BoBoiBoy Wiki
Register
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Daun VS Lanun merupakan episod kelima dalam musim pertama siri BoBoiBoy Galaxy. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 23 Disember 2016.

Ringkasan[]

Lanun Angkasa mengesan lokasi Ochobot dan MotoBot yang berada di Bumi dan mula melancarkan serangan.

Plot[]

Masih belum dicaj sebelumnya

Kapal angkasa Koko Ci hampir dicaj sepenuhnya.

MotoBot bertanya kepada Komander Koko Ci tentang keadaan kapal angkasa mereka. Koko Ci berkata bahawa enjin kapal angkasa hampir siap dan hampir dicaj sepenuhnya. MotoBot berasa gembira kerana mereka dapat kembali ke Stesen Angkasa TAPOPS tidak lama lagi. Koko Ci juga tidak sabar untuk memperkenalkan BoBoiBoy kepada anggota-anggota TAPOPS yang lain. MotoBot juga bertanya tentang misi untuk BoBoiBoy dalam masa terdekat, namun Koko Ci mengatakan bahawa biarlah mereka berehat sebelum berlepas ke Stesen Angkasa TAPOPS.

Mereka putus cangkuk lama aku

Kapten Separo sedang dalam perjalanan ke Planet Bumi.

Sementara itu di angkasa lepas, Konco Lanun memberitahu kepada Kapten Lanun bahawa mereka akan tiba di Planet Bumi tidak lama lagi. Kapten Lanun berpuas hati apabila cangkuk lamanya membantu untuk mencari lokasi BoBoiBoy di Bumi. Dia menyatakan ketidakpuashatiannya kepada BoBoiBoy yang menggagalkan rancangannya untuk mendapatkan Power Sphera. Lalu, dia mengarahkan anak-anak kapalnya untuk bergerak dengan lebih laju.

Kau kena tolong baiki jam aku ni Ochobot

BoBoiBoy meminta Ochobot untuk membaiki Jam Kuasanya.

Di Bumi, BoBoiBoy bertanya kepada Ochobot tentang keadaan Jam Kuasa miliknya yang seolah-olah rosak. Ochobot sendiri tidak pasti tentang keadaan tersebut. Ochobot cuma menyatakan bahawa perkara itu terjadi sejak BoBoiBoy menjalankan misi di Planet Gurunda. Gopal mencadangkan agar BoBoiBoy menukar jam baru, tetapi Ochobot marah terhadap Gopal kerana bercakap perkara yang tidak boleh dilakukan olehnya. BoBoiBoy menyuruh Ochobot memperbaiki jamnya kerana ia boleh mengganggu misinya yang akan datang. Yaya menyampuk dan berkata bahawa mereka ada. Ying pula berkata dengan kehebatannya, semua misi boleh selesai. Gopal yang menyampah dengan sikap Ying sengaja menyuruh Ying untuk mengambil BellBot dari Cattus. Ying membalas dengan berkata Cattus akan mengamuk. Gopal dan BoBoiBoy terus memerli, "kata hebat!".

Marah Tok Aba nanti

BoBoiBoy berkata kepada Gopal bahawa Tok Aba akan marah nanti.

Cattus datang ke kaki BoBoiBoy. BoBoiBoy perasan bahawa Cattus berasa lapar. Gopal menukarkan barang di kedai Tok Aba menjadi makanan kucing. Anehnya, Cattus tidak mahu makan makanan tersebut, membuatkan BoBoiBoy berasa hairan. Gopal merungut lalu memakan makanan kucing tersebut dengan alasan lapar dan membuatkan Ying geli dengan tingkah lakunya. Yaya cuba bertanya kepada BellBot tentang makanan yang dimakan Cattus, namun BellBot sendiri tidak tahu apa yang Cattus makan, kerana ia sentiasa menghadap ke belakang. Yaya merasakan bahawa Cattus pasti inginkan ikan segar. BoBoiBoy kemudian mengajak mereka semua ke jeti untuk mencari ikan segar. Sebelum bergerak, Gopal memarahi Cattus kerana terlalu cerewet, lalu Cattus terus menyerang Gopal.

Ikan dalam joran cangkuk

Papa Zola berjaya mendapat seekor lagi ikan dengan Mata Kail Kebenaran.

Di Jeti Pulau Rintis, kelihatan Pakcik Mat dan Papa Zola sedang memancing. Pak Cik Mat mengeluh kerana tiada ikan yang mahu memakan umpannya, namun Papa Zola membidasnya dengan mengatakan "jangan salahkan umpan jika mata kail yang bersalah". Kemudian, Papa Zola mendapat seekor lagi ikan dengan menggunakan "Mata Kail Kebenaran". Pak Cik Mat berasa marah dan tidak berpuas hati dengan Papa Zola kerana menggunakan mata kail alien. Papa Zola mengejeknya yang cemburu dengannya lalu mengambil gambar swafoto bersamanya.

Boleh tangkap sendiri la

Papa Zola menyuruh anak-anak muridnya untuk menangkap ikan sendiri.

Tiba-tiba, Papa Zola dipanggil oleh seseorang yang tidak asing lagi iaitu BoBoiBoy yang datang bersama Yaya, Ying dan Cattus. Papa Zola gembira melihat anak muridnya yang sudah meningkat menjadi remaja. Kemudian, Gopal datang dalam keadaan berbalut akibat diserang Cattus tadi. Papa Zola berasa kasihan terhadap Cattus yang lapar. Yaya meminta Papa Zola untuk memberikan ikan segar kepada Cattus, namun Papa Zola menyuruh mereka untuk menangkap sendiri seraya memberikan joran kepada Cattus dan menyatakan bahawa dia boleh menyara diri jika mengajar Cattus untuk menangkap ikan. Cattus tanpa membuang masa berlari ke arah bakul ikan Papa Zola dan menolak bakul tersebut sehingga ikan-ikan di dalam bakul jatuh ke dalam sungai semula.

Cattus habis makan bakul

Cattus makan kayu rotan.

Mereka terkejut melihat Cattus yang memakan bakul, lalu Yaya berpendapat bahawa Cattus suka makan kayu, tetapi mungkin hanya kayu rotan. Papa Zola kecewa kerana usahanya untuk menangkap ikan dari subuh hanya sia-sia. Cattus terus pergi ke Papa Zola dan mula bermanja dengannya. Papa Zola kemudian menjadikan Cattus sebagai kucing angkatnya. BoBoiBoy tidak setuju kerana Cattus adalah kucing kepunyaan mereka. Papa Zola menggunakan cangkuk lama tadi untuk bermain dengan Cattus. BoBoiBoy kemudian bertanya dari mana Papa Zola mendapat cangkuk tersebut, lalu Papa Zola menjawab dia menjumpainya berhampiran dengan kedai datuknya. Gopal mula berasa takut kerana mengesyaki bahawa cangkuk itu merupakan kepunyaan Kapten Lanun.

Cangkuk Besi Baru

Kapten Separo tiba dengan cangkuk besi baru.

Papa Zola tidak mahu terima bahawa cangkuk itu kepunyaan orang lain dan menyatakan bahawa ia adalah harta kepunyaannya. Tiba-tiba, kapal angkasa Kapten Lanun tiba di atas jeti. Pak Cik Mat berasa takut dan melarikan diri dari situ. Dari atas kapal, Kapten Separo dengan suara yang garang bertanya siapa yang mengambil cangkuk lamanya. Papa Zola terus memberi cangkuk tersebut kepada Gopal dan berkata anak muridnya yang ambil lalu lari untuk bersembunyi. Pada masa yang sama, MotoBot terlihat amaran tentang isyarat kapal angkasa Kapten Lanun yang tiba-tiba muncul dan segera memberitahunya kepada Cici Ko. Cici Ko yang terkejut terus memberitahu kepada Ochobot dan Tok Aba dan berkata mereka perlu bersembunyi. Tok Aba menyuruh mereka mengikutnya kerana dia tahu tempat yang paling selamat.

Konco Lanun panggil kapten

Konco Lanun memaklumkan kepada Kapten Separo tentang keberadaan MotoBot dan Ochobot.

BoBoiBoy bertanya pada Kapten Separo apa lagi yang dia mahu, dan Kapten Separo menempelak BoBoiBoy disebabkan soalannya. Dia bertanya tentang keberadaan Power Sphera MotoBot dan Ochobot dengan nada marah. Kemudian, Konco Lanun datang memberitahu Kapten Separo bahawa radar mengesan isyarat MotoBot dan Ochobot di depan lagi dan di situ hanya terdapat BellBot. Mendengar maklumat tersebut, Kapten Separo mengarahkan konco-konconya untuk mendapatkan BellBot sementara dia pergi mendapatkan MotoBot dan Ochobot. Lalu, konco-konconya mula turun ke jeti untuk memulakan serangan. Kapal angkasa Kapten Separo dilihat sedang bergerak ke lokasi Ochobot dan MotoBot.

Yaya nak tolong BBB

Yaya terbang mengikut BoBoiBoy untuk membantunya.

BoBoiBoy menyatakan bahawa mereka perlu menghentikan tindakan Kapten Lanun, namun Gopal mengingatkan bahawa lanun-lanun robot mula menyerang. BoBoiBoy menyuruh kawan-kawannya untuk melindungi BellBot sementara dia akan pergi berlawan dengan Kapten Separo. BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Angin dan terus bergerak dari situ. Yaya mengikut BoBoiBoy kerana berasa dia perlu membantu BoBoiBoy. Gopal memanggil mereka untuk menunggunya, namun Konco Lanun telah mula menyerang mereka. Ying segera menggunakan Kuasa Slow-Mo untuk menolong Gopal dan Papa Zola daripada diserang musuh dengan mengalihkan mereka ke tempat selamat.

Lanun Angkasa nak serang BBB

BoBoiBoy dan Yaya berusaha menghalang Kapten Separo daripada mendapatkan Power Sphera.

Sementara itu, Kapten Separo berasa optimis untuk mendapatkan Power Sphera tersebut. Tiba-tiba, kapal angkasanya diserang oleh BoBoiBoy dan Yaya. Mereka menyerang menggunakan kuasa Bebola Angin dan Tumbukan Padu secara bertubi-tubi. Kapten Separo segera mengarahkan konco-konconya untuk menyerang balas, lalu beberapa Konco Lanun melepaskan tembakan-tembakan meriam ke arah BoBoiBoy dan Yaya. Tetapi mereka dapat mengelak setiap tembakan. Yaya berkata kepada BoBoiBoy bahawa mereka perlu mendarat di atas kapal angkasa tersebut. Mereka berdua terus menuju ke kapal angkasa tersebut sambil mengelak tembakan-tembakan itu.

BBB Tanah dan Yaya darat di kapal angkasa

BoBoiBoy Tanah dan Yaya selamat mendarat di kapal angkasa Kapten Separo.

Kapten Separo yang tidak berpuas hati mengambil alih meriam dan menembak ke arah Yaya. BoBoiBoy yang melihat perkara itu terus bertukar menjadi BoBoiBoy Tanah dan menggunakan kuasa Bebola Pelindung untuk melindungi Yaya. Mereka berdua selamat mendarat di atas kapal angkasa tersebut. BoBoiBoy bertanyakan keadaan Yaya dan Yaya berkata dia dalam keadaan baik seraya berterima kasih kepadanya. Kemudian, BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Petir dan menyerang Kapten Separo.

Aku akan tukar korang semua jadi sarapan aku pagi ni

Gopal berhasrat untuk menukarkan Konco-konco Lanun menjadi sarapannya.

Pada masa yang sama, di jeti, Gopal berjalan dengan muka mengejek di sekeliling Konco Lanun yang bergerak amat perlahan dalam lingkungan kuasa Ying. Ying memarahi Gopal kerana tidak menyerang mereka. Papa Zola yang berehat di atas kerusi rehat dan meminum air kelapa, berkata bahawa mereka tidak perlu terburu-buru. Gopal mengatakan kepada Konco Lanun bahawa dia akan menukarkan mereka kepada sarapannya kerana cuba mencari fasal dengannya. Papa Zola yang mendengar kata-kata Gopal memesan roti canai telur tampal, namun Gopal menjawab dia terasa ingin makan nasi lemak. Papa Zola bersetuju lalu menyuruh Gopal menukarkannya menjadi sambal sotong dan sambal kerang.

Tukaran Sebakul Ikan

Konco-konco Lanun telah ditukarkan menjadi bakul-bakul ikan oleh Gopal.

Ketika Gopal baru sahaja ingin beraksi, Ying telah kehabisan tenaga dan membuatkan Konco-konco Lanun mendarat di atas jeti tersebut. Ying memarahi Gopal kerana banyak cakap dan tidak menyerang tadi. BellBot menyuruh Cattus untuk menolong mereka, tetapi Cattus tidak berminat untuk membantu. Teringatkan Cattus, Gopal mendapat idea untuk menukarkan Konco-konco Lanun itu menjadi bakul-bakul ikan. Cattus lantas terliur dengan bakul-bakul tersebut dan bertukar menjadi gergasi untuk melatah mereka. Sementara itu, Tok Aba menyorok bersama Koko Ci, MotoBot dan Ochobot di dalam meja kedainya dan membuatkan mereka kecewa dengan tempat persembunyian mereka. Power-Power Sphera mula takut.

Hempasan graviti kapal angkasa

Yaya menghempas Konco-konco Lanun ke atas kapal angkasa Kapten Separo.

Kapal angkasa Kapten Separo tiba di atas Taman Pulau Rintis dan kelihatan BoBoiBoy Petir sedang berlawan dengan Kapten Separo di kapal. Yaya menggunakan kuasa Hempasan Graviti untuk mengangkat Konco-konco Lanun dam menghempaskan mereka ke atas kapal angkasa Kapten Separo, mengakibatkan satu gegaran di kapal. Selepas itu, BoBoiBoy mengatakan kepada Kapten Separo bahawa dia sudah kalah. Kemudian, terdengar jeritan kegembiraan dari bawah oleh Ying dan Gopal bahawa mereka sudah menang. Papa Zola menyuruh alien durjana itu balik sahaja. Koko Ci yang yakin seraya lega dengan kemenangan tersebut menyuruh semua Power-Power Sphera keluar.

Kapten Separo menggunakan HookaBot

Kapten Separo menggunakan Power Sphera HookaBot.

Setelah Kapten Separo mendapati kesemua Power Sphera sudah memunculkan diri di hadapan kedai Tok Aba, dia memanggil HookaBot dan ia dipasang di cangkuknya. BoBoiBoy menjadi terkejut apabila melihat Kapten Separo juga mempunyai Power Sphera. Kapten Separo mula melancarkan serangan dengan Cangkuk Penghancur. Mereka berdua cuba mengelak, namun Yaya tidak berjaya mengelak dari serangan tersebut. Cangkuk itu menyerang Yaya lagi, lalu BoBoiBoy cuba melindungi Yaya dan ingin bertukar. Namun, Jam Kuasanya seolah-olah rosak lagi dan tidak dapat digunakan.

BoBoiBoy Daun

Kemunculan pertama BoBoiBoy Daun.

Hal ini menyebabkan BoBoiBoy berjaya diserang oleh Kapten Separo dengan HookaBot dan menyebabkan BoBoiBoy terjatuh ke atas pokok. Kapten Separo berpuas hati dengan serangan itu lalu turun ke bawah dan mengugut mereka untuk memberikan Power Sphera, atau mereka akan menerima nasib yang sama seperti BoBoiBoy. Papa Zola mencabarnya untuk kalahkan mereka dahulu. Melihat dia datang dekat, Papa Zola bersembunyi di belakang dan menolak Ying dan Gopal ke hadapan. Kapten Separo terus menukar senjata HookaBot dan ingin menyerang mereka. Tiba-tiba, suara BoBoiBoy kedengaran dari pokok tersebut, yang memperkenalkan dirinya sebagai BoBoiBoy Daun.

Saya bukannya anak pakcik

BoBoiBoy Daun menjadi lurus bendul kerana kepalanya terhantuk.

Kapten Separo berasa marah dan menjerit "jagalah kau" namun BoBoiBoy Daun membalas dengan jawapan yang lurus bendul. Semua berasa aneh dengan jawapan BoBoiBoy. BoBoiBoy sempat menunjukkan kepalanya yang benjol selepas terjatuh tadi, kemudian meminta Kapten Separo agar kembali ke pangkal jalan. Kapten Separo berasa amat marah dengan jawapannya. Tanpa berfikir panjang, BoBoiBoy menyerang dengan kuasa Lontaran Daun menyebabkan Kapten Separo rebah dan bertanya tentang daun tersebut. BoBoiBoy Daun memberitahu bahawa itu adalah daun kebas dan kejang. Kedengaran Papa Zola dan Gopal mengiyakan sahaja kata-katanya, rupa-rupanya semua di situ juga terkena daun tersebut.

Gopal dan Papa pun jadi mangsa

Gopal dan Papa Zola turut terkena daun kebas dan kejang.

BoBoiBoy berasa serba salah melihat mereka terkena daun tersebut. Kemudian, Kapten Separo menggunakan Cangkuk Penangkap untuk menangkap ketiga-tiga Power Sphera. Yaya cuba menghalang namun ditepis oleh Kapten Separo. BoBoiBoy Daun kemudian membaling Daun Keladi Gatal ke arah Kapten Separo lalu menyebabkan ketiaknya gatal. Dalam keadaan terdesak, Kapten Separo menggunakan meriam untuk menghapuskan BoBoiBoy, namun serangan itu berjaya dihalang dengan pusaran daun dan daun mengkuang pelindung. BoBoiBoy Daun seolah-olah mengejek Kapten Separo apabila dia tidak terkena langsung tembakan tersebut.

A, apa ni

Kapten Separo diikat jadi "ketupat palas".

Kapten Separo seolah-olah tidak percaya apabila tembakannya tiada kesan kerana dia tembak pada jarak dekat. Lalu BoBoiBoy Daun terus menyerang dengan Balutan Daun Anyaman, menyebabkan Kapten Separo diikat dan terperangkap dalam 'ketupat' maka menamatkan pertarungan mereka. Kapten Separo merayu-rayu untuk dilepaskan, tetapi dia dibidas oleh Koko Ci. Tetapi rupanya, dia meminta untuk dilonggarkan pengikat kerana berasa gatal pada ketiak.

Kapten Separo diikat bersama mangsa-mangsa konco lanun

Kapten Separo diikat di akhir pertarungan.

Yaya bertanya kepada BoBoiBoy tentang kuasa barunya. BoBoiBoy juga berasa pelik bagaimana kuasa baru itu boleh muncul kerana pada mulanya jamnya selalu rosak. Kemudian, Ochobot menerangkan bahawa Jam Kuasanya tidak rosak, tetapi ia sebenarnya sedang menyesuaikan diri dengan kuasa baru. Ochobot juga memberitahu bahawa BoBoiBoy mendapat kuasa baru itu dari Planet Gurunda. BoBoiBoy berkata bahawa tidak sia-sia mereka pergi ke Planet Gurunda. Tiba-tiba, Cattus berasa lapar lagi, membuatkan Gopal berasa tidak puas hati terhadap Cattus yang asyik lapar. Cattus berasa marah dan bertukar menjadi raksasa lalu menyerang Gopal.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

  • Babak permulaan iaitu ketika Cici Ko memberitahu MotoBot bahawa kapal angkasa hampir siap dibaiki sepenuhnya tidak ditunjukkan dalam komik.
  • Dalam versi komik, Cattus berasa marah setelah Gopal memanggilnya "cerewet" dan berubah menjadi gergasi lalu mencakar-cakar Gopal, namun dalam siri hanya ditunjukkan Cattus terus mencakar-cakar Gopal.
  • Dalam versi komik, Pakcik Mat ditunjukkan tidak memakai topinya ketika berada di Jeti Pulau Rintis.
  • Dalam versi komik, Pakcik Mat tidak terlihat berswafoto dengan Papa Zola dan ikannya.
  • Dalam versi komik, HookaBot berwarna biru-kelabu manakala dalam siri HookaBot berwarna kelabu.
  • Dalam versi komik, selepas HookaBot dipasang di cangkuk Kapten Separo, dia menggunakannya untuk menyerang BoBoiBoy terlebih dahulu manakala dalam siri Kapten Separo menyerang Yaya terlebih dahulu.
  • Dalam versi komik, Yaya tidak terkena daun kebas dan kejang yang dilontar oleh BoBoiBoy Daun dan ingin membantu melepaskan Ochobot dan MotoBot yang ditangkap tetapi dia diselar oleh Kapten Separo ke pokok dengan menggunakan HookaBot. Babak ini tidak ditunjukkan dalam siri.
  • Dalam versi komik, setelah BoBoiBoy Daun menggunakan Balutan Daun Anyaman terhadap Kapten Separo, terdapat empat daun tenun yang melekat pada tanah dan menahan Kapten Separo dibungkus dalam kedudukan berdiri.
  • Dalam versi komik, BoBoiBoy Daun menggunakan Libasan Lalang untuk memisahkan HookaBot dari Kapten Separo namun tidak ditunjukkan dalam siri.

Watak[]

Trivia[]

  • Episod ini menandakan kemunculan sulung BoBoiBoy Daun. Namun, dia secara teknikalnya tidak dikira sebagai elemen baru BoBoiBoy kerana BoBoiBoy Duri, bentuk tahap keduanya telahpun muncul dalam BoBoiBoy: The Movie. Tambahan pula, maklumat tentang kuasa BoBoiBoy yang ditunjukkan oleh Lanun Angkasa dalam Musim 1, Episod 1 mendedahkan bahawa dia telahpun mempunyai ketujuh-tujuh kuasa elementalnya.
  • Episod ini mendedahkan bahawa Cattus suka makan kayu rotan seperti bakul.
  • Nama Kapten Lanun didedahkan dalam episod ini iaitu "Kapten Separo". Dia juga didedahkan mempunyai Power Sphera bernama HookaBot.
  • Antara kiasan yang ditunjukkan dalam episod ini ialah:
    • Pepatah Papa Zola tentang mengajar Cattus memancing sendiri adalah serupa dengan pepatah Cina purba: "Berilah saya ikan dan saya makan selama sehari. Ajar saya untuk memancing dan saya makan untuk seumur hidup."
    • Babak Papa Zola mengangkat Cattus ke udara menyerupai babak ikonik dalam The Lion King.
  • Terdapat beberapa kesilapan dalam episod ini, iaitu:
    • Apabila Cattus melihat bakul ikan Papa Zola, BellBot tidak kelihatan di sekitar lehernya.
    • Sebelum Ying mengalihkan Papa Zola untuk menyelamatkannya, kelihatan Cattus masih berada di bahu kirinya. Tetapi selepas Papa dialihkan, Cattus hilang di bahunya.
  • Episod ini awalnya bertajuk "BoBoiBoy Daun VS Lanun". Ia dipendekkan menjadi "Daun VS Lanun" selepas musim pertama berakhir.

Galeri[]

Kategori utama: Gambar Daun VS Lanun

Video[]

Advertisement