Sehangat Bara, Sedingin Salju merupakan episod ketujuh-belas dalam musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy, dan juga merupakan episod pertama dalam BoBoiBoy Galaxy Baraju. Ia dilepaskan di YouTube Monsta dan Netflix pada 18 Oktober 2025, kemudian di RTV pada 8 November 2025.
Ringkasan[]
Plot[]
Kapal angkasa MYS Kebenaran yang diketuai oleh Kapten Papa Zola dan turut dinaiki oleh Fang, Ying, Yaya dan Roktaroka, memasuki atmosfera Planet Baraju. Tiba-tiba, ia dilanggar objek-objek yang melenting dari tanah, menyebabkan situasi kecemasan. Papa Zola mengarahkan kapal dinaikkan ke luar atmosfera dengan memasang penggalak (booster). Sungguhpun sempat naik semula ke paras tinggi, namun MYS Kebenaran akhirnya dilanggar suatu objek misteri berbentuk silang lalu terhempas.
Sementara itu di kilang NuBot di Planet Machina, BoBoiBoy ditemani Ochobot, Gopal, Qually dan Jo memasang semula CodeBot di panel kawalan kilang untuk dirawat dengan antivirus. Gopal memberi amaran supaya CodeBot tidak bertukar menjadi Rosaksa lagi kerana akan ditangkap oleh TAPOPS, sementara Jo menjamin bahawa NuBot akan dijaga dengan baik. Ochobot menggunakan Kuasa Teleportasi untuk membuka portal ke lokasi MYS Kebenaran; BoBoiBoy, Gopal dan Qually menyangka akan menuju ke Planet Volkania untuk mencari Panglima Pyrapi.
Setelah melalui portal, BoBoiBoy dan kawan-kawan digemparkan dengan runtuhan kapal MYS Kebenaran dan cemas akan keselamatan rakan-rakan seperjuangan mereka. Ochobot mendapati mereka berada di Planet Baraju, dan BoBoiBoy menyeru yang lain untuk mencari Fang, Ying, Yaya dan Papa Zola. Qually mengangkat serpihan kapal dan terjumpa tubuh Papa Zola yang kelihatan tidak bernyawa. BoBoiBoy dan yang lain bergegas ke situ dan menyangka kapten mereka sudah meninggal lalu meratap dengan teresak-esak, sehinggalah Papa Zola bangkit dari pengsan dan menceriakan kembali suasana.
Ditanya apa yang terjadi, Papa Zola menceritakan bahawa dia dan anak-anak kapal sedang meninjau Planet Baraju dari udara dan bersiap untuk mendarat di Talistiwa, iaitu kawasan khatulistiwa planet tersebut, apabila mereka dibedil objek berupa batu dari kedua-dua belah Talistiwa. Roktaroka menduga ini berpunca daripada pertempuran antara Puak Bara dan Puak Salju. Papa Zola turut mengesahkan bahawa dia sempat membawa kapal ke angkasa semula untuk mengelak serangan, namun kapal terkena serangan pemotong dari tanah lalu terbelah tiga, menyebabkan semua anak kapal jatuh terpisah - Ying di sebelah wilayah Puak Salju, Yaya di sebelah wilayah Puak Bara, dan Fang, Roktaroka dan dirinya di Talistiwa. Fang sempat menggunakan Kokun Bayang untuk melindungi bahagian kapalnya ketika terhempas.
Ochobot mengesahkan kehadiran isyarat Ying dan Yaya walaupun tidak dapat dihubungi, disimpulkan oleh Qually bahawa mereka mungkin dalam keadaan selamat. Oleh itu, BoBoiBoy bercadang untuk mencari Ying dan Yaya. Gopal pula bertanya tentang Fang dan Roktaroka, jadi Papa Zola menjawab bahawa mereka pergi mencari bantuan sementara dia kekal di bangkai kapal untuk cuba menghubungi TAPOPS tetapi gagal.
Sementara itu, Fang dan Roktaroka dalam perjalanan ke kampung halaman Roktaroka demi mendapatkan bantuan untuk mencari kawan-kawan mereka. Sedar-sedar sahaja, mereka mengecam mercu tanda yang pernah dilalui dan juga kesan jejak kaki mereka sendiri, menandakan mereka sudah tersesat, membuat Roktaroka pun teresak-esak mencurahkan air mata lavanya. Fang terlihat seorang makhluk yang memerhati dari cenuram dan bercadang untuk bertanyakan arah kepadanya. Makhluk memakai serban yang bernama Pak Pato itu menyapa Fang dan mengaku telah melihat dia dan Roktaroka berpusing-pusing di jalan bulatan yang sama dari awal.
Ochobot mengimbas panel kawalan kapal dan mendapati sistem komunikasinya telah musnah daripada hempasan tadi. Papa Zola bercadang untuk melakukan teleportasi keluar dari planet, namun Ochobot tidak dapat berbuat demikian kerana perlu mengisi tenaga. BoBoiBoy meminta Ochobot untuk membaiki semula sistem komunikasi kapal sementara dia memikirkan cara untuk mencari Yaya dan Ying.
Tiba-tiba, suasana digegarkan lagi dengan bedilan batu tarbil berlava dan berais dari kedua-dua belah Talistiwa, menandakan bersambungnya peperangan antara Puak Bara dan Puak Salju. Malahan, BoBoiBoy, Gopal, Qually dan Ochobot tergelincir ke medan perang untuk mengelak daripada ditimpa runtuhan batu-batu yang berlanggaran. Melihat Ying dan Yaya mungkin dalam bahaya, BoBoiBoy menyuruh Ochobot untuk berlindung dengan Papa sementara dia pergi menerjah medan perang dengan berpecah menjadi Blaze dan Ais, masing-masing membawa seorang kawan untuk menuju ke arah berasingan.
Ais dan Qually menuju ke wilayah Puak Salju, sementara Blaze dan Gopal ke wilayah Puak Bara. Ais menggunakan Luncuran Ais untuk mempercepat perjalanan dan juga Panah Ais untuk menembak jatuh bedilan batu lava, dibantu oleh Qually yang menepis batu dengan sudipnya. Blaze melontarkan Cakera Api untuk merempuh rintangan yang didatangkan oleh batu ais, malah dibantu oleh Gopal yang menukarkan bedilan ais menjadi cekodok pisang sehingga sampai di pintu masuk kubu Bara. Sebaik sahaja Ais dan Qually menghampiri kubu Salju, mereka terlihat serpihan sayap kapal MYS Kebenaran. Ketika menghampiri pintu masuk, Ais meminta untuk masuk untuk mencari sahabatnya. Demikian juga yang dilakukan oleh Blaze, kedua-duanya menyebut nama dirinya yang sama iaitu BoBoiBoy.
Pak Pato mengecam Fang sebagai ahli TAPOPS dan berterima kasih kepadanya kerana memelihara keamanan galaksi, sambil memimpin Fang dan Roktaroka ke arah Kampung Ais Batu Api, iaitu tempat asal Roktaroka. Pak Pato berhenti separuh jalan kerana mahu menuju ke tempat lain, dan menunjuk ke arah bukit di hadapan di mana letaknya pintu masuk ke kampung.
Setelah mengambil masa yang tidak terjangka lamanya mendaki bukit itu sehingga hari pun bertukar senja, akhirnya Fang dan Roktaroka tiba di pintu masuk Kampung Ais Batu Api. Fang menerima isyarat semula dan dihubungi oleh Ochobot yang memaklumkan bahawa BoBoiBoy dan lain-lain sudah tiba di tempat tujuan masing-masing untuk mencari Yaya dan Ying, malah dia meminta Fang dan Roktaroka untuk pergi menanya Toktaroka tentang Panglima Pyrapi. Sebelum masuk, Fang terlihat Roktaroka menangis sambil menyentuh salah satu tiang gerbang kampung. Roktaroka mengaku sekadar rindu akan kampung halamannya, padahal ukiran yang tertinggal pada tiang berkenaan menandakan suatu kenangan pahit yang terpendam jauh di lubuk hati Roktaroka.
Perbezaan dengan Versi Komik[]
- Selepas dari Kilang Nubot, BoBoiBoy berangkat menuju Planet Baraju manakala dalam versi komik BoBoiBoy pulang ke Bumi.
- Blaze dan Ais berpencar ke sisi Bara dan Salju manakala dalam versi komik mereka tercampak ke pelbagai tempat.
- Roktaroka tidak memanggil Fang dengan sebutan "Sahabat berambut ungu" dan kemudian "Fang lah".
Watak[]
- BoBoiBoy
- Yaya
- Ying
- Gopal
- Fang
- Ochobot
- Papa Zola
- Qually
- Roktaroka
- CodeBot
- Jo Bot
- Pak Pato (kemunculan sulung)
- Puak Bara (kemunculan sulung)
- Puak Salju (kemunculan sulung)
- Mas Gardu (kemunculan sulung)
Trivia[]
- Episod ini memaparkan kemunculan terakhir Jo Bot dan CodeBot; dan penampilan terakhir bilik keselamatan Kilang Nubot di mana antivirus sedang berjalan sehingga Power Sphera kembali normal.
Galeri[]
Video[]
| ||||||||||||||||||||||||||||||||








