BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

"Rahsia King Balakung!" ialah tajuk bagi isu kedua komik BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Pada asalnya hendak dikeluarkan pada April 2020, tetapi disebabkan penangguhan yang berlaku akibat Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung wabak COVID-19, ia akhirnya dikeluarkan pada Jun 2020.

Plot

BoBoiBoy, Gopal, Ying, Yaya dan Fang bersama Tok Kasa menerbangkan kapal angkasa MYS Keamanan ke planet Rimbara untuk mengangkut pulang kaum Cendawa yang terpaksa berpindah akibat peristiwa BoBoiBoy Movie 2. Sebaik sahaja mendarat, mereka disambut oleh suasana yang serba suram dan tandus dengan kesemua pokok-pokok kelihatan serba layu. Tok Kasa mengulas bahawa Retak'ka telah menyedut tenaga dari hutan sekeliling untuk menguatkan kuasa elemental Balak. Gopal mengusik BoBoiBoy dengan mengibas daun layu pada muka BoBoiBoy sambil mencabarnya menyedut tenaga balak, tetapi tindakan Gopal itu ternyata menyinggung perasaan kaum Cendawa, dan Ying dan Yaya tampil menegur Gopal untuk tidak merosakkan alam sekitar semata-mata untuk mendapatkan tenaga.

Tok Kasa berpesan kepada BoBoiBoy untuk mempelajari kuasa elemental balak daripada penguasa asalnya, iaitu King Balakung. Untuk cerita lebih lanjut, Penghulu Cendawa, Tok Cendatok membawa geng BoBoiBoy ke rumahnya yang berisi lukisan dinding mengenai sejarah King Balakung yang disifatkan sebagai raja yang adil dan wira terkuat yang memastikan keamanan rakyatnya, serta mementingkan keseimbangan penduduk dan alam sekitar, sehinggalah ditumbangkan oleh Retak'ka.

Sungguhpun King Balakung tinggal sejarah, Tok Kasa menegaskan bahawa masih ada harapan untuk BoBoiBoy mendapatkan kuasa balak dengan membawa dia dan kawan-kawan ke Belantara Rimbara. Setelah sejam penat berjalan, mereka tiba di sebuah pokok gergasi dengan pintu masuk yang besar di tapaknya, yang dihuni oleh suatu 'orang penting'. Tok Kasa berpesan supaya berjalan lurus tanpa belok-belok sewaktu masuk. Sebaik sahaja masuk, terdapat dua batang dahan yang tumbuh ke hadapan untuk menyeberangi jurang yang dipenuhi dengan periuk kera gergasi, satu jalan terus dan satu di sebelah kiri. Tok Kasa membawa geng BoBoiBoy menjalani dahan yang tengah, tetapi Gopal ingkar melencong ke dahan kiri, malah dia berlari di atas dahan secara semberono sehingga nyaris dimakan oleh periuk kera; mujurlah dia sempat melakukan Tukaran Lemang Periuk Kera.

Apapun, seluruh Geng BoBoiBoy selamat menyeberangi jurang periuk kera dan tiba di ruang besar di tengah-tengah pokok gergasi. Namun, tidak kelihatan pula orang penting, hanya pokok kecil di pusat ruang. Baru sahaja BoBoiBoy menanya Tok Kasa di mana orang pentingnya, tiba-tiba sahaja si orang penting bangkit dari tanah di bawah pokok kecil, tampil dengan susuk badan berbentuk manusia dengan kulit pokok dengan rimbun sebagai rambut dan bahu, memakai jubah merah. Dari geram kerana diganggu dari tidur, terus dia girang berjumpa semula dengan Kasa si kawan lama dengan rasa hairan kerana wajahnya yang sudah tua; setelah ditunjukkan wajahnya cermin barulah dia terkejut dan sedar betapa lamanya dia terlena.

Nama orang penting ini ialah Gaharum, dan dia menyapa geng BoBoiBoy dengan pantun "Kayu gaharu di dalam gua, siapa kamu ni semua?" BoBoiBoy cuba membalas dengan pantun yang serba kurang "Ada daun ada akar, apa khabar?", tetapi Gopal mencelah dengan pantun lebih lagak "Ikan siakap dibawa belayar, kami ni anak murid Tok Kasa!" Geli hati Gaharum melihat rupa mereka yang bergelar anak murid Tok Kasa, menepuk belakang Tok Kasa sambil bertanya tujuan mereka ke mari. BoBoiBoy menjawab dia hendak belajar menggunakan kuasa elemental balak atas pesanan Tok Kasa. Gaharum hairan dan bertanya sama ada dia mewarisi kuasa King Balakung, lalu diiyakan. Kemudian Gaharum menyoal Kasa tidakkah dia mengalahkan Retak'ka, dan Kasa menjelaskan bahawa dia hanya dapat membekukan Retak'ka, tetapi BoBoiBoy-lah yang berjaya mengalahkan penjahat itu. Girang lagi Gaharum mendengar cerita itu lalu dia berterima kasih kepada BoBoiBoy atas jasanya.

BoBoiBoy memohon kepada Gaharum supaya diajar menggunakan kuasa elemental tahap ketiganya, tetapi Gaharum menolak kerana dia hanya tukang masak. Seluruh geng hampa mendengarnya kerana menyangka Gaharum itu bekas orang kanan King Balakung yang mungkin arif dengan kuasa balak yang dicari-cari. Gaharum menjelaskan bahawa dirinya memang tukang masak diraja King Balakung, malah dia bercerita bahawa King Balakung terkenal dengan kekuatan seleranya, dan sumber utama kekuatannya datang daripada makanannya, maka adalah tanggungjawab Gaharum untuk menghidangkan santapan berkhasiat bagi King Balakung untuk memperhalusi kuasa elemental yang pernah diperolehi oleh baginda seperti yang disaksikan oleh Gaharum dengan matanya sendiri.

Setelah mendengar kisah silam itu, BoBoiBoy kembali lega dan meminta semula cara untuk memperoleh kuasa itu. Gaharum sudi menunaikan permintaan asalkan dicarinya empat bahan ramuan, iaitu garam kristal dari Hutan Bakau Utara, cili suci dari Lembah Timur Selatan, kelapa langit dari Pokok Pencecah Awan, dan apiru biru sebagai pelengkap dapurnya. Ditanya oleh Fang bahan-bahan tersebut untuk apa, jawabnya untuk memasak Tom Yam Sakti, masakan kegemaran Gaharum sendiri yang dirindui. Gopal mengangkat telefon untuk memesan Tom Yam Sakti, tetapi dihalang atas tuntutan Gaharum bahawa Tom Yam Sakti yang asli harus dimasak sendiri dengan bahan-bahan berkualiti tinggi. Apapun, BoBoiBoy menyahut permintaan Gaharum dan bergegas keluar bersama gengnya. BoBoiBoy diikuti Gopal dan Fang sementara Ying berpasangan dengan Yaya.

Sambil menelusuri Hutan Bakau Utara untuk mendapatkan garam kristal yang terletak di dalam gua sungai di tengah hutan itu, geng BoBoiBoy terpaksa berlindung daripada Brolangkas Brothers, sekumpulan tiga makhluk berupa belangkas gergasi - ketua merah bersama konco-konco kuning dan biru. Ketika melarikan diri, Gopal tersangkut di celah dua pokok, maka BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Halilintar dan mencantas pokok yang menyangkut untuk melepaskan Gopal, lalu menyuruh Gopal menukarkan pokok-pokok sekeliling kepada makanan. Maka Gopal menukarkan pokok-pokok kepada gula-gula getah untuk menghalang kemaraan Brolangkas. Brolangkas biru berjaya dihambat, tetapi Brolangkas yang lain sempat mengepung mereka dan menuduh mereka menceroboh, tetapi Fang menjelaskan niat sebenar mereka untuk mendapatkan garam kristal. Namun, alasan itu tidak diterima dan mereka pun didakwa mencerobohi kawasan mereka.

Tiba-tiba, munculnya seorang makhluk memakai mantel hijau yang memperkenalkan dirinya sebagai Qually yang "pantang melihat orang dibuli", cuba mematahkan ancaman Brolangkas Brothers terhadap geng BoBoiBoy. Namun begitu, Sudip Apinya tidak sedikit pun menakut-nakutkan musuh, maka dia melarikan diri. BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Blaze sementara Fang memakai Separa Beruang Bayang, masing-masing menjatuhkan Brolangkas Brothers dengan Tumbukan Berapi dan Cakaran Bayang yang kencang, tetapi kulit keras musuh terbukti sukar dicalar dan mereka pun melanggar kumpulan BoBoiBoy secara bergolek. Qually menyeru kepada mereka bahawa kelemahan Brolangkas berada di bahagian bawah, dan memanjangkan sudipnya untuk menterbalikkan Brolangkas biru di bahagian capahan cangkerang untuk menjatuhkannya sebagai contoh.

Gopal mencengkam kaki Brolangkas kuning untuk mengalih perhatian sementara Blaze bersiul kepada Fang untuk menumbangkannya dari belakang. Kemudian, BoBoiBoy bertukar kepada BoBoiBoy Gempa dan melancarkan Golem Tanah untuk melawan ketua Brolangkas. Ketua Brolangkas mempamerkan perlawanan paling sengit, Golem Tanah pun diarahkan melakukan Tolakan Gempa untuk menjatuhkan ketua Brolangkas. Ketua Brolangkas cuba mengelak dari jatuh, tetapi Gempa berseloroh dengannya untuk mengalih perhatian sementara Qually tampil menumbangkannya dengan sudip. Brolangkas sukar bangun setelah dijatuhkan telentang, maka kumpulan BoBoiBoy bersama Qually mara ke kolam garam kristal.

Apabila pasukan BoBoiBoy mengumpul bahan yang dikehendaki, Qually memberitahu mereka bahawa dia anak murid Gaharum yang dihantar untuk menolong mereka mengumpul bahan dan memasak. Sambil mengenali Qually, BoBoiBoy pun tertanya-tanya tentang keadaan Ying dan Yaya.

Watak

Galeri

Video

Advertisement