BoBoiBoy Wiki
Register
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


MotoBot! merupakan episod kedua dalam musim pertama siri BoBoiBoy Galaxy. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 2 Disember 2016.

Ringkasan[]

Adu Du telah melepaskan gas tidur ke dalam kapal angkasa Koko Ci dan membuatkan Koko Ci dan yang lain tertidur. Keesokan pagi, Ochobot melaporkan kepada Koko Ci bahawa MotoBot telah diculik dan BoBoiBoy berlawan dengan Adu Du dan Probe untuk menyelamatkannya.

Plot[]

Kelibat watak jahat lama

Ketibaan dua musuh lama.

Suasana kelihatan tenang di sebuah lorong di Pulau Rintis, sehingga munculnya kelibat watak yang tidak asing lagi bagi BoBoiBoy dan rakan-rakan. Di kapal angkasa Koko Ci, MotoBot bertanya bila kapal ini akan siap dibaiki, lalu Koko Ci menjawab dalam sehari dua lagi. MotoBot terkejut dan mula risau akan kehadiran pemburu Power Sphera yang lain. Koko Ci berpesan bahawa dia tidak perlu risau kerana mereka di bawah perlindungan BoBoiBoy.

Selfie dulu

Gopal berswafoto bersama BoBoiBoy Angin.

Di kedai Tok Aba, BoBoiBoy menerima banyak arahan yang berbeza daripada Tok Aba semasa membantunya berniaga di situ. Lalu, untuk memudahkan kerja, BoBoiBoy berpecah kepada tiga lalu mula membahagikan tugas. Seperti biasa BoBoiBoy Tanah berperanan sebagai ketua. Semasa BoBoiBoy Angin dalam perjalanan menghantar air kepada Koko Ci, dia terserempak dengan Gopal yang sedang berniaga di depan kapal angkasa Koko Ci. Gopal teruja menunjukkan wangnya yang begitu banyak lalu berswafoto bersama BoBoiBoy Angin. BoBoiBoy tertarik dengan gambar tersebut, namun dia terkejut apabila Gopal memberitahu bahawa dia perlu membayar RM30 satu, kononnya harga kawan-kawan. BoBoiBoy menganggap itu tidak berbaloi dan meneruskan perjalanannya.

Gas tidur di situ

Adu Du melepaskan gas tidur.

Watak jahat tersebut telah tiba di belakang kapal angkasa Koko Ci dan melepaskan gas tidur ke situ dan juga kedai Tok Aba. Sementara itu, di dalam kapal angkasa Koko Ci, MotoBot menawarkan diri untuk menghasilkan kapal angkasa baharu dengan menggunakan kuasanya, namun Koko Ci berkata kepada MotoBot tidak perlu membazir tenaganya. Kemudian, BoBoiBoy Angin tiba dan memberikan air "Special Ice Chocolate Tok Aba" kepada Koko Ci. Koko Ci bertanya air apakah itu, namun Gopal menyampuk menerangkan air tersebut dan mengambil air tersebut lalu meminumnya sehingga habis. BoBoiBoy Angin berasa marah terhadap Gopal dan Gopal meletakkan semula cawan kosong ke tangan Koko Ci.

Adu Du tertidur sebab hidu gas

Adu Du tertidur selepas terhidu gas tidur.

Tiba-tiba, gas tidur telah masuk ke dalam kapal angkasa lalu menyebabkan BoBoiBoy Angin, Gopal dan Koko Ci tertidur. Gas itu juga telah tersebar ke kedai Tok Aba, menyebabkan dua lagi BoBoiBoy tertidur dan ketiga-tiganya bercantum semula. Ochobot dan Tok Aba sempat melarikan diri untuk berlindung dari gas itu. Adu Du dan Probe mula menghampiri MotoBot. MotoBot bertanya siapa mereka, lalu Adu Du membuka topeng dan memperkenalkan diri, tetapi terasa mengantuk akibat terhidu gas tidur lalu dia sendiri juga tertidur. Probe terkejut lalu cuba mengejutkan Adu Du. MotoBot cuba melarikan diri namun sempat ditangkap oleh Probe.

Keesokan paginya, Tok Aba mengejutkan BoBoiBoy yang tertidur. Ochobot pula mengejutkan Gopal dan Koko Ci yang berada di dalam kapal angkasa. Koko Ci tersedar, lalu menanya apa yang berlaku. Gopal berasa aneh mengapa bantal peluknya boleh bercakap. Selepas mengetahui ia adalah Koko Ci, dia terus melempar Koko Ci secara tidak sengaja akibat terkejut. Koko Ci meminta bantuan MotoBot, namun Ochobot memberitahu bahawa MotoBot telah diculik dan mereka diserang pada malam sebelumnya; Ochobot melihat MotoBot diangkut oleh sebuah kapal angkasa, kemudian terus berlepas meninggalkan Bumi.

MotoBot kena culik

Tok Aba dan Ochobot menyaksikan penculikan MotoBot.

Selepas mendengar berita tersebut, Koko Ci segera bergegas ke pusat kawalan kapalnya untuk mengesan koordinat MotoBot. BoBoiBoy bertanya dapatkah mereka mengesan MotoBot, lalu disambut oleh Koko Ci yang mengatakan bahawa semua Power Sphera yang diselamatkannya mempunyai alat pengesan. Dengan alat tersebut, Koko Ci boleh mengesan koordinat terkini MotoBot dengan kadar segera dan kemudian dia menjumpai lokasinya. Koko Ci berkata bahawa MotoBot telah dibawa ke Sektor G-14, iaitu sebuah planet stesen minyak yang terletak 159 juta tahun cahaya dari Bumi. BoBoiBoy dan Gopal sempat mengeluh kerana jarak planet tersebut amat jauh.

Ops Kabur Samar Samar

Koko Ci ingin menjalankan Ops Kabur Samar Samar.

Dengan semangat yang berkobar-kobar, Ochobot menyuruh Koko Ci untuk menghidupkan kapal angkasanya, namun kapal angkasanya masih belum siap diperbaiki. Oleh itu, Koko Ci mencadangkan agar mereka menggunakan Kuasa Teleportasi milik Ochobot, untuk sampai ke planet tersebut dengan cepat. Tetapi lain pula masalahnya apabila BoBoiBoy menanya bahawa kapal angkasa tersebut sedang bergerak, jadi bagaimana caranya mereka sampai tepat ke kapal angkasa penculik.

Bagaimanapun, Koko Ci dapat memikitkan satu jalan penyelesaian yang berkesan dan menyuruh mereka bersedia untuk memulakan "Ops Kabur Samar Samar", iaitu BoBoiBoy dan Gopal perlu menyamar sebagai alien apabila tiba di planet tersebut. Pada mulanya, BoBoiBoy dan Gopal mencadangkan agar mereka teleport ke sana dan berlawan terus dengan penculik MotoBot, tetapi Koko Ci menyergah agar tidak terburu-buru kerana kemungkinan penculik tersebut adalah pemburu Power Sphera yang berbahaya.

Dalam masa yang sama, Adu Du sedang berangan dalam mimpinya dan berkata bahawa dia adalah pemburu Power Sphera lagenda, diikuti dengan tepukan tangan oleh alien-alien lain yang kemudian tepukan mereka sampai ke muka Adu Du. Setelah tersedar, rupanya dia ditampar oleh Probe yang bertujuan untuk membangunkannya daripada mimpi tersebut. Setelah rasa sakitnya hilang, dia kehairanan apabila melihat MotoBot terikat di hadapannya. Tanyanya lagi, bukankah MotoBot telah terlepas dan mereka tertidur pada malam sebelumnya. Probe menjelaskan bahawa dia adalah robot, jadi tidak akan tertidur dengan bau gas.

MotoBot di tangan Adu Du Probe

Adu Du gembira MotoBot berada di tangan mereka.

Adu Du bangga dan berpuas hati apabila mendapat tahu bahawa Probe yang telah menangkap MotoBot lalu memujinya. MotoBot meminta agar dia dilepaskan, namun rayuannya tidak diendahkan oleh Adu Du. Tiba-tiba siren di kapal angkasanya berbunyi, menunjukkan bahawa kapal angkasanya hampir kehabisan tenaga. Oleh itu, Adu Du mengarahkan Komputer untuk mencari tempat pengisian tenaga yang terdekat dan mendarat di sana. Sementara itu, di tempat pengisian tenaga tersebut, Koko Ci dan Ochobot telah sampai ke Sektor G-14 bersama Gopal dan BoBoiBoy.

Mana ada alien mop macam ni

Gopal mengeluh tentang ketidakwujudan alien rupa seperti mereka.

Gopal dan BoBoiBoy yang menyamar mengeluh kerana tidak ada alien yang berupakan mop seperti yang dipakai oleh mereka. Tetapi Koko Ci menyuruh agar jangan banyak cakap dan meminta mereka mengikutnya. BoBoiBoy dan Gopal mengeluh, lalu berjalan mengikut Koko Ci. Tiba-tiba, Ochobot melihat sebuah objek bercahaya menuju ke tempat mereka berada lalu memberitahu kepada Koko Ci. Koko Ci dengan segera menyuruh mereka memasuki ke dalam kedai stesen minyak. Gopal dan BoBoiBoy berperanan sebagai jurujual di kaunter, Koko Ci sebagai tukang cuci, manakala Ochobot pula menyamar sebagai mainan.

Alien mop

Alien Mop tiba di kedai runcit Sektor G-14.

Muncul dari ambang pintu kedai, rupanya alien tersebut mempunyai rupa yang sama dengan penyamaran yang dikenakan oleh Gopal dan BoBoiBoy. Koko Ci yang melihat Alien Mop tersebut memasuki ke dalam kedai mendapati isyarat MotoBot tidak ada bersama mereka. Alien Mop yang serba merah mendekati ke kaunter dan bertanya ubat gigi berada di mana kepada BoBoiBoy dan Gopal dalam bahasa asing. Dalam keadaan yang gelabah dan tidak memahami apa yang dikatakan oleh Alien Mop itu, BoBoBoy dan Gopal terdiam seketika sebelum Gopal secara tidak sengaja bersuara sambil tangannya menunjukkan ke arah sebuah rak.

Alien Mop itu keharainan, seakan-akan antara memahami dan tidak memahami jawapan daripada Gopal. Untuk mendapatkan kepastian, Alien Mop bertanya lagi dalam bahasanya ["Oh, dekat rak sebelah sana tu ke?"], lalu mengucapkan terima kasih dan beredar dari situ. BoBoiBoy sempat bertanya kepada Gopal bagaimana dia dapat memahami bahasa Alien Mop itu. Tiba-tiba, sebuah kapal angkasa mendarat di pekarangan kedai tersebut, mengalih perhatian mereka dan pada masa yang sama alat pengesan Koko Ci menunjukkan bahawa isyarat MotoBot yang berasal dari dalam kapal angkasa itu.

Adu Du Probe MotoBot

Adu Du dan Probe tiba bersama MotoBot yang diculik.

Kapal angkasa tersebut membawa empunya dan penculik MotoBot turun. Koko Ci, BoBoiBoy, dan Gopal yang melihat, mengetahui bahawa identiti penculik MotoBot adalah musuh lama mereka yang tidak asing lagi. BoBoiBoy terus mengajak Gopal untuk mengambil tindakan, tetapi Gopal mengambil kesempatan itu untuk berurus niaga dengan Alien Mop tersebut. Dalam keadaan marah, BoBoiBoy menarik paksa Gopal keluar dari kedai lalu berhadapan dengan Adu Du.

BoBoiBoy dalam penyamarannya menyahut nama Adu Du. Adu Du menyambut dalam kehairanan apabila melihat 'alien' tersebut mengenalinya, lalu dicelah oleh Probe tentang kepopularitian bosnya. Gopal terus menyambut persoalan Adu Du bahawa siapa yang tidak mengenalinya sebagai Pemburu Power Sphera yang paling gagal, sehingga dia dimasukkan ke dalam wanted list. Adu Du gembira apabila mendapat tahu dirinya telah disenaraikan, tetapi disergah oleh Gopal bahawa nilai bayarannya hanyalah RM1.00.

Pada masa yang sama, Koko Ci mula mendekati MotoBot dari belakang kapal sedikit demi sedikit sementara tumpuan Adu Du dan Probe diganggu oleh BoBoiBoy dan Gopal. BoBoiBoy yang berang meminta Adu Du untuk mengembalikan MotoBot semula tetapi BoBoiBoy tiba-tiba ditarik oleh Alien Mop yang menyangkanya sebagai rakannya dan mengajaknya pulang. BoBoiBoy meminta untuk dilepaskan dan memanggil Gopal untuk meminta bantuannya, seraya membuatkan Adu Du terkejut mendengar nama Gopal. Gopal dengan kadar segera menolong rakan karibnya itu, dan aksi tarik-menarik antara Alien Mop dengan Gopal pun berlaku sehingga baldi penyamaran BoBoiBoy terlepas dari kepalanya dan mendedahkan identiti mereka.

Main tarik tarik jom

Babak tarik-menarik antara Gopal dan Alien Mop.

Alien Mop itu terkejut dan pengsan, lalu dia disambut dan dibawa oleh dua rakannya ke dalam bas dan beredar dari stesen minyak. Setelah penyamaran BoBoiBoy dan Gopal terbongkar, Adu Du digertak lagi untuk memulangkan MotoBot, tetapi Adu Du tidak mengendahkannya lalu menyuruh Probe untuk menghalang BoBoiBoy dan Gopal daripada mengambil MotoBot, tetapi malangnya MotoBot telahpun dilepaskan oleh Koko Ci yang menunggangnya untuk melarikan diri. Melihat perkara itu, Adu Du segera mengarahkan Probe untuk mengejar mereka lalu Probe bertukar mod kepada Kereta Probe dan memecut ke hadapan. BoBoiBoy turut bertukar menjadi BoBoiBoy Petir lalu memecut untuk mengejar oleh Adu Du dan Probe diikuti dengan Gopal.

Adu Du dan Probe terus mengejar Koko Ci untuk mendapatkan MotoBot semula, tetapi dia cuba dihentikan oleh BoBoiBoy menggunakan Pedang Petir. Adu Du menyuruh Probe untuk pusing dan melepaskan beberapa das tembakan peluru. MotoBot terhenti apabila menyedari BoBoiBoy diserang. Tetapi, rupa-rupanya BoBoiBoy telah bertukar menjadi BoBoiBoy Tanah yang berlindung dengan kuasa tanahnya. Kelihatan Gopal baru sampai dalam kepenatan, BoBoiBoy Tanah kemudian melancarkan Cengkaman Tanah dengan mengeluarkan sepasang tangan tanah gergasi dari dalam tanah dan cuba mencengkam Adu Du dan Probe. Adu Du panik lantas menyuruh Probe bertukar, dan akhirnya berjaya melepaskan diri setelah bertukar menjadi Mecha Probe.

Cengkaman tanah tangan besar

Adu Du dan Probe cuba dicengkam oleh cengkaman tanah.

Melalui Mecha Probe, Adu Du melancarkan dua peluru berpandu ke arah BoBoiBoy dan Gopal. BoBoiBoy dengan pantas berubah menjadi BoBoiBoy Angin dan membalikkan peluru itu dengan Tolakan Angin, menghasilkan sebuah letupan api. Namun, Mecha Probe dapat keluar dari letupan itu dan mengejar mereka. BoBoiBoy menyuruh Gopal untuk melarikan diri, membuatkan Gopal mengeluh kerana dia baru sahaja sampai ke situ, apapun mereka tetap melarikan diri.

Baru dapat kenderaan

BoBoiBoy dan Gopal mendapat kuasa kenderaan dari MotoBot.

Koko Ci memanggil MotoBot untuk menolong BoBoiBoy dan Gopal lalu mengikut mereka dari belakang Mecha Probe. Mecha Probe melepaskan tembakan laser ke arah sasarannya, BoBoiBoy dan Gopal. MotoBot memecut selaju mungkin, lalu melepaskan Kuasa Pemberian Kenderaan kepada BoBoiBoy dan Gopal. BoBoiBoy memperoleh motor yang serba jingga dan Gopal mendapat jip yang serba hijau. Adu Du menjadi marah lalu melancarkan peluru-peluru berpandu ke arah Koko Ci dan MotoBot. Gopal yang terkejut melihat perkara itu segera melancarkan tembakan makanan ke arah peluru-peluru tersebut dan menukarkannya menjadi makanan.

BoBoiBoy Kuasa Tiga Moto

BoBoiBoy Kuasa Tiga!

Tidak menyedari apa yang telah berlaku, Gopal mula tertanya-tanya. Adu Du terkejut apabila melihat kereta itu juga mempunyai kuasa, kemudian Koko Ci menjelaskan bahawa MotoBot ini bukan Power Sphera sembarangan kerana kenderaan yang dihasilkannya mampu beradaptasi dengan kuasa penggunanya. Adu Du menjadi lebih marah lalu memaksa mereka untuk memberikan MotoBot kepadanya dan mula menyerang Koko Ci dan MotoBot. Maka BoBoiBoy segera berpecah menjadi tiga dengan masing-masing mempunyai motosikal masing-masing.

BoBoiBoy Tanah menggunakan Drifting Tanah untuk meninggikan aras tanah dan menusuk Mecha Probe. Ia terpelanting ke ruang udara lalu disambut oleh BoBoiBoy Angin yang menggunakan Pusaran Angin dan diakhiri dengan Pecutan Kilat yang berulang-ulang oleh BoBoiBoy Petir. Adu Du dan Probe jatuh ke tanah dan BoBoiBoy bercantum semula. Bagaimanapun, Adu Du yang telah kalah teruk dengan angkuh tidak ingin mengakui kekalahannya. Pada masa yang sama, kapal angkasanya tiba di atas Adu Du dan Probe. Sebelum mereka berundur, Adu Du memberikan amaran bahawa dia akan kembali lalu ia berlepas meninggalkan orbit Sektor G-14.

Menari dulu lepas setuju

BoBoiBoy tidak begitu gembira selepas dipaksa menari dengan lagu TAPOPS.

Dengan keselamatan MotoBot, Koko Ci berterima kasih kepada BoBoiBoy dan Gopal lalu memujuk mereka untuk menyertai kumpulan TAPOPS demi keselamatan Power-Power Sphera. BoBoiBoy pada awalnya masih ragu-ragu, tetapi selepas diyakinkan oleh Gopal, BoBoiBoy akhirnya bersetuju untuk menyertai pasukan TAPOPS dan begitu juga Gopal. Koko Ci gembira atas penyertaan mereka tetapi dia mengenakan satu syarat, iaitu menyanyikan lagu tema TAPOPS sebelum menjadi ahli tetapnya, bikin BoBoiBoy menari secara terpaksa.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

  • Air Special Ice Chocolate yang BoBoiBoy Angin berikan kepada Cici Ko diisi dalam cawan plastik yang tinggi dalam siri. Manakala dalam versi komik, air tersebut diisi dalam cawan gelas.
  • Dalam siri, Probe menampar Adu Du untuk membangunkannya dengan menggunakan sarung tangan besar. Dalam versi komik, Probe tidak memakai sarung tangan tersebut ketika menampar Adu Du.
  • Dalam versi komik, tempat pengisian tenaga dipanggil sebagai pusat singgahan R&R antara galaksi.
  • Dalam versi komik, Ochobot menanya kepada BoBoiBoy tentang penyamaran yang dilakukan sudah selesai ataupun belum di babak paling akhir namun tidak ditunjukkan dalam siri.

Watak[]

Trivia[]

  • Seperti episod sebelumnya, episod ini juga telah dipisahkan kepada dua bahagian, di mana Bahagian 1 dimuat naik ke YouTube pada 2 Disember 2016, iaitu tarikh tayangan perdana episod ini di TV3 manakala Bahagian 2 dimuat naik pada 9 Disember 2016.
  • Episod ini menampilkan Lorong Pak Senin Koboi secara ringkas di awal episod sejak penampilan terakhirnya dalam Musim 3, Episod 8.
  • Ia menghairankan bagaimana Adu Du boleh tertidur selepas terhidu gas sedangkan dia tidak mempunyai hidung, seperti yang dinyatakan dalam Musim 1, Episod 4.
  • Babak Mecha Probe dicengkam oleh sepasang tangan tanah gergasi dan dapat melepaskan diri serupa seperti babak Mega Probe ditepuk oleh Koko Jumbo dan dapat melepaskan diri dengan mudah dalam Musim 3, Episod 5.
  • Episod ini awalnya bertajuk "Power Sphera, MotoBot!". Ia dipendekkan menjadi "MotoBot!" selepas musim pertama berakhir.

Galeri[]

Video[]

Advertisement