BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

"Pelawat Misteri Dari Angkasa Lepas!"[1] ialah isu ke-10 BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada 29 April 2021.

Sinopsis

Dengan bantuan PasuBot, benih Oakuat pemberian Tuan Guru Gaharum kini membesar dengan suburnya. Malangnya, kegembiraan BoBoiBoy tidak kekal lama apabila rakan karibnya Gopal diculik oleh seorang musuh misteri.

Apa matlamat sebenar si penculik misteri itu? Mampukah BoBoiBoy menewaskannya, dan menyelamatkan Gopal?

Plot

Bapa Gopal, Pakcik Kumar sedang menjaja aiskrim di Taman Pulau Rintis apabila dia didatangi oleh seorang misteri berpakaian topi dan kot merah yang bertanya di mana BoBoiBoy, dan jawabnya dia berada di Kokotiam. Ditanya lagi di mana Kokotiam itu, Kumar memintanya untuk membeli aiskrim jika hendak jawapannya, maka orang misteri membeli aiskrim perisa kacang merah. Pada masa yang sama, Gopal muncul dan memberitahu bapanya bahawa dia hendak ke Kokotiam. Kumar hendak menyuruh Gopal untuk membawa orang misteri ke situ, tetapi orangnya tiba-tiba menghilangkan diri, meninggalkan bayaran untuk aiskrimnya. Dalam perjalanan ke Kokotiam, Gopal dipukau oleh rama-rama berwarna biru cerah yang hinggap pada mukanya.

Sementara itu di Rumah Hijau TAPOPS-U, BoBoiBoy menyiram anak pokok Oakuat yang tertanam dalam PasuBot, sambil diperhatikan oleh Yaya dan Ying yang kagum melihat betapa cepat pokok itu tumbuh. Yaya bertanya bila pokoknya akan berbuah, dan jawab PasuBot mungkin dalam seminggu atau sebulan. Tok Kasa turut hadir, memuji kepintaran BoBoiBoy dan kawan-kawan menggunakan akal untuk menyelesaikan masalah yang nampak mustahil. Ditanya Yaya adakah benar buah Oakuat boleh menghasilkan kuasa terpendam, Tok Kasa menjawab, mengikut legenda boleh, tetapi tiada sesiapa pernah mencubanya kerana terpaksa menunggu masa lama untuk tumbuh.

Tidak lama kemudian, BoBoiBoy bergegas keluar ke Kokotiam untuk masuk bertugas menjaga kedai. Ditemani oleh Fang sambil menunggu kedatangan Gopal, dia pula didatangi rama-rama biru yang memancarkan imej Gopal dibalut kepompong dengan pesanan suara yang menyuruh BoBoiBoy untuk pergi ke taman seorang diri untuk bertemu dengan penculiknya.

Maka BoBoiBoy menuruti pesanan itu dan bergegas ke Taman Pulau Rintis. Di situ dia bertemu dengan penculik misteri yang memperkenalkan dirinya sebagai Maripos, seorang pengembara yang memburu segala yang menakjubkan di serata galaksi, terpanggil ke Bumi untuk melihat seorang kanak-kanak yang pernah mengalahkan "penguasa tujuh elemental". Sambil menunjukkan kepada BoBoiBoy keadaan Gopal yang tergantung dalam kepompong pada batang pokok, Maripos menuntut salah satu kuasa elemental BoBoiBoy sebagai pertukaran tebusan.

BoBoiBoy berkeras enggan menyerahkan sebarang kuasa, sementara Maripos melontarkan belantan ke arah pokok Gopal untuk mendedahkan Fang yang bersembunyi. Sebaik sahaja Fang menunjukkan diri, Maripos mengapungkan diri ke langit dengan Jurus Langkah Langit. Fang mengejarnya dengan mengaktifkan Separa Garuda Bayang dan cuba melakukan Patukan Garuda Bayang ke atas Maripos, tetapi ditepis dengan pukulan kuat belantan Maripos. Sementara Fang melawan Maripos, BoBoiBoy mengambil kesempatan untuk melepaskan Gopal dari kepompong, tetapi Maripos sempat mengesan dan menjatuhkan BoBoiBoy dari pokok. Fang berang melihat tindakan Maripos dan menyerang lagi dengan Serangan Kepak Bayang, tetapi Maripos sempat mengelak.

Maripos hairan melihat kumpulan yang pernah menewaskan Retak'ka tidak sehebat yang disangka, tetapi Fang mengingatkannya bahawa Retak'ka kalah kerana terlalu yakin seperti Maripos sekarang, sambil mengeluarkan Jerangkap Bayang untuk menahan Maripos di tangan dan kaki supaya dia dapat menikamnya dengan Tusukan Paruh Bayang. Akan tetapi, Maripos berpecah separuh badannya menjadi kerumunan rama-rama biru untuk mengelak kecederaan, kemudian dia bercantum semula dan menjatuhkan Fang ke tanah dengan belantannya.

Sementara itu di Kantin TAPOPS-U, Tok Kasa disaji dengan masakan Kangkong Goreng Tepung yang diperbuat daripada sayur-sayuran oleh Qually, apabila mereka menerima isyarat amaran berkenaan perlawanan antara BoBoiBoy dengan Maripos. Qually bercadang untuk mendapatkan pertolongan Ying dan Yaya, tetapi Tok Kasa menegah dan bertindak keluar sendiri.

Dicemuh oleh Maripos kerana enggan mengalah, BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Halilintar dan menyerangnya habis-habisan dengan Tetakan Pedang Halilintar, tetapi setiap cubaan tetap dielak dengan pantas. Juga dicubanya Hujan Tombak Halilintar dan Tetakan Berganda, tetapi masih tidak mengena. Maripos membalas pula dengan mengubah belantannya kepada kipas dan melakukan Jurus Kipas Libas untuk menghasilkan angin kencang untuk menjatuhkan Halilintar.

Menyedari kuasa Maripos seakan kuasa angin, BoBoiBoy berikhtiar untuk bertukar menjadi BoBoiBoy Taufan. Maripos girang melihat lawannya akhirnya mengeluarkan kuasa yang diidamkan lalu memintanya sekali lagi untuk menyerah dan menuruti permintaanya, tetapi Taufan tetap mahu berlawan. Maka mereka sambung berlawan, bermula dengan Taufan melakukan Tumbukan Taufan ke arah Maripos. Dalam persaingan yang cukup sengit, Taufan berusaha menampan dan membalas setiap serangan Maripos sehingga dia dapat menangkap dan mencampak Kipas Libasnya jauh-jauh.

Taufan dan Maripos terus bertarung dengan tangan kaki. Kemudian, taufan mengenakan Serangan Gerudi Taufan ke atas Maripos, tetapi si lawan yang lincah berpecah dan bercantum semula dan mengeluarkan kuasa terhebatnya, Jurus Ilusi Berganda, yang mana dia menghasilkan puluhan bayang tiruan dirinya untuk mengelirukan Taufan. Taufan melontarkan Cakera Udara ke arah semua bayang-bayang itu untuk mencari Maripos sebenar, tetapi serba tidak mengena. Kesemua bayang menyerang balas Taufan dengan tumbukan dan tendangan bertubi-tubi. Taufan mengapung ke udara dan melakukan Sambaran Vorteks Berganda untuk memadamkan bayang-bayang Maripos sambil mengeluarkan Hoverboardnya dengan tujuan menghentak Maripos.

Tidak sempat Taufan dan Maripos berpukulan lagi, Tok Kasa tiba mematahkan pertarungan, dibantu oleh orang berjubah biru tua. Sementara si jubah biru menegur Maripos, BoBoiBoy terkilan dengan tindakan Tok Kasa dan mengadu bahawa Maripos telah menculik Gopal, tetapi Tok Kasa menerangkan bahawa keadaan di hadapan mata tidak semestinya seperti yang disangka. Si jubah pun menurunkan hudnya untuk memperlihatkan wajahnya, dan Tok Kasa pun memperkenalkan seorang lagi kenalan lamanya iaitu Kuputeri, pemilik asal kuasa elemental Beliung yang disangka mati dikalahkan Retak'ka; dan Maripos pula ialah orang suruhan Kuputeri yang dihantar untuk menduga kehebatan BoBoiBoy. Tok Kasa meminta Kuputeri untuk menceritakan tujuan sebenarnya ke Bumi, dan jawabnya sama dengan Maripos - untuk menuntut kuasa Beliung daripada BoBoiBoy.

Watak

Galeri

Rujukan

Advertisement