BoBoiBoy Wiki
BoBoiBoy Wiki
Rencana ini adalah tentang episod BoBoiBoy Galaxy Gentar. Untuk rencana tentang pasukan dan lagu tema dengan nama yang sama, rujuk Team BuBaDiBaKo dan BuBaDiBaKo.

BuBaDiBaKo merupakan episod keenam-belas dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod keempat dan terakhir dalam BoBoiBoy Galaxy Gentar. Ia akan dilepaskan di YouTube Monsta, Netflix dan Astro Ceria pada 11 Januari 2025, kemudian di RTV pada 27 Januari 2025.

Ringkasan[]

BoBoiBoy Gentar dan rakan-rakan bertekad untuk menghentikan musuh mereka yang sedang mengamuk dan menyebabkan kehancuran yang tak terhingga. Dengan tiada pilihan lain, BoBoiBoy Gentar terpaksa menggunakan senjata terhebatnya dalam usaha yang terakhir untuk mengalahkan raksasa itu.

Plot[]

BoBoiBoy Gentar melalui portal dari Kilang NuBot ke Planet Machina untuk pergi menyelamatkan Ochobot. Setibanya di Planet Machina, dia mendarat di sebuah bandar raya yang sedang huru-hara kerana Rosaksa sedang memakan penduduk-penduduk planet yang rata-ratanya terdiri daripada robot. Gentar pergi bersemuka dengan Rosaksa yang sudah bertukar rupa, bermula dengan Tumbukan Gentar Menggegar, namun Rosaksa tidak terkesan kerana jumlah robot yang dimakannya sudah terlalu ramai. Dengan sesungut pencengkamnya, Rosaksa mencengkam, menghantuk-hantukkan dan menghumban Gentar. Gentar enggan mengalah dengan laungan "agi hidup, agi ngelaban," tetapi Tukul Gentarnya sudah kehabisan tenaga. Sekali lagi Rosaksa mengasari Gentar dengan pencengkamnya.

Mujur Adu Du muncul tepat pada masanya melalui portal dengan menaiki Mecha Probe, melumpuhkan Rosaksa dengan panahan elektromagnetnya sambil menyanyikan lagu Team BuBaDiBaKo, diikuti Gopal dan Qually. Ditanya bagaimana mereka sampai, ceritanya: Adu Du mendedahkan bahawa dia menggunakan alat Replikasi Teleportasinya untuk meniru teleportasi yang dibuka oleh Ochobot yang dipasang cip oleh Adu Du, menimbulkan kemarahan Gopal dan Qually.

Adu Du menghulurkan tangan kepada Gentar untuk bangun. Gentar mengeluh tukulnya sudah kehabisan tenaga, jadi Adu Du mengarahkan Probe memancarkan laser kepadanya, tetapi Probe sedang sibuk menahan dari daripada dimakan oleh Rosaksa. Qually membantu dengan melemparkan Spatula Berapi untuk menurunkan Probe. Probe bersiap sedia untuk memancarkan tenaga tetapi tidak sempat kerana termakan pukulan sesungut Rosaksa dan terlerai bentuk mechanya. Rosaksa beralih kepada Gentar dan berhadapan dengan Adu Du yang berikrar akan menghukumnya dengan Perisai Windara yang dipakainya kerana mengasari Probe. Lalu Adu Du menghunus Sabit Belalang dan mencalar-calar badan Rosaksa sehingga dirinya ditepis.

Rosaksa menuju semula ke arah Gentar, dan Gentar menyeru Ochobot untuk melepaskan diri daripada badan Rosaksa, tetapi Ochobot kian lemah semangat. Rosaksa hendak memijak Gentar, tetapi Gopal pada masa yang sama menembakkan Tukaran Kek Tingkat ke arah kaki pemijak itu, namun kaki itu sudah menimpa Gentar sesaat ditukarkan. Rosaksa memasang semula kakinya dengan alat-alat sekeliling lalu pergi memburu Gopal, jadi Gopal berlindung di sebalik bangkai kereta. Dia diganggu oleh robot yang hilang kepala dan melarikan diri.

Rosaksa menanggap Gopal sebagai penakut dan mengambil kesempatan lagi untuk melumatkan BoBoiBoy, tetapi Gopal tampil untuk menjadi pengadang antaranya dan kek tingkat. Rosaksa memukul Gopal di bahagian pipi kanan dengan begitu kencang sehingga tercampak, namun Gopal sempat menukarkan dinding yang hendak dilanggarnya menjadi kek. Rosaksa hairan melihat Gopal dapat bertahan, Gopal mengajak Rosaksa memukul pipi kirinya. Rosaksa dengan geli hati menunaikan permintaannya itu, dan Gopal pun menukarkan tempat pelanggarannya menjadi agar-agar dan melantun kembali ke tempat kek tingkat. Dalam keadaan semakin kurang bermaya, Gopal mencabar Rosaksa dengan mengacukan tembakan ke arahnya. Rosaksa membalas dengan pancaran tenaga yang lebat, dan Qually sempat menolak Gopal ke tepi sebelum terkena.

Segala tindak-tanduk Gopal dan Qually yang tadi adalah untuk memperdaya Rosaksa untuk mengecas semula kuasa Gentar, maka Gentar meletus keluar dari lindungan kek tingkat, memakai Gauntlet Gentar yang terlebih cas dan tampil lebih bertenaga daripada dahulu. Gopal rebah melihat rancangannya berjaya, maka Gentar mengambil kesempatan untuk memerli Gopal sebelum melawan Rosaksa.

Gentar memulakan perlawanan dengan menukarkan Gauntletnya menjadi sebuah mecha gergasi yang digelar "MechaGentar" yang mengagumkan dan mencemburukan rakan-rakan seperjuangannya. Di dalam wahana kebal baharunya, Gentar menggertak Rosaksa dengan "amaran terakhir yang pertama." Maka Rosaksa pun mula menyerang, dan Gentar memandu MechaGentar untuk melakukan Tinju Gentar, Tumbukan Rusuk dan lain-lain pukulan ke atas lawannya sehingga dia jatuh. Rosaksa bangun dan melilit MechaGentar dengan sesungutnya, tetapi MechaGentar terlepas dan membalas dengan Tinju Roket Gentar yang cukup kuat sehingga mencampakkan lawannya.

Gentar sekali lagi menyeru agar Ochobot dilepaskan, dan sekali lagi Rosaksa ingkar. Maka MechaGentar bersambung kelahi dengan Tumbukan Uppercut, kemudian kedua-dua robot sambil berkejar-kejaran dari bangunan ke bangunan lalu bertumbuk-tumbukan sambil menjunam dari paras tinggi. Setelah mendarat, Rosaksa membaling sebuah kereta ke arah MechaGentar; MechaGentar sempat menepis tetapi termakan sesungut cakera pemotong Rosaksa, menyebabkan sebahagian muka mecha itu tertanggal.

Adu Du menyaksikan pertarungan antara dua robot gergasi dan hendak turut berlawan demi memelihara popularitinya, jadi Probe bertukar kepada mod Probey Jet dan mengangkut tuannya untuk menyerang Rosaksa dengan Tembakan Roketnya. Gentar terasa gemas kerana diganggu tetapi sempat menumbuk Rosaksa sehingga tercampak jauh. Rosaksa menggeram tidak adil kerana dua melawan satu dan membuka portal untuk melarikan diri. Gentar cuba mengejar tetapi portal sudah tertutup; mujur Adu Du dan Probe bersiap dengan Replikasi Teleportasi supaya mereka bersama Gentar boleh mengejar Rosaksa di ruang teleportasi, meninggalkan Gopal dan Qually di Machina.

BoBoiBoy Gentar dalam MechaGentar dan Adu Du dalam Probey Jet mengejar Rosaksa sepanjang ruang teleportasi dan melalui portal-portal yang dibuka oleh Rosaksa. Portal pertama membawa mereka ke Planet Kadruax di mana Rosaksa terus kelihatan melumatkan pokok-pokok menjadi sebatang denai kemusnahan. MechaGentar pergi mengejar Rosaksa, dipercepat oleh Tembakan Laser Pemusnah yang diserapnya dari belakang, tanpa sengaja terpijak ekor seekor Tumbosaur. Rosaksa berlari hingga terjun ke jurang dan membuka portal, dan kali ini MechaGentar sempat masuk sebelum tutup. Adu Du dan Probey Jet dikejar oleh Tumbosaur yang terpijak itu dan sempat melarikan diri melalui portal replikasi.

Adu Du dan Probey Jet tiba di Planet Windara dan tercampak di atas landasan Keretapillar di Kepaku Park. Di situ mereka terlihat MechaGentar melawan Rosaksa di atas langit sambil bergelut merebut Ochobot. Sekali lagi Rosaksa membuka portal dan terheret MechaGentar sekali. Adu Du dan Probe sempat membuka portal sebelum dilanggar oleh Keretapillar yang mendatang. Portal Rosaksa ketiga terbuka di Bumi, betul-betul di hadapan Tok Aba yang terlihat Ochobot terpasang dalam Rosaksa yang sedang bergelut dengan MechaGentar dalam keadaan terlontar. Adu Du dan Probe turut terlontar dalam trajektori yang sama dengan dua robot besar itu, malah Probe sempat memesan minuman daripada Tok Aba sebelum memasuki portal baharu.

Pertarungan Gentar merebut Ochobot daripada Rosaksa diteruskan di ruang teleportasi, di mana MechaGentar memukul dan menumbuk habis-habisan sementara anggotanya dipatahkan dan dimakan satu demi satu oleh Rosaksa. Dalam saat paling genting, BoBoiBoy Gentar keluar dari kokpit di dada MechaGentar dan menyeru Ochobot yang semakin lemah untuk terus melawan balik tawanan musuh. Apabila Rosaksa menolak pergi bangkai MechaGentar, Gentar melonjak ke atas Rosaksa dan berpaut kuat-kuat sehingga mereka bersama Adu Du dan Probe melalui portal kembali ke Planet Machina.

Sambil menjunam di langit Machina, Ochobot menyeru Gentar untuk bertindak cepat kerana Rosaksa mahu membuka portal lagi. Adu Du mencadangkan agar Gentar menyedut tenaga Rosaksa kerana dirinya ibarat bateri yang boleh dicas semula. Maka Gentar menerima cadangan itu lalu memukul Rosaksa dengan Gauntlet Gentar dan melakukan Sedutan Tenaga. Setelah senjatanya dicas penuh dan musuhnya sudah lemah, Gentar bertungkus-lumus mencabut Ochobot daripada ikatan dawai jasad Rosaksa. Setelah itu, Gentar menyusun semula Gauntletnya menjadi Tukul, menerima pancaran Tembakan Laser Pemusnah sebanyak-banyaknya daripada Probe dan melakukan Hentakan Tukul Gentar untuk menamatkan Rosaksa yang disifatkan "degil".

Rosaksa terhempas di atas muka bumi bandar, BoBoiBoy Gentar selamat mendarat di atas bangkainya dan bertukar kembali kepada BoBoiBoy normal dengan Ochobot dalam pangkuannya. Gopal dan Qually datang menjenguk, disusuli Adu Du dalam Probey Jet yang disambut oleh BoBoiBoy dengan isyarat ibu jari sebelum berlepas terus. Qually hairan Adu Du terus pergi tanpa bersalam, jadi Gopal menelah bahawa dia takut disoal tentang "jam ciplak" teleportasinya. Qually tertanya-tanya sama ada Adu Du baik atau jahat, jadi BoBoiBoy membalas dengan memintanya menilai sendiri. Adu Du bersalin dari Perisai Windara ke kemeja-T BuBaDiBaKo yang pernah dipakainya suatu ketika dahulu dan memandu Probey Jet melalui angkasa dengan sengihan di wajahnya.

Episod disudahi dengan satu babak di TAPOPS-B di mana PasuBot sedang terlena sambil membesarkan Pokok Oakuat, kemudian diterimanya panggilan kecemasan daripada Papa Zola yang mengadu kapal angkasanya telah diserang di Planet Baraju.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

Watak[]

Trivia[]

  • Kalimat yang Adu Du ucapan sebelum melawan Rosaksa dengan baju perisai dari Windara serupa dengan Usagi Tsukino dari siri Sailor Moon.

Galeri[]

Video[]