BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


"Kembali Beraksi!" ialah tajuk bagi isu pertama komik BoBoiBoy Galaxy Musim 2. Ia dikeluarkan pada Mac 2020.

Sinopsis[]

BoBoiBoy dan kawan-kawan kembali beraksi menyelamatkan Power Sphera dengan pangkalan baharu yang bertapak di Bumi, jam kuasa baharu yang membolehkan BoBoiBoy memanfaatkan kuasa-kuasa baharu, dan juga ancaman baharu daripada satu musuh lama. Adu Du dan Probe cuba menculik Ochobot, tetapi tujuan mereka berbuat demikian adalah di luar jangkaan.

Plot[]

Isu membuka tirai di Markas Kotak di mana Adu Du sedang memasang suatu jentera dengan bantuan Probe yang sempat menyanyikan sedikit lagu "Bersedia" sebelum dilempang dengan kole oleh Adu Du.

Sementara itu, di Akademi Pulau Rintis, BoBoiBoy, Gopal, Ying, Yaya, Fang, dan lain-lain sedang menghadiri kelas matematik yang diajarkan oleh Cikgu Papa Zola. BoBoiBoy dikejutkan daripada mengelamun oleh Cikgu Papa yang sedang mengajar supaya dia menjawab soalan matematik yang berbunyi begini: "Tok Samad mempunyai tiga orang anak, dan Mak Salmah juga mempunyai tiga orang anak. Berapakah jumlah anak mereka?" BoBoiBoy menjawab enam, tetapi dibetulkan oleh Cikgu Papa bahawa ada tiga orang anak kerana Tok Samad dan Mak Salmah adalah suami isteri.

Sebaik sahaja kelas tamat, geng BoBoiBoy menerima isyarat berbunyi dalam jam tangan mereka, menandakan bahawa ada tugasan baharu menanti. Gopal cuba mengelat tetapi dihalang oleh Fang dengan Tangan Bayang, maka dia terpaksa mengikut mereka. Geng BoBoiBoy singgah di Kokotiam Tok Aba yang turut dihadiri oleh Tok Kasa, orang-orang Cendawa, dan juga Adu Du dan Probe. Ochobot yang turut bekerja di kedai mencurigai Adu Du dan Probe tetapi mereka tampil polos dengan menghadiahi Tok Kasa dengan gitar elektrik yang berupa wajah Adu Du sebagai tanda penghargaan kepada bekas guru mereka. Maka Tok Kasa beredar bersama-sama orang-orang Cendawa untuk pergi menguji gitar di tempat lain.

Sebaik sahaja Tok Kasa beredar, datanglah geng BoBoiBoy singgah di kedai Tok Aba. Sementara BoBoiBoy bersalam dengan Tok Aba, dan Fang pula menyapa Adu Du dan Probe, Ying memesan "Koko-Kojato", membuat Gopal hairan kerana tidak pernah mengenali item menu itu. Adu Du dan Probe cuba memesan benda yang sama, tetapi Tok Aba melayan mereka dengan minuman percuma sambil memberikan isyarat kepada Ochobot. Ochobot memasang suis rahsia untuk menurunkan geng BoBoiBoy ke gelongsor bawah tanah, memeranjatkan Gopal.

Rupa-rupanya "Koko-Kojato" ialah kod rahsia untuk memasuki markas rahsia bawah tanah yang dibina oleh TAPOPS, iaitu "TAPOPS-U" (TAPOPS Underground). Ia sudah diketahui oleh BoBoiBoy dan kawan-kawan kecuali Gopal yang mengelat semata-mata untuk bermain dengan permainan Kakimon. Di situ, mereka disambut oleh Komander Koko Ci yang muncul dalam skrin, menegur Gopal kerana memonteng mesyuarat sebelum ini. Turut hadir bersama Koko Ci adalah Laksamana Tarung yang menyoal Gopal berapa tahapnya dalam Kakimon. Gopal menjawab tahap 11, sekaligus mengesahkan aduan Koko Ci tentang masalah disiplinnya. Namun demikian, Tarung memaafkan Gopal.

Koko Ci memulakan taklimat dengan memperkenalkan TAPOPS-U, iaitu pangkalan TAPOPS yang dibina di Bumi untuk dihadiri oleh geng BoBoiBoy sementara menunggu Stesen Angkasa TAPOPS siap dibina semula. Gopal bertanya mengapa perlu dibina pangkalan di Bumi sedangkan lebih senang dibina di angkasa, maka Koko Ci menerangkan bahawa semenjak BoBoiBoy menyertai TAPOPS, serangan musuh terhadap Stesen Angkasa TAPOPS meningkat sebanyak 500 peratus, malah penyamaran sebagai dobi turut terbongkar. Tarung mengumumkan penyamaran bagi TAPOPS-U sebagai "Pusat Pencuci Kapal Angkasa Suci" yang akan dikelola oleh Kaizo bersama bekas anak-anak kapal Kapten Vargoba.

Taklimat diteruskan dengan Koko Ci memperkenalkan Jam Kuasa versi baharu kepada BoBoiBoy yang membolehkan dia menggunakan kuasa elemental tahap ketiga, tetapi dengan peringatan agar berlatih sebaiknya kerana belum tentu kuasa-kuasa berkenaan dapat digunakan dengan selamat. Tambah Koko Ci lagi, jam kuasa baharu akan membantu dalam misinya untuk menyelamatkan Power Sphera di sektor "B-108Y", yakni kawasan pengawasan BoBoiBoy seangkatan, dengan menyalakan amaran sekiranya ada Power Sphera dalam bahaya. Kebetulan pada ketika itu, amaran seumpama itu berbunyi di TAPOPS-U kerana mengesan ancaman di kawasan berdekatan, maka geng BoBoiBoy bergegas keluar lalu mendapati Adu Du dan Probe cuba menculik Ochobot.

BoBoiBoy mula bertindak dengan bertukar menjadi BoBoiBoy Blaze dan memulakan serangan dengan Tinju Berapi Bertubi-tubi terhadap Adu Du, sementara Adu Du menangkis dengan galah besi, menyukarkan usaha BoBoiBoy. Begitu sengit pertarungan sehingga Tok Aba meluahkan rasa hairan mengapa Adu Du bertambah hebat; Adu Du menjawab itu berkat daripada latihan di bawah Tok Kasa. Ying dan Yaya turut masuk bertarung dengan melancarkan Seribu Tendangan Laju dan Tumbukan Padu terhadap Probe untuk melepaskan Ochobot, tetapi Adu Du cepat menghalang mereka dengan galahnya.

Probe bertukar kepada Mecha Probe untuk membalas serangan sambil menyimpan Ochobot dalam dada, tetapi dijatuhkan oleh Fang dengan Tusukan Bayang dan Ikatan Bayang. Sementara itu, Adu Du mengaktifkan kuasa sebenar galah besinya, iaitu Rod Elektrik untuk merenjatkan Ying dan Yaya sampai jatuh. BoBoiBoy Blaze semakin marah, melepaskan Serangan Bebola Api dan Tinju Berapi ke arah Adu Du. Adu Du menyuruh Probe melarikan Ochobot, maka Probe bertukar menjadi Probey Jet dan meminta bosnya naik.

BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Taufan dan cuba mengejar mereka, diikuti oleh Ying dan Yaya yang melakukan Larian Supersonik dan Pecutan Graviti. Fang dan Gopal ketinggalan kerana Fang terpaksa menarik Gopal yang berbadan besar keluar dari pintu bawah tanah yang sempit. Dalam Probey Jet, Adu Du cuba menyisipkan suatu cip ke dalam badan Ochobot. BoBoiBoy Taufan berjaya mengejar mereka, melepaskan Cakera Udara untuk mengacau Probey Jet, sementara Yaya bersemuka dengan Adu Du di kokpit. Fang memakai Helang Bayang untuk mengangkat Gopal ke udara. Gopal membidik ke arah Probey Jet lalu melepaskan Tembakan Sniper Makanan untuk menukar booster jet kepada biskut dan menjatuhkan pesawat.

Adu Du cuba memerintahkan Ochobot untuk menggunakan kuasa teleportasi, tatkala BoBoiBoy Taufan mengenakan Gerudi Taufan untuk memecahkan kokpit Probey Jet, dan dengan bantuan Kuasa Slow-Mo oleh Ying. Tanpa disangka-sangka, Ochobot sempat melakukan teleportasi untuk memindahkan Adu Du dan Probe... tetapi tidak cukup jauh untuk melarikan mereka dari geng BoBoiBoy gara-gara kerosakan enjin Probe. Yaya mengambil kesempatan dengan mengenakan Tumbukan Padu untuk menjatuhkan Probe, sementara BoBoiBoy melakukan Kuasa Tiga untuk berpecah menjadi BoBoiBoy Duri, BoBoiBoy Blaze dan BoBoiBoy Ais.

Duri melepaskan Jaringan Berduri untuk memerangkap Probey Jet, dan Adu Du dengan Ochobot dalam dakapan pun tercampak keluar dari kokpit yang pecah. Ais menghalang Adu Du dari melarikan diri dengan Panah Pembeku, sementara Duri menghulurkan dahan menjalar untuk menyambut Ochobot. Blaze cuba menghabiskan pertarungan dengan menghasilkan Bebola Api Maksima untuk dikenakan terhadap musuh, tetapi sebelum sempat, Adu Du menekan butang pada alat kawalan untuk mengaktifkan kuasa teleportasi. Ini menyebabkan Ochobot membuka teleportal di langit untuk penjahat berdua melarikan diri.

Walaupun gagal menangkap Adu Du dan Probe, namun geng BoBoiBoy berjaya menyelamatkan kawan lama mereka Ochobot dalam keadaan selamat walaupun mengalami kerosakan. Fang menyoal ke mana dia teleportkan Adu Du dan Probe, tetapi Ochobot mengaku tidak tahu kerana koordinat dikawal oleh Adu Du. Adu Du dan Probe sebenarnya kembali ke Markas Kotak. Probe bertanya mengapa mereka tidak melarikan Ochobot, maka Adu Du menjelaskan dengan bantuan Komputer yang baru pulang dari bercuti, bahawa dia memasang cip di dalam badan Ochobot supaya mereka sentiasa tahu kedudukan geng BoBoiBoy, malah setiap kali Ochobot membuka teleportal, satu lagi teleportal dibuka untuk mereka supaya mereka akan sentiasa mengekori geng BoBoiBoy.

Watak[]

Trivia[]

  • Ahli kakitangan Monsta yang mengulas komik BoBoiBoy Galaxy Musim 2, mengulas isu pertama dalam saluran bernama SM Kolektor.
  • Kakimon ialah rujukan kepada francais permainan video Pokemon.

Galeri[]

Video[]

Pautan Luar[]

Advertisement