BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Berjuang Tanpa Gentar! merupakan isu ke-15 BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 25 Februari 2022.

Ringkasan[]

Misi baharu! Apabila TAPOPS menerima isyarat kecemasan dari sebuah kilang robotik di angkasa lepas, BoBoiBoy, Gopal, Qually dan Ochobot diarahkan Komander Koko Ci untuk menyiasat sumbernya. Namun, pelbagai kejadian pelik dan misteri berlaku di kilang tersebut sebaik saja mereka tiba. Siapakah gerangan yang menghantar isyarat kecemasan itu kepada TAPOPS? Dan adakah BoBoiBoy dan rakan-rakan akan terus mara ke depan tanpa gentar?[1]

Plot[]

BoBoiBoy dan Gopal mengunjungi Tok Aba dan BoBoiBoy Kokotiam dalam keadaan letih. Tanpa disangka, mereka disambut oleh Qually di situ. Tok Aba dan Ochobot yang sedang bertugas menjelaskan bahawa Qually datang untuk meminjam bekalan untuk mencipta aiskrim. Disambut dengan teruja khususnya oleh Gopal, Qually memperkenalkan aiskrim resipi terbaharunya – berupa bebola kembar merah biru di atas kon – dan memberi BoBoiBoy dan Gopal sampel percuma.

Mula-mula, mereka merasa yang merah. Tidak disangka-sangka, rasanya teramat pedas. Disoal oleh Tok Aba, Qually berkata aiskrim merah berperisa Cili Suci. Yang biru pula dikecapi, kali ini masin jadinya kerana perisa Garam Kristal. Tok Aba kasihan dan menghidangkan frappe coklat untuk melegakan mereka. Mendapati aiskrim ciptaannya tidak menepati cita rasa mereka, Qually segera mengeluarkan aiskrim coklat biasa.

BoBoiBoy bertanya sama ada Qually mencuba perisa baharu dari buku resipi Tuan Guru Gaharum, justeru Qually menyangkal dan mengakui mendapat ilham daripada BoBoiBoy FrostFire serta bertanya apa lagi bentuk Elemental Fusion yang ada selain itu. Ochobot menerangkan terdapat Glacier, Supra dan Sori. Gopal tidak berpuas hati dengan BoBoiBoy yang kerap menggunakan FrostFire.

Tiba-tiba, BoBoiBoy dan Gopal menerima panggilan daripada Koko Ci untuk segera ke TAPOPS-U, jadi mereka pergi ke situ melalui pintu rahsia bawah tanah di hadapan kedai bersama Qually dan Ochobot. BoBoiBoy mengucapkan selamat tinggal kepada Tok Aba sebelum bertolak, dan setelah mereka pergi, Tok Aba melepaskan batuk mengokol-ngokol.

Di Markas Tapops-U, Koko Ci memberitahu BoBoiBoy, Gopal, dan Qually tentang isyarat kecemasan yang datang dari kilang angkasa yang dikendalikan sepenuhnya oleh mesin dan robot, malah yang anehnya, isyarat itu bukan datang dari sistem keselamatan kilang tetapi dari sumber yang tidak dikenal pasti. BoBoiBoy dan kawan-kawan menerima arahan untuk pergi menyiasat, tetapi Qually berpesan bahawa semua kapal angkasa TAPOPS sedang digunakan, apalagi kapal angkasa Qually sendiri terlalu kecil untuk memuatkan mereka bertiga. Gopal bercadang untuk menaiki kapal Papa Zola, tetapi Koko Ci memaklumkan bahawa orangnya tidak dapat dihubungi.

Sebagai ganti, Koko Ci meminjamkan kapal angkasa DOB-1 miliknya kepada mereka. Paras rupanya cantik tetapi hanya dalam gambar kerana kapalnya sudah berusia 20 tahun dan berada dalam keadaan kurang memuaskan. Qually bertanyakan sebab Komander menyayangi kapal buruk ini; BoBoiBoy meneka banyak kenangan manis. Tiba-tiba, kapal angkasa bergoncang dengan kencang menyebabkan mereka terguling-guling; rupa-rupanya itu kesan daripada Ochobot sekadar menukar gear. Gopal dan Qually naik gelabah dan duduk bertali keledar, malah Qually siap membancuh teh untuk menenangkan fikiran mereka. Atas permintaan BoBoiBoy yang khuatir kapal tidak akan dapat pergi jauh, Ochobot melakukan Kuasa Teleportasi untuk membawa kapal terus ke destinasi.

BoBoiBoy, Gopal, Qually dan Ochobot tiba di Planet Machina, dan kapalnya dipandu masuk ke dalam bangunan Kilang Nubot. Suasana di dalam serba gelap-gelita, dan Ochobot mendapati bahawa bekalan kuasa kilang terputus dan sistem sokongan pun tidak aktif. BoBoiBoy dan Gopal mengerti bahawa oksigen dan graviti pun tiada, oleh itu misi akan menjadi sulit untuk dijalankan. Mujurlah Qually membawakan mereka sut angkasawan yang tersimpan dalam kapal.

Kumpulan BoBoiBoy berempat turun meninjau Kilang Nubot secara mengikut rapat, bermula di lobi utama. Emosi mereka dari gementar terus menjadi seram apabila mereka terjumpa suatu lembaga putih; Ochobot menenteramkan mereka dengan menerangkan bahawa ianya robot khidmat pelanggan yang menjaga kaunter, tetapi tidak diaktifkan. Gopal pergi menekan punat pada robot itu, dan robot itu pun hidup, memperkenalkan diri sebagai Jo Bot dan terus melayan mereka dengan menawarkan produk-produk robot yang dijual oleh syarikat Nubot. BoBoiBoy menanya Jo Bot tentang isyarat kecemasan yang datang dari kilangnya. Jo Bot mengaku tidak tahu-menahu dan bersambung menghebahkan produknya dengan suka ria. Kumpulan BoBoiBoy sebal dengan gelagat Jo Bot, lebih-lebih lagi Gopal mendesak untuk berjumpa dengan pengurus kilang. Jo Bot menunjukkan bangkai si robot pengurusnya yang sudah seminggu "berehat" dalam keadaan usang, membuat Gopal berasa ngeri.

BoBoiBoy menjumpai pintu yang terkunci dan tertanya-tanya. Qually cuba menolong dengan berpura-pura menaruh minat pada produk Nubot dengan bertanya akan "robot pemotong sayur." Jo Bot dengan senang hati menerangkan bahawa terdapat pelbagai jenis robot pemotong sayur dan menanya Qually hendak membeli yang mana. Qually berkata hendak menyelidik dahulu dan mengadu sukar berbuat demikian disebabkan keadaan kilang yang gelap, maka Jo Bot membawa mereka ke bilik kawalan untuk menghidupkan semula bekalan tenaga, dimulakan dengan membuka kunci pintu tadi. Oleh itu, BoBoiBoy memuji kecerdikan Qually. Sambil berjalan ke bilik kawalan, Jo Bot menyatakan jenis-jenis robot lain yang dijual, menyebabkan Gopal sakit hati dengan "bebelannya". Oleh itu, Jo Bot mengesyorkan pula robot pustakawan yang senyap.

Kedengaran sesuatu yang memecut di belakang, menimbulkan perasaan gemuruh pada Gopal dan Qually. Tiba-tiba muncul pula kelibat robot kuning yang bermuka pucat di hadapan, membuat Gopal menjerit dalam ketakutan. Jo Bot menerangkan bahawa itu robot pekerja kilang model K-005. Robot itu bersama rakan-rakan sekerjanya yang sama model sedang bersembunyi di dalam bilik dan menggesa kumpulan BoBoiBoy untuk melarikan diri sebelum dimakan. Setelah disoal oleh BoBoiBoy yang runsing tentang amaran robot-robot pekerja, Jo Bot menjamin bahawa kilangnya dikawal ketat oleh robot-robot pengawal X99 "yang dilengkapi dengan pedang plasma dan perisai tenaga." BoBoiBoy lega dan menggesa rakan-rakannya untuk pergi menyiasat isyarat kecemasan bersama, namun Gopal dan Qually masih gelisah dan bercadang untuk menyiasat dari dalam kapal angkasa. BoBoiBoy dengan nada sindiran mencabar mereka untuk berpatah balik ke kapal sendiri. Memandang kembali ke arah jalan panjang dan gelap yang telah dilalui, Gopal dan Qually berubah hati dan meneruskan perjalanan. Kedengaran pula suara meminta tolong; Ochobot menyuluh ke belakang tetapi tidak menjumpai apa-apa. Tanpa disedari, robot-robot pekerja tadi sedang dibaham oleh ancaman yang disebut tadi.

Setibanya di bilik kawalan Kilang NuBot, BoBoiBoy mengarahkan Ochobot untuk cuba menghidupkan semula bekalan tenaga. Setelah mengaktifkan sistem komputer induk, Ochobot mengingatkan bahawa hanya jana kuasa kecemasan yang mampu dihidupkan tetapi tidak cukup untuk menguasakan seluruh kilang. Qually hanya bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat menerangi tempatnya. Ochobot juga memasang sistem sokongan untuk memulihkan graviti dan oksigen dalam kilang; Gopal terhempap kerana tidak bersedia sementara yang lain mendarat dengan kemas, dan mereka semua boleh menanggalkan sut angkasawan. Pada masa yang sama kedengaran bunyi dentuman yang kuat dari lelangit. Jo Bot menganggap bahawa itu barangkali bunyi barang-barang terhempas kerana graviti pasang. Kedengaran pula bunyi derapan dari dekat; rupa-rupanya Qually mengudap cip kentang kerana gemuruh, membuat Gopal rimas.

Bunyi dentuman berkumandang lagi dalam salur udara. Jo Bot pergi melihat ke dalam bolong yang terbuka dan menjumpai suatu lembaga hitam dengan mata dan mulut memijar yang meraung meminta tolong. Jo Bot bertanya apa hendak ditolong, maka lembaga itu meminta untuk memakannya, wajahnya pun bertukar mengancam dan ia mengeluarkan sesungut untuk menjerat Jo Bot. Kumpulan BoBoiBoy memekik dalam ketakutan melihat pengiring mereka ditelan. Lembaga itu pun turun dari bolong dan muncul dalam bentuk raksasa besi berkaki empat, maka mereka pun berlari keluar dari bilik kawalan. Atas desakan Gopal, Ochobot cuba melakukan teleportasi untuk membawa mereka kembali ke Bumi, namun mereka dipindahkan tidak lebih satu meter gara-gara kekurangan tenaga.

Raksasa yang makan Jo Bot tadi tiba-tiba muncul semula, menggunakan kepala Jo Bot untuk bercakap dan sekali lagi mengejar BoBoiBoy dan kawan-kawan. Apabila raksasa itu hendak mencekup Ochobot dengan sesungutnya, BoBoiBoy berubah menjadi BoBoiBoy Halilintar dan menghalangnya dengan Tetakan Halilintar. Raksasa berhasrat untuk memakan Power Sphera itu, maka Halilintar menyuruh Ochobot bersembunyi dan cuba membendung raksasa itu dengan Serangan Halilintar. Raksasa membalas dengan menendang Halilintar dengan kaki. Gopal cuba menolong dengan menukarkan raksasa itu menjadi biskut rapuh tetapi gagal, maka dia melarikan diri ke satu bilik dan menyamar sebagai robot. Raksasa menjumpai Gopal dan menyerangnya, tetapi Halilintar beralih kepada BoBoiBoy Gempa dan menyeru Golem Tanahnya untuk menumbuk raksasa. Raksasa pun menumbuk balik Golem sehingga tercampak dan nyaris menimpa Qually. Qually cuba membendung raksasa dengan melontarkan pelbagai jenis sudip ke arahnya dan berjaya melumpuhkannya dan meleraikan beberapa robot yang pernah diserapnya.

Jo Bot terlerai daripada raksasa dan menghempap Gopal. Ditengking oleh Gopal kerana tidak memberitahu awal-awal tentang raksasa, Jo Bot menjelaskan bahawa kali terakhir dia dihidupkan seminggu yang lepas sewaktu kilang masih normal. Raksasa bergerak-gerak semula, membuat Gempa tertanya-tanya memandangkan kepalanya tercabut. Dari teras raksasa itu keluarnya wajah seiras Probe, robot suruhan Adu Du, dan ia pun bangkit semula dengan menyerap robot-robot lain di sekeliling. BoBoiBoy bercadang untuk bertukar menjadi FrostFire, tetapi setelah diingatkan oleh Gopal yang berdeham-deham, dia memutuskan untuk menggabungkan Gempa dan Halilintar menjadi bentuk baharu, iaitu BoBoiBoy Gentar.

BoBoiBoy Gentar tampil dengan personaliti yang lancang dan suka berlagak, menggelar kuasanya sebagai "menggentarkan badan dan melemahkan lutut", siap dengan senjata pemukul besar yang digelar Tukul Gentar. Raksasa menyerang lagi dan Gentar mengelak dengan licin. Gentar pergi menyerang raksasa dengan Tukul Gentar, tetapi entah kenapa, raksasa tidak terkesan. Gentar menyangka bahawa senjatanya tidak berkesan dan melakukan Hentakan Tanah Gentar, iaitu menumbuk-numbuk raksasa itu dengan buku lima sendiri. Sekali lagi raksasa tidak terkesan, maka Gentar mengakui bahawa dia tidak mempunyai sebarang kuasa, malah Gopal menggelarnya "BoBoiBoy Hampa." Qually menggesa supaya dia beralih kepada FrostFire, tetapi Gentar enggan atas alasan wira selalu kalah dahulu.

Tiba-tiba, datangnya seorang misteri yang berselubung kepala menaburkan alat EMP untuk melumpuhkan raksasa dan melarikan kumpulan BoBoiBoy ke tempat selamat. Qually bersyukur kerana diselamatkan, manakala Gentar menuduh orang itu menyibuk sehingga dia tidak dapat menewaskan raksasa dan bertanyakan namanya. Orang itu menanggalkan selubung dan mendedahkan dirinya sebagai Adu Du.

Watak[]

Trivia[]

Galeri[]

Video[]

Rujukan[]

Pautan Luar[]

Advertisement