyrapi dan Mas Mawais. Pertarungan bertambah sengit apabila Blaze dan Ais berbalas serangan yang menyebabkan letupan merata tempat sehingga mereka mengeluarkan kuasa terkuat masing-masing iaitu Ombak Lava dan Runtuhan Salji, dan pertembungan antara dua serangan ini menghasilkan hujan air panas bercampur dengan ais. Yaya menyeru yang lain-lain berlindung dalam Pelindung Graviti. Terlihat Mas Gardu akan ditimpa serpihan ais runtuh, Ying melakukan Larian Laju untuk mengetepikan ketua Salju sebelum terkena, kemudian memperlahankan serpihan dengan Kuasa Slowmo.
BoBoiBoy Blaze dan BoBoiBoy Ais masih tidak serik berkelahi walaupun masih belum. Mereka memilih jalan terakhir dengan menyeru kuasa elemental tahap ketiga masing-masing iaitu Nova dan Blizzard, tetapi terhalang dengan cengkaman Kurita Bayang yang diseru oleh Fang. Diiringi oleh Roktaroka, Fang memarahi Blaze dan Ais kerana pergaduhan mereka merosakkan persekitaran dan membahayakan nyawa orang lain, malah mengulangi pesan Kuputeri bahawa merekalah kawal kuasa dan emosi mereka dan bukan sebaliknya. Oleh itu, Blaze dan Ais berasa insaf dan bermaaf-maafan lalu bergabung semula.
Setelah kembali normal, BoBoiBoy melutut dan sebak memohon ampun kerana berpecah terlalu lama sehingga terpengaruh dengan elemen di Planet Baraju. Qually memaafkan BoBoiBoy bagi pihak semua, manakala Gopal bersyukur kerana Fang yang "berfesyen aneh" tiba tepat pada masanya; Fang berpesan bahawa baju perisai yang dipakainya kalis kepanasan dan kesejukan pada masa yang sama. Sementara itu, Panglima Yanaari dan Mas Gardu bersambung bertarung, maka BoBoiBoy berikhtiar untuk menunjukkan bahawa dua elemen berbeza boleh bergabung menjadi satu kuasa yang luar biasa, iaitu dengan melakukan Elemental Fusion antara Taufan dan Solar menjadi BoBoiBoy Sopan. Sesuai dengan gelarannya, Sopan memohon kedua-dua ketua puak untuk berbincang dengan damai dengan penuh budi pekerti.
Watak[]
- BoBoiBoy
- BoBoiBoy Taufan
- BoBoiBoy Blaze
- BoBoiBoy Ais
- BoBoiBoy Solar
- BoBoiBoy Sopan (Kemunculan sulung)
- Yaya
- Ying
- Gopal
- Fang
- Qually
- Puak Bara
- Panglima Yanaari
- Kamarul
- Puak Salju
- Roktaroka
- Toktaroka
- Roka
- Roku
Trivia[]
- Dalam isu ini, BoBoiBoy akan kehilangan ingatan lagi jika dia terus berpecah dibawa kembali dari siri BoBoiBoy.
- Babak di mana BoBoiBoy Blaze, BoBoiBoy Ais, Panglima Yanaari dan Mas Gardu menunjuk satu sama lain ialah serupa dengan babak dalam episod "Double Identity" daripada siri kartun Spider-Man 60-an di mana kedua-dua Spider-Man menunjuk satu sama lain.
- Nama tahap ketiga elemen Api dan Air bagi BoBoiBoy yang didedahkan ialah Nova dan Blizzard.
- Isu ini merupakan kali ketiga apabila BoBoiBoy memanggil Yaya Mimi.
- Ia menandakan kali kedua Fang disalah namakan sebagai Ah Meng oleh BoBoiBoy.
- Ia juga memperkenalkan nama baharu untuk Ying, kerana BoBoiBoy Ais memanggilnya Jessica semasa kehilangan ingatannya.
- BoBoiBoy Solar berdiri sebagai elemen dengan kebanyakan gabungan setakat ini, Supra, Sori dan Sopan, masing-masing dibuat dengan BoBoiBoy Halilintar, Duri dan Taufan.
- Secara kebetulan, ketiga-tiga gabungan bermula dengan S.
Galeri[]
Video[]
Pautan Luar[]
|