BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Adiwira Dalam Bahaya merupakan isu ke-16 BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 1 April 2022.

Ringkasan[]

Pelbagai persoalan bermain di minda BoBoiBoy dan rakan-rakan setelah mereka mendapat tahu bahawa Adu Du adalah individu yang menghantar isyarat kecemasan kepada TAPOPS. Adakah rakasasa robot yang mengganas di Kilang NuBot mempunyai kaitan dengannya? Dan mengapa raksasa itu menyerupai Probe? Keadaan BoBoiBoy Gentar yang tiada kuasa juga menyukarkan lagi keadaan. Dua seteru kini terpaksa mencari jalan untuk bekerjasama untuk melepaskan diri, atau mereka akan terkandas di kilang tersebut buat selamanya.[1]

Plot[]

BoBoiBoy Gentar, Gopal, Qually, Ochobot dan Jo Bot bersama Adu Du bersembunyi di suatu bilik untuk berlindung dari raksasa pemakan robot. Jo Bot berterima kasih kepada Gopal kerana menyelamatkannya; Gopal terkejut kerana lupa dirinya telah mengendong Jo Bot. Adu Du menjamin keselamatan mereka di bilik berkenaan, walhal Gentar mengingatkannya bahawa yang menyerang mereka tadi ialah Probe.

Adu Du menjelaskan bahawa dialah yang menghantar isyarat kecemasan, namun Gopal sangsi dan menuduh Adu Du cuba memerangkap mereka. Adu Du cuba menenangkan hati BoBoiBoy dan Gopal, namun mengherdiknya lagi dengan soalan tentang bencana di kilang, maka dia menjerit menuntut mereka untuk diam. Qually menjemput mereka bertiga minum teh untuk menenangkan fikiran. Adu Du bersyukur dapat minum sedap-sedap sejak terkandas dan hidup dengan air bateri, tetapi Gentar marah menganggap minum teh ini membuang masa sedangkan ancaman masih ada di luar. Gopal pula sambil menahan pening kepala menggesa Adu Du untuk menceritakan kisah benar.

Maka demikianlah Kisah Adu Du: seminggu yang lepas, dia dan Probe tiba di kilang untuk memburu Power Sphera, tetapi setelah menghampiri barang yang dicari, mereka menyedari sesuatu yang mengekori mereka, malah mereka cuba melawannya tetapi akhirnya Probe ditelan. Ochobot mengejek Adu Du kerana sengaja mengusik raksasa itu, tetapi Adu Du berpegang kuat pada ceritanya malah menyatakan inilah sebab dia menghantar isyarat kecemasan dan bersyukur atas kedatangan mereka. Gopal berasa malas hendak melayan Adu Du, tetapi Gentar menawarkan diri dengan "kuasa baharunya" untuk mengalahkan raksasa dan menyelamatkan Probe. Adu Du terharu dan memuji kemuliaan BoBoiBoy.

Gopal dan Qually tidak senang dengan keputusan BoBoiBoy Gentar untuk menolong Adu Du, malah menggesanya supaya bertukar kuasa sebelum disedari Adu Du. Namun, BoBoiBoy dengan takbur memujuk mereka bahawa kuasanya pada ketika ini adalah paling hebat dan mengambil masa untuk keluar. Ditanya oleh Adu Du akan kuasa baharunya, dengan rangginya dia memperkenalkan kuasa Gentar yang "menggentarkan badan dan melemahkan lutut" sambil menghentak lantai dengan tukul besarnya. Adu Du kagum sedangkan Gopal menggumam menyindirnya sebagai "Hampa."

Raksasa mengetuk-ngetuk pintu untuk mencari makanan. Gopal cemas mempersoal keselamatan bilik; Adu Du pun naik gemuruh kerana tidak tersangka bilik ini akan diancam. Gentar bersiap sedia untuk menyambut kedatangan lawannya. Raksasa itu menebuk pintu dan menunjukkan mukanya (iaitu muka Probe). Gentar hendak menghentaknya dengan tukul tetapi dihalang oleh Gopal, membuat Adu Du terkilan. Gopal dan Qually membuat alasan bahawa biliknya kecil dan kuasa BoBoiBoy akan menyebabkan semua orang tercedera. Adu Du membuka pintu ke laluan rahsia dan membawa mereka ke "tempat yang sesuai untuk membelasah raksasa." Gentar akur untuk berundur sekali tetapi tetap hendak mencabar raksasa itu.

Raksasa pemakan robot akhirnya merempuh masuk dan mula mengejar. Sewaktu berlari, Gopal berasa lega kerana nyaris dimakan; Adu Du menjelaskan bahawa raksasa itu hanya memakan robot, bukan orang. Kata-kata itu membuat Ochobot cemas, dan Gentar pun memujuknya sambil berseloroh bahawa dia akan mengerjakan raksasa itu menjadi "Rosaksa". Keadaan bertambah genting apabila yang digelar Rosaksa itu sudah memasuki laluan rahsia dan menghampiri kumpulan. Gopal menggesa Adu Du untuk melemparkan bom kepada raksasa, tetapi Adu Du enggan kerana hendak berjimat untuk waktu kecemasan; Gopal mendesak bahawa ini waktu kecemasan. Ditanya berapa jauh lagi oleh Gentar yang tidak sabar hendak melawan Rosaksa, Adu Du berkata mereka sudah hampir, malah dia telah menyediakan sesuatu yang istimewa untuk raksasa itu.

Kumpulan berenam tiba di kawasan bilik jana kuasa kilang. Adu Du berpecah dan menyuruh yang lain menunggu isyarat. Roksasa pun sampai, dan BoBoiBoy Gentar menjemputnya datang dekat. Rosaksa terenjat ditimpa alat EMP Adu Du. Adu Du menyuruh Gentar bersedia lalu bergayut ke mari sambil melakukan Panahan Besi Sekerap dengan busur. Anak-anak panah mengena alat-alat perangkap yang terletak di keliling lokasi Rosaksa, melepaskan tali untuk membelit kaki-kakinya. Selepas itu, Adu Du melepaskan Panah Pengikat untuk memberkas sesungut Rosaksa dan mengarahkan Gentar untuk bertindak.

Gentar menyeru yang lain untuk berlindung, Adu Du sempat memujuk Probe dalam Rosaksa untuk tidak melawan balik, namun dibalas dengan dalih bahawa Probe sudah tiada. Rosaksa semakin terlepas dari ikatan, maka Gentar lantas bertindak melakukan Pukulan Tukul Gentar Bertubi-tubi ke atasnya. Ternyata serangan itu tidak meninggalkan kesan ketara, namun Gentar memujuk bahawa Rosaksa hanya menahan sakit. Rosaksa dengan menyindir memijak kaki Gentar; Gentar kali ini betul-betul terpaksa menahan sakit tetapi memujuk lagi bahawa Rosaksa lebih sakit. Adu Du sekali lagi menggesa Gentar untuk mengalahkan raksasa itu, namun Rosaksa lantas menyepak jauh Gentar sebelum dia sempat bertindak.

Rosaksa mula mengancam Ochobot, maka Gopal dan Qually bertindak melakukan Tukaran Popia Sayur dan Lontaran Sudip Berapi ke arah musuh itu, namun semua serangan dipatahkan dengan mudah. Rosaksa membalas dengan Tembakan Laser Pemusnah; Gentar berlagak dengan mengelak-elak sebelum diheret pergi oleh kawan-kawannya. Qually pula membaling Bom Minyak Masak untuk menyekat kemaraan Rosaksa. Larian mereka ke arah pintu keluar tiba-tiba dihalang apabila Rosaksa menembak jatuh jejantas di hadapan memutuskan jalan, dan Rosaksa kembali berlumba ke arah mereka.

Gopal ternampak galang patah di lelangit dan menukarkannya menjadi spageti supaya dapat melarikan diri, tetapi Gentar mahu kekal untuk terus melawan Rosaksa. Adu Du pula hampa kerana melihat pasukan penyelamatnya hanya mahu melarikan diri, maka Gopal terpaksa membuat pengakuan bahawa Gentar tidak mempunyai kuasa. Adu Du tergamam mendengar pengakuan itu sementara dia dan Gentar dilarikan sekali, lantas mereka dibawa bergayut ke seberang jurang untuk melepaskan diri daripada Rosaksa. Setelah melintas, Gopal berpaling dan menukarkan landas yang dipijak Rosaksa menjadi keropok ikan untuk menjunamkannya.

Kumpulan berenam sudah penat-penat belaka, berlindung di suatu bilik usang. Adu Du memarahi mereka kerana merahsiakan perihal Gentar tiada kuasa sehingga menggagalkan usaha menewaskan Rosaksa. Qually mengeluh bahawa mereka khuatir Adu Du akan cuba menculik Ochobot jika tahu, dan Adu Du membentak lagi bahawa dia tiada masa untuk itu dan hanya mahu menyelamatkan Probe. Gentar pula mengkritik perangkap Adu Du tidak berkesan, mengundang perbalahan antara mereka. Qually berpendapat bahawa Gentar tiada kuasa kerana gabungan elemennya tidak sesuai, mengumpamakannya dengan fenomena tanah menyerap cas dari sambaran kilat. Adu Du mengeluh tidak akan dapat mengalahkan Rosaksa tanpa kuasa BoBoiBoy, manakala Qually tergumam menghajatkan senjata yang lebih canggih.

Keluhan Qually didengari oleh Jo Bot yang berpaut pada Gopal sepanjang perjalanan, maka dia membawa mereka ke bilik pengawal keselamatan, di mana mereka dipertemukan dengan senjata paling canggih keluaran Nubot, iaitu Robot Pengawal X99 yang dilengkapi dengan pedang plasma dan perisai tenaga dan digunakan untuk menjaga keselamatan kilang. Qually tertanya-tanya mengapa robot itu tidak digunakan untuk melawan Rosaksa; Ochobot menduga bahawa itu disebabkan sistem keselamatan tidak aktif dan menyuluh ke arah dawai-dawai terputus. Gentar memeriksa kerosakan itu dan meminta Ochobot membaikinya, tetapi Ochobot teragak-agak kerana akan memakan masa lima hari. Adu Du bersetuju bahawa mereka perlu mencari jalan lain, namun Ochobot secara tiba-tiba cepat membaiki wayar-wayar dan menghidupkan semula sistem keselamatan.

BoBoiBoy Gentar menekan punat pada panel kamera dan terpapar rakaman Adu Du dan Probe memutuskan wayar-wayar tadi, membuat Adu Du gelabah dan dipandang serong oleh yang lain. Terpancar juga siaran Gopal dan Qually bersembang di dalam bilik; Jo Bot menyangka itu rakaman dari minggu lepas, tetapi disangkal oleh Rosaksa. Dengan itulah mereka sedar bahawa ini siaran langsung dan Rosaksa pun sudah memasuki bilik keselamatan, maka mereka pun sekali lagi melarikan diri kecuali Gentar yang beria-ia mahu melawan. Rosaksa memukulnya lagi dengan kaki, membuat Gentar terhentak pada panel dan tidak sengaja menghidupkan Robot Pengawal X99.

Dari pod-pod simpanan keluarnya dua buah robot berbadan tegap, disambut dengan gembira oleh Gopal. Adu Du menggesa mereka untuk mengerjakan Rosaksa, tetapi malangnya kedua-dua unit X99 menganggap mereka sebagai penceroboh dan menembak ke arah mereka. Rosaksa mengambil kesempatan untuk menyedut robot pengawal itu. Adu Du, Gopal dan Qually cuba menghalang Rosaksa dari menelan tetapi tidak sempat, maka Rosaksa mengumumkan selesainya integrasi X99 dengan Codebot.

Jo Bot menerangkan bahawa Codebot merupakan Power Sphera yang memprogramkan robot-robot yang dihasilkan di kilang Nubot. Qually bertanya bagaimana Power Sphera itu boleh menjadi raksasa, dan Gopal pun menggesa Adu Du menjawab, namun Adu Du segan. Rosaksa melayam-layamkan pedang plasma yang diserap daripada robot X99, membuat mereka semua lintang-pukang. Rosaksa mengesan kehadiran Ochobot dan mengejarnya. Gentar cuba menghalangnya, maka Rosaksa bertindak dengan mencengkam dan mencampaknya ke tepi. Gentar bangun semula dan bersemuka dengan Rosaksa. Adu Du pun datang untuk menyedarkan Probe, tetapi dijatuhkan dengan sebatan sesungut kencang. Gentar menaiki badan Rosaksa lalu menukul-nukulnya habis-habisan, membuat Rosaksa rimas dan memancarkan lagi Tembakan Laser Pemusnah untuk menjatuhkan Gentar. Gopal dan Qually cemas dan pergi memapah Gentar, tetapi dia cepat bangun sendiri dan bermegah-megah tentang kekebalannya daripada tembakan tadi. Malangnya, Ochobot ditangkap dan diserap oleh Rosaksa yang mengucapkan selamat tinggal kepada "BoBoiBoy Hampa," membuat Gentar dan rakan-rakan hancur luluh.

Watak[]

Trivia[]

Galeri[]

Rujukan[]

Pautan Luar[]

Advertisement