BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Pertarungan Demi Windara! merupakan isu ke-14 BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 28 Januari 2022.

Ringkasan[]

BoBoiBoy dan rakan-rakan kini bersemuka dengan Maharaja Reramos, penjahat yang telah menakluk Windara dan memerintahnya dengan penuh kekejaman. Dengan bantuan baju perisai pemberian Papiliam, superhero-superhero dari Bumi ini yakin dapat menewaskannya dengan mudah. Namun begitu, Reramos mempunyai muslihatnya yang tersendiri. Pertarungan di puncak istana akan menentukan nasib Planet Windara; antara keamanan sejagat, ataupun musnah dilanda badai.[1]

Plot[]

Di pinggir ribut taufan, Maripos yang sedang berjuang memandu pesawat pejuang dihubungi oleh seorang ahli pemberontak yang meminta untuk berundur kerana tidak larat melawan kapal-kapal Kelkatoa. Maripos meminta supaya bersabar kerana yakin bahawa BoBoiBoy akan mengaktifkan kristal isyarat yang dikehendaki.

Di istana, BoBoiBoy dan kawan-kawan dikepung oleh anggota elit Tentera Kelkatoa dengan diacukan lembing di balairung. Maharaja Reramos menyeru kepada mereka untuk meninggalkan Planet Windara serta-merta kerana mereka sebagai pendatang tidak wajar mencampuri urusan dalaman planet tersebut. BoBoiBoy lantang membantah kerana enggan berdiam diri membiarkan rakyat planet itu sengsara disebabkan kekejaman Reramos, bahkan menuntut supaya Kuputeri dalam tahanan Reramos dilepaskan. Maharaja Reramos membalas kedegilan wira muda itu dengan menyalakan cokmarnya untuk menyeru bantuan. Maka datangnya banyak lagi tentera Kelkatoa masuk dengan memecahkan kaca kubah balairung, lantas mereka diperintahkan oleh Reramos untuk menyerang wira berlima.

BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Gempa, dibantu oleh Ying dan Yaya dan segera menghunus senjata masing-masing - Gempa dengan Pedang Gempa, Ying dengan sabit dan Yaya dengan perisai - untuk menjatuhkan setiap bala musuh yang mendatang. Maharaja Reramos tenang menyaksikan pertarungan malah meminta Muskida untuk memastikan kesemua budak dihapuskan sementara dia berurusan dengan Kuputeri. Gopal yang pada mulanya tercegat kerana ketiadaan senjata mendapat ikhtiar dengan memungut lembing dari seekor Kelkatoa yang gugur. Dengan lembing ini dia memancarkan Tukaran Kek Gulung ke merata tempat untuk menukarkan semua lembing musuh kepada kek gulung, dibantu oleh Fang yang memakai Separa Naga Bayang dan berlari keliling balai sambil menaburkan kabus bayang untuk mengaburi musuh.

Maharaja Reramos membawa Kuputeri ke menara isyarat untuk memaksanya membuka kunci kawalan mutlak pada kristal isyarat untuk melengkapkan penaklukan Planet Windara, malah mengugut untuk menghapuskan semua kawan-kawan Kuputeri jika dia berdegil. Pada masa yang sama, BoBoiBoy Gempa yang sedang giat bertempur diganggu oleh kerumunan mata-mata Muskida, maka dia dari melawan Kelkatoa beralih terus untuk menyerang Muskida. Muskida menghalang dengan Tetakan Mata-Mata, dan Gempa menepis serangan dengan lindungan Pedang Gempa, tetapi tolakan mata-mata begitu kuat sehingga Gempa terundur. Ying cemas melihat keadaan Gempa dan segera mencampuri dengan melakukan Pusaran Tongkat Sakti untuk meredakan mata-mata sementara Yaya menjenguk keadaan Gempa.

Geram melihat serangannya ditepis, Muskida membentuk mata-mata yang tinggal menjadi ketulan batu dan melontarkan semuanya ke arah wira berlima. Yaya sempat menghalang ketulan dari menimpa dengan Apungan Graviti, dibantu oleh Gopal yang melakukan Tukaran Makanan untuk menukarkan ketulan kepada sandwic. Muskida terkilan melihat usahanya gagal dan melarikan diri, tetapi dijatuhkan oleh Fang yang melontarkan Lembing Bayang untuk menyangkut jubahnya. BoBoiBoy bertukar kepada BoBoiBoy Solar dan melakukan Tembakan Pedang Solar sebagai serangan penamat untuk Muskida.

Setelah selesai menumpaskan Muskida dan Kelkatoa, BoBoiBoy dan kawan-kawan pun bergegas naik ke menara kristal untuk menyeru Maharaja Reramos agar segera melepaskan Kuputeri atau mengalami nasib yang sama dengan konco-konconya. Reramos kecewa mendapati Muskida dan bala tenteranya tewas tetapi tetap memperkecilkan kata dua yang disampaikan oleh wira muda itu sambil menyalakan cokmar untuk melaksanakan jalan terakhir. Kuputeri melepaskan sumbat mulutnya dan menyuruh kumpulan BoBoiBoy untuk melarikan diri, tetapi dari seruan Reramos bangkitlah raksasa Karantular yang timbul memecahkan lantai, membuat wira berlima terpelanting. Raksasa gergasi berupa labah-labah itu melepaskan ngauman yang kuat, membuat Gopal gelabah sehingga tersalah sangka ianya kala jengking (kemudian dibetulkan oleh Fang). Reramos geli hati melihat wira berlima "bernasib baik" menjadi santapan haiwan peliharaannya yang sudah seminggu tidak makan.

Atas seruan tuannya, Karantular memerangkap kumpulan BoBoiBoy dalam ikatan sawang. Begitu kukuh ikatan itu sehingga mereka tidak dapat melepaskan diri, tetapi BoBoiBoy berikhtiar dengan melakukan Kuasa Tiga dan berpecah menjadi Taufan, Ais dan Halilintar. Taufan menaiki Papan Luncur Udara, Ais membuat Luncuran Ais, dan Halilintar terbang, ketiga-tiga memecut ke arah Karantular dan menghunus senjata masing-masing, iaitu Pedang Taufan, Pedang Pembeku dan Pedang Halilintar, untuk menetak-netak dan membelah-belah kulit raksasa itu. Kesakitan yang terasa membuat Karantular mengganas dan menyemburkan cecair asid dari mulutnya ke merata tempat, menyebabkan hakisan di keliling malah menyebabkan saki-baki lantai menara runtuh dan Kuputeri yang masih terbelenggu pun terjunam.

Taufan segera melakukan Pusaran Taufan untuk menyelamatkan Kuputeri dari terhempas, sementara Ais dan Halilintar menahan kemaraan Karantular dengan Panah Pembeku Bertubi-tubi dan Lontaran Tombak Halilintar. Kuputeri dengan nada gerun menjelaskan bahawa Kalantular ialah raksasa purba yang dikurung di bawah tanah kerana pernah mengancam Windara. Taufan bertanya bagaimana Kuputeri mengurung raksasa itu; jawabnya dia menggunakan Kuasa Beliung. BoBoiBoy Taufan bercadang untuk menyerahkan Kuasa Beliung kepada Kuputeri, tetapi Kuputeri mengeluh bahawa sudah terlambat kerana pemindahan kuasa memerlukan masa yang lama.

Dikejutkan oleh pancaran kilat dari cokmar Reramos mengena dinding di sebelah, Taufan dan Kuputeri menemui Halilintar dalam keadaan terbujur tidak bermaya, manakala Ais sempat menampan semburan asid dengan Perisai Ais sebelum disandung oleh raksasa itu. Taufan menyerap kembali Halilintar dan Ais ke dalam tubuh untuk menjimatkan tenaga. Dia meminta Kuputeri menyelamatkan kawan-kawan yang lain sementara dirinya pergi mengendalikan Karantular, tetapi Kuputeri menegah kerana Karantular terlalu berbahaya. Karantular menuju ke tempat Ying, Yaya, Gopal dan Fang terlekat pada dinding dengan sawang. Gopal masih gelabah sehingga menggelarnya lipan sebelum dibetulkan sekali lagi oleh Fang. Maharaja Reramos yang sedang berdiri di atas kepala Karantular menggunakan cokmarnya untuk mengawal raksasa belaannya untuk memakan mereka. Taufan menyerang hendap Reramos dengan Belahan Pedang Taufan, menyebabkan Reramos jatuh dari tunggangannya dan cokmarnya pun pecah.

Tindakan BoBoiBoy Taufan mendapat pujian dari kawan-kawan di atas, tetapi dikecam oleh Reramos yang meraung dalam ketakutan kerana tiadanya cokmar menyebabkan Karantular hilang kawalan dan serangannya semakin berbahaya. Matanya Karantular dari kuning bertukar merah, malah semburan asidnya bertambah pekat dan lebat. Untuk mengelakkan kawan-kawan dari terkena asid, Taufan menyampuk gerak-geri Karantular dengan Cakera Udara dan mengalih perhatiannya sehingga keluar melalui tingkap menara. Kuputeri yang sudah terlepas dari rantai pergi melepaskan Ying, Yaya, Gopal dan Fang di tingkat atas menara.

Setelah ke luar istana, BoBoiBoy Taufan terus mengumpan Karantular dengan mengasarinya dengan Libasan Pedang Taufan, kemudian dia melakukan Tolakan Taufan untuk menjatuhkan raksasa itu dari puncak menara. Akan tetapi, Karantular pada menara dengan menghasilkan tali sawang dan bergayut untuk mendarat dengan selamat. Kemudian, ia menyemburkan asid ke arah Taufan tetapi Taufan sempat mengelak. Taufan mengeluh tidak cukup tenaga untuk menggiring raksasa itu ke hujung bumbung, tetapi mendapat ikhtiar dari pusaran angin di sekitarnya. Karantular meludahkan asid ke atas menyebabkan papan luncur anginnya terhakis. Pada masa yang sama, Taufan membuat Tolakan Taufan untuk mengelak dari terkena asid, kemudian membuat Sedutan Taufan iaitu menyedut pusaran angin dan menjadikannya lebih kuat untuk menolak Karantular ke hujung bumbung. Kawan-kawannya dari dalam balairung menyorak demi BoBoiBoy Taufan.

Akan tetapi, begitu kuat pusaran angin yang terhasil sehingga Taufan tidak dapat mengawalnya lantas tercampak ke dalam pusaran luar, menyebabkan situasi bertukar cemas. Fang menyeru agar mereka semua menolong BoBoiBoy tetapi Kuputeri menegah kerana tiada peluang untuk mengalahkan Karantular tanpa Kuasa Beliung. Karantular memasuki semula istana dan mengejar kawan-kawan BoBoiBoy dan Kuputeri. Pada saat genting inilah berlakunya suatu keajaiban yang mula-mula disaksikan oleh Maripos dan angkatan udara. BoBoiBoy menjelma dengan kuasa baharu iaitu BoBoiBoy Beliung, kembali dengan senyuman lebar dan mata menyilau untuk bersemuka dengan Karantular. Kuputeri hairan melihat BoBoiBoy menggunakan kuasa elemental angin yang tidak pernah disaksikan sekuat ini. Beliung mengawal pusaran angin untuk menyedut dan mencampak Karantular pada dinding. Setelah Karantular pengsan, Beliung sekali lagi menyedut dan menghumbannya ke langit sehingga ia akhirnya terhempas.

Kejayaan BoBoiBoy Beliung diraikan oleh kawan-kawan, tetapi tiba-tiba Beliung terasa sakit kepala dek kuasa baharunya terlalu kuat. Kuputeri menyangka bahawa BoBoiBoy tidak dapat mengawal kuasa baharunya dan bertindak dengan menghubungi BoBoiBoy secara telekinesis dan menyeru kepadanya untuk bertenang dan melepaskan kuasa itu kerana BoBoiBoy. BoBoiBoy pun menuruti pesanan Kuputeri, bertukar kembali kepada normal dan menjunam dari langit sebelum selamat disambut oleh Jaring Bayang Fang. BoBoiBoy bangun semula dan dipuji oleh Yaya kerana menyelamatkan mereka semua. Gopal pula menyindir kerana menyebabkan kerosakan istana tetapi ditempelak oleh Ying.

Kejayaan Kuputeri menuntut kembali Planet Windara bersama BoBoiBoy dan kawan-kawan diraikan di sebuah kenduri di Kampung Kepaku. Kuputeri dan Maripos mengucapkan syabas dan terima kasih atas jasa BoBoiBoy dan kawan-kawan yang membantu dalam usaha mengembalikan keamanan di Planet Windara setelah sekian lama dizalimi Reramos. BoBoiBoy membalas dengan sepatah sama-sama, manakala Yaya berkata ini memang tugas mereka sebagai anggota TAPOPS untuk menolong sesiapa yang berada di dalam kesusahan. Ditanya tentang nasib kaum Kelkatoa oleh Ying, Kuputeri menjawab bahawa mereka sudah pulang ke tempat asal, dan Maripos menambah bahawa mereka tidak berani kembali tanpa panduan dari Cokmar Cahaya setelah Reramos diberkas.

Fang baru selesai berbual dengan Papiliam dan menjelaskan bahawa hulu Cokmar Cahaya sebenarnya ialah Power Sphera bernama LampBot yang boleh mengawal minda makhluk serangga dengan menggunakan gelombang cahaya. BoBoiBoy bercadang hendak membawa pulang LampBot ke TAPOPS supaya selamat dari salah guna. Gopal pula bercadang untuk menggunakan LampBot untuk mengawal Karantular, dan sudah tentu ideanya mendapat tentangan.

BoBoiBoy menghulurkan jam kuasanya untuk memulangkan Kuasa Beliung kepada Kuputeri dan dengan rasa kecil hati memberikan sebab dirinya tidak mampu mengawal kuasa baharu itu. Kuputeri menolak kerana merasa tidak memerlukan lagi kuasa itu, membuat Maripos terkilan. Gopal menyuarakan sependapat dengan tindakan dan alasan BoBoiBoy, sekali lagi mengundang kecaman kawan-kawan lain. Tambah BoBoiBoy lagi, kuasa itulah yang mengawal dirinya sehingga membahayakan Kuputeri dan lain-lain. Kuputeri bulat hati untuk mengamanahkan Kuasa Beliung kepada BoBoiBoy dengan nasihat untuk sabar dan berusaha mempelajari dan mengawal apa-apa kuasa baharu dengan sebaiknya supaya dapat melindungi galaksi dari ancaman kejahatan. Maripos khuatir bertanya bagaimana jika Windara diancam lagi, maka BoBoiBoy dan kawan-kawan yakin menjamin bahawa mereka dan TAPOPS akan segera datang membantu.

Gopal memerli Maripos dapat memelihara kemudaannya kerana turut berkepompong seperti Kuputeri, dan ini membuat Maripos geram dan mengasari Gopal. Papileon membelanjakan minuman kepada Fang. BoBoiBoy dan kawan-kawan menyempurnakan misi di Windara dengan berseronok bersama penduduk tempatan di kenduri.

Watak[]

Trivia[]

Galeri[]

Konsep seni[]

Gambar promosi[]

Video[]

Rujukan[]

Pautan Luar[]

Advertisement