Musuh Dalam Selimut merupakan episod kedua-puluh-satu dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod kelima dalam BoBoiBoy Galaxy Baraju. Ia dilepaskan di YouTube Monsta dan Netflix pada 15 November 2025, kemudian di RTV pada 4 Disember 2025.
Ringkasan[]
Selepas diserang oleh robot musuh, BoBoiBoy dan rakan-rakan berlindung di Kampung Ais Batu Api, di mana mereka mula membongkar dalang sebenar di sebalik konflik Bara–Salju. Sebelum mereka sempat bertindak, penjahat itu berjaya memperdaya dan memerangkap mereka.
Plot[]
Di Kampung Ais Batu Api, Toktaroka menyiapkan air penawar untuk semua mangsa keracunan, malah menjadi pengantara untuk menyambungkan rundingan antara Panglima Yanaari dan Mas Gardu yang tergendala sebelum ini. Yaya meluahkan rasa lega melihat kedua-dua ketua puak berbaik, namun mereka lantas menyangkal dan kembali bertengkar, jadi Toktaroka menunjukkan rakaman mereka berdua bernyanyi semalam, membuat mereka berdua malu.
BoBoiBoy menampakkan wajah sugul ketika mengagihkan penawar kepada kawan-kawannya. Ditanya mengapa oleh Ying, dia berasa sesal kerana sudah dua kali dia gagal mengawal diri sehingga membahayakan kawan-kawannya, iaitu ketika berjuang sebagai Beliung di Windara dan juga ketika bergaduh sebagai Blaze dan Ais di Puncak Bakar Beku. Ying memaafkan BoBoiBoy, manakala Gopal mencemuh sambil menahan sakit dibalut ketat oleh Fang.
Yaya bersyukur atas kehadiran BoBoiBoy Sopan menyelamatkan keadaan, maka BoBoiBoy pun berterima kasih kepada Qually untuk itu. Qually mengeluarkan buku resipinya untuk menunjukkan banyak lagi idea untuk Elemental Fusion akan datang. Gopal turut melihat buku Qually dan terjumpa satu rumus baru yang menggabungkan Taufan dan Gempa, yang mana dia memberi nama julukan “Tauge” dengan rasa geli.
Sementara itu, Roktaroka mengimbau kenangan pahit yang lampau bersama Rokkiah dengan menunjukkan tanda “R + R” yang diukirkan pada batang pokok besar yang tertanam di tengah dusun buluh sedekad dahulu, ketika dia ternampak Rokkiah bermesra dengan lelaki Batu yang lain, membuat dirinya patah hati kerana menyangka Rokkiah sudah berpunya. Kebetulan lelaki lain yang disebut itu berlalu di situ, maka Rokkiah memperjelas bahawa Mat Rokk adalah abang kandungnya, membuat Roktaroka betul-betul menyesal kerana menghilangkan diri selama 10 tahun atas salah faham semata-mata.
Gelagat Roktaroka dan Rokkiah disaksikan dengan senang hati oleh Toktaroka bersama Yanaari dan Mas Gardu. Toktaroka terasa syahdu dan berhasrat untuk mempersiapkan perkahwinan cucunya. Yanaari bertanya bagaimana dua individu berbeza boleh bersatu, jadi BoBoiBoy berpesan bahawa Roktaroka dan Rokkiah sama kaum. Mas Gardu menyangkal kerana Roktaroka adalah Batu Api manakala Rokkiah Ais Batu. Toktaroka mengulang bahawa mereka tetap tergolong dalam satu Kaum Batu, dan begitu juga dengan puak Bara dan Salju yang sesungguhnya satu kaum tetapi berpecah menjadi puak.
Tiba-tiba, Papa Zola dan Ochobot memasuki Puncak Bakar Beku dengan memandu pesawat yang diambil dari bilik bawah tanah. BoBoiBoy dan kawan-kawan pergi menyambut ketibaan mereka, dan Ochobot pun menayangkan hasil risikan mereka di bilik bawah tanah semalam. Mas Gardu dan Yanaari meneliti rakaman dan mengaku bilik itu bukan kubu masing-masing. BoBoiBoy memperkenalkan ketua-ketua puak kepada Papa Zola, tetapi mengingatkan bahawa mereka belum berbaik.
Rakaman terus ditayangkan, di mana Yanaari dan Mas Gardu dapat mengecam bekalan senjata yang pernah dibeli untuk tentera masing-masing. Fang pula mengenal pasti robot-robot yang pernah menyerangnya di Puncak Bakar Beku. BoBoiBoy bercadang untuk menyiasat kubu itu dan meminta Papa Zola membawa mereka ke situ. Papa Zola mengeluh kelaparan dan pergi mencari makanan sebelum bertolak. BoBoiBoy sekumpulan dengan Fang, Ochobot dan Papa Zola ke kubu, manakala yang lain mengikut ketua-ketua puak, kecuali Qually yang kekal untuk memasak bersama Toktaroka.
Ketika dalam penerbangan ke kubu bawah tanah, Fang bertanya mengapa Ochobot tidak menggunakan kuasa teleportasi, maka Ochobot menjawab perlu cas secukupnya untuk ke Bumi kelak. Papa Zola mula tergelak dan meraban lalu mengantuk, membuat BoBoiBoy dan Fang naik cemas kerana Papa Zola telah termakan buah beri beracun sebelum bertolak. Kemabukan Papa Zola menyebabkan pesawat dipandu dengan sembarangan, membahayakan diri dan penumpang. BoBoiBoy bertindak dengan bertukar menjadi BoBoiBoy Sopan dan membentuk Layar Sopan untuk menstabilkan pesawat, siap dengan tali kelat untuk mengawal demi mengelak dari pelanggaran. Oleh yang demikian, Sopan selamat mendaratkan pesawat di dataran yang tandus dan kelam.
Kebetulan Pak Pato yang dikenali Fang hadir di situ, dia segera mengeluarkan penawar dari beg bekalannya untuk Papa Zola sebaik sahaja mereka mendarat. Langit suram berguruh menandakan ribut akan melanda, jadi Pak Pato membawa Fang dan lain-lain pergi berlindung di gua terlebih dahulu. Setelah menerima penawar daripada Pak Pato, Papa Zola sembuh dan kembali bersemangat seperti biasa. BoBoiBoy berpesan bahawa mereka datang ke kawasan gua untuk menyiasat, dan Pak Pato berkata dia menggunakan gua ini sebagai tempat perteduhan. Papa Zola mendakwa Pak Pato menyembunyikan senjata, tetapi Pak Pato menyangkal dakwaan itu dan bercadang untuk membawa mereka berjumpa dengan tuan tempat.
Maka Pak Pato membawa rombongan BoBoiBoy menuruni tangga ke sebuah bilik besar di tingkat bawah tanah. Tiba-tiba, besi jerejak turun dari lelangit bilik, mengurungkan BoBoiBoy, Fang, Ochobot dan Papa Zola dan memisahkan sesama mereka. Pada ketika inilah Pak Pato mendedahkan dirinya sebagai pemilik kubu bawah tanah dan juga orang yang menjual senjata kepada puak Bara dan Salju untuk terus berperang. Dipersoal niatnya oleh BoBoiBoy, Pak Pato menjelaskan bahawa dia datang ke Planet Baraju untuk berniaga gajet, namun tidak diendahkan penduduk tempatan kerana sibuk berperang sesama mereka. Oleh yang demikian, Pak Pato mencari jalan dengan menjual senjata kepada kedua-dua puak yang berperang demi mencari pendapatan.
BoBoiBoy menuduh Pak Pato punca kedua-dua puak berperang, maka Pak Pato mengaku hanya menggalakkan peperangan yang sedia ada dengan menokok tambah kisah nenek moyang kedua-dua puak. Pak Pato, tanpa menghiraukan kecaman BoBoiBoy dan Fang, memakai topeng gas dan melepaskan gas penidur ke dalam kurungan. Satu demi satu mangsa manusianya rebah sebelum sempat mengeluarkan kuasa, malah Pak Pato menembak jatuh Ochobot dengan renjatan elektrik sebelum beredar.
Di tengah dataran tandus yang kelam, yang kini menjadi medan peperangan antara puak Bara dan Salju, muncul sebuah robot gergasi berwajah bengis dan dilengkapi senjata di seluruh badannya. Robot inilah adalah jentera milik Pak Pato yang dikendali dari bahagian mata kanan kepalanya, di mana pemandunya melakukan persiapan untuk membinasakan Planet Baraju. Serantai meriam keluar dari keliling pinggang robot itu, melepaskan projektil batu api dan batu ais ke kedua-dua kubu puak, menandakan perang berubah corak.
Perbezaan dengan Versi Komik[]
- Dalam versi komik, Qually tidak pernah menyebutkan tentang Elemental Fusion dari Taufan dan Gempa
- Dalam versi animasi, Pak Pato memanggil sebuah robot gergasi daripada Robot Panglima Pyrapi dan Mas Mawais dalam versi komik.
Watak[]
- BoBoiBoy
- BoBoiBoy Taufan/BoBoiBoy Beliung (imbas kembali)
- BoBoiBoy Gempa (disebutkan)
- BoBoiBoy Blaze (imbas kembali)
- BoBoiBoy Ais (imbas kembali)
- BoBoiBoy Solar
- BoBoiBoy Sopan
- Yaya
- Ying
- Gopal
- Fang
- Ochobot
- Papa Zola
- Qually
- Roktaroka
- Toktaroka
- Rokkiah
- Mat Rokk (kemunculan sulung)
- Pak Pato
- Puak Bara
- Puak Salju
- Retak'ka (imbas kembali, penglihatan)
- Reramos (imbas kembali)
- Kuputeri (imbas kembali, hanya suara)
- Adu Du (disebutkan)
Trivia[]
- Ini merupakan kemunculan sulung Mat Rokk dalam versi animasi.
Galeri[]
Video[]
| ||||||||||||||||||||||||||||||||







