BoBoiBoy Wiki
Register
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Perlumbaan Nova Prix merupakan episod kelima belas dalam musim pertama siri BoBoiBoy Galaxy. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 8 Disember 2017.

Ringkasan[]

Laksamana Tarung memberikan arahan kepada BoBoiBoy dan rakan-rakannya untuk menyertai dan memenangi Perlumbaan Angkasa Nova Prix untuk mendapatkan Power Sphera bernama TrophyBot.

Plot[]

Episod ini bermula dengan ulang tayang Perlumbaan Nova Prix oleh Laksamana Tarung di Stesen Angkasa TAPOPS. Yaya dan Ying mengulas cara permainan mereka yang amat ganas. Tarung memberitahu mereka bahawa itu merupakan misi mereka yang seterusnya. Fang kelihatan cuak lalu BoBoiBoy bertanya Fang tentang perlumbaan ini. Fang menceritakan yang perlumbaan ini dianjurkan setiap 10 tahun dan merupakan suatu perlumbaan yang sangat bahaya kerana semua peserta pelumba boleh melakukan apa sahaja untuk memenangi perlumbaan tersebut. Laksamana memberitahu mereka yang mereka perlu memenangi Perlumbaan Nova Prix itu dan dapatkan Power Sphera bernama TrophyBot.

Yaya dan Ying hairan selepas mendapat tahu yang hadiah untuk pemenang perlumbaan ini adalah Power Sphera, dan Koko Ci menyatakan inilah sebabnya ramai yang mahu menyertai perlumbaan ini iaitu untuk mendapatkan Power Sphera dan hadiah-hadiah lain yang lumayan. BoBoiBoy sempat berkata yang mereka tidak mempunyai pengalaman dalam perlumbaan seperti ini, membuatkan Laksamana menengking mereka lalu bertegas kepada mereka untuk menangi perlumbaan itu lalu beredar dari situ. Gopal bertambah cuak kerana tidak mengetahui cara untuk memenangi perlumbaan yang bahaya itu. Apapun, mereka nampaknya bernasib baik kerana penaja mereka hanya akan menaja dua pelumba sahaja disebabkan oleh kos pendaftaran yang sangat mahal. Jadi Yaya dan Ying serta Gopal menawarkan diri mereka untuk menjadi kru sokongan dengan kebolehan mereka untuk membuat kerja dengan pantas dan menyediakan makanan.

Kemudian, Cici Ko memutuskan Yaya, Ying dan Gopal sebagai kru sokongan manakala Fang dan BoBoiBoy menjadi pelumba. Fang sempat bertanya siapa penaja mereka, lalu Bago Go muncul di skrin dan menegur mereka. Ini mengejutkan mereka dan BoBoiBoy mula menyangka ada sesuatu yang tak kena akan berlaku. Ternyata sangkaannya betul apabila dia dan Fang disuruh memakai krim muka Bago Go. Sambil itu Gopal, Yaya dan Ying yang berada di tepi menyindir dan menggelakkan mereka. Fang mula bersungut tentang krim muka Bago Go itu, dan empunya krim itu muncul sambil mengingatkan yang dia adalah penaja pasukan ini dan mereka secara tak langsung menjadi duta kepada produk Bago Go.

Bago Go pun mula mempromosikan kepada penonton tentang produk khasnya yang boleh memutihkan, menghijaukan dan mengepinkkan muka mereka. Bago Go meyakinkan penonton-penonton dengan memperlihatkan dua dutanya lalu menyuruh mereka lambai pada kamera. Kemudian, kedengaran suara menyindir BoBoiBoy dan Fang. Rupa-rupanya Adu Du dan Probe turut menyertai perlumbaan ini melalui kad kreditnya. Kedengaran pula bunyi enjin motor milik Bikembar Merah dan Bikembar Biru. Bikembar Biru kemudian mengatakan bahasa yang tidak dapat difahami BoBoiBoy dan Fang. Lalu Bikembar Merah memberitahu yang adiknya berkata perlumbaan itu seperti perlumbaan budak-budak, yang membuatkan Fang naik berang. Namun Bikembar Merah menengking mereka kembali dengan memanggil mereka sebagai "budak hingusan".

Pengacara pun memulakan ucapannya dengan memberikan kata-kata selamat datang kepada penonton. Kemudian ia memperkenalkan setiap pelumba bermula dari petak pertama, Pok Pok Tus dari Planet Gurunda. Di petak kedua, Heely Wheely dari Planet Kasuta. Manakala di petak ketiga dan keempat, dikenali sebagai juara bertahan Nova Prix iaitu Bikembar Merah dan Bikembar Biru. Pengacara itu nampaknya tidak mengenali Adu Du dan Probe lalu meneruskan dengan petak terakhir, BoBoiBoy dan Fang dari Planet Bumi. Reaksi Fang berubah sekejap di situ dan mengingatkan pengcara yang dia bukan budak Bumi. Apa-apapun, Adu Du naik darah apabila pengacara tidak mengenalinya. Tetapi mujur Probe sempat menenangkan bosnya itu dengan pancaran Power Sphera TrophyBot. Ini menambahkan lagi keazaman Adu Du untuk memenangi perlumbaan itu dan dapatkan Power Sphera TrophyBot itu.

Penonton Perlumbaan Nova Prix

Para penonton sangat risau tentang keadaan tersebut.

Kemudian pengacara pun memberikan arahan kepada pelumba-pelumba Nova Prix untuk menghidupkan enjin kenderaan sambil memulakan kiraan. Dalam 3, 2 dan 1, semua terus memecut ke hadapan melainkan Bikembar Merah dan Biru yang sedang menanti masa yang sesuai. Kelihatan Heely Wheely pun sedang mendahului perlumbaan sambil diikuti rapat oleh Pok Pok Tus. Wheely menambahkan kelajuan keretanya, bagaimanapun Pok Pok Tus tidak mengalah dan terus menyerang kenderaan Wheely. Bagaimanapun mujur kenderaan Wheely sempat mengelak, tetapi kedua-dua Bikembar datang ke kiri dan kanan mereka lalu menghimpit kenderaan mereka. Wheely segera memecut ke hadapan dan geseran kenderaan tadi menyebabkan Pok Pok Tus berpusing-pusing ke belakang. Sisa tong air dari kenderaan Pok Pok Tus tercampak ke arah BoBoiBoy dan Fang, namun mereka sempat mengelak dengan pantas. Malang sekali bagi Pok Pok Tus kerana dia telahpun terkeluar dari perlumbaan.

Pada masa yang sama, percikan-percikan air dari tong tadi telah membersihkan muka BoBoiBoy dan Fang. Lalu pengacara kira-kira ingin mengumumkan bahawa produk 'Kosmetik Kosmik X9000' ini tidak mempunyai kesan langsung. Bagaimanapun kata-katanya dipotong oleh Bago Go yang muncul entah dari mana, mengatakan bukannya "tak berkesan" tetapi "tak berkesempatan" lagi, oleh itu menyuruh abang-abang dan kakak-kakak untuk mengambil kesempatan ini untuk membeli produknya itu. Meneruskan perlumbaan, BoBoiBoy dan Fang bersedia untuk maju ke hadapan. Namun kenderaan mereka tiba-tiba ditembak dengan sedas tembakan. Rupanya Adu Du dan Probe berada di belakang mereka lalu meneruskan tembakan ke arah mereka kerana ingin mereka berdua kalah.

Mikrofon yang dipegang oleh Bago Go cuba diambil kembali oleh pengacara, tetapi Bago Go mengingatkannya yang dia adalah penaja jadi biarlah dia menjadi pengacara, lalu mengalihkan tumpuannya dengan mengeluarkan beberapa wang dan pengacara itu terus mendapatkannya. Adu Du masih lagi terus menembak BoBoiBoy dan Fang. Terdesak, Fang menyuruh BoBoiBoy untuk pergi ke hadapan dahulu sementara dia menghalang Adu Du. BoBoiBoy akur lalu maju ke hadapan sambil menyuruh Fang untuk berhati-hati. Kenderaan Fang dipusingkan ke belakang lalu Fang melepaskan Tusukan Bayang ke arah mereka dan berjaya membuatkan mereka menjadi kelam-kabut. Motor BoBoiBoy sampai di tengah-tengah kenderaan Bikembar. Tidak ingin dipotong, kedua-dua Bikembar pun menghimpit motor BoBoiBoy dari kiri dan kanan. Bago Go menceritakan situasi BoBoiBoy, dan berkata yang BoBoiBoy tetap konfiden kerana dia menggunakan Kosmetik Kosmik X9000 - "Serlahkan Kekonfidenanmu".

Hologram Ying muncul di jam BoBoiBoy lalu menyuruhnya untuk menggunakan kuasa anginnya. Jadi dia berukar menjadi BoBoiBoy Angin, dia menggunakan Pusaran Angin untuk menerbangkan dua Bikembar itu sekaligus menjauhkan mereka darinya. BoBoiBoy kembali normal lalu berterima kasih kepada Ying. Pada masa yang sama, Fang tiba di sebelah BoBoiBoy dan berkata yang dia telah berjaya menjauhkan Adu Du dan Probe ke belakang lalu mengajaknya untuk memecut. Namun, BoBoiBoy berasa hairan apabila melihat kenderaan dua Bikembar itu semakin perlahan. Rupanya kerana mereka akan memasuki ke kawasan meteor. BoBoiBoy dan Fang terkejut lalu masing-masing mengelak dengan pantas. Untuk memudahkan keadaan, BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Api dan melepaskan tembakan Bebola Api dari kenderaannya untuk menghancurkan meteor itu.

Kelihatan Wheely mendahului BoBoiBoy dan Fang lalu kenderaannya mengimbas meteor yang mendatang. Setelah meteor berjaya dikesan, kenderaan Wheely dengan mudah mengelak semua hujan meteor lalu terus maju ke hadapan. Bikembar Merah geram melihat Wheely berada di hadapan lalu menyuruh adiknya untuk merempuh meteor gergasi itu bersama-sama. Tindakan mereka membuatkan BoBoiBoy dan Fang ternganga. Kenderaan Bikembar mula mengalami kerosakan tetapi tetap meneruskan perlumbaan ke hadapan. Bago Go sempat menceritakan tentang Wheely dan Bikembar yang telah melepasi kawasan meteor lalu menganggap yang dia telah tersalah taja. Apapun, BoBoiBoy Api meneruskan tembakan ke arah meteor dan apabila meteor gergasi menjunam ke arah mereka, Fang membentuk Payung Bayang yang besar untuk berlindung kerana memang tak sempat nak elak.

Tanpa mereka sedar, Adu Du dan Probe telah menumpang payung mereka lalu mendahului mereka. Yaya menghubungi BoBoiBoy dan memberitahu yang hentian sudah dekat dengannya. Sementara menunggu kehadiran BoBoiBoy dan Fang, tiga orang wira itu terlihat Bikembar Merah dan Biru memasuki ke hentian. Rupanya kedua-dua Bikembar itu juga mempunyai sebuah Power Sphera yang bernama DashBot yang mengejutkan Gopal. Bikembar Biru berbicara bahasa yang tidak dapat difahami dan ternyata DashBot memang tidak memahami apa yang dikatakan olehnya. Lalu Bikembar Merah menyuruh DashBot untuk membaiki motor mereka serta berikan upgrade. Kuasa pengubahsuaian oleh DashBot membuatkan Gopal kagum lalu memuji kehebatan kuasa DashBot. Kemudian, kedua Bikembar itupun keluar dari hentian dan memecut ke hadapan.

Ying bertanya kepada BoBoiBoy dan Fang tentang keberadaan mereka, lalu mereka berkata sudah dekat dan menyuruh untuk menanti ketibaan mereka. Yaya sempat memberitahu yang dia telah menyediakan biskut untuk mereka, membuatkan empat wira yang lain terkejut lalu dua pelumba itu membatalkan niat mereka untuk berhenti di hentian. Mereka meneruskan sahaja perlumbaan sambil mengatakan yang kenderaan mereka masih dalam keadaan yang baik dan Fang berkata yang mereka juga perlu mengejar Adu Du, semuanya semata-mata untuk melarikan diri dari dipaksa makan biskut Yaya. Ying dan Gopal lega manakala Yaya sedih kerana biskutnya dibarikan begitu sahaja. Bagaimanapun, Wheely datang dan mengambil biskut dari tangan Yaya itu. Sekali ia makan, kenderaannya terbabas ke tepi dengan empunyai kereta sekali pengsan. Bago Go memberitahu keadaan Wheely lalu berasa kesal dengannya kerana memakan biskut Yaya.

Nampaknya mereka telahpun memasuki ke peringkat akhir perlumbaan ini. Bagaimanapun, BoBoiBoy dan Fang masih lagi berada di belakang sekali. Oleh itu Fang menyuruh BoBoiBoy untuk menggunakan kuasa petirnya lalu dia menyambungkan keretanya dengan motor BoBoiBoy. BoBoiBoy bersetujuh dengan idea yang bernas itu lalu bertukar menjadi BoBoiBoy Petir selepas berpesan kepada Fang untuk pegang kuat-kuat. BoBoiBoy menggunakan Pecutan Petir untuk memecut dengan amat pantas sehinggakan Fang tidak dapat mengawal keretanya dengan stabil. Pecutannya amat laju sehingga dapat memotong Adu Du dan Probe. Probe risau kerana mereka telah tercicir, tetapi Adu Du menyuruh robot itu supaya tidak risau kerana dia sentiasa ada cara.

Kenderaan BoBoiBoy dan Fang terus memecut sehingga ke belakang kenderaan Bikembar. Bikembar Merah yang menyedari kehadiran mereka menyuruh adiknya untuk menggabungkan kenderaan. Bikembar Biru akur lalu kedua-dua Bikembar menekan butang pada kenderaan masing-masing dan bermulalah proses gabungan kenderaan. BoBoiBoy terkejut apabila melihat Bikembar boleh bergabung, jadi Fang menyuruhnya untuk menyerang mereka. Namun, kenderaan Fang tiba-tiba diserang dan tercampak ke belakang. BoBoiBoy terkejut melihat serangan itu, dan rupanya serangan itu datang daripada Adu Du yang memecut dengan menggunakan bahan api terlarang iaitu Koko Nitro.

Akibat serangan tadi, ia menyebabkan kenderaan Fang tidak boleh bergerak lagi. Fang yang menyedari rintangan mendatang segera mengembalikan fokus BoBoiBoy. Rupanya kenderaan Bikembar itu telah bersedia untuk menembak motor BoBoiBoy. Selepas sasaran mereka dikunci, kenderaan Bikembar segera melepaskan das-das tembakan ke arah BoBoiBoy. Adu Du yang melihatnya menyuruh Probe untuk menyertai Bikembar dalam menembak BoBoiBoy. BoBoiBoy dapat untuk mengelak dari semua serangan, tetapi untuk menghentikan perkara ini dia pun menggunakan Kuasa Tiga untuk berpecah kepada Petir, Angin dan Api. Kemudian mereka menggunakan kuasa Ekzos Elemental dengan menggabungkan Ekzos Angin, Ekzos Api dan Ekzos Petir lalu melepaskan serangan itu kepada Adu Du dan Probe. Ini menyebabkan mereka terpelanting ke atas dan bawah lalu tersungkur daripada perlumbaan.

Bikembar Merah tidak berpuas hati melihat BoBoiBoy lalu menyindir mereka bertiga. Tetapi rupa-rupanya, ketiga-tiga BoBoiBoy itu boleh menggabungkan kenderaan mereka juga. Lalu mereka bertiga pun menyeru Kuasa Gabungan Motor Elemental dan membuatkan rakan-rakannya berasa kagum. Ketidakpuasan Bikembar bertambah lalu memusingkan kenderaan mereka untuk menembak BoBoiBoy. Petir menggunakan Elakkan Kilat untuk mengelak dari setiap tembakan itu, lalu menyuruh Angin untuk mengaburkan pandangan Bikembar jadi dia menggunakan Pusaran Angin. Di akhir pusaran, BoBoiBoy Api, Angin dan Petir membentuk Bebola Kombo Maksima lalu mecampakkan ke arah Bikembar. Ini menyebabkan kenderaan mereka terpisah dan mengalami kerosakan lagi.

Selepas BoBoiBoy bercantum semula, kelihatan Adu Du dan Probe terus memecut ke hadapan melalui penggunaan Koko Nitro oleh Adu Du lagi. Lalu Bago Go dengan bangganya mengumumkan bahawa mereka sudahpun mempunyai pemenang. Bagaimanapun, reaksinya berubah apabila mendapat tahu yang itu ialah Adu Du dan bukannya dutanya. Ying segera menghubungi dan bertanya keberadaan BoBoiBoy sebelum Gopal memberikan amaran yang Adu Du dah nak sampai ke garisan penamat. Jadi BoBoiBoy bertukar ke Petir dan menggunakan Pecutan Maksima yang lebih dan paling laju berbanding tadi. Kedua-dua kenderaan BoBoiBoy dan Fang saling memecut untuk sampai ke garisan penamat, yang menimbulkan rasa debaran pada semua penonton.

Bago Go meluahkan kedegupan jantungnya tadi lalu tertanya-tanya siapa agaknya pemenang perlumbaan kali ini. Lalu pengacara pun mengumumkan bahawa juara untuk Perlumbaan Angkasa Nova Prix kali ini iaitu bukan BoBoiBoy, tetapi rupanya ialah Adu Du! Si juara itu berasa bangga dan menyindir musuh lamanya itu atas kekalahannya lalu BoBoiBoy meminta maaf kepada rakan-rakannya atas kegagalannya. Melihat pada ulang tayang, Adu Du memenangi perlumbaan ini dengan hanya dengan seinci dari sesungutnya. Pengacara pun menunjukkan hadiah pertama iaitu berpelangganan tahun produk Bago Go: Kosmetik Kosmik X9000. Adu Du naik berang lalu mencampakkan produk itu. Bago Go menegur sikapnya kerana dirinya sudah penat-penat menjadi penaja untuk hadiah pertama. Kemudian pengacara meneruskannya dengan mengumumkan hadiah tempat kedua iaitu Power Sphera TrophyBot untuk BoBoiBoy, selaku pelumba dari Planet Bumi. BoBoiBoy tidak menyangka manakala rakan-rakannya gembira kerana misi mereka telah berjaya.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

  • Episod ini ditulis sebagai "Episod 18" dalam komik.

Watak[]

Trivia[]

  • Ini merupakan kali pertama dalam BoBoiBoy Galaxy yang BoBoiBoy menggunakan Pemecahan Elemental untuk berpecah kepada tiga dalam menggunakan motosikal dan bukan tiga bentuk asalnya. BoBoiBoy Api menggantikan BoBoiBoy Tanah dalam episod ini.
    • Ini juga merupakan kali pertama BoBoiBoy menggunakan Kuasa Gabungan Motor Elemental.
  • Walaupun Bago Go menjadi watak penolong dalam siri BoBoiBoy dan BoBoiBoy Galaxy, dia dianggap sebagai antagonis sebenar episod, kerana perancangannya untuk menguasai seluruh Perlumbaan Angkasa Nova Prix sebagai pengulas dan penajaan.
    • Dia juga menurunkan TrophyBot sebagai hadiah utama tempat kedua, sedangkan Kosmetik Kosmik X9000 produknya adalah untuk hadiah tempat pertama.
  • Menurut Fang, Perlumbaan Angkasa Nova Prix dianjurkan setiap dekad (10 tahun) dan merupakan suatu perlumbaan yang sangat bahaya kerana semua peserta pelumba boleh melakukan apa sahaja untuk memenangi perlumbaan tersebut.
    • Pemenang dalam perlumbaan ini akan mendapat sebuah Power Sphera berserta dengan hadiah-hadiah lain yang lumayan.
    • Mengikut Koko Ci, biaya pendaftaran setiap pelumba untuk menyertai perlumbaan cukup mahal.
  • Adu Du telah ditunjukkan memegang Kad Kredit Plutonium yang diperolehnya dari ibunya dalam Musim 3, Episod 13, menunjukkan bahawa dia menggunakan kad untuk membayar yuran pendaftaran.
  • Perlumbaan Angkasa Nova Prix mempunyai kemungkinan bahawa perlumbaan ini hampir serupa dengan Mario Kart.
  • Episod ini berkongsi beberapa persamaan dengan episod Doraemon yang dikenali sebagai Grandprix Galaksi.
  • Episod ini awalnya bertajuk "Perlumbaan Angkasa Nova Prix". Ia dipendekkan selepas musim pertama diakhirkan.

Galeri[]

Kategori utama: Gambar Perlumbaan Nova Prix

Video[]

Advertisement