BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

Wira Dalam Bahaya merupakan episod keempat-belas dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod kedua dalam BoBoiBoy Galaxy Gentar. Ia dilepaskan di YouTube Monsta, Netflix dan Astro Ceria pada 28 Disember 2024, kemudian di RTV pada 27 Januari 2025.

Ringkasan[]

Setelah mendapat tahu bahawa isyarat kecemasan tersebut datang dari seseorang yang berkongsi sejarah silam dengan mereka, BoBoiBoy Gentar bersetuju untuk membantu menyelamatkan teman beliau daripada Rosaksa yang menakutkan itu. Namun BoBoiBoy Gentar menghadapi pergelutan peribadi yang menyebabkan situasi menjadi lebih rumit.

Plot[]

Adu Du menceritakan peristiwa yang menimpanya dan Probe kepada BoBoiBoy Gentar, Ochobot, Gopal dan Qually, di mana setelah memperoleh alat Mikrocop yang dicari-cari, Adu Du sendiri terjumpa sebuah peti besi besar yang menyimpan suatu khazanah dan terus membuka peti itu untuk mencurinya tanpa mengendahkan gesaan Probe untuk tidak bersikap tamak, maka keluarlah raksasa yang makan Probe. Gopal berasa menyampah dengan penerangan Adu Du dan mengambil keputusan untuk pulang dengan mengheret Gentar sekali.

Adu Du sayu merayu sekali lagi untuk dibantu kerana Probe satu-satunya teman yang ada padanya, maka Gentar pun tampil dan menawarkan pertolongan dengan mengingatkan bahawa BoBoiBoy dan Adu Du pernah bekerjasama dalam "Team BuBaDiBaKo," siap dengan lagu temanya. Adu Du menyanyi sekali sambil mencurahkan air mata, manakala Gopal yang mula-mula mendingin pun ikut menyanyi. Dengan itu, Adu Du kembali bersemangat dan melucutkan jubahnya, dan Gopal pun berpesan bahawa mereka sudi menolongnya untuk kali ini sahaja.

Gopal turut menyoal Adu Du tentang baju perisai yang dipakainya, maka Adu Du menipu bahawa dia memperoleh baju perisainya dari kedai pakaian terpakai. Adu Du pula menanya BoBoiBoy apa kuasa baharunya, maka Gentar pun memperkenalkan kuasanya dengan penuh ranggi seperti kemunculan sulungnya, membuat Adu Du teruja hingga lututnya bergetar-getar. Gopal lantas mengumpat lagi akan kelemahan Gentar tetapi dipesan Qually agar merahsiakan hal itu daripada Adu Du.

Secara tiba-tiba, si robot raksasa yang memakan Probe dan Jo pun sampai di bilik mereka berada. Gentar bersama Adu Du menyambut kedatangannya dengan seringai lebar, tetapi terus dilibas oleh raksasa yang sedang memburu mangsanya. Qually melontar Bom Minyak Masak untuk membuat raksasa tergelincir. Gentar tampil dan mengejek raksasa itu dan dibalas dengan lemparan peti besar yang sempat terelak. Qually dan lain-lain mengheret Gentar keluar dari bilik itu dan melarikan diri sepanjang koridor Kilang NuBot.

Gentar meronta-ronta mahu berlawan, tetapi Gopal enggan malah mengecamnya sebagai "BoBoiBoy Hampa." Adu Du pun hairan mengapa disebut nama itu, maka Gopal pun mengaku bahawa Gentar tidak mempunyai kuasa, membuat Adu Du melutut dalam kehampaan. Robot raksasa sudah menghampiri, maka Gopal dan Qually bersambung melarikan Gentar sementara Ochobot menggesa Adu Du untuk mengikutnya berlindung. Sebelum beredar, Adu Du melepaskan satu lagi panah plasma untuk melumpuhkan raksasa. Sambil berlari, Qually terjumpa laluan rahsia pada dinding dan menghalakan yang lain-lain untuk masuk, sementara raksasa bangun semula dan bersambung memburu.

Qually memimpin yang lain-lain melalui salur ventilasi kilang dengan cermat. Adu Du menggeram kerana tertipu akan kuasa Gentar, namun Gentar dengan angkuhnya memohon sabar kerana kuasanya akan keluar lama-kelamaan. Adu Du mengingatkan bahawa raksasa itu akan memakan Ochobot sama seperti Probe, malah ia akan memperoleh kuasa setiap robot baharu yang dimakannya. Ochobot risau kuasa teleportasinya akan diserap, maka Gentar menjamin kepada "adik bot" bahawa dia akan mengerjakan raksasa itu menjadi "Rosaksa" dan ketawa terbahak-bahak. Qually turut tergelak mendengar nama itu, manakala Gopal memendamkan rasa cemburu kerana tidak terfikir akan nama untuk raksasa itu.

Raksasa yang digelar Rosaksa itu menghampiri dengan kesan dentangan dari luar dinding, maka Gentar dengan candangnya menarik perhatian Rosaksa dengan paluan Tukul Gentarnya. Rosaksa memecah masuk ke dalam dinding, menyebabkan mereka semua berlari lagi sambil mengheret Gentar. Adu Du sekali lagi melengahkan Rosaksa dengan anak panah tetapi sudah kehabisan, maka Gentar bertindak dengan meminta Gopal memegang tangannya supaya dia boleh "bersandiwara" untuk membentuk imejnya sebagai wira. Qually melemparkan Bom Lada Hitam untuk mengaburi Rosaksa, sementara Adu Du menunjuk ke arah pintu ventilasi supaya mereka dapat melarikan diri. Adu Du berikhtiar untuk melaksanakan "Pelan B," dan Gentar pun menduga "B untuk BoBoiBoy," membuat semua orang sebal.

Sementara itu di dalam kapal MYS Kebenaran yang mendarat di Planet Volcania, anak-anak kapal mengajak Roktaroka untuk meneliti gambar lama yang disangka adalah dirinya berdampingan dengan Panglima Pyrapi. Roktaroka menafikan bahawa dirinya tersiar dalam gambar ini, membuat Papa Zola geram kerana enggan percaya. Roktaroka meminta anak kapal meneliti semula, jadi Ying pun akur bahawa mukanya serupa tetapi bentuk kepala tidak sama, dan Yaya pun meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat merisik tentang Pyrapi. Roktaroka meneliti semula gambar itu dan mengecam datuknya, Toktaroka. Fang meminta Roktaroka untuk membawa mereka berjumpa dengannya, tetapi Roktaroka berpesan bahawa kampungnya terletak di planet lain, iaitu Planet Baraju.

Adu Du memimpin BoBoiBoy Gentar, Gopal, Qually dan Ochobot ke bilik di mana letaknya peti besi yang pernah mengurung Rosaksa, malah bercadang agar Ochobot digunakan sebagai umpan untuk memerangkap Rosaksa ke dalam peti tersebut. Gentar pada mulanya membantah, tetapi Ochobot rela menawarkan diri demi menyelamatkan Probe apalagi dengan perlindungan Gentar, maka Gentar menyokong keputusan "adik robotnya."

Adu Du meminta untuk bersiap sedia mengumpan Rosaksa semula, dan perkataan "semula" itu membuat Gopal sangsi akan penerangan Adu Du. Ochobot memasang sistem CCTV yang memaparkan rakaman peristiwa dalam bilik, membuat Adu Du semakin gelisah. Dalam rakaman tersiarnya gerak-geri Adu Du membuka peti besi, maka pecahlah tembelang Adu Du yang terpaksa bercerita dengan jujur bahawa dia menemui Power Sphera di dalam peti tanpa menyangka ia telah bertukar menjadi raksasa. Terkaman raksasa menyebabkan graviti kilang dimatikan, jadi Adu Du dan Probe terkapai-kapai di udara. Adu Du menyuruh Probe memikul peti baju perisai yang dicuri dari Windara sementara mereka melarikan diri.

Gentar dan Gopal naik rimas terhadap kecuaian Adu Du sendiri yang menyebabkan musibah, jadi Adu Du mengaku tidak sedar bahawa Power Sphera itu berbahaya. Berpandukan data dalam sistem kilang, Ochobot menjelaskan bahawa CodeBot mengganas setelah dijangkiti virus, tetapi akhirnya dibendung dan dikurung dalam peti besi besar sementara kilang NuBot dikosongkan. Sambil ditengking oleh Gopal, Adu Du berundur ke panel CCTV dan tertekan butang untuk menukar paparan ke siaran langsung bilik, dan di situlah mereka menyedari bahawa Rosaksa, atau raksasa robot CodeBot sudah masuk menghendap.

Dengan lengan-lengan lenturnya Rosaksa menahan Gentar sambil mencekup Ochobot, namun Gentar dapat melepaskan diri dan lantas menyerang Rosaksa dengan Tukul Gentarnya, namun pukul-pukulannya langsung tidak berkesan dan dia pun dilibas ke tepi. Adu Du pun tampil dan menakutkan Rosaksa dengan loceng cawannya, dan Gentar pun mengambil kesempatan untuk menyerang semula, tetapi ditangkis oleh Tembakan Super Duper Pemusnah Rosaksa sampai tercampak ke dinding.

Rosaksa sudah hampir memakan "hidangan utamanya" Ochobot. Gentar meluru ke arah Rosaksa untuk cuba menghalangnya tetapi disepit lagi. Qually dan Gopal cuba menolong tetapi dihujani Roket Pemusnah; mujur Gopal sempat menukarkan roket menjadi jeli. Sungguhpun begitu, namun akhirnya Rosaksa menelan Ochobot di hadapan mata Gentar yang patah semangat; turut disaksikan oleh Gopal dan Qually yang tercengang. Setelah itu, Rosaksa mencampak Gentar dan menggunakan kuasa Ochobot untuk membuka portal ke tempat lain. Bangkai Ochobot yang tergantung di atas badan Rosaksa sempat mengucapkan selamat tinggal sebelum dilarikan. Gentar kemurungan kerana gagal menyelamatkan "adik botnya," malah dikecam oleh Adu Du kerana gagal menyelamatkan Probe.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

Watak[]

Trivia[]

Galeri[]

Video[]

Advertisement