BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Sehangat Bara Sedingin Salju merupakan isu ke-18 BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 3 Jun 2022.

Ringkasan[]

Pengembaraan baharu! Dalam usaha untuk membuka Kuasa Elemental Tahap Ketiga, BoBoiBoy dan rakan-rakan kini perlu menjejaki legasi Penguasa Elemental Api, iaitu Panglima Pyrapi dengan bantuan seorang teman lama dari Planet Volkania. Perjalanan membawa mereka ke sebuah planet beriklim yang ekstrim, di mana bara dendam serta kedinginan emosi telah menyebabkan persengketaan yang tak berpenghujung, dan bakal memerangkap BoBoiBoy di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak![1]

Plot[]

Di markas TAPOPS-U, Ying, Yaya dan Qually sedang memasak di kafeteria sementara BoBoiBoy, Gopal dan Fang menghubungi Tok Kasa di pusat kawalan. BoBoiBoy teruja menceritakan tentang kuasa PasuBot yang boleh mempercepat pertumbuhan Oakuat dan tidak sabar untuk memperoleh kuasa Balak, tetapi Fang dan Gopal mengingatkannya tentang ketika dia hilang kawalan kuasa Beliung di perang Istana Kupuri. Tok Kasa memujuk BoBoiBoy bahawa dia akan dapat mengawal kuasa tahap tiga dalam masa yang singkat jika berlatih dengannya.

BoBoiBoy memohon untuk berlatih untuk memperoleh kuasa Kristal, tetapi Tok Kasa tiba-tiba garang menjawab tidak boleh; ditanya mengapa pula, dia merendahkan suara dan menjelaskan bahawa dia sudah terlupa dek usia dan memujuk BoBoiBoy untuk mengejar kuasa lain terlebih dahulu, bermula dengan mengkaji tentang Panglima Pyrapi, seorang tokoh yang tidak berapa dikenalinya tetapi diketahui sebagai penguasa elemental yang handal dan juga pemimpin yang disanjung di planetnya. Tambahnya, Pyrapi hampir menewaskan Retak'ka tetapi sesuatu yang terjadi menyebabkan beliau tewas.

BoBoiBoy, Gopal dan Fang pergi ke bilik kebal Power Sphera untuk menyoal DataBot untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Panglima Pyrapi, maka DataBot mula mengolah data dengan perlahan-lahan. Gopal yang kurang penyabar pergi memasang pengecas tetapi tidak menjadi; Fang menjelaskan bahawa semua pod pengecas tidak berfungsi kerana habis digunakan sampai rosak.

Sepuluh hari kemudian, BoBoiBoy, Gopal dan Fang kembali untuk menjenguk DataBot. DataBot menemui selembar gambar hitam putih Panglima Pyrapi bersama sanak saudaranya. Gopal mengeluh hanya dapat sekeping gambar setelah lama menunggu dan menggesa BoBoiBoy untuk menyiram pokok Oakuat sampai berbuah; Fang pun tidak puas hati kerana masih tidak diketahui lokasinya. BoBoiBoy menyedari dalam gambar terdapat susuk yang seakan Roktaroka. Gopal meminta DataBot memperjelas gambar, maka DataBot pun kembali memproses data dan BoBoiBoy pun rimas.

Sepuluh hari kemudian lagi, BoBoiBoy, Gopal dan Fang kembali untuk menjenguk DataBot sekali lagi. DataBot sudah memperjelas bahagian "Roktaroka" dalam gambar, jadi BoBoiBoy menarik nafas lega dan pergi menghubungi orangnya. Roktaroka menjelaskan bahawa yang dalam gambar itu bukan dirinya tetapi sebenarnya datuknya, Toktaroka. Fang dan Gopal mengulas bahawa nama dan rupa mereka hampir seiras. BoBoiBoy memohon untuk berjumpa dengan Toktaroka untuk bertanya tentang Pyrapi dan cara memperoleh kuasa elemental api tahap ketiga. Roktaroka gementar melayan soalan itu dan menjawab bahawa mereka harus pergi ke kampung halamannya iaitu. Geng BoBoiBoy bercadang untuk datang menjemputnya pergi ke Planet Baraju dengan kapal angkasa, dan Roktaroka merelakan dengan berat hati.

Fang membawa kapal angkasanya, Lily dan menumpangkan BoBoiBoy, Gopal, Yaya, Ying dan Qually yang siap membawa bekalan. Setelah menjemput Roktaroka, BoBoiBoy bertanya mengapa dia kelihatan gelisah dari tadi. Yaya dan Ying memujuk Roktaroka untuk mengemukakan sebab tanpa segan kerana masa balik kampung haruslah bergembira. Roktaroka dengan segan-silu menjelaskan bahawa dia pernah balik kampung menjenguk Toktaroka untuk beraya setiap tahun, tetapi sudah sepuluh tahun tidak berbuat demikian atas alasan sibuk bekerja; seluruh anak kapal terkilan mendengar penjelasan itu, malah Gopal menegurnya kerana mengabaikan orang tuanya. Roktaroka sebak mengaku tidak berniat begitu tetapi khuatir kepulangannya tidak diterima. Tangisan Roktaroka meninggalkan air mata lava yang mengakis lantai kapal angkasa Fang, membuat si tuan kapal rimas. BoBoiBoy memujuk Roktaroka bahawa Toktaroka mungkin merinduinya dan akan menerima kepulangannya, tetapi Gopal menyindir tidak akan mengaku Roktaroka sebagai cucunya jika di tempat Toktaroka, membuat Roktaroka teresak-esak lagi, maka Yaya pun menegur kelakuan Gopal dengan menyumbatkan paha ayam ke dalam mulutnya.

Rombongan BoBoiBoy sudah menghampiri Planet Baraju. Mereka melihat dari tingkap dan hairan mendapati cakerawala itu terdiri daripada hemisfera biru dan merah. Roktaroka menjelaskan bahawa planet itu mempunyai dua iklim ekstrem yang berbeza. Mula-mula, mereka meninjau hemisfera biru, kawasan beriklim sejuk membeku dan saljinya pun tertiup masuk ke dalam kapal melalui lubang hakisan. Ying memasang komputer untuk memperoleh data sementara BoBoiBoy, Gopal dan Fang pergi menyumbat lubang-lubang dengan kain. Kesejukan itu menyebabkan Roktaroka bersin dan mengeluarkan lendir lava, sekali lagi menghakis lantai kapal. Yaya meneka jika kawasan biru terlampau sejuk, maka kawasan merah terlampau panas. Tekaan itu ternyata tepat apabila kapal angkasa dibawa ke kawasan merah dan Roktaroka lega mengucapkan "just nice" sementara yang lain mengeluh-ngeluh kerana terkena bahang. Ying menyingkap data bahawa tarikan graviti menyebabkan separuh planet menghadap matahari dan separuh lagi tidak; Roktaroka mengesahkan fakta itu dan satu tempat yang sesuai untuk mendarat.

Rombongan BoBoiBoy turun di Hutan Talistiwa, kawasan yang kelihatan beriklim sederhana. Gopal memerli Roktaroka dengan mengatakan tempat ini "just nice". Qually pula teruja menemui ramuan-ramuan Kulit Kayu Tiga Rasa dan Bunga Lawangkasa yang tidak disangka terdapat di planet ini. Dengan telunjuk Roktaroka, geng BoBoiBoy mula berjalan melalui hutan untuk menuju ke kampung; Yaya pun seronok terbang di udara menelusuri hutan sementara Ying mengulas bahawa kawasan ini sesuai untuk tumbuh-tumbuhan membesar. Roktaroka terhenti kerana terjumpa batu ukiran yang menggamit kenangan lama. Gopal bertanya apa yang dilihatnya, maka Roktaroka terperanjat, berdalih dan menunjuk pada langit mendung dan menggesa supaya bergerak cepat.

Setelah beberapa minit bersiar, rombongan BoBoiBoy mula kepenatan dan Gopal pun mempersoal tunjuk arah Roktaroka. Roktaroka mengaku bahawa dia sudah terlupa jalan, membuat mereka semua jatuh hampa. Yaya melihat seorang makhluk asing menggalas kotak besar yang muncul dalam hutan dan bercadang untuk bertanyakan jalan padanya. Apabila didekati, makhluk itu memperkenalkan diri sebagai Pak Pato dan mengeluarkan isi kotak dan menjaja mainan mekanikalnya. Geng BoBoiBoy hairan ada orang menjual mainan di tengah-tengah hutan, tetapi Pak Pato menerangkan bahawa mainannya bukan calang-calang, malah membuat demonstrasi sehingga Gopal dan Qually takjub melihat sebelum ditegur oleh BoBoiBoy. Pak Pato bertanya mereka hendak ke mana, maka Yaya dan Ying memberitahunya masalah mereka tadi. Oleh itu, Pak Pato menunjukkan "jalan paling dekat" ke kampung halaman Roktaroka. Yaya mengucapkan terima kasih dan pergi menjemput yang lain, tetapi mendapati Gopal dan Qually leka bermain, jadi dia mengangkat mereka dengan kuasa graviti. BoBoiBoy melambai kepada Pak Pato, dan Pak Pato melambai balik sambil tersengih.

Geng BoBoiBoy dan Roktaroka meninggalkan Hutan Talistiwa dan memasuki suatu kawasan yang tandus dan menggerunkan. Qually yang sudah berasa tidak sedap hati terpijak bekas anak panah. Pada ketika inilah mereka menyedari bahawa mereka berada di medan perang. Tiba-tiba, mereka nyaris ditimpa hujan batu ais besar, maka BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Blaze dan menghancurkan ais dengan Serangan Bebola Api. Ying mengingatkan tentang hujan batu berapi dari arah bertentangan, maka Blaze beralih kepada BoBoiBoy Ais dan menjatuhkan batu-batu berapi dengan Panah Pembeku Bertubi-tubi. Makin banyak batu ais dan batu berapi datang menimpa, maka BoBoiBoy berpecah menjadi dua iaitu Blaze dan Ais. Malangnya, mereka tidak sempat dan hempasan batu-batu itu menyebabkan seluruh rombongan tercampak ke pelbagai tempat.

Gopal dalam keadaan tidak sedar dibawa pergi oleh seorang askar bernama Kamarul. Rakan-rakan seperjuangan Kamarul mengesyaki bahawa Gopal adalah perisik Puak Salju. Gopal terjaga lalu diacukan pedang dan disuruh memperkenalkan diri oleh askar-askar itu. Tiba-tiba, hujan batu ais datang menimpa, maka Gopal bertindak menukarkannya kepada cekodok pisang. Kamarul ditimpa sebiji bebola tetapi terselamat malah memakainya seperti baju, jadi askar-askar lain pun memuji Gopal. Hujan batu ais turun tanpa henti-henti, tetapi mujur BoBoiBoy Blaze dan Yaya datang membantu, masing-masing menggunakan Lontaran Cakera Api dan Tumbukan Graviti untuk memecahkan batu-batu itu.

Tiba-tiba, seekor makhluk seakan burung helang meluncur ke mari, menyerukan ketibaan Panglima Yanaari, ketua Puak Bara. Susuk wanita yang berbadan langsing, berkulit ungu dan bermata hitam itu diiringi haiwan belaannya Tobi dan hairan melihat kelibat tiga budak-budak menolong bala tenteranya. Yanaari menyoal Kamarul tentang baju bebola yang dipakainya, dan Kamarul menjawab bahawa ia barangkali baju perisai kalis ais malah baunya menyelerakan. Memandangkan keadaan perang semakin meruncing, Yanaari mengarahkan tenteranya untuk mengundurkan Blaze, Yaya dan Gopal untuk diuruskan kemudian, jadi mereka bertiga termengkelan dalam keresahan.

Yaya dan Qually berlarian-larian di tengah medan perang sambil menangkis hujan panah berapi dengan Serangan Laju dan Putaran Sudip Berapi. Mereka menemui seekor binatang besar seakan harimau bersiung panjang dan berbulu gebu terhimpit di bawah runtuhan lalu pergi menolongnya. Qually menggunakan sudipnya sebagai bicu untuk menaikkan runtuhan sementara Ying melindungi mereka. Setelah binatang itu meloloskan diri, BoBoiBoy Ais datang membuat Dinding Ais untuk menampan hujan panah berapi. Datangnya susuk lelaki berbadan besar dan berjanggut putih menyingkap sebalik Dinding Ais. Mas Gardu, ketua Puak Salju gembira melihat haiwan belaannya Tigre terselamat dan berterima kasih kepada tiga pemuda atas pertolongan mereka. Ais bertanya apa sedang berlaku, dan Mas Gardu menjemput mereka pulang ke perkhemahan puaknya untuk berlindung dan mendapatkan penjelasan.

Panglima Yanaari dan Mas Gardu mengaturkan bala tentera masing-masing, melaungkan kutukan ke arah satu sama lain dan memimpin serangan. Belum sempat bergerak, tiba-tiba kilat menyambar, maka Mas Gardu menyeru untuk berundur. Sebelah Puak Salju ditimpa hujan ais yang terbentuk daripada serpihan air batu tajam, jadi semua orang pun memasuki khemah untuk berteduh. Sebelah Puak Bara pula ditimpa hujan air panas melecur, maka Panglima Yanaari menyuruh askarnya membawa BoBoiBoy Blaze, Yaya dan Gopal pulang ke perkampungan mereka.

Seketika kemudian, Ais, Ying dan Qually berpakaian serba tebal sesuai dengan iklim setempat, meninggalkan tempat berteduh untuk pergi ke khemah Mas Gardu. Qually mengulas betapa anehnya cuaca di planet ini sehingga hujannya berbahaya, namun bersyukur atas pertolongan tentera Puak Salju. Ying menduga bahawa kesejukan melampau di kawasan Puak Salju menyebabkan air hujan membeku, malah kawasan Puak Bara pula menerima air hujan panas mendidih. Ketibaan mereka di khemah dialu-alukan oleh pengawal yang menggelar mereka "tetamu kehormat", malah disambut dengan girang oleh ketua Puak Salju yang didampingi oleh Tigre. Qually pergi membelai Tigre; Mas Gardu menganggap haiwan belaannya suka pada Qually dan bergurau bahawa ia biasanya makan orang, membuat Qually kecut perut sejenak. Mas Gardu pun menjemput tetamu kehormatnya bertiga untuk mengisi perut. Dalam nikmat menjamu selera, Qually terkenang akan nasib sahabat akrabnya Gopal yang terpisah di medan perang.

Di perkampungan Puak Bara, BoBoiBoy Blaze, Yaya dan Gopal merasai nikmat menerima urutan daripada orang-orang setempat, malah Gopal siap merasa kudap-kudapan tempatan lagi. Blaze bertanya mengapa mereka dilayan dengan begitu mesra, justeru Panglima Yaanari menjawab bahawa ini tanda penghargaan kerana menyelamatkan puaknya, malah meminta mereka untuk berehat dan bersambung bicara pagi esok. Yaya pula bimbang akan nasib Fang kerana tidak dapat menghubunginya.

Fang kembali sedar dari pengsan dalam pikulan Roktaroka. Roktaroka menyambut sedarnya "sabahat berambut ungu" dan menurunkannya; Fang justeru mengingatkan si batu api akan namanya. Mereka sudah tiba di kampung halaman Roktaroka yang bernama Kampung Ais Batu Api, sebuah penempatan bawah tanah.

Watak[]

Trivia[]

Galeri[]

Rujukan[]

Pautan Luar[]

Advertisement